Radio Internet FuhYooFm

Khamis, Jun 12, 2008

LAWATAN KE JAWA TIMUR DAN JAWA TENGAH (16.7.08 HINGGA 21.8.08)

Ada sesiapa yang ingin mengikuti lawatan yang dianjurkan oleh Masjid Jamek Bandar Baru Uda?

Jadual Lawatan:

16.08.2008(Sabtu):
Berkumpul di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru untuk taklimat dan terus ke Lapangterbang Senai dengan menaiki bas yang disediakan. Berlepas ke Surabaya dengan pesawat AirAsia dan sesampainya di Surabaya terus mendaftar hotel untuk penginapan. Selepas makan malam adalah 'City Tour' dan acara bebas.

17.08.2008 Ahad):
Selepas minum pagi akan dibawa melawat Masjid Agung Sunan Ampel dan akan terus bertolak ke Batu, Malang (kawasan perbukitan) untuk melihat tanaman epal, strawberry, anggur dll. Selepas makan malam dibawa 'City Tour' dan acara bebas. Bermalam di Malang.

18.08.2008 (Isnin):
Bertolak ke Yogyakarta melalui Solo untuk membelibelah dan melawat Masjid Agung/Keraton, Borobodor & Perambanan sebelum mendaftar hotel di Yogyakarta. Malam 'City Tour' di Jalan Malioboro dan acara bebas.

19.08.2008 (Selasa):
Selepas minum pagi bertolak ke Demak untuk lawatan ke Masjid Agung Demak dan Permakaman Sunan Kalijaga. Mendaftar hotel di Semarang/Demak/Kudus. Acara malam adalah silaturrahmi dan tahlilan di Pondok Pesantren di Demak.

20.08.2008 (Rabu):
Selepas minum pagi akan bertolak ke Jepara untuk melihat ukiran dan kerjatangan dari kayu jati dll. Seterusnya membelibelah di Pasar Kudus. Dalam perjalanan ke Surabaya akan melewati Tuban Gresik (Sunan Giri) dan terus mendaftar hotel di Surabaya. Acara malam adalah 'City Tour' & bebas.

21.08.2008 (Khamis):
Selepas minum pagi dibawa untuk membelibelah di Surabaya dan pada jam 1.00 petang bertolak ke Lapangterbang Surabaya. Jam 4.25 petang berlepas ke Johor Bahru dengan pesawat AirAsia dan dijangka sampai di Lapangterbang Senai jam 7.40 malam. Peserta rombongan akan dibawa terus ke Masjid BBU dengan bas.

Bayaran yang dikenakan sebanyak RM1,700.00 (tidak termasuk bayaran yang dikenakan oleh AirAsia seperti bagasi, makanan, minuman, airport tax dan bayaran masuk ke tempat lawatan).

Bayaran pendahuluan sebanyak RM600.00 hendaklah dibayar sebelum 30.06.2008.

Segala pertanyaan boleh dikemukakan kepada Haji Mohd Sunawan Md Som (019-7731264), Haji Salam Safar (019-7517549) atau Pejabat Masjid BBU (07-2388166).

Selasa, Jun 10, 2008

ADUN JOHOR NAIK LOKTANG DALAM ISU SONGKOK

Isu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Johor yang dikatakan didesak oleh DAP Pusat (Central Executive Committee) supaya tidak menggunakan songkok pada majlis pembukaan siding Dewan Undangan Negeri memang menarik untuk dikomentar.

Mengikut berita dari akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang menyatakan keempat-empat ADUN berada dalam keadaan serba salah sama ada hendak memakai songkok atau tidak pada majlis perasmian pembukaan DUN pada 19 Jun ini.

Sekiranya kenyataan ini benar, ini menunjukkan pembohongan oleh salah seorang dari ADUN tersebut iaitu Boo Cheng Hau (ADUN Skudai). Kenyataan ini adalah dari pemberitaan yang dibuat oleh akhbar-akhbar berbahasa Cina selepas beliau memenangi pelihanraya pada 8 Mac yang lalu. Diantara kenyataannya menyatakan bahawa beliau telah berunding dengan Speaker Dewan Negeri Johor, Dato’ Mohd Ali Hassan dan memberitahu bahawa ADUN DAP tidak akan memakai songkok semasa majlis mengangkat sumpah.

Mengapa pula dia berasa serba salah dengan arahan dari DAP sedangkan beliau sendiri yang banyak membuat kenyataan sebelum ini tetapi kenyataan ini tidak diketahui oleh pembaca akhbar selain yang berbahasa Cina.

Hari ini, laporan dari Utusan Malaysia menyatakan wakil rakyat perlu mengikut keadaan di negeri masing-masing sebagaimana yang diungkapkan oleh Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw. Katanya ini adalah isu sensitif dan DAP perlu memandang keadaan setiap negeri serta menyerahkan kepada ADUN tersebut untuk mematuhinya.

Ini jelas menunjukkan sikap sebenar ADUN Skudai yang membohongi rakyat serta bersikap hipokrit.

Inilah sikap pemimpin parti pembangkang yang suka memainkan isu dan tidak memikirkan kesannya terutama kerukunan rakyat dan boleh memecahbelah perpaduan akibat dari tindakan yang tidak bijak. Tidakkah Boo Cheng Hau belajar dari sejarah tanahair sendiri seperti 13 Mei dan Natrah?.

Songkok tidak melambangkan keislaman seseorang itu, Islam tidak diukur dari segi cara berpakaian seseorang muslim. Di Indonesia, terdapat rakyat beragama Kristian juga memakai songkok ketika memasuki gereja dan melakukan upacara agama. Dengan sebab itu janganlah DAP menjadikan songkok sebagai alat untuk menaik mencari publisiti pengundi bukan Melayu.

Lupakah mereka dengan Teng Chan Kim yang sekarang menjadi Speaker Dewan Negeri Selangor, yang pernah digantung daripada menghadiri sidang pada sesi lepas kerana isu yang sama?.

Isu ini memaparkan kepada kita bagaimana pemikiran ADUN parti pembangkang terutama Boo Cheng Hau yang sekarang menjawat jawatan Pengerusi DAP Negeri Johor.

Bandingkan, bagaimana pula hujahan dari ADUN-ADUN UMNO?

Kenyataan balas dari ADUN Nusajaya, Datuk Aziz Sapian yang meminta mereka jangan duduk di negeri ini dan keluar serta pergi sahaja ke negeri lain kerana tidak mahu menghormati Sultan, boleh dianggap sebagai kenyataan melatah dan menggaggau tidak tentu arah. Adakah Datuk Aziz sudah naik “loktang”?

Siapa kita untuk menghalau mereka? Tunduk bukan maksud kita mahu dipijak tetapi berhemah dan berbudi bahasa adalah lebih baik. Bahasa mencermin dan menunjuk kepada pribadi seseorang. Karakter, watak, atau pribadi seseorang dapat dilihat dari perkataan yang ia ucapkan. Penggunaan bahasa yang lemah lembut, sopan, santun, sistematis, teratur dan jelas mencerminkan peribadi penuturnya yang berbudi. Sebaliknya, melalui penggunaan bahasa yang sarkas, menghujat, memaki, memfitnah, memprovokasi, mengejek, atau melecehkan, akan menceritakan peribadi orang yang tidak berbudi bahasa.

Lupakah kita dengan peribahasa Melayu, "bahasa menunjukkan bangsa" yang menunjukkan peradaban dan jati diri bangsanya. Sebagai masyarakat berbudaya dan mempunyai budi pekerti tinggi serta bertamadun, banyak hujah lain yang boleh diutarakan sebagaimana bidasan Datuk Maulizan Bujang yang menganggap tindakan DAP ini telah mencemarkan institusi raja dan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat kerana ia menyinggung perasaan orang Melayu. Hujahnya ialah apabila mereka sudah bersetuju untuk menjadi wakil rakyat maka mereka perlu tahu dan mematuhi segala peraturan dewan.

Begitu juga dengan ADUN Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali yang meningatkan supaya jangan bersikap keras kepala atau angkuh sebaliknya perlu berfikiran terbuka dengan mematuhi peraturan.

Perkara seperti ini sepatutnya menjadi pelajaran kepada kita tentang bagaimana cara kita berhadapan dengan sesuatu isu dan masalah. Sekiranya beginilah cara kita berhujah dan menghuraikannya, ia mencerminkan gaya kita di dalam persidangan Dewan Negeri yang akan bersidang tidak berapa lama lagi.

Belajarlah dari peristiwa sidang Dewan Rakyat Parlimen ke 12 Penggal Pertama pada 30 April 2008 yang disiarkan secara langsung oleh RTM ke seluluruh negara. Rakyat boleh menilai sendiri pemikiran, gaya dan perilaku wakil-wakil yang mereka pilih. Kesannya ialah mereka lebih bersopan santun dan beradab dalam perbahasan pada hari-hari berikutnya.

Persidangan Dewan Negeri Johor belum bermula, nampaknya gendang telah dipalu oleh ADUN pembangkang dan menarilah ADUN-ADUN Barisan Nasional. Peliknya gendang dipalu mengikut rentak tarian naga, ada pula yang menari mengikut rentak zapin. Bahkan rentak tarian perang pun ada.

Ahad, Jun 08, 2008

MBJB TIDAK LULUSKAN POSTER ALONG



Satu berita yang sangat melegakan baru kuterima dari Haji Mohd Said Ibrahim tentang permohonan poster "ALONG" tidak akan diluluskan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Aku ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ahli Majlis MBJB Zon BBU yang bersungguh-sungguh membawa dan menengahkan isu ini. Perkara ini telah beberapa kali dibincangkan di dalam perjumpaan dan mesyuarat Zon bahkan telah diajukan terus kepada Encik Abd Ghazali bin Karim, Pengarah Pelesenan dan Penjaja. Jawapan yang diberi sebelum ini adalah sangat mudah "mengapa tidak diluluskan permohonan mereka yang mempunyai lesen pemberi pinjaman wang yang dikeluarkan oleh kerajaan?".

Aku tak faham mengapa masih ada pegawai kerajaan dan juga Ahli-ahli Majlis yang masih berfikiran seperti ini?

Aku pernah menyanggah, mengapa mesti diluluskan kalau mereka hanya mengiklankan nombor talipon sahaja?. Adakah benar faedah dikenakan yang menunjukkan 1 hingga 3 peratus tanpa menunjukkan hari, minggu, bulan atau tahun? Mengapa satu permohonan dibuat tetapi ada beratus-ratus sepanduk yang dipasang tanpa kelulusan? Ada ribuan lagi pelekat dimana sahaja tempat strategik tanpa memperdulikan kekotoran dan vendalism? Bagaimana pula dengan kad nama dan pelbagai risalah yang ditaburkan merata tempat yang semuanya merujuk kepada pinjaman wang?. Tidakkah mereka mengetahui kesan buruk dari kes peminjam yang tidak dapat melunaskan pinjaman?.

Lihat gambar, bagaimana Wau Hau Enterprise menggunakan 2 nombor talipon bimbit dalam 2 banner yang berasingan!.

Kini, jangan ada yang cuba untuk melekatkan atau memasang poster atau sepanduk di Bandar Baru Uda, pasti akan dimusnahkan oleh penduduk sendiri yang telah mempunyai rasa tanggungjawab dan tidak akan berkompromi dengan mereka.

Sekalung tahniah kepada Datuk Bandar dan Ahli-ahli Majlis yang berani bertindak.

BAGAIMANA UNTUK MENGIKUTI EURO 2008

Kejohanan Euro 2008 telah bermula. Sebagai peminat pelbagai jenis sukan melainkan golf, aku tidak ketinggalan untuk menontonnya di kaca television. Begitupun, aku akan berusaha supaya peringatan dari Allah Swt. ini tidak akan diabaikan:

“Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan saling nasehat-menasehati dalam hal kebenaran dan kesabaran”.

Ini bermaksud, apabila kita menonton tv dari waktu tengahmalam hingga ke pukul 5 pagi, jangan sampai kita meninggalkan solat-solat Isya’ dan Subuh. Ini adalah disebabkan Rasullullah pernah bersabda yang bermaksud solat yang paling berat adalah solat Isyak dan Subuh khususnya solat berjemaah.

Untuk itu, jangan sampai kita meninggalkan solat, apatah lagi kedua solat tersebut kerana mungkin mengantuk atau terlelap.

Bagaimana pula dengan solat malam sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang bermaksud:

'Aku pernah bermalam di rumah ibu saudaraku, Maimunah (salah satu istri Nabi SAW), kemudian baginda bangun untuk solat malam, maka aku pun ikut bangun untuk solat bersamanya, aku berdiri di sebelah kirinya, lalu baginda menarik kepalaku dan menempatkanku di sebelah kanannya'.

Ini boleh kita lakukan dalam masa waktu rehat. Soalnya ialah kita digalakkan untuk tidur sebelum solat malam. Jadi, apa salahnya kita tidur selepas solat Isyak berjemaah. Pukul 9.30 tidur dan bangun semula pukul 12, bolehkan?.

Pada setiap malam, ada dua permainan, Dijangkakan permainan kedua akan tamat pada jam 5 pagi. Bersiap-siaplah untuk solat Subuh berjemaah dan sebelumnya bacalah Al-Quran.

Aku yang sudah menjadi pesara sepenuh masa, mungkin tidak bermasalah. Yang masalahnya ialah baru setengah jam permainan, mata sudah terpejam sebagaimana permainan pertama pada malam tadi.

PROGRAM MERAKYATKAN SENI BUDAYA KAWASAN PERUMAHAN 2008 DI TAMAN SKUDAI KANAN, JOHOR BAHRU




Malam tadi aku tidak ke Citrawarna yang berlangsung di Dataran Bandaraya Johor Bahru, sebaliknya aku ke Dataran Skudai Kanan untuk melihat persembahan kebudayaan dalam Program Merakyatkan Seni Budaya Kawasan Perumahan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Johor bersama Pejabat Daerah Johor Bahru.

Persembahan kebudayaan ini adalah sebahagian dari program yang berlangsung sejak dari pagi termasuk senamseni, gotongroyong, berzanzi, potong jambul, khatam al-quran, pertandingan mewarna kanak-kanak, istiadat perkahwinan dan persandingan pengantin Melayu, pertandingan masakan dan gubahan, pertandingan karaoke, pertandingan permainan tradisi dan sukan rakyat.

Artis-artis yang ditampilkan pada persembahan tersebut adalah Datuk Ahmad Jais, Ali Empire (XPDC), Adik Asraf dan Adik Mira. Band pengiring adalah Kombo Majlis Bandaraya Johor Bahru serta penari-penari dari Kumpulan Kesenian Jabatan dan Finale.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh YB Haji Adam Sumiru, ADUN Kawasan Tanjung Puteri.

LAWATAN DATUK BANDAR JOHOR BAHRU MEMBERI MANFAAT KEPADA PENDUDUK












Lawatan kerja Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Abu Naim Nasir ke Bandar Baru Uda pada pagi Sabtu 7 Jun 2008 menunjukkan komitmen beliau dalam menjalankan tugas yang telah memenangani hati rakyat.

Tujuan lawatan beliau bersama-sama dengan Ahli Majlis dan pegawai-pegawai kanan pastinya ingin melihat sejauh mana kebijakan dan keberkesanan pentadbiran Majlis menggerakkan program Local Agenda 21 supaya sentiasa aktif. Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kedua yang sangat aktif di Malaysia menjalankan program Local Agenda 21 dan kerap menjadi contoh dan rujukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang lain di dalam menjalankan aktiviti-aktiviti komuniti penduduk, pastinya lawatan ini memberi petanda bahawa kegiatan ini bukan saja dicatatkan sebagai jadual tetapi menepati dengan citarasa penduduk.

Matlamat Majlis Bandaraya Johor Bahru menjadikan ia sebagai budaya agenda tempatan (Local Agenda 21) memang mempunyai faedah yang besar kepada masyarakat dan tentunya akan diterima oleh semua lapisan masyarakat, khususnya warga bandar raya dalam melahirkan generasi yang cintakan semangat muhibah, kebersihan dan menghargai
sumber alam.

Lawatan ini telah mengesahkan kepadanya rungutan pembayar cukai mengenai kelemahan pengurusan sisa pepejal oleh Southern Waste Management (SWM), syarikat yang diberi kontrek penswastaan oleh kerajaan. Datuk Bandar melihat sendiri sampah-sampah yang berlonggok dan tidak dikutip sejak empat hari yang lalu. Begitu juga dengan longkang yang tersumbat.

Selain itu, rungutan penduduk mengenai pembinaan jalan di Jalan Jagong 4 yang kurang memuaskan sebagaimana yang disuarakan oleh mereka yang menghadiri dialog juga telah diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya.

Begitu juga dengan masalah yang timbul berkaitan dengan pembinaan gelanggang Futsal di Jalan Jagong. Datuk Bandar berjanji akan menambahbaik dan menukar jaring yang digunakan sekarang.

Banyak masalah yang telah didengar dari wakil-wakil yang hadir dan Datuk Bandar telah dapat memahami dan berharap akan menyelesaiknnya.

Begitupun, harapan beliau semoga penduduk akan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai kerana dari cukai-cukai yang dikutip, akan dikembalikan semula kepada masyarakat seperti pembinaan pelbagai keperluan yang dapat dimenafaatkan.

MENGAPA MINATKU TIDAK DI SUKMA XII?

Kejohanan Bolasepak Euro 2008 telahpun bermula. Tidaklah menjadi niatku untuk memuja kejohanan ini. Aku memang sangat kecewa dengan prestasi pasukan kebangsaan kita yang jauh merosot. Inilah naluri diriku dan mungkin juga pada pencinta sukan ini.

Selain sukan squash, badminton, bowling, bowling padang dan sukan berkuda, yang lain memang menampakkan kemerosotan. Inilah yang menjadikan orang-orang yang sepeti aku tidak berminat dengan Sukan Malaysia (SUKMA) di Terengganu yang akan melabuhkan tirainya pada hari ini. Apatah lagi dengan penyertaan dan pencapaian peserta sukan dari negeri kelahiranku.

Sebagai anak Johor, pastinya aku mahu athlet Johor menaikkan imej yang telah merudum setiap kali sukan ini diadakan melainkan yang pernah diadakan di tempat sendiri.

Dari awal lagi aku bersikap pasif. Aku tak ambil peduli tentangnya. Siaran di telivision pun aku tak ambil pusing sehinggalah abangku menghantar sms mengapa aku tidak menulis dalam blog mengenai perkara ini.

Jawapanku kepadanya memang mudah kerana aku tidak percaya Johor akan mencapai sasaran 40 emas dengan keseluruhan 5 pasukan teratas sebagaimana kenyataan YB Jais Sardy (Exco Belia dan Sukan) yang begitu optimis semasa upacara penyerahan bendera oleh Menteri Besar Johor. Ketika itu, aku hanya berdoa moga kenyataan beliau menjadi realiti. Tetapi, bagaimana untuk meyakinkan diriku tentang ini kerana dimana-manapun di negeri Johor ini terutama di Johor Bahru, tidak ada keghairahan langsung anak-anak muda untuk bersukan.

Keghairahan bersukan adalah dintara petunjuk bagaimana faktor ini menjadikan mereka berusaha menyertainya samada secara sistematik atau sebaliknya. Aku ingin memberi contoh bagaimana pada satu ketika dahulu sukan sepaktakraw sangat diminati.

Pada tahun-tahun 70an dan 80an, sebagaimana Kedah, Johor dikenali sebagai gergasi sepaktakraw dengan beberapa pemain yang pernah mewakili negara seperti Fauzi Ayub. Pada ketika itu, dimana sahaja taman perumahan, perkampungan, ladang dan sebagainya pasti ada gelanggang sepaktakraw. Aku sendiri meminati permainan ini dan pernah mewakili pasukan Felda Ulu Tebrau dalam pertandingan persahabatan antara Felda, kampong, kelab dan sebagainya. Posisi yang aku minat adalah sebagai apit kanan dan tekong.

Kenapa keghairahan ini tidak diwujudkan? Persoalan lain adalah dari mana athlet ini dicungkil? Cukupkah dari peserta sukan sekolah (MSSD dan MSSJ) sahaja? Atau dari pelajar sekolah sukan di Pengerang? Bagaimana pula kelab-kelab sukan yang ada, mampukah kelab ini menampilkan athlet berwibawa? Kalau tidak mampu, mengapa?

Banyak persoalan yang perlu dihuraikan dan jawapan konkrit mesti didapatkan dari mereka yang benar-benar berkelayakan dan komited. Ketika menghurai persoalan ini, cuba hindarkan mencari kesalahan pihak lain. Politik kepartian juga perlu dijauhkan bahkan mereka yang ingin mencari populariti hendaklah dinyahkan.

Pada ketika ini, kontijen Johor seramai 600 peserta telah mengumpulkan 20E, 29P, 38G dan menduduki tempat ke 10 berbanding pencapaian SUKMA yang lalu di Kedah dan mendapat tempat ke 11 dengan 19E, 18P, 28G.

Apa nak dikata lagi, itulah yang dinamakan peningkatan dan pencapaian terbaik!.