Radio Internet FuhYooFm

Khamis, Ogos 07, 2008

MELIHAT KEGIATAN PENDUDUK DI SUNGAI


























Lawatan pertama kami di bumi Kemboja (sebutan orang Melayu) ini bemula dengan menaiki bot penumpang untuk pelancong memudik sungai hingga ke kuala yang bertemu dengan Tasek Tonle Sap, sebuah tasek yang begitu luas sehingga tidak nampak daratan di seberang sana.

Beberapa kanak-kanak berlenggeng (tidak memakai baju) menghampiri dan menyambut kedatangan kami serta meminta belas ehsan dengan menyebut wang USD1. Begitu besar pengaruh mata wang Amerika walaupun negara ini tidak pernah dijajah oleh negara Uncle Sam. Peranchis saja yang pernah menakluk hampir 100 tahun dan meninggalkan beribu kenangan pahit.

Hanya kami berenam menaiki sebuah bot termasuk Mad Razali. Di kiri kanan sungai ini terdapat banyak rumah-rumah rakit dan rumah atas sampan. Ia terapung di atas air dan di situlah keluarga dari semua bangsa yang ada di Kampuchea ini menjalani kehidupan seharian.

Lebar sungai tidaklah begitu luas sekadar tidak melebihi 200 meter tetapi arus perjalanan air dengan sampan dan bot agak sibuk. Pekerjaan penduduk di sini adalah sebagai nelayan dan pekerjaan yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan. Peniaga runcit, sayuran dan sebagainya berulang-alik dengan menggunakan sampan.

Di antara rumah-rumah rakit, terdapat juga sekolah untuk warga Vietnam, gereja dan surau. Ini menunjukkan terdapatnya pelbagai suku bangsa di situ.

Pemandangan memang menarik dan unik kerana tidak terdapat di negara kita. Begitupun bayaran yang dikenakan untuk setiap pelancong yang menaiki bot-bot ini adalah sebanyak RM30.00, bayaran yang dikira berbaloi kerana agak lama juga di sini dengan menikmati pemandangan baru.

Tiada ulasan: