Khamis, Ogos 07, 2008
MENJEJAK KAKI KE BUMI KAMPUCHEA
Dari udara, kami lihat tanah Kampuchea ini seolah-olah berlaku banjir. Di mana-mana kelihatan air dengan aliran sungai merata-rata berliang liuk seakan ular kena palu. Bumi kelihatan menghijau dan tidak pun kelihatan bukit bukau.
Kapal terbang mendarat dengan lancar pada jam 9.15 pagi. Sebelum turun, songkok yang dibawa tidak ku pakai lagi. Biarlah, untuk perjalanan ini songkok akan ku pakai semasa solat saja. Bukan kerana apa, seorang penumpang berbangsa India tadi menyapaku di LCCT dan disangkanya saya seorang warga Indonesia.
Saya tidak berkecil hati kerana memangpun semua datuk dan nenekku berasal dari sana. Apatah lagi songkok yang diguna memangpun dibeli dari Indonesia. Tentulah bentuk songkok tu menyerupai bentuk songkok yang pernah dipakai oleh Bung Karno (Soekarno – Presiden Indonesia). Kegemaranku pula memakai songkok yang agak tinggi. Semua songkok yang ku guna adalah dari sana kerana harganya begitu murah dan mempunyai kualiti yang jauh lebih baik dari songkok buatan tempatan.
Mendaftar di Imigrasi dan laluan Kastam di sini amat mudah terutama pengisian borang yang digunakan tidak menyulitkan dan tak sampai seminit pun untuk menyiapkannya. Berbanding dengan negara lain, bahkan di negara kita, borang boarding memang sedikit melecehkan.
Di luar telah menunggu Mad Rozali bin Haji Zakaria dari RZ Travel & Tours, seorang warga Melayu Kampuchea yang telah kami hubungi untuk mengaturkan perjalanan di sini. Orangnnya masih muda (30 tahun) dan baru dua bulan melangsungkan perkahwinan.
Kami terus dibawa ke Restoran D Wau di Wat Bo Village, Salakmeruk Commune, untuk minum pagi. Kami memesan teh tarik dan roti canai sebagaimana dalam menu. Hiasan dalaman restoran seolah-olah kita berada di Malaysia. Manakan tidak, restoran ini adalah kepunyaan warganegara kita. Sebab itu menu dan masakannya juga mengikut cita rasa kita orang-orang Malaysia.
Perbelanjaan di Siem Reap agak mahal. Sekeping roti canai berharga 4,000 rial (mata wang Kampuchea) atau RM4. Sebiji kelapa muda pula RM8, mahal kan?.
Di restoran ini saya membeli Wi-Fi Pre-Paid Cards untuk tempoh penggunaan 24 jam dengan harga USD15 (RM48). Kena beli juga untuk kemudahan dalam perjalanan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan