Radio Internet FuhYooFm

Khamis, Ogos 07, 2008

MENGAPA KE KAMPUCHEA





Kampuchea, sebuah Negara yang tidak banyak saya ketahui melainkan sejarahnya yang ada kaitan dengan orang-orang Melayu di nusantara Asia Tenggara. Inilah Negara yang akan saya lawati selama satu minggu bermula pada hari ini, Isnin 04 Ogos hingga 11 Ogos 2008.

Dua bulan lalu, selepas mesyuarat PBKF, Indra Putera mempelawa untuk bersamanya makan angin ke Kampuchea. Katanya, dia dan Maaulut telahpun membeli tiket melalui penerbangan Air Asia. Dia mencadangkan membawa sekali isteri. Cadangaanya terus saja disambut dan saya menghubungi Maaulut minta diuruskan pembelian tiket.

Mengikut program, perjalanan kami adalah seramai 7 orang dengan masing-masing membawa isteri dan ditambah dengan anak penyeri, siapa lagi kalau bukan Ainul Shafikah.

Kami bertiga memang pernah menjadi pemimpin tertinggi Kesatuan Pekerja-Pekerja Felda pada tahun 80 dan 90an. Indera Putra memegang jawatan Presiden, saya Timbalan Presiden sementara Maaulut Manas sebagai Setiausaha Agung.

Malangnya, pagi ini, apabila dalam perjalanan ke LCCT Sepang, Indera memberitau dia tak dapat ikut sama kerana isterinya berada di hospital disebabkan oleh masalah kesihatan. Memanglah amat sedih kerana dua orang dari kami tak dapat turut sama. Saya doakan agar Azizah dapat segera sembuh dan mudah-mudahan di lain masa kita akan dapat bersama-sama holiday di tempat lain.

Tinggallah kami berlima. Insyaallah perjalanan ini akan dapat memberi pengalaman baru dan belajar dari negara yang dikatakan berasalnya orang-orang Melayu yang datang dari negara ini. Betul ke, nantilah bila sampai di sana mungkin akan diketahui.

Ketika story ini dibuat, penerbangan AK846 ini tidak begitu lancar. Sepanjang perjalanan, burung besi A328 dengan 154 penumpang ini sentiasa bergoyang. Mulut isteriku sentiasa komat kamit, entah apa yang dibaca. Kami duduk di bahagian belakang sekali. Memang agak sempit. Maklum saja, namanya pun tambang murah. Dengan RM480 dah dapat naik kapal terbang pergi balik ke Siem Reap.

Selama-lamnya, Abang Asmuni tidak akan menghampakan bila diminta menghantar ke lapangterbang. Begitulah juga pada pagi ini, jam 4.30 dah bertolak dari rumah. Balik dari Kampuchea pun dia juga kena menjemput. Dia tak pernah merungut. Begitulah kasih abang kepada adiknya.

Semasa sampai di Terminal LCCT tadi, memang nampak sibuk sekali, orang ramai dan terlalu sempit. Berjalan ke mana saja akan bergesel seperti membelah di pasar-pasar malam. Nak minum pagi pun tak banyak pilihan. Makan sajalah apa yang ada. Dengan sepinggan mi goring, nasi lemak dan tiga gelas teh pun dah kena bayar RM19.50. Sudahlah begitu, ruang solat sempit tanpa permaidani dengan sejadah begitu lusuh. Dianggarkan tidak lebih dari 20 orang yang boleh mengerjakan solat secara berjemaah.

Tandas lebih teruk lagi. Isteriku merungut-rungut kerana terpaksa menunggu lama disebabkan terlalu ramai yang nak melepas dan membuang kada’ hajat sedang bilik kecil cuma ada lima saja.

Rasanya mungkin tak lama lagi segala masalah akan selesai kerana apa yang dilihat di luar bangunan tadi memang sedang dilakukan kerja-kerja pembinaan bangunan baru. Harap-harap akan cepatlah pembinaanya kerana keadaan yang ada memang amat tidak selesa.

Ini semua mungkin disebabkan bertambahnya pengguna penerbangan tambang murah.

Tiada ulasan: