Radio Internet FuhYooFm

Jumaat, Ogos 08, 2008

MELAWAT KAWASAN PEMBUNUHAN DAN PERKUBURAN CHOUNG EK















Lawatan hari keempat di bumi Kemboja pada pagi ini memberi inspirasi baru kepadaku untuk melihat filem dari lakunan pelakun dan kreativiti pengarahnya. Menuntun filem atau drama bukanlah kegemaranku. Tetapi pada pagi ini, tetiba saja saya ingin mencari filem atau VCD bertajuk “The Killing Field” yang diarahkan oleh Roland Joffe.

Naluriku meronta untuk menonton filem ini adalah disebabkan perasaan sedih dan hiba melihat tengkorak dan tetulang manusia dikumpulkan di dalam kawasan pembunuhan Choung Ek, 15 km ke selatan Phnom Penh.

Sejarah kekejaman Pol Pot yang menjadi Setiausaha Agung Parti Komunis Kampuchea yang telah menyebabkan kematian rakyat seramai 1.7 juta, adalah begitu zalim pada abad ke 20. Beliau yang dianggap sebagai pemimpin totalitarian adalah mungkin lebih kejam dari Adolf Hitler. Ini disebabkan askar-askar Pol Pot membunuh dengan penyiksaan yang dahsyat berbanding Hitler yang membunuh rakyat Yahudi dengan cara menyalurkan gas beracun.

Mereka tidak menggunakan peluru disebabkan ingin menjimatkan perbelanjaan, sebaliknya senjata yang digunakan adalah seperti pisau, parang, pedang, besi, cangkul, pelepah kelapa laut dan sebagainya bahkan anak-anak kecil dan bayi hanya dihempas ke pokok sahaja.

Di kawasan pembunuhan ini dapat dilihat bukti-bukti yang masih jelas seperti kain baju yang masih bersepah-sepah, cebisan tulang belulang bertindihan dengan ranting-ranting kering.

Peristiwa sedih ini bemula pada 17.4.1975 apabila Regim Khmer Rouge yang diketuai oleh Saloth Sarih yang lebih dikenali sebagai Pol Pot (9.5.1925 – 15.4.1998), telah mengarahkan semua rakyat Kemboja meninggalkan rumah masing-masing sehelai sepinggang untuk selama 3 hari. Rumah-rumah tidak perlu dikunci kerana tentera Khmer Rouge akan membuat kawalan dan memberi jaminan keselamatan.

Rumah-rumah telah digeledah dengan mengambil semua barangan berharga sementara rakyat dikumpulkan di kawasan luar bandar sementara sebahagiannya dimasukkan ke penjara yang sebenarnya adalah bangunan yang dijadikan penjara seperti sekolah dan sebagainya.

Mereka yang tidak bernasib baik ini ialah pemimpin pemerintah seperti menteri, kakitangan kerajaan termasuk cendekiawan, orang-orang berilmu, terpelajar, pemimpin agama, orang-orang muda dan lain-lain. Tujuan mereka adalah untuk menghapuskan kesemua mereka dan akhirnya mereka ingin mengumpulkan anak-anak kecil yang dipisahkan dari keluarga dan akan diasuh mengikut cara mereka supaya Kemboja akan dapat diperintah mengikut acuan kominis.

Di penjara inilah, soal siasat akan dilakukan dengan begitu kejam yang pasti akan berakhir dengan pembunuhan dan mayat-mayat akan dikuburkan di dalam lubang besar sehingga boleh muat 300 orang seperti apa yang dilihat di Choung Ek.

Di Choung Ek ini, dipertunjukkan longgokkan tulang dan tengkorak dan disediakan penceritaan bagaimana pembunuhan dilakukan. Diantaranya masih terdapat sebatang pokok besar dimana Rejim akan memasang pembesar suara yang akan dikumandangkan lagu-lagu dengan nada kuat. Tujuannya supaya tidak kedengaran tangisan, jeritan dan sebagainya hasil dari seksaan serta pembunuhan.

Bagi rakyat lain yang dikatakan terselamat, sebenarnya mereka juga akan mati dengan cara yang lebih tragis. Semuanya, dengan tidak mengira umur dan jantina akan dipaksa ke ladang untuk bercucuk tanam dan membuat pekerjaan lain sebagaimana yang diarahkan secara paksa. Mereka akan bekerja dari awal pagi hingga matahari terbenam dan tidak diberi upah. Segala-galanya adalah untuk pemerintah.

Makanan yang dibekalkan hanyalah setengah kilo beras untuk 20 keluarga. Apa yang mereka jamah? Hanyalah beras yang dijadikan bubur cair sahaja tanpa makanan yang lain.

Kekurangan zat makanan menjadikan mereka kurus kering dan tiada hospital atau ubat-ubatan yang diberi. Akhirnya mereka meninggal akibat darinya dan dari pelbagai penyakit.

Emak, bapak dan datuk nenek kita pernah melalui kekejaman tentera Jepun dan Bintang Tiga pada tahun-tahun 40an tetapi ia tidaklah sedahsyat apa yang berlaku di Kambodia.

Khamis, Ogos 07, 2008

HARI KETIGA – PERJALANAN KE PHNOM PENH

Kami mengambil keputusan untuk bersarapan pagi di rumah Ustaz Musa kerana tak sanggup dengan menu yang sama dan harga yang agak mahal di D Wau Restaurant,

Enak sekali sarapan yang disediakan iaitu mee goreng (mi siam), nasi goreng dan bubur nasi. Kami bersarapan seperti satu keluarga dengan diselangselingi pelbagai cerita menarik terutama penduduk di Kemboja.

Tepat pukul 10.00 pagi kami berangkat ke stesyen bas. Kami menaiki bas 2 tingkat (tingkat bawah hanya untuk meletak barang-barang) dan mula bergerak pada jam 10.30. Perjalanan sejauh 300 kilometer dijangka akan mengambil masa selama 6 jam untuk sampai ke destinasi.

Di dalam bas 40 penumpang, sebahagian besarnya adalah pelancong, bergerak dengan lancar dengan kelajuan 70-80 kmh. Ini disebabkan oleh jalan yang agak kecil. Begitupun tidak banyak kenderaan di atas jalanraya.

Sepanjang perjalanan, bas hanya berhenti sekali di salah sebuah pekan untuk menurun dan mengambil penumpang baru. Kami mengambil peluang untuk melepas hajat kecil dan besar. Mad Rozali tidak menggalakkan kami membeli makanan kerana tiada jaminan halal.

Tepat jam 4.30 petang, kami sampai di Phnom Penh dan terus dibawa ke restoran untuk makan tengahari (?) serta mendaftar di Hotel Puncak, juga diusahakan oleh seorang anak Melayu Malaysia.

Isteriku dapat menghubungi Nasir (suami kepada Hidayah Salim – abaj saudara isteriku) yang bekerja dengan WHO. Nasir menemui kami jam 6.30 dan menjemput untuk makan malam tapi kami menolak kerana kekenyangan.

Malamnya, Mad Rozali membawa kami meronda-ronda kota raya Phnom Penh dan melihat keindahan malamnya serta minum-minum di sebuah restoran kepunyaan seorang bekas wakil rakyat beragama Islam.

Saya mengambil peluang ke Cyber Cafe bersebelahan Hotel Puncak untuk melihat berita-berita tanahair dan melihat email. Sempat juga saya menghantar email kepada abang Asmuni.

BERTEMU ABDUL RAZAK MOHAMED NOOR






Semasa kami menjamu makan tengahari dan malam di restoran dan rumah kepunyaan Ustaz Haji Musa Soleh, kami telah diperkenalkan kepada Abdul Razak bin Mohamed Noor. Beliau adalah seorang warganegara Malaysia berasal dari Bukit Tinggi, Klang yang kini telah sebulan berada di Siem Reap.

Beliau memberitahu bahawa kedatangannya adalah bertujuan untuk membantu Ustaz Soleh mendidik anak-anak yang ada di Siem Reap.

Dianggarkan seramai 30 orang kanak-kanak berkumpul di sebuah bangunan untuk belajar ilmu agama terutama mempelajari bacaan muqadam dan alquran. Saya dapat melihat bagaimana seorang pengajar iaitu Ustaz Ahmad Adam sedang mengajar murid-muridnya membaca muqaddam.

Kami diberitahu bahawa tiada pelajaran lain yang diajar sehingga fardu ain pun tiada guru yang dapat mengajar. Ini adalah disebabkan tiada guru yang berkelayakan, maksudnya yang mempunyai ilmu sementara elaun atau gajinya pula terpaksa dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai.

Orang-orang dewasa pula hanya bergantung kepada kumpulan tabligh yang datang ke masjid untuk member ilmu agama.

Inilah yang menjadi masalah besar kepada masyarakat Islam di Kemboja. Para ilmuan Islam telah dilenyapkan oleh rejim Pol Pot pada tahun 70an. Kami diberitahu bahawa guru-guru yang mengajar hal ehwal agama hanya menggunakan sumber ingatan tanpa merujuk kepada buku dan kitab kerana telah dimusnahkan oleh rejim kominis Khmer Rough.

Agaknya inilah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Abdul Razak yang sepatutnya dicontohi demi memberi sinaran baru kepada penduduk Islam di wilayah ini.

HARI KEDUA – KE ANGKUR WAT
























































Hari kedua di Bumi Kemboja, kami dibawa oleh Mad Rozali meronda ke kawasan Angkur Wat. Kami merancang untuk melihat dari tepi jalan sahaja dan tidak berhajat untuk masuk ke kawasan terletaknya bangunan. Bagaimanapun, hajat kami tidak terkesampaian kerana petugas di pintu masuk tidak membenarkan. Memandangkan tidak ada tempat lain untuk dilawati, terpaksa juga kami membeli tiket untuk setiap orang.

Sebagai pelancong, kami dikenakan bayaran sebanyak USD20 bermakna hampir RM70 bagi setiap orang. Orang tempatan seperti Mat Rozali dan pemandu kereta tidak dikenakan sebarang bayaran.

Di kawasan seluas 5,000 ekar ini terletaknya beberapa bangunan peninggalan sejarah. Diperkatakan bahawa Angkur Wat ini adalah kompleks bangunan kuil yang dibangun pada kurun ke 9 hingga 13. Bermula pada tahun 790, Jeyavarman II yang beragama Hindu dan mendakwa dirinya Raja telah mula membangun kuil untuk penganut agama Hindu di kawasan perbukitan Kulen.

Kawasan yang bersempadan dengan tasek terbesar, Tonle Sap telah menjadi begitu penting kepada dunia perniagaan di Asia Tenggara.

Pusat pemerintahan empire Khmer di zaman tersebut mempunyai kuasa mutlak. Kerajaan Angkor mencapai zaman kegemilangan semasa pemerintahan Suryavarman II pada tahun 1113 hingga 1150. Raja ini dibantu oleh kerabatnya dalam menjalankan tugas pentadbiran. Pembinaan baray menjadikan kerajaan Angkor mendapat hasil pertanian yang lumayan. Kawasan pertanian terletak di tasik Tonle Sap. Ia dibina pada abad ke-10 Masihi. Pusat pentadbirannya pula terletak di hilir Sungai Mekong.

Pada asalnya Angkur Wat dinamakan sebagai Preah Pisnulok. Angkur Wat itu pula bermakna Bandar Kuil kerana ia bermaksud dari Angkur dari perkataan Nukur dalam bahasa Sanskrit ialah nagara atau Bandar sementara Wat dalam bahasa Khmer ialah Kuil.

Mengelilingi kawasan ini terpaksa mengambil masa yang begitu panjang iaitu dari pagi sehingga ke petang. Waktu tengahari terpaksa balik dulu ke hotel untuk makan tengahari dan solat.

Kawasan yang luas beserta dengan keadaan bangunan yang nampak begitu uzur, amat menyukarkan. Isteriku terpaksa berpatah balik dan menunggu di kereta sahaja. Maaulut lebih hebat dan dia sanggup memanjat bangunan walaupun agak bahaya.

Kami menjangkakan pelancong yang datang melawat kawasan ini mungkin boleh menjejak sehingga 10,000 orang pada setiap hari. Namun, kemudahan dan infra sangat berkurangan. Sebagai contoh, toilet tidak disediakan di dalam kawasan bangunan.

Jam 6.20 petang, kami keluar dari kawasan tersebut dan terus ke tempat penginapan,