Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Oktober 31, 2009

KETELUSAN DATUK BANDAR BANDARAYA JOHOR BAHRU

.
Puan Hajah Aishah ketika melihat kerja
pembersihan pokok tumbang di Jalan Padi
Bandar Baru Uda

"Ini nombor telefon bimbit saya", begitulah ungkapan yang diluahkan oleh Tuan Haji Mohd Jaafar bin Awang, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru ketika berucap dalam perjumpaan dengan semua pegawai dan kakitangannya.

Dalam perjumpaan ulung ini, secara berterus terang beliau mengharapkan semua pihak akan menghubunginya sekiranya berlaku sebarang insiden yang perlukan tindakan segera dari Majlis Bandaraya.

Beliau menyatakan telefon bimbitnya boleh dihubungi pada setiap masa. Segala panggilan akan cuba dijawab atau juga boleh menggunakan secara mesej atau sms.

Ketelusannya patut dibanggakan. Ia memberi banyak manfaat terutama kepada wargakota Johor Bahru. Ia bukan omong kosong atau retorik kerana saya telah dapat menghubungi beberapa kali seperti ketika melaporkan masalah longkang tersumbat di Jalan Jagong 18 Bandar Baru Uda.

Saya tidak mahu mengambil kesempatan ketelusan Datuk Bandar ini dengan mengenepikan pegawai bawahannya. Tetapi ada ketika terpaksa menghubunginya terus untuk memperlihatkan betapa seriusnya sesuatu perkara untuk diambil tindakan.

Masalah longkang tersumbat mungkin masalah lumrah. Tetapi aduan yang telah dibuat berbulan-bulan lamanya dan tidak diambil tindakan mungkin menyebabkan pembayar cukai hilang sabar. Inilah yang berlaku di Jalan Jagong 18 apabila penduduk telah memanggil pemberita akhbar untuk melaporkan kelekaan Majlis Bandaraya untuk memperbaiki mutu perkhidmatannya.

Sekali lagi, beberapa hari lalu saya menghubunginya untuk membincangkan masalah peniaga-peniaga gerai di Jalan Padi Emas BBU yang diambil tindakan penguatkuasaan oleh penguatkuasa Majlis Bandaraya.

Sebagai Ahli Majlis, saya berasa simpati dengan nasib peniaga ini yang bergantung pendapatan dari perniagaan di kaki-kakilima kedai. Masalah yang berbangkit di sini adalah 'taukeh' atau pengusaha yang terlalu mementingkan keuntungan seperti Pasaraya Maideen, Restoran Osman dan Restoran Habs yang menyewakan tapak-tapak pejalan kaki orang awam.

Saya menyokong tindakan penguatkuasaan ini kerana perniagaan di kakilima dan tapak kosong petak kereta dan ruang penghijauan telah menyebabkan bantahan dari orang awam. Pada masa yang sama saya mengharapkan Datuk Bandar dapat menempat atau menyusunatur penjaja-penjaja ini di tempat yang sesuai agar punca pendapatannya tidak terhenti.

Soalan yang tidak dapat dijawab ialah apabila Datuk Bandar bertanya mengapa peniaga ini sanggup membayar sewa tapak yang bukan kepunyaan Pasaraya Maideen, Restoran Osman dan Restoran Habs sehingga ada yang melebihi satu ribu ringgit sebulan?.

Terbaru dengan ketelusan Datuk Bandar Johor Bahru ini ialah apabila berlaku pokok tumbang yang berlaku di Jalan Padi Bandar Baru Uda pada malam tadi.

Saya telah dihubungi oleh Rahmatullah Ajar, Ketua UMNO Cawangan Flat Skudai Kanan tentang kejadian tersebut. Saya segera menghubungi Pengarah Landskap MBJB dan terkejut apabila diberitahu Datuk Bandar telah menghubunginya lebih awal.

Saya ke lokasi kejadian dan mendapati kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan oleh pekerja kontraktor landskap.

Bukan saya seorang saja yang ingin memastikan kerja-kerja pembersihan segera dilakukan, bahkan Timbalan Setiausaha, Puan Hajah Aishah Kafi juga turut sama berada di sana.

Ketelusan Datuk Bandar sepatutnya difahami dan diikuti oleh semua pegawai bawahannya kerana ia memberi rahmat kepada semua pihak khususnya pembayar cukai.

Tiada ulasan: