Radio Internet FuhYooFm

Khamis, Ogos 13, 2009

CISARUA: TEMPAT PERISTIREHATAN WARGA ARAB

.
Ketika kami melalui jalan raya dari Bandung ke Jakarta, selepas melalui perbukitan Puncak, di sebuah pekan kecil, kelihatan pemandangan seolah-olah berada di Tanah Arab. Kalau tidak kerana bendera Sang Saka Merah Putih bergantungan, tentunya kita terlupa bahawa pekan tersebut berada di Indonesia.

Pekan yang saya maksudkan adalah Kampung Sampay atau kawasan Warung Kaleng di Cisarua. Di kawasan ini terdapat banyak villa dan bunglow yang dikhususkan untuk sewaan para tetamu terutama pelancong dari negara Arab.

Mengikut rutin tahunan, bulan Jun hingga Ogos adalah bulan yang paling ramai warga dari timur tengah ini berada di sini. Hairannya ialah mereka yang hadir di sini adalah merupakan pelancong lelaki dan tidak ada wanita ataupun kanak-kanak.

Pada tahun-tahun 1990an saya pernah mendengar tentang warga Arab yang sering ke Jakarta dengan tujuan untuk melancong di samping mencari teman wanita untuk ditiduri dengan cara yang dikatakan tidak menyalahi syariat iaitu menikahi secara nikah kontrak.

Di Cisarua, lelaki warga Arab akan berada di sini dalam tempoh yang agak lama, sekurang-kurangnya seminggu bahkan mungkin berbulan-bulan. Mereka akan ditemani oleh isteri yang dinikahi sambil berhibur.

Untuk itu tidak hairan apabila banyak perniagaan yang mengarah kepada citarasa orang Arab seperti mengadakan restoran dan kafe yang menyediakan sisha iaitu sejenis alat dan jenis tembakaunya yang boleh dihisap seperti menghisap rokok.

Soalnya ialah mengapa mereka ramai berada di kawasan Cisarua ini?. Ia mungkin disebabkan cuaca yang agak sejuk dan berdekatan dengan Kota Jakarta. Tempat ini memang sangat terkenal dengan panggilan 'Jabal' yang bermakna 'bukit' daam bahasa Arab.

Para pelancong Arab yang ke Jabal mudah untuk mendapatkan isteri kontrak kerana ramai pengantara atau 'calo' yang akan berurusan dan mempertemukan bakal-bakal isteri seperti di airport. Ia terdiri dari pemandu teksi yang halal dan haram. Begitu juga dengan peng'ojek' atau pemandu motosikal yang boleh membawa penumpang.

Mereka inilah yang mengetahui dimana calon isteri, wali dan jurunikah boleh didapati. Tidaklah dipastikan samada wali dan jurunikah ini mereka yang bertauliah atau sebaliknya. Untuk mencari tidak menjadi masalah kerana 'calo' inilah saksinya.

Mengapa begitu mudah pak-pak Arab ini mencari isteri?. Ia adalah kerana wang. Lelaki Arab sanggup membayar 4 juta hingga 6 juta rupiah sebagai mas kahwin. Wang ini tidak semuanya masuk ke saku isteri, bahkan sebahagiannya yang mungkin lebih dari separuh akan diambil oleh 'calo' kerana perkhidmatan yang telah diberikan.

Inilah yang menjadikan Cisarua terkenal sebagai kawasan peristirehatan warga Arab. Memanglah tepat ia dikatakan tempat istirehat bahkan juga sebagai tempat isteri yang tidak sehat.

Waullallahualam.


Tiada ulasan: