Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Jun 07, 2009

SELAMAT HARI JADI UNTUK ABANGKU, ASMUNI

.

Hari Jumaat 5 haribulan yang baru lalu adalah hari jadi kepada abangku, Asmuni yang ke 59. Saya mempunyai hubungan lebih rapat berbanding dengan adik beradik lain. Mungkin kerana jarak umur yang begitu hampir dengannya. Saya sendiri telah menghampiri 57.

Apabila umur meningkat, bermakna alam barzakh lebih menghampiri kita. Saya percaya abang dan saya juga telah bersedia menghadapinya.

Setiap kali umur kita meningkat, tentulah kita akan mengingati sejarah yang telah sama-sama kita lalui.

Kita bersama sejak dari kecil diasuh oleh makbapak kita dengan penuh kasih sayang. Penghidupan dahulu tersangat jauh bezanya dengan apa yang dilalui oleh anak-anak kita sekarang.

Kita dilahirkan pada subuh yang sama pada sekitar jam 5.00 pagi, ketika manusia yang mengingati tuhannya yang tunggal, akan mengerjakan solat Subuh. Hanya yang membezakannya adalah tahun, bulan dan hari.

Begitupun, mengikut perkiraan Jawa, abang Asmuni dilahirkan pada hari Isnin 'Wage'. Saya pula pada hari Sabtu 'Wage'. Dua orang lagi yang dilahirkan pada hari ' wage' adalah Kak Juriah pada hari Selasa dan adik Junainah hari Khamis. Kempat-empat kami dilahirkan pada waktu subuh.

Emak mengatakan bahawa biasanya kami empat beradik yang lahir pada hari 'Wage' akan menerima sakit pada masa yang hampir sama atau berturutan seumpama salah seorang yang demam maka yang tiga lagi akan turut sama.

Benarkah kenyataan tersebut?. Apa yang pasti ketika ini kami berempat mempunyai penyakit berlainan. Kak Juriah menderita Parkinson, Abang Asmuni dengan masalah paru-paru, Junainah dengan kes asma dan saya sendiri mempunyai masalah kaki dan darah tinggi.

Kami lapan beradik mempunyai hubungan yang akrab. Semoga ianya akan terus berkekalan. Sebagai abang yang tua, pastinya Abang Asmuni mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mempastikan kesemua kami akan terus hidup bersepakat.

Selamat hari jadi, semoga abang akan terus menjaga diri, keluarga dan kesihatan.

Tiada ulasan: