Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, April 17, 2010

PARLIMEN JOHOR BAHRU PROAKTIF MEMBINCANGKAN TABUNG PENYELENGGARAAN 1MALAYSIA

.
Datuk Shahrir menerangkan tujuan
diadakan perjumpaan
.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Utama Hj Shahrir Abd Samad mengambil langkah proaktif apabila mengadakan taklimat dan perbincangan mengenai Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 31 Januari yang lalu.

Majlis yang dihadiri oleh Pengerusi dan wakil-wakil dari Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk rumah pangsa kos rendah (RM22,000/25,000/35,000 ribu) dalam Parlimen Johor Bahru bersama ADUN Stulang dan Tanjung Puteri serta Pegawai Pesuruhjaya Bangunan (COB) di Mutiara Hotel Johor Bahru telah membincangkan pelbagai masalah yang berkaitan dengan kutipan dan penyelenggaraan bangunan.

Peranan COB dijelaskan oleh
wakil Datuk Bandar MBJB

Dalam ucapannya, Datuk Shahrir menjelaskan walaupun Kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar masih belum mengeluarkan garis panduan tentangnya, beliau perlu mendapatkan maklumbalas lebih awal kerana pertambahan rumah-rumah pangsa kos rendah telah bertambah dengan pesat akibat keperluan tanah dan kemampuan pembeli rumah.

Di Parlimen Johor Bahru, penempatan yang terlibat adalah di Bayu Puteri, Larkin Perdana, Setulang Laut, Larkin Fasa 2, Serantau Baru, Skudai Kanan Fasa 15A dan 15B, Pangsapuri Ledang BBU serta Kg Muafakat.

Pengerusi-Pengerusi JMB yang ditermui melahirkan rasa gembira kerana Kerajaan telah memperuntukan wang sebanyak RM37.6 juta bagi penyelenggaraan. Mereka berpendapat bantuan kerajaan melalui geran padanan iaitu kerajaan akan mengeluarkan peruntukan yang sama dengan jumlah peruntukan yang dikumpulkan oleh JMB masing-masing.

Kesukaran JMB adalah untuk mendapatkan kerjasama dari pemilik premis yang kurang memberi sokongan untuk membayar yuran pengurusan bulanan. Kebanyakan JMB hanya dapat mengutip sekitar 20 hingga 30 peratus dari pemilik. Pendapatan yang dikutip tidak dapat membayar dan menguruskan segala perbelanjaan. Ini menyebabkan banyak JMB terhutang dengan syarikat yang membuat pengurusan termasuk juga bayaran bil air dan elektrik.

Pertanyaan dari salah seorang Pengerusi JMB

Dalam masalah ini, kesungguhan COB atau Pesuruhjaya Bangunan untuk membantu menyelesaikan masalah berbangkit amat diperlukan. COB yang dijawat oleh Datuk Bandar MBJB perlu bertindak proaktif dengan mengambil tindakan menyita pemilik yang tidak membayar yuran pengurusan. Begitupun, JMB juga hendaklah membuat tindakan lebih awal dengan mengedarkan surat-surat peringatan.

Pada kesimpulannya, majlis yang diadakan dapat memberi gambaran awal kepada semua pihak supaya kutipan yuran bulanan adalah amat penting disamping mengurus serta menjalankan kerja-kerja dengan amanah dan mendapat kepercayaan dari semua pihak.

Tiada ulasan: