Radio Internet FuhYooFm

Selasa, Mac 09, 2010

TIADA KESAN NYATA KEJAYAAN PENTADBIRAN PEMBANGKANG DI TIGA NEGERI, KATA TPM

.
Tan Sri Muhyiddin menerima cenderahati
semasa melawat gerai Koperasi Masjid Jamek
Bandar Baru Uda Johor Bahru Berhad

SUNGAI BULOH: Prestasi pakatan pembangkang selepas dua tahun memegang tampuk pentadbiran di tiga buah negeri yang dikuasai mereka masih tidak menunjukkan kesan nyata kejayaan dalam pentadbiran, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Malah saya mendapat banyak aduan khususnya daripada peniaga-peniaga di negeri yang dikuasai pembangkang yang menyuarakan tidak puas hati kerana terlalu banyak kerenah birokrasi di peringkat negeri, sedangkan kita di Persekutuan mahu mengurangkan kerenah birokrasi," katanya.

Malah, banyak janji semasa pilihan raya masih tidak dilaksanakan kerajaan pimpinan parti pembangkang di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, katanya ketika berucap merasmikan program 1Komuniti, 1Koperasi di Paya Jaras Hilir, dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata oleh itu, dalam tempoh dua tahun, sebahagian besar rakyat diharap dapat menilai cara dan gaya kepimpinan Barisan Nasional (BN) berbanding kepimpinan pembangkang yang mentadbir negeri-negeri berkenaan.

"Kalau mereka masih pertikai dua tahun apa boleh dibuat, kita lihat sahaja pentadbiran di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa belum pun sampai setahun, sudah pelbagai perkara yang dibuat," katanya.

Sebagai contoh, Muhyiddin berkata di bawah pentadbiran Najib, Malaysia telah memperkenalkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), melaksanakan tindakan-tindakan untuk menangani impak kegawatan ekonomi selain bakal memperkenalkan Model Ekonomi Baru. "Jadi, bagi saya, mereka ini tidak upaya (mentadbir negeri) dan kenyataan ini boleh dinilai oleh rakyat jelata sendiri," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: