Radio Internet FuhYooFm

Khamis, November 26, 2009

PENGGUNAAN MESIN PENGIMBAS DI SEMPADAN: BAGAIMANA JAWAPAN TIMBALAN MENTERI DALAM NEGERI DAN BAGAIMANA PULA PENGALAMAN SAYA

.
Saya ingin membandingkan jawapan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusof di Dewan Rakyat pada 23.11.2009 dalam isu penggunaan teknologi terkini di pintu-pintu masuk negara sebagaimana yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Arau. Dan bagaimana pula pengalaman saya ketika melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam pada 12 November yang baru lalu.

Berikut adalah jawapannya yang saya perolehi dari laman sesawang Parlimen Malaysia:

1. Dato’ Ismail Kasim [Arau] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah usahausaha kerajaan dalam meningkatkan penggunaan teknologi terkini di pintu-pintu masuk sempadan negara kita terutamanya dalam meningkatkan keupayaan mesin pengimbas (scanner) kerana pemasangan mesin pengimbas teknologi terkini di pintu keluar masuk negara bukan sahaja dapat meningkatkan tahap keselamatan tetapi juga menambah hasil pendapatan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I [Datuk Wira Abu Seman Yusop]: Terima kasihTuan Yang di-Pertua dan juga terima kasih kepada Yang Berhormat Arau yang telahmengemukakan pertanyaan pada pagi ini.

Untuk makluman Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, kerajaan sedar bahawapenggunaan teknologi terkini di pintu-pintu masuk negara adalah penting untuk mempertingkatkan tahap keselamatan negara.

Tuan Yang di-Pertua, bagi tempoh jangka pendek, kerajaan telah pun mengambil usahausahauntuk melengkapkan semua pintu masuk negara yang dikenal pasti strategik dengan mesin pengimbas berteknologi terkini bertujuan untuk mengesan kemasukan barang-barang terlarang dan menyalahi undang-undang negara. Bagi tempoh jangka panjang pula, kerajaan sedang mengkaji untuk mempertimbangkan bagi menaik taraf penggunaan mesin pengimbas berkuasa tinggi di tempat-tempat berkaitan. Terima kasih.

Dato’ Ismail Kasim [Arau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih YangBerhormat Timbalan Menteri. Daripada apa yang berlaku di kawasan sempadan sekarang ini,saya bercakap dalam konteks di kawasan Padang Besar dan juga Bukit Kayu Hitam dan mungkin ia juga berlaku di Johor sekalipun kerana dalam bidang homeland security ini kita tidak ada tolak ansur sebenarnya. Kita harus berbuat sesuatu kerana keadaan mesin ataupun kelengkapan yang kita miliki sekarang masih di dalam peringkat yang boleh dikatakan masih boleh diperbaiki terutamanya mesin yang ada sekarang, scanner yang kita ada di sempadan tidak dapat diakses dengan kadar yang cepat yang boleh menyebabkan berlakunya congested kepada kenderaan-kenderaan perdagangan. Kenderaan perdagangan ini ia bawa masuk bermacam-macam-macam terutama barang-barang perishable yang muda rosak, barang-barang busuk seperti baja ikan dan sebagainya. Di dalam itu sebenarnya berkemungkinan berlaku kemasukan barang-barang terlarang seperti senjata api, dadah dan sebagainya yang boleh menyebabkan sesuatu yang tidak baik kepada negara kita.

Jadi dalam jangka panjang, apakah cadangan pihak kerajaan dalam menubuhkan Bahagian Teknologi Keselamatan ini dalam memastikan kita peka untuk kita alert dari semasa ke semasa dalam kita memastikan kita dapat kenal pasti PU dengan leather misalnya. Kulit dan bukan kulit, beras dan tepung yang memang kerap kali berlaku bagi memastikan keadaan keselamatan di sempadan benar-benar stabil. Apa perancangan kerajaan dalam mengatasi perkara ini?

Datuk Wira Abu Seman Yusop: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga inginmengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Arau yang mana begitu prihatin terutamanya terhadap keselamatan negara kita. Berkaitan dengan cadangan Yang Berhormat bagi mewujudkan Bahagian Teknologi Keselamatan, itu merupakan satu cadangan yang baik yang mana saya akan mengemukakan kepada pihak atasanlah untuk menilai di atas perkembangan itu.

Seterusnya Tuan Yang di-Pertua berkaitan dengan mesin pengimbas yang telah dipasang di tempat-tempat strategik ini. Kalau di Padang Besar dan juga di Bukit Kayu Hitam di mana mesin yang dipasang adalah mesin yang boleh mengimbas bagasi dan juga badan. Di Padang Besar juga di mana mesin yang telah dipasang itu adalah mesin yang boleh mengimbas kargo juga. Akan tetapi berkaitan dengan untuk meningkatkan mesin-mesin yang berkuasa tinggi yang mana pada hari ini kita ada dua tempat yang telah dipasang iaitu di Port Klang dan juga di Bagan, Pulau Pinang yang mana ini merupakan mesin pengimbas berkuasa tinggi yang boleh see through barang-barang kargo di dalam kontena.

Di dalam jangka masa panjang sebagaimana yang telah saya nyatakan tadi bahawa kerajaan memang sentiasa prihatin untuk meningkatkan lagi pemasangan mesin pengimbas berkuasa tinggi ini di tempat-tempat lain selain daripada dua yang telah ada dipasang. Ini mengikut kemampuan negara kita. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua memberi peluang kepada saya. Soalan tambahan, saya ingin bertanya Yang Berhormat Timbalan Menteri, selain pintu masuk sempadan perlu diperketat, bagaimanakah kawalan ke atas ‘jalanjalan tikus’ yang menjadi laluan pendatang asing tanpa izin (PATI)? Sejauh mana kerajaan berjaya mengesan pelancong-pelancong asing yang habis tempoh Visa mereka, untuk dihantar balik ke negara asal

Datuk Wira Abu Seman Yusop: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Berkaitan dengankeselamatan jalan-jalan tikus. Sebenarnya jalan-jalan tikus ini bukan tinggal “jalan tikus” sahajabahkan sudah jadi “jalan gajah” sebenarnya. Bagaimanapun pihak kementerian, terutamanya Jabatan Polis, Imigresen dan sebagainya sentiasa mengadakan operasi-operasi dari semasa kesemasa untuk mengawal kebanjiran pendatang asing yang datang ke negara kita. Berkaitan dengan pelancong-pelancong ataupun rakyat warga asing yang mana tinggal di sini lepas daripada tempoh yang diluluskan, kalau pelancong terutamanya mereka yang datang melalui VOA, kita telah mengambil maklumat-maklumat tempat tinggal mereka yang mana pihak berkuasa selalu membuat tinjauan, penguatkuasaan dan pemeriksaan. Yang lainlainnya, yang mana mereka datang untuk mengenal pasti mereka yang telah lepas tempoh yang dibenarkan bahawa selalunya Imigresen dan polis juga ada membuat operasi dari masa ke semasa untuk menahan dan juga menangkap mereka. Ini merupakan yang dalam kategori PATI. Terima kasih.


Pengalaman saya ketika melalui sempadan di Bukit Kayu Hitam:

Pada hari Khamis, 12.11.2009 jam 12 tengahari, saya beserta isteri dan Shafikah bertolak balik ke Johor Bahru dari Hatyai dengan menaiki bas ekspres berwarna kelabu. Saya membeli tiket di Indah Fam Ltd di Hatyai.

Ketika sampai di pekan Danok bersempadan Bukit Kayu Hitam, kami diminta turun dari bas dan membawa semua barangan dan bagasi. Pemandu bas dan pembantunya seramai 2 orang tidak membenarkan kami meninggalkan sebarang barangan di dalam bas. Kami patuh kerana ia adalah amalan biasa apabila melintasi kawasan sempadan walaupun di Eropah tidak begini.

Saya mengheret 2 beg berisi pakaian dan sekotak besar ole-ole isteriku. Sedia maklum saja, bagi orang Melayu yang keluar negara untuk tujuan makan angin, pastinya berbelanja. Berpeluh juga saya membawa beg-beg apatah lagi apabila terpaksa mengangkatnya untuk diletakkan di mesin pengimbas srta turun naik bas.

Alhamdullillah tidak ada cukai yang dikenakan kepada barang-barang yang kubawa. Apa yang kulihat pada ketika itu tiada penumpang bas serta mereka yang melalui kawasan pemeriksaan. dikenakan cukai. Pegawai-pegawai Kastam begitu relaks, istirahat.

Mungkin tidak ada barang yang perlu dikenakan cukai. Sebab itulah mereka relaks. Kita tidak boleh menyalahkan mereka yang bekerja di pusat pemeriksaan ini. Soalnya ialah tidak mungkinkah ada barang-barang bercukai yang telah terlepas dari pemeriksaan kastam?

Kami menaiki semula bas dan tidak jauh dari pintu sempadan, bas berhenti di sekatan UKK (Unit Kawalan Kawasan). Saya memerhati seorang pembantu pemandu bas turun dan berkata sesuatu serta menepuk bahu seorang pegawai petugas UKK. Tidak seorang pun petugas UKK ini yang memeriksa ruang menyimpan barangan atau melihat barangan yang dibawa oleh penumpang.

Setelah berehat sebentar di sebuah restoran, saya melihat seorang berbangsa Cina yang saya tidak pasti samada ia penumpang atau salah seorang petugas di dalam bas berkenaan. Mereka yang sudah berempat termasuk pemandu, nampak begitu riang.

Ketika bas berhenti untuk mengisi minyak (saya tidak pasti dimana tempatnya), ramai penumpang yang turun untuk pergi ke tandas. Saya tidak tergerak untuk turun mungkin masih belum berhajat lagi. Di waktu hampir kesemua penumpang tiada dalam bas, waktu itulah seorang Cina yang pada hematku tadi pemandu atau pembantunya, bergerak ke setiap penjuru di dalam bas untuk mengeluarkan bungkusan dari bawah setiap kerusi termasuk kerusi yang sedang saya duduk.

Saya sangat terkejut kerana begitu banyak bungkusan berwarna hitam yang dikeluarkan. Setiap bungkusan mungkin seberat 10 hingga 15 kilo. Saya tidak pasti apa barangnya, mungkin beras atau pulut. Entahlah. Yang saya pasti barang-barang tersebut telah disembunyikan atau disorok.

Semua barangan tersebut dikumpulkan di hadapan kerusi yang biasanya tempat yang dikhaskan untuk pembantu atau pemandu untuk berehat.

Saya berasa hairan mengapa pula tetiba bas yang sedang melalui lebuhraya Utara-Selatan keluar untuk ke Taiping. Pada ketika itu orang yang saya perkatakan tadi sibuk menghubungi seseorang melalui talipon bimbitnya.

Akhirnya bas berhenti di sebuah bengkel dan apa yang saya lihat tayar hadapan di sebelah kiri ditukar. Pada ketika itu, sebuah kereta Proton Wira berwarna hijau muda berhenti bersebelahan bas dan semua barangan yang disorok tadi dimasukkan ke kereta berkenaan.

Semua kerja-kerja memunggah dilihat oleh beberapa orang penumpang. Saya pasti kerja penyeludupan telah dilakukan oleh individu yang saya katakan tadi. Individu inilah yang menurunkan semua barangan dengan bantuan dua orang kakitangan bas. Mereka menjalankan kerja begitu cepat.

Saya nampak pemandu yang membawa kereta Proton Wira diberi wang sebanyak RM30 mungkin sebagai upah membawa kereta. Ketika kereta keluar dari bengkel, individu Cina tadi yang memandu sementara yang mendapat RM30 hanya duduk disebelah saja.

Dari pengalaman yang saya ceritakan, hairankah kita apabila banyak kedapatan penggunaan senjata seperti pistol yang digunakan oleh samseng dan perompak di negara kita? Atau pelikkah kita apabila negara kita terkenal sebagai negara yang digunakan untuk transit pelbagai jenis dadah?.

Maklumat yang perlu dikemukakan kepada Timbalan Menteri Kewangan ini ialah mesin pengimbas tidak berfungsi sekiranya manusia yang mengoperasikannya masih di takuk yang lama juga.

Tiada ulasan: