Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Julai 19, 2009

KEINDAHAN FELDA RESIDENCE HOT SPRINGS, SUNGKAI

.
Ceria gambar Pak Haji Sunawan ni. Foto yang dipotret oleh Haji Abdullah, Setiausaha Kerja Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) di Felda Residence Hot Springs Resort, Sungkai, Perak memberi gambaran bagaimana saya merasa kegembiraan berada di resort ini.

Anda boleh melihat beberapa keping gambar yang dapat saya paparkan hasil carian saya melalui google, betapa cantik, tenang dan sangat sesuai untuk beristirahat.

Saya tidak mendapat sebarang diskaun apabila saya mempromosikannya. Tulisan ini adalah semata-mata lahir dari kekaguman saya sebagai bekas seorang kakitangan Felda yang tidak pernah merasa kenikmatan semasa bekerja dahulu.

Kedatangan saya bersama keluarga ke resort seluas 6.5 hekter dan dibuka pada tahun 2003, adalah untuk menghadiri mesyuarat PBKF bagi membincangkan pelbagai topik yang berkaitan dengan kebajikan bekas kakitangan Felda terutama yang menjadi ahli persatuan kami.

Untuk sampai ke sini, anda perlu masa hampir satu jam dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan keluar di Tol Sungkai, membeluk ke kiri dan langsung melalui perkampungan Felda Sungai Klah.

Datin Nursiah Sulaiman, salah seorang AJK PBKF adalah individu yang bersungguh-sungguh membawa kami ke sini. Selain menguruskan persiapan mesyuarat, beliau membawa kami mengelilingi ke beberapa lokasi menarik yang sepatutnya anda juga nikmati.

Lawatan kami pada waktu tengahari sebelum kami pulang, amat mengujakan. Rasanya mahu menyambung sehari lagi, namun apakan daya, beberapa program lain sedia menunggu di Johor Bahru.

Isteriku dan Safikah tentu tidak melepaskan peluang. Pada hari pertama saya bermesyuarat, kedua-duanya sudah berada di kolam air panas untuk berendam. Kelekaannya berjalan-jalan di sekeliling taman rekreasi ini menyebabkannya tersesat. Nasibnya baik, sekeluarga dalam sebuah kereta telah membawanya pulang ke bilik.

Saya tidak hairan mengapa isteriku tersesat, kawasannya begitu luas dan banyak laluan pejalan kaki, laluan jejambat kayu dan laluan denai yang boleh menyesatkan sekiranya pengunjung tidak berhati-hati dan berwaspada.

Begitupun, kelelahan kita mengharunginya walau dengan pelbagai tujuan seperti mandi manda air panas, perkhemahan, menyusur sungai, merentas hutan, melawat kampung Orang Asli Tesung dan sebagainya, akan hilang apabila anda berada di bilik yang begitu indah dan nyaman.

Pada pagi hari kedua, selepas menikmati sarapan pagi dengan beberapa menu, isteriku tidak melepaskan peluang untuk berurut kaki dan badan.

Isteriku sempat menemuramah gadis muda yang mengurutnya. Katanya, mereka mendapat latihan dari pengurusan Felda di Trolak.

Oleh kerana kesuntukan waktu, saya hanya dapat melihat-lihat di persekitaran dengan menaiki kenderaan yang disediakan dengan sedikit bayaran.

Kami dapat melihat laluan air panas yang dialirkan melalui laluan berbatu yang boleh digunakan sebagai laluan terapi kaki.





Pondok-pondok Jakuzi yang sangat sesuai untuk mereka yang ingin menikmatinya bersendirian tanpa gangguan.


Anda juga boleh merebus telur di sini. Telur tidak perlu dibawa dari luar kerana ia boleh dibeli di pondok berdekatan.


Kami hanya sempat merasa kehangatan air sahaja.

Saya bersama Shamsuddin Hassan hanya sempat mengabadi potret, menunjuk tanda 'best'.

Sebelum kembali ke rumah masing-masing, kami sempat mengambil potret kenang-kenangan.



Tiada ulasan: