Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Februari 14, 2010

NAMAKU SUNAWAN, YANG CANTIK LAGI MENAWAN

.
Reban @ Hj Abd Majid bin Radio

SUNAWAN, itulah nama yang diberi kepada diriku. Nama ini tidak ramai yang memilikinya. Sehingga kini, saya hanya mengenali dua orang lain yang menggunakan nama yang sama. Seorang darinya menetap di Kampong Puteri Menangis, kampong ibu saya berada sekarang. Sunawan bin Hj Omar ini mempunyai seorang anak lelaki bernama Mohd Fauzi yang bertugas sebagai Setiausaha Sulit Kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Ahmad Maslan.

Seorang lagi, Sunawan bin Jasir yang menjadi Ketua Kampong Maju Jaya, Skudai. Saya pernah bertemu dengannya beberapa kali.

Puas juga saya mencari dan bertanya tentang makna 'Sunawan', tidak ada yang tahu. Mereka yang faham bahasa Arab mengatakan hanya 'Sinwan' yang bermaksud 'kembar'. Sebab itu, Dato' Noh Gadut, bekas Mufti Johor memanggil saya 'Sinwan' sehingga kini.

Saya tak kesah kalau orang mengatakan saya anak Jawa. Memangpun emak saya keturunan Jawa dan bapak saya lahir di Tanah Jawa. Pernah beberapa kali apabila bertemu dengan orang yang baru dikenali dan memperkenalkan nama, selamba mereka akan berkata "Jawa ye?".

Puas saya mencari makna dan maksud 'Sunawan', masih tidak terjumpa. Ada dalam bahasa Hindi, tetapi saya tidak tahu maknanya. Saya hanya tahu, 'su' dalam bahasa Sanskrit adalah cantik. Jadi, tidak salahlah kalau saya pernah mengatakan bahawa 'Sunawan' itu adalah 'Yang cantik lagi menawan'.

Mungkin juga benar apa yang diperkatakan oleh portal Indonesia 'Apakabar' yang cuba menjelaskan disebalik makna dua pemimpin besar mereka iaitu Sukarno dan Suharto. Klik di sini pernyataan portal tersebut.

Dulu, saya pernah tertanya-tanya, mengapa nama saya seorang diantara 9 orang adik beradik saya yang mempunyai nama Jawa. Yang lain-lain adalah Juriah, Asmuni, Ahmadon, Junaidah, Juliha, Junainah, Junaini dan Abdul Bashir.

Emak memberitahu, kesemua nama 8 orang tersebut dari ilham bapa saya yang bernama Mohd Som (Bapak tidak pernah menyebut namanya sebagai Mohd Som, sebaliknya Ma'asom sebagaimana yang ditulis dalam tulisan Jawi).

Siapa pula yang memberi nama saya?. Tidak lain dan tidak bukan adalah datuk saya yang bernama Reban @ Hj Abd Majid bin Radio. Ketika saya dilahirkan, bapak berada di Mekah menunaikan fardhu haji. Datuk atau Yai Reban yang memberi nama. Katanya, ada seorang yang bernama Sunawan di Tanah Jawa yang sangat dihormati dan mempunyai jawatan dengan pemerintah. Tidak pasti pula samada pemerintah Belanda atau pemerintah rakyat yang telah mendapat kemerdekaan.

Mungkin ada Sunawan yang lain, tetapi Sunawan yang satu ini mempunyai nama awalan Mohamad, nama nabi akhir zaman.

Walau apapun yang diperkata oleh orang lain, saya tetap bangga dengan nama Sunawan kerana saya tidak mempunyai ramai pesaing. Sebutlah nama saya dimana sahaja, orang yang mengenali akan mengatakan, itulah Mohd Sunawan Hj Md Som yang lahir di Pontian dan sekarang bermukim di Johor Bahru.

Alfatehah untuk Yai Reban yang memberi nama Sunawan, yang cantik lagi menawan.

Tiada ulasan: