Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Disember 23, 2009

ISTERIKU HILANG DOMPET DI JALAN TUANKU ABDUL RAHMAN

.
Sebaik menaiki kereta dari KLIA, isteriku memberitau sesuatu, "Bang ada satu berita kurang baik". Hatiku memang sangat berdebar kerana selama 5 hari berada di Kampuchea, saya tidak mengaktifkan telefon bimbit, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan ketika berada di luar negara.

Hatiku memang sangat berdebar. Tentulah ingatan pertama adalah kepada keselamatan keluarga terutama anak-anak dan ibuku.

Dengan tidak membuang masa, isteriku memberitahu perihal dompetnya hilang ketika berbelanja membeli tudung di Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur.

Isteriku tahu tentang respon dari suaminya kerana dia telah beberapa kali kehilangan barangan berharga. Seperti biasa, saya akan bertanya beberapa perkara terutama sebab kehilangan. Dan jawapan yang akan didengar adalah juga seperti sebelum ini "U mesti sabar, ia adalah dugaan dan kita mesti redha".

Jawapanku menyebabkan dia tidak terlalu sedih walaupun saya tahu kehilangan dompet yang mengandungi wang RM1200 begitu menyedihkan. Dia menyimpan wang untuk digunakan pada perjalanan kami ke Tawau Sabah pada hujung bulan ini.

Baginya, barang-barang lain yang hilang seperti kad pengenalan, lesen memandu dan kad ATM tidaklah merisaukan.

Laporan Polis yang dibuat

Dia percaya perbuatan pukau telah dilakukan oleh sekumpulan wanita yang iras rupanya seperti warga Filipina. Ia diakui sendiri oleh Hjh Kartini, kakak ipar yang bersamanya ketika itu.

Mereka berdua merasa pelik kerana ketika kejadian mereka nampak ramai orang berasak-asak di kedai. Isteriku sendiri hilang ingatan dalam beberapa saat. Ketika ingin membayar tudung yang dibeli, dia teringat telah memberikan dompet pada seseorang yang dia sendiri tidak kenali. Peliknya ketika itu suasana di situ lengang hanya ada beberapa orang termasuk pekerja kedai.

Peristiwa kehilangan dompet belum berakhir kerana pada hari esoknya, kakak ipar pula hilang RM200 apabila poket bajunya robek yang mungkin digunting oleh seseorang. Tempat berlaku juga di deretan kedai tudung Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Ketika membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, terdapat beberapa wanita yang senasib dengannya, hilang wang kerana dicopet dan dipukau!.


Tiada ulasan: