Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Disember 23, 2009

ZIARAH DAN REHLAH KE KAMPUCHEA

.
Sekali lagi, Kelab Warga Emas Masjid Jamek Bandar Baru Uda membuat lawatan, ziarah dan rehlah ke luar negara. Kali ini, negara yang dilawati adalah Kampuchea yang juga dikenali sebagai Cambodia dan juga Kamboja.

Pada peringkat awal, rombongan kami adalah seramai 40 orang. Ramai lagi yang ingin mengikutinya. Bagaimanapun, salah seorang dari ahli rombongan, Haji Ali Zaitun tidak dapat mengikuti sama di saat akhir kerana tugas yang lebih penting.

Kami berkumpul dan bertolak dari perkarangan Masjid BBU pada hari Rabu 16 Disember jam 10 malam dengan menaiki bas persiaran menuju LCCT Sepang.

Pada keesokan harinya, jam 7 pagi kami berlepas ke Seam Reap dengan menaiki penerbangan Air Asia.

Di Seam Reap, pemandu pelancong berbangsa Khmer bernama Berg menunggu kami dan terus membawa kami ke kuala sungai di Tasek Tonle Sap. Di sini kami dibawa menaiki boat untuk melihat suasana dan penghidupan penduduk yang banyak bergantung kepada kehidupan air seperti nelayan kecil-kecilan.



Di tempat ini yang dipenuhi oleh penduduk berbangsa Khmer dan Vietnam. Kebanyakan mereka adalah nelayan. Kehidupan mereka agak daif. Ramai ibu dan anak kecil yang meminta-minta.

Disini terdapat juga sekelumpuk kecil masyarakat Melayu Cham beragama Islam. Mereka seramai 30 keluarga begelut dengan suasana yang begitu mencabar. Terdapat sebuah surau yang digunakan untuk mereka beribadat. Untuk menunaikan solat Jumaat, mereka terpaksa ke Seam Reap yang jauhnya hampir 10 kilometer.

Di sebelah petang, kami dibawa ke De Artisan of Angkor iaitu sebuah tempat kerjatangan dan ukiran seni bangsa Khmer.

Melihat kerjatangan di De Artisan of Angkor

Kami ditempatkan di sebuah hotel 3 bintang, Aspara Holiday Hotel yang begitu selesa. Di sini kami hanya minum pagi dengan mengambil roti bakar dan buah-buahan sahaja kerana khuatir dengan masakan yang tidak halal.
Kenangan Hj Abdullah dan isteri di hadapan Aspara Holiday Hotel, Seam Reap

Beca mengguna motosikal banyak
dan sangat popular kepada pelancong di Seam Reap

Setelah melawat pasar malam, keesokannya kami dibawa melawat kawasan Angkor Wat yang begitu dikenali dan dimasukkan dalam senarai terakhir 21 keajaiban dunia. Wikipedia menyenaraikannya sebagai keajaiban, keindahan dan suaka.

Bergambar di hadapan binaan di kompleks Angkor Thom
yang didirikan oleh pemerintahan Jayawarman VII

Sebelum melepaskan penat lelah di hotel, pemandu pelancong menawarkan kepada kami untuk melihat sekitaran kawasan Angkor Wat dengan menaiki belon panas. Beberapa orang peserta rombongan tidak melepaskan peluang menaikinya.

Sahabat berempat menaiki belon panas


Sepanjang berada di Seam Reap, kami menikmati makan tengahari dan malam di Restoran D'Wau yang diusahakan oleh seorang Melayu rakyat Malaysia.

Bersebelahan restoran ini terdapat sebuah hotel yang diusahakan oleh pengusaha beragama Islam.

Roti canai pun ada disini

Pada hari ketiga adalah perjalanan ke Phnom Penh. Di perjalanan, kami singgah di dua buah masjid perkampongan orang Islam untuk menunaikan solat, makan tengahari dan menghadiahkan kitab serta muqadam.

Kariah Masjid Ar-Rahman diketuai oleh Ashari ketika menyambut kami

Lewat petang kami sampai di Phnom Penh dan menginap di hotel 3 bintang, Pacific Hotel. Kami mengambil roti bakar untuk sarapan pagi dan makan tengahari serta malam di Holiday Villa.

Sebelum mendaftar masuk hotel, kami sempat menikmati keindahan alam sore di Phnom Penh dengan melayari pertemuan 3 kuala sungai. Amat indah disini dengan ketenangan sungainya walaupun mungkin tidak setenang sebahagian penduduknya yang sentiasa berkejaran untuk sesuap nasi.

Gaya Berg, pemandu pelancong memberi penerangan

Hari keempat adalah program ketat termasuk membelibelah sehingga kami tidak sempat ke Killing Field iaitu satu tempat yang seharusnya tidak patut ditinggalkan. Apakan daya, rombongan kami belum puas berbelanja. Begitupun, impian ke Russian Market juga masih tidak terlaksana.

Mebelibelah adalah acara wajib rombongan kami

Seperti yang diatur oleh agen pelancongan, lawatan pertama kami ke Independence Monument yang dibina pada tahun 1958. Pembinaan monumen berciri Angkor Wat ini adalah sebagai memori peperangan dan kemenangan menentang penjajah Perancis.

Kenangan di hadapan Independence Monument

Seterusnya kami ke kompleks Istana Diraja yang diduduki oleh Raja Kemboja, Norodom Sihamoni.

Pemandu pelancong kami memberitahu, sekiranya bendera warna biru berkibar, bermakna Raja Kemboja berada dalam negara sebagaimana yang kami lihat pada hari lawatan.

Pegawai khas Istana memberi penerangan

Selepas melawat kompleks Istana, kami dibawa ke Muzium Nasional yang dibena pada tahun 1917 dan pernah dibaiki pada tahun 1968. Muzium ini menyimpan lebih 14,000 koleksi yang dijumpai dari sejarah sebelum, semasa dan selepas Empire Khmer. Kebanyakannya adalah temuan yang mempunyai unsur agama Hindu dan Budha.

Pintu utama Museum Nasional

Bergambar di pintu kayu

Apakah ini patung Hanuman?

Kami diberitahu banyak koleksi yang hilang dan musnah semasa rejim Khmer Rouge berkuasa pada tahun 1975 hingga 1979. Rejim yang diketuai oleh Pol Pot yang berkiblat ke Komunis China tidak membenarkan rakyat Kemboja beragama.

Silver Pagoda

Kami cuba mengelak untuk mengikuti lawatan seterusnya yang tertera dalam jadual. Memandangkan pemandu pelancong menyatakan perbelanjaan untuk bayaran masuk telah dikeluarkan, kami pergi juga ke Silver Pagoda atau temple of the Emerald Budha. Asalnya kuil ini dibina dengan menggunakan bahan kayu dan ia telah dibina semula dengan konkrit dan marble pada tahun 1962.

Di Silver Pagoda ini terdapat patung Budha diperbuat dari emas seberat 90 kilogram. Selainnya terdapat pelbagai artifek menarik seperti permata manikam.

Bayaran masuk pada setiap pelancong adalah sebanyak USD3 atau RM12.

Dari Silver Pagoda, kami dibawa melawat Tuol Sleng Genocide Museum. Di muzium yang berasal dari Sekolah Menengah Tinggi (Chao Ponhea Yat High School) ini telah dijadikan Security Prison 21 (S-21) oleh rejim Khmer Rouge dari tahun 1975 sehingga kejatuhannya pada tahun 1979.

Dalam tempoh tersebut dianggarkan sejumlah 17,000 hingga 20,000 orang telah dijadikan tahanan untuk tujuan soalsiasat dan penyiksaan yang akhirnya akan dilakukan pembunuhan tanpa perikemanusiaan.

