Pada setiap akhir bulan, setiap Kerajaan Tempatan akan mengadakan mesyuarat bulanannya yang dipanggil Mesyuarat Penuh yang sepatutnya dihadiri oleh semua Ahli Majlis. Mesyuarat ini adalah untuk meluluskan semua keputusan mesyuarat Jawatankuasa yang diadakan sepanjang bulan berkenaan.
Begitulah yang berlaku pada Isnin, 29 Disember lalu, Majlis Bandaraya Johor Bahru telah mengadakan mesyuaratnya. Pada kali ini hanya seorang sahaja Ahli Majlis yang berucap dalam ucapan penangguhan iaitu Encik Ng Puay Wah. Ahli Majlis bagi Zon Taman Sentosa. Beliau telah membangkitkan beberapa masalah khususnya yang berkaitan dengan permasalahan setempat di zon jagaannya.
Pada kebiasaannya, pada setiap kali mesyuarat seperti ini, sekurang-kurangnya dua orang Ahli Majlis akan berucap. Saya sendiri sejak dilantik pada Mei 2009 dan sehingga kini telah 4 kali berucap yang menjadikan saya adalah Ahli Majlis MBJB yang terbanyak berucap.
Banyak isu yang telah saya bangkitkan dan yang terbaru pada mesyuarat bulan lalu, saya telah mencadangkan supaya akaun bagi hasil pendapatan haram seperti dari premis perjudian, menjual minuman keras dan sebagainya hendaklah diasingkan.
Beberapa perkara lain yang sering saya bangkitkan adalah kegagalan Majlis bertindak kepada pemilik bangunan yang membuat ubahan tanpa mendapat kebenaran yang didapati berleluasa seperti di premis perniagaan.
Tempoh bertugas Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Tempatan di Negeri Johor akan berakhir pada 31.12.2010. Ini bermakna perlantikan baru akan dilakukan pada awal Januari hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan