Radio Internet FuhYooFm

Khamis, Ogos 07, 2008

BERTEMU ABDUL RAZAK MOHAMED NOOR






Semasa kami menjamu makan tengahari dan malam di restoran dan rumah kepunyaan Ustaz Haji Musa Soleh, kami telah diperkenalkan kepada Abdul Razak bin Mohamed Noor. Beliau adalah seorang warganegara Malaysia berasal dari Bukit Tinggi, Klang yang kini telah sebulan berada di Siem Reap.

Beliau memberitahu bahawa kedatangannya adalah bertujuan untuk membantu Ustaz Soleh mendidik anak-anak yang ada di Siem Reap.

Dianggarkan seramai 30 orang kanak-kanak berkumpul di sebuah bangunan untuk belajar ilmu agama terutama mempelajari bacaan muqadam dan alquran. Saya dapat melihat bagaimana seorang pengajar iaitu Ustaz Ahmad Adam sedang mengajar murid-muridnya membaca muqaddam.

Kami diberitahu bahawa tiada pelajaran lain yang diajar sehingga fardu ain pun tiada guru yang dapat mengajar. Ini adalah disebabkan tiada guru yang berkelayakan, maksudnya yang mempunyai ilmu sementara elaun atau gajinya pula terpaksa dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai.

Orang-orang dewasa pula hanya bergantung kepada kumpulan tabligh yang datang ke masjid untuk member ilmu agama.

Inilah yang menjadi masalah besar kepada masyarakat Islam di Kemboja. Para ilmuan Islam telah dilenyapkan oleh rejim Pol Pot pada tahun 70an. Kami diberitahu bahawa guru-guru yang mengajar hal ehwal agama hanya menggunakan sumber ingatan tanpa merujuk kepada buku dan kitab kerana telah dimusnahkan oleh rejim kominis Khmer Rough.

Agaknya inilah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Abdul Razak yang sepatutnya dicontohi demi memberi sinaran baru kepada penduduk Islam di wilayah ini.

Tiada ulasan: