Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Oktober 11, 2009

HARI TERBUKA BERSAMA KARIAH MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI

.
Kemeriahan Hari Terbuka Bersama Kariah Masjid Jamek Bandar Baru Uda amat dirasakan bagi mereka hadir yang diadakan pada hari Ahad 11 Oktober yang lalu.

Majlis yang diadakan di Dataran Babussalam MJBBU seawal jam 9.00 pagi merupakan diantara detik kemeriahan Syawal kariah masjid BBU yang telah menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadan dengan mengimarahkan masjid kecintaan mereka.

Kehadiran mereka membuktikan sambutan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tadbir Masjid bersama dengan badan-badan dibawah naungannya sangat mengesankan terutama merapakatkan hubungan ukhuwah sesama kariah apatah lagi hubungan bersama pimpinan di semua peringkat.

Kehadiran YB Datuk Shahrir Samad, Ahli Parlimen Johor Bahru dan YB Haji Adam Sumiru, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tanjung Puteri lebih memeriah dan mengembirakan kariah yang hadir.

Kedua-dua wakil rakyat ini banyak memberi sumbangan dalam membantu perkembangan dan kemajuan MJBBU sehingga ia memberi imej yang baik dan dikenali seluruh negara.

Ketika berucap di majlis ini, YB Datuk Shahrir Samad berharap kejayaan organisasi yang ditadbir dengan begitu baik tidak akan menjadikan pemimpinnya begitu selesa terutama dengan puji-pujian yang boleh menyebabkan terleka. Beliau khuatir akan ada anasir-anasir yang boleh merosakkan perpaduan dan kemajuan.

Dengan sebab itu, beliau sangat berharap agar tenaga muda dan pelapis dapat diketengahkan kerana mereka mempunyai banyak masa dan ide baru dalam membangunkan kemajuan masjid. Mereka juga dapat merasai dan menjiwai kariah sezamannya.

Di majlis yang sangat meriah ini, mereka yang hadir dijamu dengan pelbagai hidangan enak seperti ketupat, sate, rendang, laksa, mee rebus, soto, otak-otak, burger, cendul, air tebu dan sebagainya.

Bagi golongan yang kurang bernasib baik seperti pesakit yang menerima rawatan dialisis (Peradia) di masjid BBU, mereka juga dijemput hadir dengan membawa keluarga masing-masing. Pesakit ini telah diberi hadiah bersempena dengan perayaan ini.

Lebih memeriahkan. soalan-soalan kuiz telah diberi kepada para peserta yang hadir dan mereka yang dapat menjawab telah diberi hadiah menarik seperti melancong keluar negara secara percuma.

Sebelum berkumandangnya azan solat Zuhur, majlis telah ditamatkan dan tentunya dengan kenangan manis kepada mereka yang hadir.


Tiada ulasan: