Saya dijemput oleh Hj Alimat Paiman untuk menghadiri majlis pernikahan anak perempuannya di Jalan Jagong 3, BBU selepas solat Isyak. Sebelum Jurunikah hadir, telah diadakan majlis menerima hantaran sepertimana adat yang telah berjalan sejak begitu lama.
Hj Alimat telah meminta saya menjadi wakilnya dalam majlis ini. Rombongan pengantin lelaki yang berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat telah membawa wang hantaran yang berupa sekeping cek HSBC bernilai RM12,000 dan sebentuk cincin, gelang dan subang bernilai RM4,000. Selain itu dihantar juga barangan berupa hadiah iringan.
Selepas penyampaian wang dan barangan hantaran, Ustaz Abu Bakar Watak yang menjadi jurunikah telah hadir untuk menikahkan pasangan berkenaan. Satu pembaharuan yang dilakukan oleh Ustaz Abu Bakar ialah beliau telah menyediakan teks untuk dibaca oleh pengantin lelaki ketika upacara akad iaitu "Saya terima nikah ............................ dengan maskahwinnya RM22.50 tunai/hutang".
Apa yang dilakukan oleh jurunikah ini amat memudahkan dan menjadikan pengantin lelaki hanya menyebut sekali sahaja. Ini amat berbeza dengan apa yang dilakukan sebelum ini. Pernah terjadi pengantin lelaki tidak dapat menyebut dengan betul yang mungkin tersasul dan sebagainya sehingga menyebabkan jurunikah berhenti untuk berehat bagi menenangkan pengantin. Begitu juga pernah diceritakan pengantin terpaksa dimandikan kerana bagi menghilangkan darah gemuruh dan sebagainya.
Apa yang dilakukan oleh Ustaz Abu Bakar Watak yang baru dilantik sebagai jurunikah bagi kawasan Bandar Baru Uda adalah sesuatu yang sangat baik dan sangat positif. Mudah-mudahan ia akan dapat diikuti oleh jurunikah yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan