Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Julai 21, 2010

MENUJU KEJAYAAN PERNIAGAAN HALALAN THOYYIBA

.
Perjalanan hari ini memang sedikit meletihkan. Sekitar jam 7.30 pagi, bersama dengan Hj Rumali dan Zahrin Saniman, kedua-duanya adalah Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Masjid Jamek Bandar Baru Uda, kami pergi ke Kuala Kangsar untuk perbincangan mengenai pengeluaran produk halalan thoyyiba.

Abd Rahim, seorang sahabat yang bersedia memandu kereta dan memperkenalkan kami dengan Ustaz Hj Ahmad Tajuddin Arshad, Pengerusi IMP (Islamic Manufacturing Practice) tepat pada ketika azan Zohor berkumandang. Seterusnya, kami telah dijamu makan tengahari dengan makanan yang begitu menyelerakan di Restoran Tasik Raban, Lenggong. Keistimewaan restoran di sini adalah makanan masakan Melayu dengan ikan Kaloi yang dibakar dicecah sambal tempoyak.

Ikan Kaloi adalah jenis ikan air tawar. Saya menggemari ikan ini kerana sering saya dapati di Indonesia. Di negara jiran ini, ia dipanggil Gurame dan ia dimasak dengan pelbagai jenis.

Setelah solat jamak Zohor dan Asar, kami dibawa melihat sekitar kilang pengeluarannya dengan kakitangannya melebihi 100 orang. Apa yang saya kagumi adalah kebersihan dan mempastikan sumber halal sesuai dengan petikan Imam Al-Ghazali:

"Makanan yang haram akan menghantarkan seseorang pada Neraka Jahanam. Seseorang yang memakan makanan haram dan syubahah tertolak ibadahnya di hadapan Allah. Dan amalan-amalannya pun tidak diterima Allah swt."

Perbincangan selanjutnya adalah bagaimana Koperasi kami dapat bekerjasama mengeluar dan memasarkan beberapa produk yang difikirkan sesuai berkonsepkan halalan thoyyiba. Kami diberitahu syarikat ini telah mengeluarkan tidak kurang dari 200 jenis barangan termasuk Juz Tok Guru yang begitu dikenali ketika ini.

Mudah-mudahan sehari perjalanan yang agak meletihkan ini akan menjadi sinar baru kepada kejayaan Koperasi kami, insyaallah.

Tiada ulasan: