Radio Internet FuhYooFm

Khamis, November 05, 2009

MUDAH MENCARI MAKANAN HALAL DI HATYAI

.
Tidak susah untuk mencari makanan muslim atau makanan halal di Hatyai. Di mana-mana jalan atau lorong mungkin terdapat sebuah dua gerai atau kedai, cuma kita perlu melihat samada tulisan jawi atau kalimat alquran yang dipaparkan. Ini penting kerana mereka bertutur dalam bahasa yang sama, bahasa Thai dan sukar untuk berkomunikasi dalam bahasa lain.

Selain kalimat dan paparan ‘halal’, lihat juga wanitanya. Kebanyakannya wanita di sini bertudung walaupun ramai juga muslimah yang tidak memakainya.

Pelik juga, muslim disini tidak memperaktikkan ungkapan salam “assalamualaikum’, sebaliknya ‘sawadikap’ yang sering diucapkan apabila bertemu. Mereka juga kurang fasih berbahasa Melayu, hanya beberapa ungkapan yang boleh dituturkan. Begitupun, ada juga yang bercakap dengan fasih dengan dialegnya sedikit kepada dialeg Kelantan.

Bagi saya, masakan mereka lebih enak terutama jenis yang kita dapati pada masakan Siam di Negara kita seperti Tomyam dan sebagainya. Ia lebih terasa kerana inilah masakan dan makanan mereka.

Pagi kedua di Hatyai, seawal jam 7 pagi waktu di sini atau 8 pagi di Malaysia, bersama Rahman kami telah sampai ke Jalan Mussalim atau mungkin bermakna Muslim. Untuk sampai disini amat mudah, naik saja teksi Tut-Tut dari mana saja di Hatyai dengan membayar 20 Bat atau sekitar RM2, anda akan dibawa ke tempat yang dituju.

Di jalan ini terdapat sebuah masjid yang diberi nama Masjid Majjamoh. 200 meter dari persimpangannya terdapat Pejabat Pos Hatyai. Di kiri kanan jalan ini adalah penempatan penduduk Islam, memang ramai muslim disini.

Masalah disini ialah gerai di tepi jalan dan di kaki-kakilima. Terpulanglah kepada kita menilainya samada makanannya bersih atau sebaliknya.

Sesuatu yang berlainan disini adalah hubungan antara peniaga, pelanggan dan penduduknya begitu ramah dan mesra. Mereka juga kelihatan santai sehingga ada gerai-gerai yang mempunyai tempat pembaringan.

Mengenai harga jualan mereka, jangan risau kerana ia sedikit murah berbanding di Negara kita.

Tiada ulasan: