Sabtu, Jun 14, 2008
MENAMBAH INFAQ UNTUK MENGURUSKAN MASJID
Kutipan infaq setiap Jumaat perlu dimanfaatkan dan diuruskan dengan amanah serta bertanggungjawab
Kewangan bagi menguruskan sesebuah masjid kariah begitu penting. Tanpa kewangan yang kukuh pastinya kegiatan pengimarahan tidak akan dapat dilakukan dengan sempurna. Dengan sebab itu kesungguhan untuk mengurus kewangan masjid amat diperlukan.
Di Malaysia bahkan mungkin di negara lain, sumber kewangan masjid yang tidak ditadbir oleh pemerintah biasanya datang dari infaq para jemaah. Kutipan ini tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan dan pihak Jawatankuasa atau pengurusan terpaksa mencari cara lain untuk menambahkan dana.
Masjid yang berfungsi sebagai pusat pembinaan dan pengembangan umat tentu saja amat memerlukan adanya barisan kepimpinan yang memahami keperluan masjid, jemaah dan masyarakat setempat. Kekuatan kepimpinan inilah yang dapat membawa arah tuju dan perjalanan masjid yang dipimpinnya.
Kewangan yang banyak tanpa pimpinan yang baik, tidak akan dapat memberi keyakinan kepada masyarakat dan pengguna masjid. Penggunaan wang yang tidak terkawal akan menyebabkan pelbagai masalah dan akhirnya infaq akan berkurangan.
Olehitu, penggunaan secara berhemah dengan memenuhi citarasa para jemaah akan menambahkan keyakinan mereka kepada pengurusan yang komited, aktif dan sistematik.
Pengalaman di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru mungkin boleh menjadi contoh bagaimana infaq dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Semakin banyak kegiatan yang dijalankan dan semakin mantap pimpinan menjalankan amanah dan tanggungjawab, maka insyaallah perolehan dari infaq ini akan terus bertambah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan