Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Mei 24, 2008

EMAKKU TERSAYANG









Hari Ibu beberapa hari lalu, aku menjengah ibu yang aku panggil emak. Aku menciumnya di pipi kiri dan kanan. Keadaan emak akhir-akhir ini agak uzur. Seperti kebanyakan kaum wanita yang telah lanjut umur, emak juga mengidap penyakit lutut. Pergerakannnya agak terbatas. Abang Asmuni pernah membawanya ke Kuala Lumpur dan berjumpa dengan doktor, bagaimanapun keadaannya tidak berubah.

Minggu lalu dia demam. Biasanya kalau aku nak balik ke Johor Bahru, pastinya dia akan melambai tangan di muka pintu. Tapi pada kali ini dia tak dapat melakukannya. Kasihan juga aku padanya. Isteriku terlalu sayangkan emak sebagaimana dia sayang pada arwah bapakku. Selalu dia menalipon emak bertanyakan kabar. Aku bawakan ikan yang segar dan beberapa hari sebelumnya aku bawa Laksa Pinang kegemarannya. Kecewa juga kerana dia hanya menjamah sedikit, itupun kerana paksaan dari isteriku.

Sejak kematian bapak beberapa tahun dulu, emak memang banyak berubah dari segi sikap dan perlakuan. Dulu, dia memang agak ‘kemering’ (sikap yang berlawanan dengan lemah lembut) bahkan kepada bapak sekalipun. Perlakuannya mungkin berpunca dari alam sekeliling dimana dia adalah anak tunggal seibu sebapa. Kakaknya dari berlainan ibu telah berumahtangga lebih awal. Begitu juga dengan sepupunya yang menjadi abang angkat. Dia adalah anak yang sangat dimanjakan dari datuk aku yang sangat terkenal pada zamannya. Pak Reban adalah nama yang sangat digeruni terutama persekitaran Benut pada tahun 30an, 40an dan 50an. Pak Reban yang aku memanggilnya ‘yai (datuk) adalah seorang pendekar dengan ilmu kebatinan. Aku masih mengingati wajahnya walaupun dia meninggal pada tahun 1956 ketika aku berumur enam tahun. Sebagai anak pendikar, emak aku juga boleh bersilat. Beliau pernah mengakui sendiri padaku setelah aku bertanya kepadanya kerana ada seorang peneroka Felda Ulu Tebrau memberitahuku mengenai perkara ini.

Aku tahu, dulu emak memang mempunyai sikap pilih kasih dalam menyayangi anak-anak. Isteriku pun tahu, aku adalah diantara yang kurang disayangi. Aku tak tahu samada perkara ini disedari oleh adik beradik yang lain ataupun tidak. Aku tak ambil peduli mengenai perkara ini dan ia tidak menjadi masalah yang besar bagiku. Seingatanku, aku tak pernah walau sekali untuk menyakiti hati emak maupun bapak. Tak tahulah kalau perlakuanku yang aku tak sedar mungkin telah menyakitkan hati kedua-duanya.

Apa yang aku catatkan disini adalah untuk ingatan dan pengajaran kepada anak cucuku supaya mereka sentiasa berlaku baik kepada ibu bapa walau apa perlakuan dan sangkaan kepada ibu bapa masing-masing.

Sepanjang umurku, aku berusaha berlaku yang terbaik untuk emak dan bapak. Dulu (1969-1970), ketika aku bekerja sebagai peon (pelayan pejabat) di Johor Bahru dengan gaji lapanpuluh empat ringgit sebulan, aku dapat memberi emak tigapuluh ringgit pada setiap bulan. Pernah juga (walau hanya sekali dua) aku memberi duit pada abang yang ketika itu masih di kolej. Cuma seingatanku, setiap pemberian adalah kepada emak dan tidak kepada bapak kerana bagiku bapak mempunyai penghasilan dari kebun. Pemberianku kepada emak ini mungkinlah tidak berterusan pada setiap bulan terutama pada tahun-tahun 70an dan 80an kerana pada masa itu aku mempunyai banyak komitmen terutama kepada keluarga sendiri dan juga masyarakat (memimpin Pergerakan Belia dan Pemuda UMNO peringkat Daerah dan Bahagian) sedangkan pekerjaanku hanyalah sebagai seorang Kerani.

Pada tahun 1971, ketika aku bergaji dua ratus ringgit, aku pernah meminjam wang koperasi sebanyak satu ribu ringgit dan memberi pada bapak untuknya balik melawat saudara mara di Tanah Jawa, Indonesia. Sekali lagi aku membawa emak dan bapak ke sana pada tahun 1996, ketika itu aku telah berhenti kerja Felda dan menjalankan perniagaan dan mempunyai pendapatan yang agak baik juga. Waktu itulah bapak dapat berjumpa kedua adik-adiknya yang masih ada, setelah 25 tahun tidak bersua.

Ketika aku menjawat jawatan Pembantu Khas Exco dan juga sebagai Pesuruhjaya Sumpah, waktu itu memang menjadi kemestian aku memberi wang kepada emak dan cukuplah untuk keperluan dirinya. Dan sekarang, aku memang tidak dapat membantunya kerana maklum saja aku dah menjadi pesara sepenuh masa. Alhamdullillah, aku tahu emak mempunyai pendapatan agak lumayan pada ketika ini, maklum saja harga sawit sedang melambung. Aku telah sepakat dengan abang supaya segala pendapatan dari kebun sawit kami berdua seluas lapan ekar telah kami serahkan kepada emak.

Cuma pada ketika ini kesihatan yang menjadi gangguan kepadanya. Aku tahu, emak masih berharap untuk dapat berjalan-jalan ke rumah anak-anak. Aku berdoa semoga termakbul doa kami agar emak dapat sembuh dan pulih seperti dahulu.

Kasihan juga kepada adik bungsuku yang terpaksa menjaga emak. Isterinya juga tidaklah begitu sihat. Masalahnya ialah emak tak mahu mengikut anak-anak yang lain. Maklum sajalah, rumah yang didiami sekarang adalah rumah peninggalan ‘yai (datuk). Aku dan isteri memang bersedia untuk menjaganya tapi aku pasti dia tak akan ‘kerasan’ (ia adalah bahasa Jawa bermaksud betah atau tahan). Aku tahu sangat mengenai perkara ini kerana emak mewarisi ‘Nyai Rahmah (ibu kepada emak). Dulu, ‘Nyai Rahmah pernah ku bawa ke rumahku di Felda Ulu Tebrau dalam tahun 70an. Hanya beberapa minggu sahaja dia bersama denganku dan sentiasa mendesak untuk menghantarnya balik ke kampong.

Abang juga mempunyai keinginan untuk menjaga emak kerana dia sudah membawanya beberapa kali ke Kuala Lumpur. Pasti dia perasan mengenai emak yang tidak ‘kerasan’ untuk duduk lama dengannya. Kalaulah emak yang lebih sayang kepadanya berbanding dengan aku, itupun emak tidak ‘kerasan’, apatah lagi untuknya duduk di rumahku di Johor Bahru. Apatah lagi dengan sikap anak-anakku yang agak kurang elok perlakuan dari pandangan matanya.

Aku sangat memahami mengenai hal ini. Hanya aku tidak dapat meyakinkan emak bahawa aku juga boleh menjaganya dengan baik. Cagaranku adalah isteriku yang sangat menyayanginya. Isteriku dapat melupakan peristiwa yang pernah melukakannya, kerana itupun salah satu dari ciri-ciri dan sifat isteriku.

Bagaimana harus kita melupakan ibu yang pernah bersusah payah mengandung dan melahirkan serta mengasuh dengan penuh kasih sayang?. Sehingga kini, aku tidak akan dapat melupakan satu peristiwa bagaimana pada satu pagi ketika aku berumur sekitar empat tahun, emak menggendung aku sambil berlari-lari menuju ke rumah ‘yai. Ketika itu aku jatuh ‘terpeleset’ (bahawa Jawa yang bermakna tergelincir kerana licin) waktu berlari dari perigi (setelah mandi) ke rumah. Di antara perigi dan rumah diletakkan batu-batu sebagai pemijak (dalam bahasa Jawa dinamakan ‘bancek’). Dahiku terkena hujung penjuru batu ‘bancek’ yang menyebabkannya berdarah dengan banyak. Kening kiriku luka dan parutnya tetap ada hingga kini. Inilah parut yang membuktikan kasihnya ibu kepada anak.

Pastinya banyak perkara yang berkaitan dengan emak dapat aku paparkan di sini. Insyaallah pada ketika yang lain.

Tiada ulasan: