Radio Internet FuhYooFm

Selasa, Mei 27, 2008

A SAMAD HAMID DIRAWAT DI HSA JOHOR BAHRU AKIBAT KENCING MANIS


Aku begitu terkejut bila diberitahu bahwa rakan seperjuangan yang juga Ketua Masyarakat di Rumah Pangsa Larkin, Abd Samad Hamid telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Ungku Tun Aminah (HAS) kerana mengidap penyakit Kencing Manis.

Sepengetahuanku, Samad tidak pernah memberitahu samada beliau mengidap penyakit ini. Beliau seorang yang periang dan diantara pekerjaan sampingannya adalah menyanyi di majlis-majlis perkahwinan, keraian, perjumpaan dan sebagainya. Samad adalah penyanyi angkatan tahun 60an dan pernah membuat album.

Petang Isnin, bersama Haji Mohd Said dan Haji (Kg Sri Paya), kami ke HUTA untuk melawatnya. Simpati juga aku melihatnya kerana beliau adalah seorang periang. Kami memberi semangat dan nasihat kepadanya supaya sentiasa tabah dan cekal menghadapi dugaan.

Seorang doktor berbangsa Bangladesh yang sangat fasih berbahasa Melayu menyatakan bahawa Samad akan menjalani pembedahan untuk memotong kaki kiri di bahagian bawah lutut kerana menurutnya ia adalah pilihan terakhir.

Apa yang aku lihat, Samad bersahaja dan tidak menunjukkan sebarang reaksi yang aku percaya beliau sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Pelawat lain yang datang pada petang itu adalah Datuk Abdul Rahman Hassan dan isterinya Datin Azizah Muhammad. Aku tidak pasti adakah kedatangannya mewakili Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) atau atas sifatnya sebagai seorang rakan seperjuangan dalam dunia hiburan. Begitupun, aku berbangga dengannya kerana masih bergiat dalam bidang kegemarannya dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan anak-anak seni.

Sebelum pulang sekali lagi kami memberi nasehat dan semangat kepadanya untuk terus cekal menghadapi pembedahan pada esok paginya.

Dalam perjalanan balik ke rumah, aku teringat tentang emak mertuaku juga meninggal dunia akibat menderita penyakit ini.

Olih itu, bagi sesiapa yang membaca blog ini dan pastinya untuk diriku dan keluargaku, bacalah beberapa maklumat mengenai Penyakit Kencing Manis yang aku perolehi dari Kementerian Kesihatan Malaysia:

Penyakit ini telah lama diketahui manusia. Beribu-ribu penduduk di negara kita mengidap penyakit ini. Penyakit kencing manis tidak seharusnya menjadi satu penghalang kepada kehidupan yang biasa. Dengan bertambahnya pengetahuan berkenaan penyakit kencing manis dan penghasilan ubat-ubat untuk penyakit ini, tidak ada sebab mengapa anda tidak boleh hidup seperti manusia biasa.

Penyakit kencing manis adalah satu keadaan di mana terdapat kadar gula yang berlebihan dalam peredaran darah. Ini terjadi kerana badan kekurangan sesuatu hormon yang dipanggil insulin yang diperlukan untuk menukar gula kepada tenaga dalam badan kita. Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ bernama pancreas yang terletak dibawah perut. Badan kita mengeluarkan tenaga untuk menjalankan tugas harian daripada makanan. Dalam perut, makanan berkanji dan bergula yang dipanggil makanan karbohidrat ditukar kepada bahan gula yang dipanggil glukos dan masuk ke dalam saluran darah di mana ia akan digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga. Glukos adalah punca utama yang memberi tenaga.

Dalam keadaan biasa, insulin membantu gula (glukos) dalam darah untuk memasuki sel-sel badan untuk ditukarkan kepada tenaga. Bagi orang yang mengidap penyakit kencing manis, organ pancreas tidak dapat menghasilkan hormon insulin dengan secukupnya atau insulin yang dikeluarkan tidak dapat bertindak seperti biasa. Akibatnya, glukos atau gula tidak dapat memasuki sel-sel badan. Kadar gula dalam peredaran darah menjadi tinggi. Gula yang berlebihan ini akan disingkirkan oleh badan melalui air kencing. Inilah sebabnya, penyakit ini dikenali sebagai penyakit kencing manis. Tanpa insulin, sel-sel badan tidak menerima bekalan glukos, walaupun kadarnya amat tinggi dalam peredaran darah. Ini menyebabkan badan akan kekurangan tenaga.

Sesiapa pun boleh mendapat penyakit ini.Tetapi mereka yang datang daripada keluarga atau keturunan di mana terdapat ahli-ahli yang mengidap penyakit kencing manis sudah meningkat umur (40 tahun ke atas) mempunyai berat badan berlebihan atau gemuk mempunyai risiko yang lebih untuk mendapat kencing manis.

Sebelum tahun 1921, tiada ubat-ubat tertentu untuk merawat penyakit ini. Pada masa ini terdapat ubat-ubat untuk mengawal penyakit kencing manis dan ini memberi peluang kepada pengidap-pengidap penyakit ini untuk meneruskan kehidupan yang biasa. Rawatan untuk penyakit kencing manis adalah melalui kawalan pemakanan.

Makanan yang anda makan memainkan peranan yang penting dalam kawalan penyakit kencing manis. Adakalanya, kes-kes yang tidak teruk, dapat diakwal melalui jagaan makanan sahaja.

Selain daripada kawalan pemakanan, kebanyakan pesakit memerlukan ubat untuk mengawal penyakit mereka. Ubat-ubat ini terdiri daripada suntikan insulin.Insulin boleh diberi melalui suntikan sahaja kerana ia akan dimusnahkan di dalam perut jika dimakan
Ubat-ubat seperti Pil juga membantu badan menggunakan gula dengan sempurna dan dengan itu dapat mengawal penyakit ini.

Ada pula pesakit-pesakit yang memerlukan suntukan insulin sementara pesakit-pesakit lain pula boleh mengawal penyakit mereka dengan memakan pil. Doktor anda, setelah menjalankan pemeriksaan terhadapa anda, akan menentukan samaada anda memerlukan suntikan insulin atau pil dalam rawatan anda. Kes penyakit kencing manis anda mungkin tidak sempurna dengan kes orang lain dan oleh itu rawatan yang ditentukan oleh doktor anda mungkin tidak serupa dengan rawatan untukpesakit lain. Doktor akan menentukan rawatan mengikkut keadaan penyakit seseorang.

Rawatan awal adalah penting dengan menyembuhkan tanda-tanda dan gejala kencing manis, menggelakkan atau mengurangkan akibat-akibat buruk yang berlaku jikalau penyakit ini melarat dan membolehkan pesakit hidup dalam kehidupan biasa dan bahagia.

Penggunaan ubat adalah dengan mematuhi nasihat doktor anda mengenai ubat-ubat yang anda perlu ambil. Jangan berhenti mengambil ubat kerana anda merasa sihat dan berfikir bahawa ubat itu tidak perlu lagi. Berhenti mengambil ubat tanpa nasihat daripada doktor anda adalah sangat merbahaya kerana ini boleh mengakibatkan penyakit anda melarat disebabkan tidak dikawal dengan sempurna. Jangan lupa untuk pergi ke hospital atau klinik pada masa yang ditetapkan untuk pemeriksaan doktor dan pemeriksaan dari masa ke semasa termasuk ujian air kencing dan darah adalah sangat penting dalam rawatan dan kawalan kencing manis.

Untuk menjaga pemakanan seperti yang disebutkan tadi, kawalan makanan sangat penting dalam rawatan penyakit kencing manis. Patuhilah nasihat doktor anda mengenai makanan. Makanan harian yang anda patut makan bergantung kepada beberapa faktor seperti berat badan, umur, pekerjaan dan aktiviti yang dilakukan oleh anda dan keadaan penyakit anda. Adalah mustahak bahawa makanan harian mestilah seimbang iaitu, mengandungi semua bahan-bahan yang diperlukan oleh badan anda untuk kesihatan dan juga memberi tenaga untuk menjalankan tugas harian.

Makanan yang patut dielakkan adalah gula, Gula Melaka, coklat, jem, madu, sirap, aiskrim, biskut-biskut yang manis, Susu pekat, Minuman ringan dan Gula-gula jeli.
Makanan yang patut dikurangkan adalah seperti nasi, roti, ubi kentang, ubi keledek, ubi kayu, jus, kelapa, daging kambing, buah-buahan jeruk dan bahan-bahan tenusu.

Makanan yang boleh dimakan dengan bebas adalah seperti srbuk lada, rempah-rempah, serbuk kari, cecair – air, teh, kopi, jus tomato dan limau, sup cair, sayur-sayuran seperti kacang panjang, kobis, bawang, timun, lobak merah, kangkong, sawi,cendawan, bayam,tomato,bunga kobis, kacang bendi, terung dan ketola.

Penjagaan berat badan juga sangat penting. Penyakit kencing manis berlaku dengan lebih kerap di kalangan orang yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Didapati bahawa tindakan insulin berkesan dalam orang yang gemuk.

Amatlah penting bagi pengidap kencing manis untuk sentiasa ,menjaga berat badan. Kalau berat badan turun, badan dapat menggunakan gula dalam darah dengan lebih sempurna dan dengan itu, kadar gula dalam darah akan turun.

Kalau anda gemuk, hendaklah kita kurangkan makanan terutama makanan yang terlalu banyak karbohidrat dan lemak dan hendaklah bersenamlah selalu dengan cuba melakukan senaman setiap hari seperti berjalan dan berkebun. Senaman yang dilakukan secara teratur adalah sangat baik untuk penyakit kencing manis kerana ini dapat menambahkan lagi pembakaran gula dalam otot-otot dan dengan itu mengurangkan kandungan gula dalam darah. Pengaliran darah juga bertambah baik.

Perkara penting untuk diawasi adalah kalau anda kurang aktif dan sudah lama tidak bersenam, dapatkan nasihat doktor anda sebelum memulakan apa-apa senaman.

Pesakit kencing manis lebih mudah mendapat jangkitan daripada orang biasa. Oleh itu, anda perlu menjaga diri sendiri melalui langkah-langkah tersebut dengan selalu menjaga kebersihan diri. Setiap hari, cucikan kaki dan jari-jari kaki dengan menggunakan sabun dan air, keringkan kaki dan sapukan bedak dan selalu mandi. Sapukan bedak di bahagian-bahagian kulit yang berpeluh berlebihan. Jaga kebersihan gigi. Menjauhkan diri dari kecederaan. Jangan berjalan tanpa kasut atau selipar. Berhati-hatilah semasa memotong kuku jari dan jari kaki. Bersih dan balutkan mana-mana luka yang ada serta berhati-hati semasa bercukur.

Untuk Penjagaan kaki, sekiranya peredaran darah di bahagian kaki anda tidak dapat mengalir dengan sempurna atau diganggu, ini boleh membawa akibat yang buruk dan mungkin boleh menghilangkan kaki anda disebabkan oleh jangkitan yang melarat. Oleh itu, sentiasa perlu menjaga kaki anda. Jangan menyilangkan kaki anda semasa duduk pada suatu masa yang lama. Jangan pakai kasut yang ketat. Sentiasa urutkan kaki. Tiap-tiap hari, berbaringlah dengan meletakkan kaki di paras yang lebih tinggi dari badan anda untuk beberapa minit.

Sekiranya penyakit kencing manis tidak dirawat atau dikawal dengan baik, maka penyakit ini akan melarat sehingga mendatangkan akibat-akibat buruk seperti buta, kerosakan buah pinggang, sakit jantung dan penyakit lumpuh, darah tinggi dan penyakit saraf.

Ia juga boleh mengakibatkan pesakit hilang deria di bahagian kaki dan tangan. Ia tidak dapat merasai sakit, panas dengan itu boleh mencederakan diri sendiri tanpa disedari. Jangkitan yang menyebabkan Gangrene (tisu-tisu mati) yang boleh mengakibatkan kehilangan kaki. Tidak sedarkan diri dan kalau tidak dirawati dengan serta merta, pesakit boleh membawa maut.

Anda boleh mengelakkan akibat-akibat buruk ini kalau anda menjaga diri anda dengan baik. Mengidap penyakit kencing manis tidak bermakna anda hidup seperti dipenjarakan. Kalau anda ikut langkah-langkah dalam rawatan dan kawalan penyakit ini, anda boleh menikmati kehidupan yang penuh dan bahagia.

Akhirnya, kawallah penyakti kencing manis untuk menikmati kehidupan yang bahagia dan sihat.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Salam..

Saya mendoakan semoga beliau dalam keadaan baik ketika ini.

Saya cukup meminati lagu beliau Jamaliah. Sebelum VCD karaoke yang saya beli di JUSCO dahulu hilang, kerap kali saya menyanyikan lagu tersebut. Agak terkejut saya mendengar berita ini.

Gembiralah hati ini jika tuan dapat menyampaikan salam saya kepada beliau. Salam dari peminat remaja...