Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Mei 31, 2008

KEISTIMEWAAN DATO' IMAM MAHAT MOHD SAID








Dato’ Imam Mahat bin Mohd Said adalah satu nama yang tidak asing di Johor Bahru. Beliau sangat dikenali sebagaimana kita mengenali nama pembesar negeri atau orang kenamaan lainnya. Mereka yang mengenali nama ini pasti teringat bagaimana Dato’ Imam Mahat menjalankan upacara akad nikah untuk pasangan pengantin.

Malam tadi aku menjadi saksi nikah kepada anak saudara isteriku dan Dato’ Mahat sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjalankan upacara ini. Naluriku merangsang untuk aku menulis sedikit catatan mengenai manusia ini yang mempunyai banyak kenangan kepada mereka yang mengenalinya.

Aku cuba mencari-cari namanya dalam ‘search engine’ dan aku tidak berjaya mendapat sebarang maklumat mengenainya. Apa yang aku catatkan di Blog ini hanyalah sebagai satu penghargaanku kepadanya kerana beliau mempunyai beberapa keistimewaan yang mungkin tidak ada pada orang lain.

Di Johor Bahru, sesiapa sahaja yang ingin mengadakan majlis akad nikah pastinya pilihan pertama untuk mencari Jurunikah (dahulu dipanggil Naib Kadhi) adalah Dato’ Imam Mahat. Mengapa mereka mencarinya? Masing-masing mempunyai alasan tersendiri. Bagi aku, beliau adalah orang yang mudah dihubungi selain mempunyai suara yang lunak serta sangat mahir menjalankan akad nikah.

Kenapa tidak? Aku sempat bertanya dengannya mengenai jumlah pasangan yang telah dinikahkannya. Beliau memang tidak mempunyai angka yang tepat, bagaimanapun beliau menjangka telah menikahkan lebih kurang 20,000 pasangan.

Aku mula mencongak tentang angka yang diberi. Setelah mengambil kira waktu bermula ia bertugas pada tahun 1965 sehingga sekarang dengan mengambil purata 40 pasangan setiap bulan, aku mengangguk tanda mengiakannya.

Dalam musim cuti sekolah seperti sekarang ini, beliau adalah diantara orang yang paling sibuk dan tidak cukup tangan untuk mengendalikan satu tugas yang begitu berat menjalankan amanah syiar agama Allah seumpama mendirikan masjid dan memperbanyakkan umat Muslim. Hari ini sahaja, aku bertemu dengannnya dua kali dalam upacara yang sama iaitu jam 3 petang di masjid Bandar Baru Uda dan kali keduanya waktu malam di Jalan Mahmodiah.

Berurusan dengan Dato’ Imam Mahat terutama untuk majlis seperti ini memerlukan masa yang tepat seumpama pasangan pengantin mesti berada lebih awal dan menunggu kedatangan beliau. Ini adalah disebabkan beliau mempunyai jadual yang ketat. Ramai yang mengetahui hal ini, beliau akan meninggalkan majlis sekiranya pasangan yang dinikahkan masih belum bersedia. Ia tidak boleh dipersalahkan kerana beliau terpaksa mengikut jadual yang telah disediakan dan tidak menjejaskan di tempat yang lain pula.

Aku sendiri pernah melaluinya ketika majlis pernikahan anak perempuanku, Suria Irwany. Majlis akad telah aku wakilkan kepada Sohibuussamahah Dato’ Haji Noh Gadut. Malangnya Dato’ Mufti Johor agak lewat sampai kerana beliau masih dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur, maka Dato’ Imam Mahat terpaksa meninggalkan majlis lebih awal setelah selesai menjalankan tugas.

Umurnya telah menjangkau 73 tahun. Fizikal dan kudaratnya masih kuat walaupun beliau juga mempunyai masalah kesihatan sebagaimana warga emas lainnya. Keistimewaan yang ada padanya inilah yang menyebabkan beliau terus berkhidmat secara kontrak dengan Kerajaan Johor sebagai Imam di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru (Masjid Kerajaan Negeri). Beliau pernah menjawat jawatan Imam Besar di masjid ini. Keupayaan luar biasanya menyebabkan beliau dianugerahkan oleh Duli Tuanku Sultan Johor dengan gelaran Dato’.

Diantara keistimewaan lainnya ialah beliau tidak perlu membaca teks samada untuk khutbah dan lainnya. Semuanya telah terlekat di pemikiran dan hatinya. Ia boleh melakukannya sambil menulis segala maklumat di dalam borang berlapiskan bag ‘breaf case’ yang sentiasa menjadi temannya.

Majlis akad nikah adalah satu upacara yang tidak akan dilupakan oleh sesiapapun yang pernah melaluinya kerana ia adalah kenangan sepanjang hayat. Bagi diriku sendiri yang aku rasa insyaallah itulah yang pertama dan terakhir, juga dikendalikan oleh Dato’ Imam Mahat pada 01 Ogos 1973. Setelah diriku dan anakku, aku tak pasti adakah cucuku juga beliau masih boleh melakukannya. Yang pasti beliau pernah melakukan beberapa kali untuk tiga generasi, hebatkan?.

Cuma yang aku tak pasti ialah berapa kali pula beliau bernikah dan siapa pula yang menikahkannya?. Pasti banyak perkara yang boleh dicoretkan mengenai dirinya atau mungkin banyak peristiwa yang pernah berlaku dihadapannya atau dilaluinya seumpama berlaku pergadohan antara keluarga, isteri, anak, besan, biras dan sebagainya.

Teringat satu peristiwa bagaimana pada satu malam aku membawa beliau ke rumah bakal bapa mertua temanku di Tampoi untuk meyakinkannya supaya memberi kebenaran untuk menikahkan anaknya sebagai isteri kedua. Malang sekali, misi kami bersama Dato’ gagal.

Untuk mendengar suara yang lunak dan doa yang syahdu anak kelahiran Muar, Johor ini, dengarkan di Radio Best 104 Sensasi Selatan pada setiap berkumandangnya azan dan bacaan doa setelahnya.

Masih banyak yang boleh diceritakan, temuilah beliau.

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

He is my uncle ...

Tanpa Nama berkata...

Imam yang nikahkan saya.. :)

Unknown berkata...

Dato' juga jurunikah kami

Unknown berkata...

Saya juga beliau yg nikahkan..pada 28 Oktober 2010...kini beliau sdg sakit,marilah kita doakn kesihatan beliau.Amin..

RF Creative berkata...

Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Dato yg telah kembali kerahmatullah jam 10 pagi ini Rabu 16 Nov 2016 | 16 Safar 1438 di KPJ Abdul Samad.

RF Creative berkata...

Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Dato yg telah kembali kerahmatullah jam 10 pagi ini Rabu 16 Nov 2016 | 16 Safar 1438 di KPJ Abdul Samad.

Tanpa Nama berkata...

Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Y.B.Dato’ Imam Hj Mahat bin Mohd Said telah kembali kerahmatullah pada jam 10.00 pagi, 16 Nov 2016.