Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Februari 15, 2009

Free Counter

Free Counter

NAK TAU KESIHATAN SAYA?

.
....... bertambah gemuk

Semasa mengikuti Program Komuniti Penduduk Zon Kebun Teh anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru bertempat di Balai Raya Taman Suria pada pagi Sabtu 14.02.2009, saya berkesempatan membuat pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh kakitangan Klinik Kesihatan Majidee, Johor Bahru.

Inilah keputusannya:-

Tekanan Darah: 150/100 mmHg
Berat: 97 kg
Tinggi: 1.69m
Indeks Jisim Badan (IJB): 34
Paras Gula Dalam Darah: 4.9 m mol/L


Tekanan Darah:

Tekanan darah saya menunjukkan tekanan sistolik 150 mmHg dan tekanan diastolik adalah 100 mmHg.

Dari pemeriksaan ini menunjukkan tekanan darah saya tidak normal kerana melebihi 139 mmHg (tekanan darah normal diantara 120 - 139) sementara tekanan diastolik 100, melebihi 89 mmHg (tekanan diastolik normal diantara 80 - 89).

Saya tidak terkejut kerana semasa pemeriksaan kepala saya merasa pening dan telahpun menjangkanya kerana tidak makan ubat darah tinggi sejak dua hari lalu.

Saya sedar mempunyai penyakit darah tinggi dan dengan mengawalnya boleh mencegah kematian disebabkan serangan jantung, strok (angin ahmar), kerosakan buah pinggang dan kebutaan.

Berat, Tinggi dan Indeks Jisim Badan (IJB):

Ketinggian saya adalah 1.69 meter dan berat badan 97 kg. Untuk pengiraan Indeks Jisim Badan (IJB) ialah 97/(1.69 x 1.69) iaitu 34.03.

Berdasar kepada IJB 34.03, ini menunjukkan saya dikategorikan sebagai gemuk kerana melebihi 27.5. IJB 23.0 atau lebih adalah dikatogorikan sebagai pra-obes atau pra-gemuk. Berat badan unggul adalah antara 18.5 hingga 23.

Paras Gula Dalam Darah:

Pemeriksaan menunjukkan paras gula dalam darah adalah 4.9 m mol/L dan semasa pemeriksaan saya telah sarapan pagi 3 jam sebelumnya dengan segelas teh tarik dan 4 keping kuih manis.

Paras gula ini sangat baik kerana sekiranya kita berpuasa hendaklah kurang 6.0 m mol/L atau 2 jam selepas makan hendaklah kurang dari 11.0 m mol/L.

Sebenarnya, gula dalam darah bukanlah sesuatu yang memudaratkan kesihatan kita apabila berada pada paras yang normal kerana kehadiran gula dalam darah adalah 'makanan' utama sel badan kita untuk membekalkan tenaga yang diperlukan. Sedikit peningkatan dan penurunan paras gula adalah normal bagi seseorang yang sihat sepanjang hari.

Bagaimana Mengekalkan Gaya Hidup Sihat:

- Makan Secara Sihat: Kurangkan garam dalam makanan. Sajian yang disyurkan adalah 1/2 pinggan nasi putih, 1/2 cawan sayur tua bersama batangnya yang dimasak, 1/2 biji jambu atau satu hirisan betik/nenas, satu gelas susu dan seketul peha ayam sederhana atau dua ketul daging tanpa lemak berukuran kotak mancis.

- Sentiasa Aktif: Mulakan senaman secara tetap sekurang-kurangnya 30 minit sehari atau 10 minit setiap kali untuk 3 kali sehari dengan aktiviti yang sesuai. Berjalan kaki selama satu jam atau berjalan laju selama 30 minit juga sangat digalakkan.

- Belajar Menangani Tekanan/Stres: Masalah stres akibat emosi boleh ditangani dengan cara bertenang, kenal pasti kenapa marah, dengar penjelasan orang lain, beredar sekiranya tidak dapat mengawal kemarahan, berbincang dengan orang lain, membiasakan diri memaafkan dan menerima kenyataan serta ajaran agama Islam menghendaki kita mengambil wuduk, solat dan membaca al-quran.

Soalnya sekarang ialah bolehkah saya mengurangkan kegemukan dengan mengambil makanan diet, bersenam setiap hari dan menangani stres?.


Sabtu, Februari 14, 2009

MENGIKUTI CERAMAH KESIHATAN: ARTHRITIS

.
Ucapan Pengerusi MJBBU dalam majlis perasmian

Pagi tadi saya sempat mengikuti Ceramah Kesihatan anjuran bersama Pasukan Sukarelawan, Kelab Warga Emas dan Helwa Masjid Jamek Bandar Baru Uda.

Ceramah pertama oleh Dr Intan Sabrina Mohamad, Pakar Rehabilitasi dan Ketua Jabatan Perubatan, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sangat menarik perhatian peserta kerana kepetahannya dan tajuk yang sangat sesuai kepada peserta.

Kebanyakan peserta yang hadir seramai 200 orang adalah terdiri warga emas, begitu tertarik dengan isu berkaitan dengan arthritis yang sering dialami oleh warga tua.

Gaya ceramah Dr Intan Sabrina Mohamad sangat menarik

Penyakit yang mempunyai hubungkait peningkatan usia ini terjadi disebabkan oleh tulang rawan menjadi haus dan lusuh. Rawan tisu lembut yang melapisi tulang mula terhakis disebabkan oleh beberapa faktor seperti:-

- Haus dan lusuh kerana usia semakin meningkat
- Kecederaan dan kerosakan disebabkan oleh kemalangan, jatuh dan sebagainya
- Jangkitan kuman dalam sendi
- Terkena gout (keturunan atau tidak menjaga pemakanan)
- Obesity
- Proses penuaan

Tanda-tanda penyakit ini adalah sebagaimana berikut:-

- Sakit sendi (lutut, pergelangan tangan dan sebagainya)
- Sukar menaiki, menuruni tangga dan sakit apabila bergerak
- Sendi lutut bengkak atau melengkung ke dalam
- Tidak boleh berjalan jauh
- Tidak boleh bekerja (Sentiasa mengambil cuti panjang)

Apakah yang boleh menambahkan risiko arthritis:

- Peningkatan usia
- Badan terlalu gemuk
- Keturunan (Ada keluarga yang mengidap arthritis)
- Sendi terlebih fleksibel
- Kecederaan seperti bersukan
- Mencangkung

Bagaimana merawat penyakit arthritis:

- Secara ubatan dan bukan ubatan untuk melega dan memulihkan fungsi sendi
- Pembedahan sekiranya diperlukan

Peserta tekun mengikuti kursus

Pengidap penyakit arthiritis sepatutnya mempunyai pengetahuan tentang penyakit ini dan melakukan amalan gaya hidup sihat seperti bersenam, kurangkan berat badan, elakkan kecederaan, makan diet seimbang dan pengubahsuaian kelengkapan dalam rumah/tempat bekerja seperti perabut, tandas dan sebagainya.

Selain dari itu, sendi juga perlukan perlindungan dari kerosakan selanjutnya dengan mengelakkan kegiatan yang menambahkan tekanan sendi dan menggunakan alat gunabantu bagi mengurangkan tekanan.

Pesakit juga hendaklah mengelakkan perbuatan mencangkung dan duduk atas lantai dan apabila duduk atas kerusi hendaklah mempastikan kerusi itu di paras lutut dan tidak terlalu rendah serta gunakan kerusi yang ada pemegang tangan bagi memudahkan pesakit bangun dari kerusi.

Selasa, Februari 10, 2009

LAWATAN KERJA MASJID BBU KE UTARA TANAH AIR

.
Seperti yang direncanakan, tepat jam 9 pagi rombongan pimpinan Masjid Jamek Bandar Baru Uda dalam rangka lawatan kerja ke utara tanah air bergerak dari perkarangan masjid dengan menggunakan sebuah bas yang disewa dari PPNJ dan sebuah van kepunyaan masjid.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk melihat, mengambil pengetahuan dan mencari input tentang kegiatan empat badan yang telah disenaraikan iaitu Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang, Masjid Al-Barakah Tikam Batu Kedah, Kompleks Yayasan Albukhary Alor Malai Kedah dan Sembang-Sembang Cafe PPIM Kuala Lumpur.

Dari kiri Hj Abdullah Idrus (PDK), Zahrin Saniman (Rakan Muda)
dan Hj Zainal Abidin (Kelab Warga Emas) berdiri di samping
bas PPNJ yang akan membawa peserta rombongan

Segala input yang didapat akan dibawa ke bengkel yang tarikhnya masih belum ditentukan. Jawatankuasa Pengurusan MJBBU telah bersetuju untuk mengadakan bengkel ini bagi menilai dan mengkaji semula struktur organisasi serta meningkatkan perkhidmatan dan keupayaan pengurusan.

Diantara peserta rombongan adalah Pengerusi Jawatankuasa Tadbir MJBBU, Ustaz Haji Sulaiman Sujak beserta dengan Ahli Jawatankuasa serta pimpinan badan-badan di bawahnya seperti Pusat Dialisis dan Kesihatan, Pusat Seni Khat dan Jawi, Kelab Warga Emas, Kelab Sukarelawan, PBSM Masjid, Biro Penerbitan, Biro Kebajikan, Biro Dakwah dan Takmir, Biro Kebajikan, Biro Pembangunan, Biro Rakan Muda, Biro Kewangan dan Biro Pendidikan.

"Abang jangan lupa ayang tau ...."
Agaknya itulah kata-kata isteri Hj Isa Mahbob (PBSM Masjid),
maklum saja pengantin baru...

Lawatan selama 3 hari 2 malam dengan 47 orang peserta dibiayai oleh Yayasan Masjid dan Pusat Dialisis dan Kesihatan ini dijangka akan dapat membuat penilaian serta perbandingan disamping mencari info terkini untuk digunapakai di Masjid BBU.

Sdr Zahrin Saniman (Biro Rakan Muda) bergambar
dengan botol air mineral

Perjalanan kami melalui Lebuhraya Utara Selatan dan berhenti sebentar di R&R Ayer Keroh, Melaka untuk buang air kecil. Hampir kesemua peserta rombongan adalah warga emas melainkan dua orang kakitangan masjid dan Pengerusi Rakan Muda. Sudah tentulah masalah buang air kecil menjadi perhatian utama setiap kali dalam perjalanan.

Seorang lagi peserta rombongan, Hj Abd Wahid (Kelab Warga Emas)
tergesa-gesa ke bilik air dengan botol air mineral

Malangnya, ketika singgah di R&R Ayer Keroh, didapati bekalan air paip terputus. Kami terpaksa mencari sumber air lain seperti dari bekalan air mineral untuk tujuan mencuci atau cebok.

Kami sedia maklum masalah menghilang kekotoran dan najis buang air kecil atau besar tidak boleh dipandang remeh kerana Nabi SAW pernah bersabda sebagaimana riwayat Ahmad yang berbunyi "kebanyakan azab kubur disebabkan oleh buang air kecil".

"Apa sudah jadi, mana air?" Sdr Mahadzir (kakitangan MJBBU)
bertanya pekerja pembersihan

Perjalanan seterusnya tidak mendatangkan sebarang masalah seperti berhenti rehat untuk solat jamak Zuhur dan Asar di R&R Sungai Buluh.

Rombongan sampai di hotel penginapan pada jam 8.30 malam.

Turut sama dalam rombongan adalah Ustaz Hj Munadi Muhajir,
Ketua Imam MJBBU bersama isteri

Bergambar sebelum membuat lawatan ke PUZ Pulau Pinang

Malam pertama kami menginap di Hotel Seri Malaysia, Bayan Baru, Pulau Pinang iaitu 6km dari Lapangterbang.

Ahli rombongan mendengar taklimat PUZ

Lawatan pertama kami adalah ke Pusat Urus Zakat (PUZ) di Bandar Perda, Bukit Mertajam. Dua orang pegawai menyambut dan memberi taklimat mengenai urusan kutipan zakat dan pengagihannya.

Pada tahun 2008, PUZ telah dapat memungut kutipan zakat sebanyak RM38 juta dimana peningkatan kutipan telah mengorak jauh untuk melaksanakan aktiviti pembangunan asnaf. Dari kutipan tersebut, PUZ telah mengagihkan lebih dari RM30 juta kepada mereka yang layak untuk pelbagai keperluan.

Pusat Haemodialisis kelolaan PUZ di Bandar Perda

Selepas taklimat, kami telah dibawa melawat salah sebuah Pusat Haemodialisis kelolaan PUZ di Bandar Perda. Sebelas mesin terdapat di pusat ini dan dikendalikan oleh beberapa orang kakitangan dan seorang doktor perubatan.

Perbezaan ketara pusat dialisis PUZ dan pusat dialisis MJBBU ialah doktor di MJBBU adalah secara sukarela dan jumlah mesin adalah sebanyak 15 berbanding di PUZ Bandar Perda iaitu 11 mesin dengan perkhidmatan seorang doktor bergaji.

Begitupun, PUZ telah mewujudkan 6 buah Pusat seumpama ini di seluruh Pulau Pinang dengan 43 mesin dan ketika ini seramai 88 orang pesakit sedang menerima rawatan secara percuma.

PUZ Mart 24 Jam di Teluk Bahang

PUZ berusaha meningkatkan kutipan zakat walaupun mempunyai beberapa cabaran khususnya keadaan politik yang kurang setabil menyebabkan kutipan yang tidak berimbang dan mempunyai turun naik.

Seterusnya rombongan kami dibawa ke PUZ Mart di Teluk Bahang. Kedai serbanika ini beroperasi 24 jam dan memberi perkhidmatan kepada orang ramai. Keistimewaan PUZ Mart ini ialah sebagai outlet yang menerima barangan produk bumiputera dan orang-orang Islam yang disahkan halal.

Bekalan keperluan asas kepada asnaf fakir miskin yang dibiayai oleh PUZ juga disalurkan melalui PUZ Mart iaitu dengan menghantar bekalan ke rumah-rumah pada setiap bulan.

Melihat produk bersih dan halal keluaran Bumiputera

PUZ Pulau Pinang juga didapati tidak akan membiarkan orang-orang Islam berada terus di bawah paras kemiskinan sebaliknya menyediakan beberapa peluang yang boleh membantu mereka berdiri dengan sendirinya.

Diantara pembangunan aktiviti yang dilakukan adalah seperti mengadakan bengkel jahitan, masakan, bengkel bunga telur, makanan kering dan ladang buah naga.

Hj Fathil Abdullah (Biro Penerbitan) mengabadi gambar
kenang-kenangan di Pusat Kemahiran Mutiara Waja

Sebagai pembuktiannya, kami telah dibawa ke Pusat Kemahiran Mutiara Waja di Permatang Berangan, Tasek Gelugor, Seberang Prai Utara.

Pusat ini merupakan bengkel jahitan pakaian sekolah. Pekerja di bengkel ini adalah terdiri dari 9 orang ibu tunggal yang bersedia untuk menjahit pakaian mengikut pengkhususan.

Hj Hussin Ismail (Setiausaha Yayasan dan Bendahari Masjid)
adalah penggerak utama lawatan ini

(Gambar di sebelah kiri)

Pendapatan peserta bengkel jahitan ini agak lumayan sehingga melebihi RM1,000 sebulan mengikut keupayaan dan kerajinan masing-masing.

PUZ akan mengagih-agihkan pakaian sekolah yang telah siap kepada asnaf yang layak di seluruh Pulau Pinang.

Dari kiri, Hj Awi Sapawi (Biro Ekonomi), Dr Warid Hussin
(Yayasan Masjid) dan Hj Zainal Abidin (Kelab Warga Emas)
meneliti kualiti jahitan

Jamuan makan tengahari disediakan di bengkel ini oleh PUZ setelah selesai lawatan.

Menikmati jamuan tengahari sajian Bengkel Masakan PUZ

Melewati Pulau Pinang tentu sahaja tidak akan terlupa untuk membeli jeruk buah-buahan yang enak, rangup dan manis seperti Buah Pala, Betik, Pelum, Pala Saga, Buah Amra dan lain-lain.

Jeruk buah-buahan ini memang sangat terkenal di Pulau Pinang dan boleh didapati di merata tempat.

Beginilah tabiat perempuan ketika berbelanja

Selepas membeli jeruk, kami meneruskan perjalanan ke utara melalui jalan lama untuk ke Masjid AlBarakah, Kampung Masjid, Tikam Batu, Kedah.

Masjid yang terletak 500 meter dari jalan besar Alor Star-Butterworth ini pernah kami (Jawatankuasa Pembinaan) lawati pada tahun 1995. Ketika itu, Masjid Jamek Bandar Baru Uda sedang dalam pembinaan.

Jauh dan penat juga nak sampai ke mesjid tu...

Tujuan lawatan pada ketika itu ialah untuk melihat sendiri perjalanan dan pentadbiran masjid ini yang dikatakan diantara yang terbaik di tanah air.

Ini terbukti dari laman web masjid http://www.geocities.com/Yosemite/2956/detail.htm yang dikemaskini pada 8 Februari 1997 (12 tahun).

Masjid yang telah didirikan pada tahun 1902 secara gotong royong telah dibuat pembaikan dan pembesaran.

Masjid AlBarakah, Tikam Batu, Kedah

Berdasarkan kepada matlamat masjid sebagai tempat ibadat yang selesa, tempat mendapat ilmu, tempat kegiatan masyarakat Islam dan tempat pengimarahan ibadah serta membuat kebajikan, maka masjid ini telah terbukti mencapai tujuan pembinaannya.

Murid kelas KAFA menumpang di masjid untuk sementara waktu

Kampong Tikam Batu mempunyai penduduk seramai 2,600 orang terdiri dari 750 lelaki, 900 wanita dan selebihnya adalah kanak-kanak. Sebanyak 500 buah rumah terdapat di perkampungan ini.

Nama masjid ini (Al-Barakah) yang diberi oleh Ustaz Harun Din pernah dianugerahkan sebagai masjid terbaik luar bandar seluruh Kedah pada tahun 1997.

Peserta rombongan bergambar ramai di hadapan mimbar
Masjid AlBarakah, Tikam Batu

Penduduk kampung menunaikan solat Asar

Pelbagai kegiatan dijalankan di masjid ini yang merangkumi semua aspek seperti kelas komputer yang ketika ini ditempatkan di Sekolah Menengah Agama Insaniah (di bawah naungan masjid), pembinaan Maahad Tahfiz, kereta jenazah, Koperasi AlBarakah, Buletin mingguan dan sebagainya.

Melihat dari pendapatan mingguan sumbangan kariah yang dianggrkan RM400-RM500, masjid telah dapat mengumpulkan dana yang agak baik.

Taklimat disampaikan oleh Pengerusi Masjid

Kekuatan masjid ini adalah dari perpaduan kariah dan memberi sokongan kepada pentadbir. Ia terbukti dari kehadiran pada setiap waktu solat terutama waktu subuh.

Segala tindakan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Tadbir mendapat sokongan padu dari kariah dan pernah terjadi jenazah salah seorang penduduk, kuburannya telah diasingkan serta tidak dibacakan talkin disebabkan beliau tidak bersama kariah dalam mengimarahkan masjid.

Menikmati sajian mi goreng selepas taklimat

Rombongan meneruskan perjalanan ke Alor Star untuk menginap di Hotel Seri Malaysia. Sebelum sampai ke tempat penginapan, kami sempat menikmati jamuan Laksa Teluk Kechai. Ia amat berbeza dengan Laksa Johor dan rasanya juga lazat.

Menikmati Laksa Teluk Kechai

Hj Aziz Rahim, Ketua rombongan mendaftar kemasukan peserta
di Hotel Seri Malaysia, Alor Star

Setelah menikmati sarapan pagi di Hotel, kami mengambil kesempatan untuk membeli belah di Kompleks Pekan Rabu yang terletak di tengah-tengah bandar Alor Star.

Kami sampai di kompleks beli belah ini yang mempunyai 347 buah kedai agak awal sekitar 8.30 pagi dan didapati hanya beberapa kedai yang telah membuka perniagaan.

Kami terpaksa berbelanja lebih awal kerana jadual yang padat di hari akhir. Di Pekan Rabu, diantara barangan yang dibeli adalah kain tudung, songkok, makanan tradisional, pekasam serta beras pulut.

Tidak lepas peluang membeli belah di Pekan Rabu

Setelah mendaftar keluar hotel, rombongan kami membuat lawatan ke Kompleks Al-Bukhary yang bernilai RM400 juta. Kompleks ini memainkan peranan besar sebagai pusat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas warga tua, saudara baru (mualaf) dan pusat pengajian tinggi.

Ketibaan kami disambut mesra

Ketibaan kami disambut oleh kakitangan Yayasan AlBukhary yang diketuai oleh Haji Muhyiddin dan terus dibawa untuk mendengar taklimat. Diantara penyampai taklimat ialah Ustaz Haji Md Esa yang merupakan Imam Masjid AlBukhary Alor Malai, Jalan Langgar, Alor Star.

Ustaz Haji Md Esa menyampaikan taklimat masjid

Masjid ini terletak di dalam Kompleks AlBukhary dalam kawasan 4.96 ekar yang merupakan 25% dari keseluruhan kompleks. Masjid yang cantik ini telah dirasmikan oleh Sultan Kedah pada tahun 2001.

Pelbagai kegiatan terutama ceramah dan kuliah diadakan di masjid. Diantara keistimewaannya ialah kuliah zuhur pada bulan Ramadhan serta azan pertama pada jam 5.00 pagi.

Mengkumandangkan azan setengah jam atau satu jam sebelum fajar sadik yang dilakukan di sini bertujuan supaya orang yang sedang nyenyak tidur akan tersedar dan bersedia untuk menunaikan solat Subuh.

Ustaz Sulaiman Sujak menyampaikan cenderamata
kepada Tuan Haji Muhyiddin


Yayasan AlBukhary yang dikuasai oleh tokoh konglomerat bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang merupakan individu ketujuh terkaya di negara ini telah menubuhkan yayasan ini pada bulan Mac 1996 yang bertujuan untuk membantu golongan miskin khususnya dalam bidang pendidikan.

Yayasan ini juga telah membelanjakan RM300 juta untuk kegiatan keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Bangunan Kesenian Islam, Kuala Lumpur bernilai RM100 juta yang dibangunkannya adalah pertama di rantau ini selain membina 16 buah masjid di seluruh Malaysia.

Indahnya Masjid AlBukhary, Alor Malai

Yayasan Al-Bukhary juga membina sebuah masjid strategik di Bukit Bintang berharga RM12.2 juta yang terletak di kawasan pusat perniagaan segitiga emas Kuala Lumpur.

Gambar kenang-kenangan di hadapan Masjid AlBukhary,
Alor Malai, Alor Star, Kedah

Di bidang pendidikan, Yayasan AlBukhary menaja 372 pelajar-pelajar miskin Islam luar negara (47 buah negara) untuk menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Selain itu, yayasan ini juga pernah mendermakan sejumlah RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies iaitu satu pusat pengajian Islam yang amat terkenal di serata dunia.

Mungkinkah si kecil ini akan menjejaki universiti ini suatu masa nanti?

Pembinaan Universiti Antarabangsa AlBukhary yang dijangka siap pada akhir tahun ini (2009) akan dapat menempatkan 22,000 pelajar kurang kemampuan yang telah menerima program tuisyen yayasan sejak 4 tahun yang lalu di seluruh negara.

Menikmati jamuan tengahari ...
Dari kanan, Hj Yahya Muhtaram (Setiausaha MJBBU),
Hj Abdullah Shaaban (Biro Keceriaan) dan
Ustaz Hj Jainal Sakiban (Pusat Seni Khat dan Jawi)

Rombongan kami juga dihidangkan dengan jamuan tengahari. Sebelum melangkah keluar dari kompleks, bapa saudara Tan Sri Syed Mokhtar, Tuan Syed Mansor datang untuk mengalu-alukan lawatan kami.

"Assalamualaikum ... selamat datang"
Tuan Syed Mansor diperkenalkan kepada Pengerusi MJBBU

Sepanjang perjalanan kami sentiasa menunaikan solat secara berjemaah

Dalam perjalanan pulang melalui Kuala Lumpur, kami singgah sebentar di R&R Tapah untuk menunaikan solat jamak Zuhur dan Asar secara berjemaah.

Aturcara terakhir lawatan adalah ke Sembang Sembang Cafe (PPIM) di LG6, The Mall, Kuala Lumpur untuk menemui Dato' Dr Maamor Othman, Setiausaha Agung, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan mendengar taklimat serta melihat perniagaan barangan halal khususnya dari produk bumiputera dan orang Islam.

Suasana di Sembang Sembang Cafe (PPIM), The Mall, Kuala Lumpur

Sesampainya kami di Sembang Sembang Cafe, Tok Ki, seorang persenoliti di Radio Ikim.Fm yang sering ke udara pada jam 5 hingga 6 petang hari Isnin telah menyapa kami.

Beliau sangat dikenali kerana ketegasannya, penggunaan bahasa dan nasihatnya yang berterus terang tentang nasib dan hala tuju orang Melayu.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini, pihak Radio Ikim.Fm kurang memberi ruang kepada beliau yang mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk politik.

Sempat juga Hj Fathil Mohamad (Biro Penerbitan)
bergambar dengan Tok Ki

Begitupun, kami tidak sempat bersembang panjang dengannya kerana ketibaan waktu solat Maghrib.

Khusyuk mendengar penerangan Dato' Dr Maamor Othman

Waktu yang begitu singkat dapat dimenfaatkan dengan taklimat oleh Dato' Dr Maamor Othman terutamanya mengenai usaha kami untuk mengadakan kedai perniagaan produk halal.

Beliau menyarankan agar masjid-masjid yang lain dapat mencontohi apa yang akan kami lakukan supaya struktur perniagaan akan berkembang dan lebih luas pasarannya.

Kami bangga dengan produk bersih dan halal

Dr Maamor Othman juga tergesa-gesa meninggalkan kami kerana panggilan solat Maghrib dan waktu yang terluang kami gunakan untuk membeli pelbagai produk halal sebagai ole-ole dan buah tangan ke Johor Bahru.

Kenangan bersama Dato' Dr Maamor Othman

Kami meneruskan perjalanan balik ke Johor Bahru dan singgah di R&R Ayer Keroh untuk solat jamak Isyak dan Maghrib, makan malam dan membeli sedikit lagi jajan.

Alhamdullillah, kami sampai ke perkarangan masjid BBU pada jam 1.30 pagi.

KESAN LAWATAN KE UTARA ATAS DIRIKU

.
Senyuman ceria dalam menanggung sendi yang sakit

Aduh.. sakitnya lutut kiriku. Itulah yang saya rasa apabila turun bas untuk membuang air kecil di R&R Ayer Keroh. Sakitnya berterusan setiap kali bergerak. Jalan berdencut-dencut.

Lawatan ke utara anjuran Masjid BBU dari hari Sabtu hingga Isnin memang banyak memberi menafaat. Salah satunya ialah memberi pengajaran kepadaku bahawa kesihatan diri hendaklah diberi keutamaan.

Ketika menerima rawatan sakit jantung beberapa tahun lalu, pakar perunding kardiologi, Hospital Sultanah Aminah, Dr Ngeu pernah memberi nasehat supaya saya bersenam dan menjaga berat badan.

Beliau memberi nasehat selepas saya berjaya menjalani angiogram dimana satu daripada pembuluh darah jantung saya tersumbat.

Alhamdullillah, tiub kateter yang dimasukkan ke pembuluh darah melalui lengan dan meletakkan besi gegelung (stent) setelah menolak plak dengan belon, sehingga kini keadaan jantung saya berada dalam keadaan baik dan setabil.

Malangnya, saya mengingkari nasehatnya untuk terus bersenam walaupun saya masih mengambil ubat pencair darah dan kolestrol.

Berat badan yang semakin bertambah inilah yang memungkinkan saya menerima padah sakit sendi-sendi atau mungkin artritis. Ramai orang yang menegurku kerana susuk badanku yang bertambah gemuk dan perut yang membuncit. Pinggang pun sudah berukuran 42. Banyak seluar yang tidak boleh digunakan.

Beberapa minggu yang lalu memang telah terasa sendi-sendi yang sakit di siku tangan kiri. Namun saya tidak mengambil peduli.

Dua malam menginap di Hotel Sri Malaysia di Penang dan Alor Star menambahkan lagi sakit sendiku terutama tetekala bangun dari tidur.

Hari ini saya pergi ke farmasi dan membeli Bio-Life Glucosamine sebagaimana yang dicadangkan oleh Dr Haji Warid Hussin yang bersama-sama dalam rombongan.

Mudah-mudahan dengan pengambilan tablet ini dan senaman yang akan kulakukan diharapkan akan dapat mengelakkan penderitaan sakit sendi. Saya begitu khuatir kerana penyakit ini boleh mengubah bentuk dan memusnahkan sendi yang akhirnya langsung tidak boleh berjalan.

Jumaat, Februari 06, 2009

LAWATAN KERJA MASJID BBU KE UTARA

.






Sebentar tadi saya menghadiri taklimat lawatan kerja Masjid Jamek Bandar Baru Uda ke utara. Taklimat disampaikan oleh Bendahari Masjid BBU, Haji Hussin Ismail dan Ketua Rombongan, Haji Othman A Rahim.

Rombongan seramai 47 orang adalah terdiri dari Ahli Jawatankuasa Tadbir Masjid dan penggerak-penggerak Yayasan Masjid, Pusat Kesihatan dan Dialisis, Pusat Seni Khat dan Jawi, Kelab Warga Emas, Kelab Sukarelawan, PBSM Masjid, Biro Kebajikan, Biro Helwa, Biro Pendidikan, Biro Kewangan, Biro Pembangunan, Biro Penerbitan, Biro Rakan Muda dan Biro Takmir dan Dakwah.

Sebuah bas 40 penumpang dan van Masjid BBU akan digunakan untuk tujuan ini. Dijangka rombongan akan berlepas pada hari esok (Sabtu) dari perkarangan masjid pada jam 9.00 pagi dan akan sampai di Hotel Sri Malaysia, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada jam 7.00 malam.

Tujuan rombongan adalah untuk membuat lawatan ke Pusat Urus Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang di Bandar Perda, Bukit Mertajam. Di sini kami akan cuba melihat pengurusan PUZ, Pusat Dialisis, PUZmart Kedai Serbanika dan Bengkel Jahitan.

Di sebelah petang, kami akan membuat lawatan ke Masjid Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah. Kami pernah membuat lawatan ke masjid ini ketika Masjid BBU masih dalam pembinaan kerana ia adalah salah satu masjid yang kami jadikan model perlaksanaan. Lawatan ini untuk melihat pembangunan dan kegiatan yang boleh dijadikan contoh.

Pada malamnya kami menjangka untuk bermelam di Hotel Sri Malaysia, Alor Star. Lawatan seterusnya adalah ke Pusat Islam Yayasan Al-Bukhary dan seterusnya dalam perjalanan balik akan singgah ke Putrajaya.

Dijangka kami akan sampai ke Johor Bahru pada jam 11.30 malam.

Kami berdoa dan berharap lawatan ini akan mendapat keberkatan dan mencapai tujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kami di Masjid Jamek Bandar Baru Uda. Insyaallah.

Di bawah ini adalah maklumat mengenai Masjid AlBarakah, Tikam Batu yang dicuplik dari laman web http://www.masjidalbarakah.mymamall.com/masjid_al_barakah.htm

Sejarah Masjid

Masjid ini dipercayai telah didirikan pada tahun 1902 oleh penduduk terawal di sini. Bagaimanapun tanah tapak masjid ini hanya dianugerahkan oleh kerajaan Kedah kepada penghulu masjid Tikam Batu pada tahun 1912. Manakala tanah perkuburan pula telah diwakafkan oleh Icheek Bin Hussain sebanyak tiga lot tanah.

Pembinaan masjid ini dibuat secara gotong-royong. Empat tiang kayu besar ditebang dibukit dan dibawa menerusi sungai dan ditarik oleh empat ekor kerbau ketapak yang ada sekarang. Kerja- kerja mendirikan empat tiang besar serta alangnya sahaja, mangambil masa selama empat hari.

Tanah yang digunakan untuk meninggikan tapak masjid yang ada sekarang dijunjung oleh setiap penduduk dari bukit berdekatan yang telah lenyap hari ini. Galakan yang diberikan ialah bahawa setiap cam tanah yang dijunjung akan menjadi wakaf yang berkekalan menyebabkan setiap penduduk kampung waktu itu mengambil bahagian.

Batu bata yang digunakan dalam membina tiang dan dinding masjid ini dikuatkan dengan tanah liat bukannya simen dan kekal hingga sekarang. Pada asalnya masjid ini beratap rumbia dan nipah tatapi perkembangan masa menyebabkan bumbung itu di tukar.Terdapat juga menara kayu, tempat masak dan gendang serta halaman masjid tetapi projek pembesaran dan gendang serta halaman mesjid tetapi projek pembesaran masjid ini di masa lampau telah terpaksa mengorbankan semua ini.

Pada masa perang dunia ke-2 masjid ini telah menjadi tempat perlindungan utama penduduk bila peperangan tercetus.