Pada tahun 1980, pemerintah Peoples's Republic of Kampuchea yang mengambilalih pemerintahan dari Khmer Rouge telah menjadikan sekolah ini sebagai muzium dan dibuka kepada orang awam.

Dahulu adalah Chao Ponhea Yat High School
yang dijadikan tempat tahanan Khmer Rouge,
sekarang menjadi Muzium Toul Sleng


Alatan untuk soalsiasat dan penyiksaan

Ilustrasi gaya soalsiasat dan penyiksaan S-21

Tengkorak, bukti pembunuhan

Diantara mangsa penyiksaan dan pembunuhan

Dari Mozium Toul Sleng, sepatutnya kami ke Killing Field Choeung Ek., namun tidak berkesempatan kerana ia agak jauh, 17 kilometer ke selatan Phnom Penh. Disini telah ditemui 8,895 rangka manusia yang dikebumikan dalam lubang besar.

Bagaimanapun, kami sempat membelibelah di Central Market. Walaupuun rombongan kami belum puas berbelanja, namun kami tetap berpuashati dalam program lawatan ini.

Mebelibelah adalah acara wajib rombongan kami

Walau apapun, program yang tidak tertera dalam jadual perjalanan iaitu untuk menunaikan solat di Masjid Nurun Naim, Kampong Batu 8, telah dapat kami lakukan. Ia mungkin lebih bermakna kerana di sini begitu ramai kariah yang menunaikan solat Maghrib berbanding dengan jumlah penduduk yang ada.

Bergambar dengan kariah Masjid Nurun Naim

Hampir separuh ruang masjid dipenuhi sedangkan pula pada hari Jumaat, masjidnya penuh. Keadaan seperti ini tidak terdapat di mana-mana masjid di Malaysia.

Di masjid ini, saya berpeluang berjumpa dengan sahabat saya yang bernama Md Rozali Zakaria yang nama dan wajahnya sering terpampang dalam program tv anjuran Astro dan juga program dengan kerjasama IKIM (Ziarah Korban).

Kami seronok berada 2 hari di Phnom Penh kerana menikmati makan tengahari dan malam di Holiday Villa, halal dan sangat memuaskan.

Holiday Villa, Phnom Penh

Kami juga dapat menikmati makanan halal Arab dari restoran Le Cedre yang diusahakan oleh rakyat Lebnon. Pastinya makanan yang dihidangkan adalah serupa dengan Roti Nan berlaukkan kambing.

Hj Yusri, Hj Abdullah dan Hj Salam
di hadapan restoran Le Cedre

Haji Mohd Said ni pandai ke main gambus?

Alhamdullillah, Isnin hari kelima adalah perjalanan balik ke tanah air, kami menaiki penerbangan MAS dan berlepas pada jam 11 pagi dan sampai di KLIA pada jam 2 petang.

Seterusnya kami menaiki bas persiara dan sampai di Bandar Baru Uda pada jam 8 malam dengan membawa pelbagai kenangan manis.

Bersiap sedia untuk pulang ke tanah air

CORAT CORET GAMBAR

2 gambar di atas menunjukkan 2 pasangan unggul. Masing-masing mempunyai ciri kelebihan tersendiri.

Mereka ialah pasangan Haji Abdullah Saaban dan pasangan Haji Muslim.

Ahli rombongan sebulat suara telah memilih pasangan Haji Muslim sebagai pasangan unggul. Kelebihannya adalah pasangan pilihan ini lebih romantis.

Sebuah cenderamatan yang telah disampaikan kepadanya.

Gambar ini pula menunjukkan Haji Mohd Said dan Haji Abdullah begitu seronok menikmati minuman air kelapa muda. Mereka berdua memang sangat meminati minuman ini.

Apa sudah terjadi?, Haji Mohd Said demam, sakit perut dan sakit kepala pada hari perjalanan balik ke Johor Bahru.

Apakah kerana meminum air kelapa muda?.

Entahlah.
.

Tiada ulasan: