Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Januari 30, 2010

KALI KETIGA DIGANGGU PENYAKIT GOUT

.
Petang semalam sendi ibu jari kaki kanakku telah mula membengkak, panas dan terasa sakit. Saya gagahkan juga untuk mengikuti majlis membaca Yasiin dan tahlil di Istana Besar. Dato' Shahrir telah memberi arahan supaya AJK UMNO dan Pemuda Bahagian Johor Bahru untuk turut sama dalam majlis tersebut.

Saya telah menjangka sakit ini adalah sakit gout yang pernah saya rasai dahulu, mungkin 5 tahun sebelum ini. Julung kali saya terkena adalah semasa membuat persiapan perkahwinan anak sulungku, Suria Irwany. Saya banyak memakan Tempeyek Kacang Tanah yang diberi oleh jiran sebelah rumah. Memang sedap hingga kaki begitu sakit pada keesokan harinya. Saya ke klinik berdekatan dan diberi satu suntikan yang dapat menghilangkan bisa.

Kali kedua adalah berpunca memakan sotong Cumi di Tanjong Pinang. Saya makan agak banyak seperti makan kacang putih. Keesokan hari kaki telah membengkak hingga sukar untuk memandu kereta.

Saya gagahkan juga ke Istana Besar walau tidak selesa, berjalan terhenjut kerana menahan sakit. Hj Abd Lah Awang, seorang penggiat NGO di Johor bersedia membawa saya ke sana.

Sepanjang malam saya menahan kesakitan. Terasa bisa seperti dicucuk di sendi jari kaki. Saya teringat penyakit ini adalah disebabkan oleh aaid urik yang telah berkumpul di bahagian bawah iaitu di jari kaki. Dahulu, penyakit ini dikaitkan dengan penyakit orang kaya kerana ia dikaitkan dengan jenis pemakanan yang terlalu banyak berkhasiat. Ketika tidur, untuk mengurangkan kesakitan, saya terpaksa meletakkan kaki kanan ke atas, lebih tinggi dari paras badan. Alhamdullillah, berkesan.

Sekitar jam 10 pagi, saya meminta isteri memandu kereta untuk membawa saya ke Klinik Perling dialamat 500 Jalan Simbang, Taman Perling. Saya ke sana untuk meminta khidmat nasihat dan merawat penyakit. Pemilik klinik adalah Dr. Ahmad Tarmimi Bokhari, anak saudara sepupu. Ibunya, Hjh Fatimah Maskon adalah sepupu waris. Pak Maskon adalah abang kepada ayahku. Sebab itu saya mencarinya untuk mudah meminta nasihat.

Dr Ahmad Tarmimi yang biasa sejak kecil kami memanggilnya 'Mamat' bertanya tentang jamuan khususnya makanan laut yang saya ambil dalam tempoh sehari dua ini. Dua hari sebelumnya saya bersama YB Adam Sumiru dan rakan-rakan mengikuti solat Maghrib dan Isyak dengan penduduk Kg Sri Paya. Selepas dari program ini, kami ke Restoran Anggun di Larkin Perdana. Saya menjamu Tom Yam Chingemai, ada yang memanggilnya Tom Yam Sedafood kerana diantara bahannya adalah Ketam dan makan laut lainnya.

Keesokan harinya pula, isteri menyediakan goringan ikan bilis yang dicampur dengan bawang dan lada. Enak, banyak yang saya makan, hampir separuh pinggan. Memang sedap kerana selepas makan saya masih meratah ikan bilis ini. Puncanya mungkin ikan bilis yang saya beli dari Kota Kinabalu, bersih, segar, cantik dan rangup.

Mamat mengatakan ikan bilis yang menjadi punca kerana terlalu banyak yang saya ambil. Kalangan lelaki yang berumur melebihi 40 tahun adalah yang paling ramai dihinggapi, apatah lagi umurku sudah mencapai 58 tahun. Asid urik biasanya menyerang pada ibu jari kaki terhasil dari pemecahan sel-sel tua yang mati yang berlaku dalam hati selain mengambil makanan yang tingi kandungan protinnya seperti makanan laut dan daging.

Bagi mengurangkan paras asid urik, Mamat memberi ubat untuk diambil setiap jam bagi mengeluarkannya melalui air kencing dan najis. Dalam tempoh 3 hari sekiranya najis telah menjadi cair, pengambilan ubat boleh dihentikan. Selain itu ubat yang diberi adalah tablet penahan sakit dan menghilangkan bengkak.

Saya akan berusaha untuk mengelakkan berulangnya penyakit ini. Banyak maklumat yang boleh didapati dalam internet dan diantaranya adalah dari Portal Hospital Bentong (boleh klik di sini). Saya akan berusaha untuk mengurangkan asid urik dalam badan seperti menjaga kegemukan kerana ia boleh mengganggu keupayaan badan untuk mengeluarkan asid urik. Selain itu pengambilan berlebihan makanan purin berprotein tinggi seperti makanan laut (udang, ketam, sotong, ikan bilis dan sebagainya) serta daging merah (kambing, lembu dan lain-lain) akan menyebabkan berlebihan asid urik sehingga menderita gout.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Pak uda, knp x bgtau ade sakit2?Lain kali, share2la dengan najlaa..Bolela paling2 tolong doakan :)