Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Disember 31, 2008

SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1430 MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA, JOHOR BAHRU

.

Satu daripada empat bulan penting dalam Islam adalah bulan Muharram. Ketibaan hari pertama tahun 1430 Hijrah mengikut kalendar Islam pada maghrib Ahad 28 Disember, Masjid Jamek Bandar Baru Uda menyambutnya dengan bacaan doa awal tahun oleh lebihkurang 2,500 jemaah dengan diketuai oleh Imam Haji Munadi Muhajir. Sebelum maghrib, jemaah bertahlil dan mengaminkan doa akhir tahun.

Untuk tahun ini, malam awal tahun Hijrah ini diisi dengan kuliah maghrib yang disampaikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Haji Murshid Maarof.

Seterusnya, pengisian sambutan dilakukan dengan kuliah subuh Isnin oleh Ustaz Haji Mat Isa Deraman. Untuk pertama kalinya, masjid ini tidak menyediakan sarapan pagi selepas kuliah subuh bagi menggalakkan kariah melakukan puasa sunat.

Pengerusi MJBBU dan Pengerusi Kelab-Kelab meraikan tetamu Saudara Kita

Mengambil kesempatan dari cuti umum, masjid ini mengadakan majlis Ramah Mesra Bersama Saudara Kita (Saudara Baru/Saudara Muslim) yang bermula pada jam 2.00 petang. Seramai 50 orang Saudara Kita telah hadir dan menerima pelawaan untuk bersama-sama dalam majlis ini.

Ustaz Suliman Sujak, Pengerusi MJBBU menyampaikan ucapan alu-aluan

Tujuan utama mengadakan majlis ini adalah untuk mengenali lebih dekat Saudara Kita yang mungkin langkah seterusnya untuk mencari inisiatif menggerakkan satu organisasi bagi membantu mereka.

Di masjid ini, beberapa kelab telah ditubuhkan seperti Kelab Sukarelawan, Kelab Warga Emas, Helwa, Rakan Muda, Pusat Dialisis dan Kesihatan serta krew Katering.

Saudara Kita kyusuk mendengar ucapan dan penerangan kegiatan Masjid Jamek BBU

Melalui majlis Ramah Mesra ini, Masjid BBU mengambil iktibar dari penubuhan beberapa kelab Saudara Kita yang telah wujud di Kota Tinggi, Taman Desa Cemerlang dan di Johor Bahru.

Tujuan penubuhannya adalah untuk menjaga kebajikan, meningkatkan kualiti dan kuantiti, mempersiapkan Saudara Kita dengan cabaran mendatang, meningkatkan ilmu di pelbagai bidang serta ukhuwah.

Mohd Shaiful Bahari Chu Abdullah menerima cenderamata

Majlis perkenalan dan percambahan pemikiran di antara peserta yang hadir dalam majlis ini telah banyak memberi manfaat terutama untuk perancangan dan memberi bantuan seperti program keluarga angkat, mengadakan kelas fardhu ain, kursus perbandingan agama, rakan pembimbing, pameran, edaran buku-buku dan sebagainya.

Cenderamata juga diberi kepada Puan Noraini Surah Soanga Abdullah

Mengakhiri majlis sebelum solat Asar, Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Masjid Jamek Bandar Baru Uda telah menyampaikan cenderahati kepada Encik Mohd Shaiful Bahari Chu Abdullah dan Puan Noraini Surah Soanga Abdullah. Kedua-duanya adalah penerima Anugerah Khas Saudara Kita Kerajaan Negeri Johor bagi tahun 2008.

Haji Abdullah Idrus menyampaikan ucapan terima kasih

Majlis sambutan Maal Hijarah MJBBU dilanjutkan pada sebelah malamnya dengan beberapa kegiatan lainnya.

Selepas solat Maghrib, jemaah dijamu dengan hidangan beryani gam yang begitu sinonim dengan masakan Johor. Masakan krew katering MJBBU begitu dikenali dan sering mendapat tawaran dan tempahan dari masyarakat setempat dan juga dari beberapa taman perumahan berdekatan.

Penyampaian sumbangan RM80,000 dari Yayasan Sultan Iskandar

Kegigihan petugas dan pentadbir Pusat Kesihatan dan Dialisis untuk mendapatkan bantuan dari penderma telah membuahkan hasil. Pada malam tersebut, Yayasan Sultan Iskandar telah menderma sebanyak RM80,000 bagi pembelian mesin penyediaan air RO yang digunakan untuk proses dialisis.

Selain itu, Bank Islam (M) Berhad juga telah menderma RM40,000 yang akan digunakan untuk pembelian sebuah lagi mesin dialisis.

Pengurus Bank Islam Negeri Johor menyampaikan sumbangan RM40,000

Dalam ucapan terima kasih, Tuan Haji Abdullah Idrus, Timbalan Pengerusi Pusat Dialisis dan Kesihatan MJBBU telah menyatakan bahawa pusat rawatan ini sedang merawat 55 orang pesakit. Dengan sumbangan terbaru bagi pembelian mesin dialisis, dijangkakan rawatan bagi sift ketiga boleh dilakukan pada bila-bila masa mulai sekarang.

Penyampaian sumbangan dari Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan untuk kelas tahfiz

Di majlis ini juga, Tuan Haji Hussin Ismail, Setiausaha Yayasan Masjid Jamek Bandar Baru Uda telah menyampaikan cek bernilai RM2,000 dari Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) untuk kegunaan meningkatkan kelas tahfiz.

Sumbangan RM2,000 setiap bulan ini adalah hasil dari lawatan YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ke masjid ini yang berjanji untuk bantuan kelas tahfiz.

Haji Yahya Mokhtaram, Setiausaha MJBBU memerhati Ustaz Ann Wan Seng menandatangni buku-buku jualannya

Kemuncak majlis sambutan adalah ceramah agama oleh Ustaz Ann bin Abdullah atau Ann Wan Seng, Saudara Kita yang juga penceramah bebas dari Kuala Lumpur.

Beliau yang memeluk agama Islam pada tahun 1996 merupakan penerima anugerah Maal Hijrah tahun ini bagi Negeri Selangor. Mempunyai BA (Hons) dan MA dari Universiti Malaya adalah juga penggiat badan-badan sukarela (NGO) termasuk menjadi Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).

Dalam perbualan dengannya, beliau sangat mengagumi keupayaan MJBBU sehingga diberi pengiktirafan sebagai Masjid Hadhari pertama.

Tetamu jemputan menikmati jamuan malam

Ceramah Ustaz Ann Wan Seng selama hampir dua jam sangat menarik perhatian hadirin dengan kepetahannya membawa pelbagai tajuk yang merangkumi kemantapan iman.

Sepanjang ceramahnya, beliau tidak menyentuh langsung isu politik negara dan kehebatannya memang terserlah kerana beliau juga merupakan kolumnis akhbar serta Majalah I, E-siswa, Dewan Siswa, Dewan Masyarakat, Dewan Agama dan Falsafah, Dewan Pelajar, Dewan Ekonomi, Dewan Kosmik, Minda, Sarina, Akademik, Harakah, Era Baru, Tempo, Pentas Dunia, Media Islam dan lebih seratus penerbitan lain.


Beliau juga adalah penulis lebih dari 30 buah buku dan diantaranya adalah best-seller Rahsia Bisnes Orang Cina. Di Indonesia, buku ini dikatakan ngetop dan mengekalkan kedudukan bagi tahun kedua berturut-turut sebagai buku paling laris pada tahun 2007 dan dikatakan menjadi contoh etika pengarang yang terpuji sebagaimana yang dilaporkan di dalam laman web Universiti Terbuka PTS (UNIKA PTS).

Mengaminkan bacaan doa Ustaz Suliman Sujak tanda berakhir dan kejayaan sambutan Maal Hijrah MJBBU 1430

Sebagai penghormatan kepada Ustaz Ann Wan Seng atas kesungguhannya hadir ke majlis Maal Hijrah MJBBU walaupun beliau mempunyai masa yang terhad, Jawatankuasa Tadbir telah membawanya ke Restoran Remaja bersebelahan masjid untuk jamuan makan malam.

.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

lol,so nice

Tanpa Nama berkata...

If you could give more detailed information on some, I think it is even more perfect, and I need to obtain more information!
Personalized Signature:金陵热线棋牌游戏中心,名城苏州游戏中心,云南信息港游戏,彭城视窗棋牌游戏中心,江苏互联星空棋牌游戏中心,广西休闲游戏中心,安徽棋牌游戏中心

Tanpa Nama berkata...

See you in these things, I think, I started feeling good!
Sports Net