Saya dilahirkan pada 04 Oktober 1952. Mula bersekolah rendah pada umur 6 tahun dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1968. Pada bulan Mac 1969, keputusan SPM diketahui dan saya mendapat pangkat 3 dengan agg. 25, satu keputusan yang amat mengecewakan kerana abang Asmuni yang mengambil peperiksaan MCE pada tahun sama mendapat pangkat 2 dan telah ditawarkan ke Institut Teknologi Mara, Shah Alam.
Saya mengambil keputusan merantau ke Johor Bahru dari Benut, Pontian. Sebagai anak kampung, saya bertekad untuk melayari kehidupan di bandar. Untuk terus di kampung, pastinya saya akan membuat kerja-kerja seperti apa yang dilakukan oleh ayah atau semua mereka yang ada di kampung, menoreh getah dan lain-lain.
Cita-cita untuk meneruskan pelajaran begitu tinggi tetapi ketika itu tidak ada ruang langsung di sekitar daerah Pontian. Mau tidak mau mesti berada di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru.
Di Johor Bahru, saya menumpang di rumah Pak Mahat, pemandu lori di Jabatan Kerja Raya. Kuartersnya di Jalan Kebun Teh. Sebagai imbalan, saya yang tidak dibekalkan wang merelakan diri membantu Mak Tipah, iseri Pak Mahat menjual nasi lemak dan sarapan pagi di tapak bangunan UMNO di Jalan Segget.
Di sinilah saya mula berkenalan dengan orang ramai dan diberitahu kekosongan jawatan Pelayan Pejabat "Office Boy" di pejabat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) bertempat di Tingkat 7, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan.
Saya memohon jawatan tersebut dan setelah ditemuduga bersama 40 permohonan yang lain, saya telah diterima dan mula bertugas mulai 1 Januari 1969.
Orang yang bertanggungjawab menerima saya bekerja adalah Allahyarham Encik Abdul Razak bin Ahmad yang ketika itu berjawatan Setiausaha Cawangan, LKTP Johor Selatan.
Saya diberitahu mengapa saya dipilih adalah disebabkan saya ketika itu berumur 17 tahun, mempunyai kelulusan SPM, mempunyai 8 orang adik beradik yang masih belum bekerja dan berasal dari kampung.
Encik Abdul Razak Ahmad adalah seorang aktivis parti siasah berfahaman sosialis sehingga akhir hayatnya. Tentulah latar belakang saya menarik perhatiannya untuk melantik saya ke jawatan paling rendah di pejabat berkenaan.
Terima kasih Encik Razak dan alfatehah untuknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan