Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Jun 29, 2008

PERTEMUAN KU LI DI HOTEL M-SUITE JOHOR BAHRU






Petang tadi saya dipelawa untuk bersama-sama mendengar ceramah YBM Tengku Razali Hamzah di M-Suite Johor Bahru. Peluang ini memang tidak saya lepaskan untuk mendengar dari patah perkataannya tentang keinginannya mengetuai kepimpinan UMNO.

Lama juga menunggu, dari jam 2.30 hingga 4.30 petang. Ketibaannya disambut bak pahlawan oleh penganjur (kebanyakannya warga emas) berpakaian Melayu lengkap bersamping dengan paluan kompang dan selawat nabi. Bunga-bunga manggar dan bunga telur dibawa masuk mengiringi tetamu. Dua sepanduk terpampang menyambut ketibaan dengan pemuda pemudi belasan tahun di kiri dan kanan.

Selepas menyanyi lagu-lagu Bangsa Johor dan Negaraku, dimulakan dengan bacaan doa. Memulakan ucapan alu-aluan ialah Haji Nasir Ahmad, bekas Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Pulai di zaman kegemilangan Tan Sri Dato’ Mohamad Rahmat. Selaku Pengerusi Penaja Kelab Vateran (P) Melayu Johor yang menganjurkan perjumpaan ini, beliau menyatakan bahawa sepatutnya perjumpaan ini diadakan di Dewan Raya Taman Cempaka, malangnya telah tidak diberi kebenaran oleh pihak yang berkuasa. Begitupun beliau merasa bangga kerana dapat meneruskannya dan mendapat sokongan dari rakan-rakan dari Muar, Kluang dan Johor Bahru.

Beliau sangat berharap agar orang-orang Melayu yang memperjuangkan kebangsaan agar berani membuat perubahan sebagaimana orang-orang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan.

Majlis diteruskan dengan ucapan bekas ADUN Selangor dan EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mazlan Haron. Ucapannya banyak menyentuh mengenai kekalahan BN di beberapa negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menyebabkan kebangkitan bukan Melayu sehingga berani mempersoalkan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Sebagai contoh, Persatuan Peguam telah membuat seminar yang berkaitan dengan kontrak sosial. Begitu juga dengan teguran yang berkait dengan ketuanan Melayu dan institusi Raja-raja Melayu.

Tarikh 8 Mac 2008 merupakan satu tarikh orang-orang Bukan Melayu menunjukkan kuasa. Mereka cuba melaksanakan konsep Malaysia untuk orang-orang Malaysia (Malaysian Malaysia) dan cuba menunjukkan kelemahan pimpinan bangsa dan mengikis ketuanan Melayu.

Mazlan menyalahkan pimpinan UMNO dan pimpinan yang lemah dengan memberi contoh busuknya ikan bermula dari kepalanya menjadi faktor penting. Seterusnya beliau berharap akan berlaku perubahan dalam pimpinan pada pemilihan bulan Disember yang akan datang.

Penceramah berikutnya adalah Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman. Beliau merupakan ahli politik dari UMNO juga bekas ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Kawasan Lepar. Beliau merupakan Setiausaha UMNO Negeri Pahang. Beliau telah meletakkan jawatan sebagai setiausaha UMNO pada 8 Apirl 2008 setelah meminta semua Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Perhimpunan Agung Khas untuk melantik anggota MT yang baru berikutan prestasi buruk mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Beliau berhujah bahawa ahli-ahli parti terutama mereka yang mempunyai jawatan mesti diberi peluang untuk mengemukakan pandangan dan tidak sepatutnya disekat atau diberi pelbagai syarat yang boleh menyebabkan pemikiran mereka terkongkong.

Raja-raja Melayu adalah tempat berlindung dan sepatutnya diletakkan di tempat yang tinggi serta dipertahankan. Peristiwa yang berlaku selepas PR12 sepatutnya menjadi pengajaran.

Seterusnya, Kamal Amir Kamal Hijaz melontarkan pandangannya dengan penuh emosi dan mempersoalkan warga asing yang akan menguasai ekonomi Johor terutama di Wilayah Pembangunan Iskandar selain Pulau Batu Putih yang telah tergadai ke Singapura.

Beliau juga mempersoalkan kewajaran kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan harga barang, inflasi dan kesan kepada golongan berpendapatan rendah.

Selain dari itu, beliau juga memberi ingatan tentang “Tata Etika Ahli UMNO” bertarikh 27 Mac 2008. Peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua pemimpin dan ahli UMNO ini disemua peringkat ini rata rata yang disifatkan ramai sebagai “tidak demokratik dan terlalu mengongkong”. Ia juga menyebabkan ahli-ahli tidak dapat mengadakan pertemuan dan perjumpaan.

Ucapan yang ditunggu-tunggu dari YBM Tengku Razali Hamzah seperti menghampakan sebahagian yang hadir kerana ucapannya yang pendek dan hanya berkisar kepada ‘Kod Tata Etika Ahli UMNO’ serta mempersoalkan anggota Polis dari Cawangan Khas yang dikatakan bersama-sama dalam perjumpaan tersebut.

Selain itu, Pulau Batu Putih sepatutnya tidak terserah kepada Singapura kerana adalah jelas ia kepunyaan Kerajaan Johor berdasarkan fakta sejarah dan undang-undang.

Dianggarkan mereka yang hadir adalah seramai 150 orang. Tiada Ketua UMNO Bahagian yang hadir melainkan beberapa orang yang saya fikir kedatangannya adalah sekadar ingin tahu seperti Hj Bachok Nohong dari (Tebrau), Hj Manap (Tenggara), Omar (Kulai), Hj Mohd Said Ibrahim (Johor Bahru) dan beberapa Ketua Cawangan dari Bahagian Gelang Patah dan Pulai.

Anehnya ialah Tengku Putra Haron Aminurrashid bin Tan Sri Tengku Hamid Jumat (Naib Ketua UMNO Bahagian Pulai) yang dikatakan sebagai Penaung Kelab Vateran (P) Melayu Johor, tidak pula berucap. Sebaliknya dikatakan beliau mengadakan jamuan malam dirumahnya berdekatan dengan Hotel M-Suite.

Ahli-ahli yang hadir juga tidak diberi peluang untuk bersoal jawab. Tidak pula dinyatakan puncanya.

Pertemuan yang berakhir pada jam 6 petang mungkin mengecewakan Ku Li sekiranya beliau tahu bahawa mereka yang hadir tidak mempunyai kekuatan untuk mencalonkannya sebagai Presiden dalam mesyuarat perwakilan yang akan diadakan pada bulan Oktober ini.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tahniah!! saya selalu gak melawat blog haji sunawan..

apa komen haji sunawan tentang senario terkini..??

mana web mjbbu??

jumpa lagi....

SUNAWAN berkata...

Ketika ini saya pesara sepenuhnya. Sisa hidup yang tinggal ini akan saya gunakan untuk kerja-kerja kebajikan, mana yang termampu dan juga menambah sedikit ilmu pengetahuan samada melalui siber atau kelas-kelas di surau dan masjid disamping terus bersama isteri dan keluarga di rumah.

Mengenai senario terkini, saya cuma ingin mengingatkan diri saya dan rakan-rakan yang lain bahawa kita semua termasuk semua pemimpin yang ada merupakan insan dan hamba Allah. Sebagai insan atau manusia tanpa iman dan taqwa, kita boleh menjadi segala-galanya.

Dalam kes-kes yang dikatakan fitnah memfitnah ini, berilah peluang kepada pihak yang berwajib dan yang diberi kuasa untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Kalau mereka curang, tunggulah balasan dari Allah swt.

Memang ada sedikit masalah mengenai laman web mjbbu, insyaAllah akan dibereskan mungkin tidak berapa lama lagi.

Tanpa Nama berkata...

Dah baca, tapi tak upset sebab tiada brooom Ku LI. Ada orang masih pesimistik tentang dia dengan BMF affair. Biar lah dia tinggal melukut di tepi gantang.