Saya tidak pasti sudah berapa kali saya membantu Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil. Kali ini di Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan ada 25 April ini, sekali lagi saya diminta oleh UMNO Bahagian Johor Bahru untuk membantu kemenangan calon BN.
Selasa pagi, bersama beberapa orang AJK UMNO Bahagian, Pergerakan Wanita dan Pemuda, kami ke markas UMNO Johor di Taman Meranti, Bandar Baru Batang Kali, Selangor. YB Adam Sumiru, Naib Ketua UMNO Bahagian menjadi ketua rombongan.
Tugas yang diberi kepada kami adalah untuk menemui pengundi dan merayu kepada mereka untuk mengundi calon BN dari MIC iaitu P. Kamalanathan. Kami bergerak dalam kumpulan kecil bersama petugas dari UMNO Bahagian Pasir Gudang dengan dipandu oleh petugas dari tuan rumah, UMNO Hulu Selangor.
Berdasarkan kepada pengundi Melayu yang kami temui, tidak ada masalah untuk mereka mengundi calon BN. Cuma yang agak sukar adalah pengundi bukan Melayu terutama kaum Cina yang agak sukar. Pengamatan kami adalah seperti mereka sudah membuat keputusan awal untuk tidak mengundi calon BN. Buktinya seperti mereka langsung tidak mau ditemui atau diajak berbual. Begitupun, kami tidak berputus asa dan terus berusaha memujuk mereka.
Suasana agak meriah dengan petugas dari kedua-dua parti bekerja siang dan malam. Yang jelas, pekerja kakitangan kerajaan negeri juga melakukan pelbagai kerja yang boleh dianggapkan sebagai kerja membantu calon parti dari kerajaan negeri, tentulah calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.
Malam ini tadi, kami dapat bertemu ketua kami, Datuk Seri Utama Hj Shahrir Samad yang datang ke Bilik Gerakan dan seterusnya bersama-sama bekerja membantu kemenangan calon.
Di kawasan bilik gerakan Rumah Johor sukar untuk mencari hotel atau rumah tumpangan. Kami bernasib baik kerana Batang Kali berdekatan dengan Gentinjg Highland. YB Adam mencarikan kami seunit apartment di Awana dan dapatlah kami melepaskan keletihan.
Insyaallah, esok pagi kami akan bertolak balik ke Johor Bahru dan berharap usaha sedikit dari kami ini akan dapat memenangkan calon Barisan Nasional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan