Hari Sabtu 24 April 2010 merupakan tarikh yang tidak akan saya lupakan. Pada tarikh itu, saya telah menghadiri Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Sekolah Agama BBU dan telah menolak pencalunan untuk menduduki jawatan Ahli Jawatankuasa.
Inilah pertama kali saya tidak memegang sebarang jawatan dalam Badan Kebajikan Sekolah Agama BBU sejak ia ditubuhkan pada tahun 1982. Saya telah memegang jawatan-jawatan AJK, Timbalan Pengerusi dan juga Pengerusi. Semasa memegang jawatan Pengerusi, Badan Kebajikan sekolah ini pernah mendapat anugerah Badan Kebajikan Cemerlang bagi negeri Johor.
Penolakan jawatan ini adalah kerana sudah sampai masanya pemimpin baru diketengahkan. Ramai yang boleh memberi khidmat bakti, namun biasanya sekiranya jawatankuasa lama tidak mengundur diri, maka selama itulah mereka tidak menunjulkan diri.
Prinsip saya jelas dalam perkara ini. 4 tahun lalu saya telah menyuarakan hasrat saya untuk tidak lagi memegang jawatan Pengerusi tetapi terpaksa menarik balik kerana rayuan dengan mengajukan surat dari guru-guru sekolah. Bagaimanapun, 2 tahun lalu, saya telah mengutarakannya sekali lagi dan percaya pengganti saya Hj Abd Razak Mohamad yang ketika itu menjadi Timbalan Pengerusi, layak memikulnya. Begitupun, Pengerusi baru, Hj Abd Razak telah melantik saya sebagai AJK tambahan. Saya tidak bermasalah untuk menerimanya kerana menganggap ia adalah satu penghormatan dan mungkin ingin bantuan dari pengalaman yang ada pada saya.
Kini, setelah 2 tahun berlalu, saya begitu yakin dengan gabungan kepimpinan Hj Abd Razak dan Hj Abdullah Md Saaban maka saya benar-benar ingin mengundurkan diri dan berharap Badan Kebajikan ini akan dapat memainkan peranannya dengan lebih berjaya.
Alhamdullillah, perjalanan mesyuarat agong yang dirasmikan oleh YB Hj Adam Sumiru, ADUN Tanjung Puteri telah berjalan dengan sempurna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan