Malam tadi saya sempat mengikuti majlis membaca Yassin dan tahlil untuk arwah Tan Sri Dato' Mohamad bin Haji Rahmat di Masjid Al-Mizan, Kempas Baru, Johor Bahru. Bersama Haji Mohd Said Ibrahim, Haji Nasaruddin Mohd Yunus dan Azmi Tuganal, kami sempat bersama dari solat Maghrib berjemaah sehinggalah menikmati jamuan yang dihidangkan.
Dianggarkan 500 orang hadir walaupun penganjur menjangka seribu yang akan mengikuti majlis berkenaan. Begitupun, ia tidaklah begitu menghampakan kerana mereka yang hadir tentunya ingin bersama mendoakan supaya roh allahyarham bersemadi di alam mereka yang beriman dan mendapat keampunan Allah swt.
Pada pagi Jumaat awal tahun baru 2010, saya mendapat beberapa sms tentang pemergian kekal allahyarham. Saya terus mensedekah al-Fatehah. Ketika itu saya di Kota Kinabalu bersama isteri dan rakan-rakan dari Persatuan Bekas Kakitangan Felda dalam lawatan ke Sabah. Sehari sebelumnya, saya sempat bertemu YB Nurjazlan, anak sulung allahyarham di Airport Senai. Sempat juga saya bertanya khabar dengannya dan terlihat riak wajahnya begitu ceria. Takdir Allah tidak siapa mengetahui, bapa kesayangannya akan meninggalkan dunia penuh pancaroba selama-lamanya.
Di Parlimen Pulai, siapa yang tidak mengenali allahyarham?. Kalau adapun mungkin anak-anak kecil atau mereka yang tidak mengambil peduli tentang alam sekeliling. Tidak kira siapapun penduduk di Pulai, allahyarham yang lebih mudah dipanggil Tok Mat akan sentiasa diingati.
Kemasyhoran Tok Mat bukan setakat di Pulai bahkan di seluruh negara kita. Allahyarham telah mencipta nama dan mempunyai sejarahnya tersendiri. Banyak yang boleh diceritakan samada yang baik atau sebaliknya.
Bagi saya yang mempunyai lakaran sejarah antara kami berdua juga mempunyai kesah menarik untuk diimbau. Kalaupun saya menceritakan di blog ini, anggaplah ia sebagai satu kenangan yang manis walaupun ada ketikanya ia begitu pahit bagiku.
Saya katakan 'antara kami' kerana Tok Mat pernah menjadi ketua dan saya naibnya. Pada tahun 1984, saya menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan beliau menjadi Ketua Bahagian. Saya tahu beliau tidak selesa ketika itu kerana saya terpilih sedang Baharom Ghani, Setiausaha Sulit yang menjadi ayam tambatannya kecundang dalam pemilihan. Begitu juga pada tahun 1986 apabila sekali lagi saya menewaskan calon tajaannya, Hadi Daris. Saya penah mencatatkannya dalam blog ini (baca).
Sebelum saya menjadi Ketua Pemuda, angin ketidakserasian telah bermula sejak dari Ketua-Ketua Pemuda sebelumnya iaitu Haji Abd Wahab Muslim dan allahyarham Ismail Kamaluddin. Puncanya, Tok Mat tidak seiring dengan Dato' Musa Hitam (sekarang Tun) yang memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Pemuda UMNO Bahagian Pulai pula memberi sokongan kuat kepadanya.
Banyak peristiwa yang berlaku dalam tempoh kami bertiga menjadi Ketua Pemuda. Diantaranya, Abd Wahab sepatutnya menjadi ADUN Tambatan telah tertolak namanya di saat akhir dan digantikan oleh allahyarham Mahmood Daud. Usaha Tok Mat ketika itu berhasil mengketengahkan Mahmood walaupun bekas ADUN ini baru saja dibawa menjadi Setiausaha Bahagian. Tok Mat tahu sekiranya Abd Wahab berjaya menjadi ADUN, mungkin pengaruhnya akan merosot.
Pengaruh Tun Musa Hitam di Pulai meningkat apabila Setiausaha Politiknya, Ismail Kamaluddin yang juga anak saudara Tun Dr Ismail Abd Rahman mengambilalih jawatan dari Abd Wahab yang cukur umur 40 tahun. Malangnya, Ismail tidak lama memegang jawatan kerana kembali ke alam baqa' kerana menderita kanser kerongkong.
Tempatnya dipangku oleh Selamat Othman dari Pekan Nanas Pontian. Pada ketika ini kegiatan Pemuda UMNO Pulai mula mendatar apabila Selamat lebih berminat mencari jalan selamat dan lebih menumpukan pengaruh ke Bahagian Pontian. Sikapnya tidak menghairankan kerana Selamat bersama UMNO Cawangannya, Kampong Sawah akan berpindah ke Bahagian Pontian.
Pada tahun 1984, apabila berlaku kekosongan jawatan Ketua Pemuda disebabkan Selamat Othman berpindah ke Pontian, saya berjaya memegang tampok jawatan tersebut. Bagi saya, kejayaan menewaskan Baharom Ghani (sekarang Datuk) memberi impak besar kepada pengaruh Tok Mat terutama dari golongan muda.
Ahli-ahli Pemuda UMNO Pulai lebih bersemangat memberi sokongan padu kepada Tun Musa Hitam. Ketika krisis memuncak Musa/Mahathir pada tahun 1986, Tok Mat sanggup membawa perwakilan pemuda yang sedang bermesyuarat di Sekolah Agama Dato' Omar Yusof ke Airport Senai untuk menyampaikan tepak sirih untuk dibawa oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ke London bagi diserahkan kepada Tun Musa.
Hebat. Itulah kehebatan Tok Mat berperanan seolah-oleh memberi sokongan kuat kepada Tun Musa untuk kembali ke tanah air dan memegang semula jawatan Timbalan Perdana Menteri. Kami tertipu kerana tidak berapa hari selepas itu, dia menyembah taat setia kepada Dr Mahathir dan Ghafar Baba.
Ketika pemilihan Majlis Kerja Tertinggi pada 24 April 1987 yang melibatkan pertembungan Team A dan B, saya dan rakan-rakan di Bahagian Pulai berpehak kepada Team B. Tok Mat kalah dalam pemilihan MKT, bagaimanapun bintangnya menyinar kerana Dr Mahathir yang disokongnya menang sebagai Presiden UMNO.
Apabila UMNO diharamkan pada tahun 1988, saya tidak turut sama menjadi ahli UMNO (Baru) dan terus bersama-sama dengan Tun Musa mendokong untuk menghidupkan semula UMNO yang lama melalui Semangat 46. Disinilah saya terpisah untuk sementara waktu di dalam perjuangan UMNO yang baru sehingga kami memasuki semula beramai-ramai melalui Resolusi Melayu Johor (RMJ).
Tok Mat bijak menggunakan kesempatan walaupun terpaksa bersusah payah menubuhkan UMNO (Baru) di Bahagian Pulai. Dia mencari kekuatan baru dengan beberapa orang rakan baru dari pemimpin parti pembankang seperti Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Diantaranya adalah Osman Sapian (Datuk). Beliau yang pernah menjadi Ketua Pemuda PSRM Johor adalah rakan sekolah saya di Sekolah Dato' Penggawa Barat Pontian.
Datuk Osman yang pernah bertanya dengan saya apakah UMNO boleh memberinya jawatan sekiranya ia menjadi ahli UMNO telah membantu Tok Mat dengan menjadi Setiausaha Pajar atau Persatuan Anak Jawa Johor. Tok Mat yang menjadi Pengerusinya telah menggunakan kekuatan Pajar untuk menghidupkan UMNO Baru.
Sekali lagi Tok Mat bijak menggunakan Datuk Osman sebagai pelampongnnya. Datuk Osman juga tidak rugi kerana telah 3 penggal menjadi ADUN Kempas sehingga kini. Soalnya apakah YB Datuk Osman akan terus kekal berada di Pulai kerana sekarang beliau tidak mempunyai sebarang jawatan penting dalam UMNO Bahagian Pulai.
Saya tidak terkejut dengan kejatuhan Datuk Osman sekiranya Tok Mat masih ada. Mengapa? Tok Mat akan mempastikan pewarisnya terus berkuasa di Pulai.
Pada satu ketika, saya bersama beberapa orang lain seperti Abu Bakar Ibrahim, Zainal Jamil, Mohd Said Ibrahim, Datuk Abd Kadir Annuar dan lain-lain dikatakan boleh menyukarkan keinginannya untuk terus menguasai UMNO Pulai. Impiannya tercapai apabila kami terpaksa berpindah ke Johor Bahru pada tahun 2004 akibat persempadanan semula kawasan pilihanraya.
Saya, Abu Bakar dan Zainal adalah bekas Ketua Pemuda Bahagian dan dikatakan kami bertiga sebagai pemimpin pemuda yang tidak sehaluan dengan Tok Mat yang menjadi Ketua Bahagian.
Kehilangan kami yang telah berpindah termasuk Zainal Jamil yang masih berada di Pulai tetapi telah terkeluar dari kepimpinan pewaris Tok Mat, YB Datuk Nur Jazlan kerana menyokong Datuk Osman Sapian, telah memberi harapan baru kepada Ramli Bohani dan Tengku Haron Putra Aminurrashid Hamid Jumat yang masing-masing berjawatan Timbalan dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pulai.
Saya telah berada di luar gelanggang Pulai. Tidak banyak yang diketahui mengenai kekuatan pemimpin di sana apatah lagi dengan kemasukan cawangan-cawangan baru dari Bahagian Gelang Patah. Begitupun saya meramalkan dengan ketiadaan Tok Mat yang telah sinonim dengan Pulai, corak kepimpinan dan alunan suara rakyat Pulai akan lebih terbuka.
Apakah Datuk Nur Jazlan telah bersedia menempuh gelombang mendatang?. Pasti jawapannya adalah 'ya' kerana Tok Mat telah memberi peluang mendewasakannya dengan jawatan Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen. Kemampuannya juga telah diuji pada pemilihan hebat yang berlaku pada tahun lalu sehingga tertewasnya Datuk Osman Sapian, Zainal Jamil, Abdullah Yusof dan lain-lain.
Datuk Jazlan mesti mencari kekuatan baru dan tidak harus bergantong kepada aura Tok Mat kerana pemimpin bawahannya dan mereka yang ada di sana mempunyai keistimewaan tersendiri seperti hubungan keakraban Datuk Osman dengan Perdana Menteri, Ramli Bohani dengan Menteri Besar Johor dan Zainal Jamil dengan Tan Sri Mohd Ali Rustam. Begitu juga dengan Abdullah Yusof yang pernah menjadi Exco Pemuda UMNO Malaysia dan juga sentuhan tangan berbisa Tengku Haron Putra.
Tok Mat telahpun meninggalkan kita semua. Allahyarham telah berjuang dalam UMNO selama 47 tahun sejak tahun 1963 dan mengabdikan diri sebagai pemimpin di Pulai sejak dari tahun 1969.
Walau apapun persepsi yang dikaitkan antara saya dan Tok Mat, saya pasti mengingati pelbagai kenangan yang masih segar dalam ingatan. Diantaranya adalah nasehat yang pernah diberi padaku "... kalau tidak dengar nasehat, setelah habis Ketua Pemuda, kau akan bawak teksi".
Realitinya, saya masih belumpun mempunyai lesen atau permit teksi, malahan naik teksi pun boleh dibilang dengan jari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan