Radio Internet FuhYooFm

Isnin, Ogos 31, 2009

DATUK SHAHRIR DI PASAR RAMADHAN BANDAR BARU UDA

.
Seorang peniaga, Rahmat Karmedee
memberi penerangan tentang perniagaannya

Datuk Shahrir cuba menjelaskan bagaimana
cara menarik pelanggan

Hari Sabtu baru lalu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad ke Bandar Baru Uda bersama isterinya untuk bersama berbuka puasa dengan ahli kariah Masjid Jamek Bandar Baru Uda.

Bermula dengan bersolat jamaah Asar, beliau telah bersama membagikan bubur lambuk yang disediakan oleh Biro Kebajikan MJBBU. Seterusnya Datuk Shahrir membuat lawatan ke bazar yang menyediakan kuih mueh untuk berbuka puasa yang dianjurkan oleh MJBBU. Sebanyak 140 gerai telah dilawati dan diterima baik oleh peniaga-peniaga dan pelawat.

Setelah membuat lawatan ke gerai-gerai, Datuk Shahrir turut sama bertahlil sebelum berbuka puasa bersama kariah dan mengakhiri lawatannnya dengan bersolat Maghrib berjemaah.

ADIKKU LAHIR PADA HARI KEMERDEKAAN

.
Salah seorang adikku, Junaidah telah dilahirkan pada hari kemegahan rakyat Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu.

Saya sentiasa mengingati waktu kelahiran adikku ini kerana pada subuh 31 Ogos 1957, dia dilahirkan ketika hujan dan ribut berlaku di luar rumah. Pada masa itu umurku 5 tahun dan telahpun mempunyai seorang adik lelaki iaitu Ahmadon, maknanya abang kepada Junaidah. Mengapa saya sentiasa mengingatinya?. Ia adalah kerana pada masa hujan ribut itulah tangan saya terkena cemeni (corong lampu pelita diperbuat dari gelas kaca) pelita menyebabkan lengan tangan kananku melecet. Bekas dan parutnya masa boleh dilihat hingga kini.

Hari kelahiran pada hari kemerdekaan ini sepatutnya menjadi satu sejarah kepada adikku dan seharusnya dia mendapat penghargaan sebagaimana mereka yang lahir pada hari yang sama. Tetapi ia tidak berlaku kepadanya. Pada setiap hari ulangtahun kemerdekaan, beliau dilupakan. Ia adalah kerana bapaku telah mendaftar lewat pada kelahirannya. Ini menyebabkan tarikh lahirnya bukan lagi pada 31 Ogos.

Walau apapun, Junaidah sekarang hidup bahagia dan sederhana bersama suami dan sepasang anak lelaki dan perempuan di Batu Pahat.

AMBANG MERDEKA DI DATARAN KG MELAYU MAJIDEE

.
Malam tadi selepas solat tarawih di Surau Jalan Merah Taman Pelangi, saya dan isteri terus ke Dataran Kampong Melayu Majidee untuk bersama merayakan ambang kemerdekaan.

Majlis yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru disertai sekali oleh pemuda-pemuda Parti Komponen Barisan Nasional dari MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Penunggang-penunggang motosikal dari Persatuan Belia Wawasan 30 juga turut sama. Mereka inilah nanti yang akan membawa kibaran bendera mengelilingi beberapa perkampongan di sekitar Johor Bahru.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad serta ADUN-ADUN Tanjung Puteri dan Stulang turut hadir dalam majlis ini.

Sebelum tepat jam 12 tengahmalam, majlis dipenuhi dengan tayangan sejarah kemerdekaan, bacaan puisi dari wakil-wakil parti komponen Barisan Nasional serta dendangan lagu-lagu patriotik.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Sdr Khalid Mohamad dan Datuk Shahrir Samad telah menyampaikan ucapan sehingga berlangsungnya upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang serta nyanyian lagu Negaraku.

Majlis menjadi meriah dengan dentuman bunga-bunga api, kibaran bendera serta nyanyian lagu-lagu patriotik.

JARI HANTU KIRIKU PULA SAKIT

.
Dahulu saya pernah mencatatkan dalam blog ini tentang jari-jari tanganku sakit (baca sini). Saya terpaksa bermalam di hospital selama 2 malam. Alhamdullillah, penyakit tersebut tidak melarat.

Kini, jari hantu tangan kiri pula sakit, sukar untuk dibengkokkan dan kekadang sukar pula untuk diluruskan. Begitu sukarnya saya mengetik keyboard ini. Isteriku menyatakan mungkin penyakit atraitis telah menyerang pula di jari. Katanya, jejari tangan seorang rakannya menjadi cacat, bengkang bengkok dan sukar untuk digerakkan. Untuk menjamah makanan pun terpaksa menggunakan sudu dan garpu.

Saya menjadi takut lantas beberapa hari lepas saya ke Poliklinik Kerajaan di Kempas. Saya di periksa oleh Penolong Pegawai Perubatan dan menyatakan saya tidak terkena gout. Alhamdullillah. Beliau meminta saya membuat pemeriksaan darah dan minta berjumpa sekali lagi pada 28 September ini. Saya diberi ubat hilangkan bengkak dan tahan sakit.

Inilah masalahnya bila kita ke klinik kerajaan. Terpaksa berbaris dan menunggu serta terus menunggu. Kalau sakit, tahan sajalah dulu.

Setiap hari saya terfikir, apakah ini akan menyebabkan segala penampilanku dengan masyarakat ramai akan terbatas?. Bagaimana saya akan menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan yang sedang saya lakukan sekarang dalam keadaan semua jari-jariku tidak dapat berfungsi?. Inilah yang saya fikirkan berdasarkan kepada cerita isteriku tentang rakannya yang mempunyai masalah yang sama.

Petang semalam saya dapat menghubungi anak saudara sepupuku, Dr Ahmad Tarmimi Bokhari. Saya memanggilnya Mamat dan mengadu kepadanya tentang derita penyakitku.

Syukur alhamdullillah, dia menyatakan bahawa saya terkena trigger finger. Lapang dadaku kerana katanya penyakit ini boleh dirawat dan sekiranya agak teruk akan dilakukan operasi ringan. Ia boleh dilakukan di klinik-klinik biasa.

Pagi tadi, saya mencari-cari maklumat tentang penyakit trigger finger. Inilah yang saya dapat (maklumat Trigger Finger) dan ia amat melegakan sekali.

Hari ini mungkin klinik Mamat tutup kerana cuti Hari Kemerdekaan. Saya akan berjumpa dengannya di klinik untuk mendapatkan maklumat dan mungkin rawatan lanjut.

Ahad, Ogos 30, 2009

PERGI BEBERAPA MAJLIS DI MALAM RAMADHAN

.
Sekarang ni saya dah bersiap dengan baju Melayu lengkap bersamping. Tujuannnya untuk ke beberpa majlis, dimulakan dengan majlis menyampaikan sumbangan di Skudai Kanan. Memang setiap tahun, Haji Mohd Said Ibrahim akan mengadakan majlis ini iaitu dari sebahagian zakatnya kepada penduduk yang tidak berkemampuan. Alhamdullillah, beliau tidak melupakan golongan tersebut di bulan mulia ini. Diharapkan juga beliau tidak lupa untuk menyalurkan zakatnya kepada Majlis Agama Islam semoga dapat diberi kepada golongan atau asnaf yang lain. Mudah-mudahan rezkinya akan bertambah di tahun mendatang.

Mungkin sejekap saja di majlisnya kerana akan ke Masjid di Taman Pelangi untuk majlis berbuka puasa bersama kariah disana anjuran Biro Agama UMNO Bahagian Johor Bahru. Tentunya Dato' Shahrir dan datin juga akan kesana. Dan selepas solat maghrib, akan ke surau di Jalan Merah Taman Pelangi untuk solat Isyak dan Tarawih.

Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru akan mengadakan majlis Ambang Merdeka di Dataran Kampong Melayu, inipun kena pergi juga, insyaallah.

Gambar ni saya baru masukkan
setelah pergi ke majlis di Skudai Kanan


Isnin, Ogos 24, 2009

BAZAR RAMADHAN MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA

.
Menjelang bulan Ramadhan, Masjid Jamek Bandar Baru Uda akan menganjurkan bazar untuk jualan berbuka puasa. Sebanyak 140 petak disewakan kepada mereka yang berminat dan kebiasaanya permintaan dari penyewa terlalu ramai. Yayasan Bandaraya Johor Bahru hanya membenarkan 140 petak sahaja dan memang ramai yang kecewa.

Bazar anjuran masjid ini adalah diantara bazar yang diminati oleh pengunjung di Bandaraya Johor Bahru selain bazar di Kampong Melayu.

Ahad, Ogos 23, 2009

GAMBAR KETIKA MEGEPALAI BACAAN DOA

.

PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN DUN TANJUNG PUTERI

.
Sehari sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa, sambutan bulan kemerdekaan bagi DUN Tanjung Puteri telah dilancarkan dengan rasminya oleh YB Haji Adam Sumiru bertempat di Dataran Kampong Melayu Majidee, Johor Bahru.

Majlis yang dijayakan bersama Ahlimajlis Bandaraya Johor Bahru bagi Zon Kampong Melayu, Azman Dawam telah berjaya menyemarakkan semangat patriotik mereka yang hadir dengan kibaran bendera dan nyanyian lagu-lagu bersemangat.

Selain menyampaikan bendera Jalur Gemilang kepada ketua-ketua masyarakat, YB Adam juga telah melancarkan lori-lori SWM yang akan membawa paparan dan bendera tanda perayaan kemerdekaan.

YASSIN TAHLIL MENJELANG RAMADHAN

.
Menjelang bulan Ramadhan, Persatuan Bekas Kakitangan Felda Kawasan Johor Selatan telah mengadakan majlis bacaan Yassiin dan tahlil pada 15 Ogos yang baru lalu di rumah salah seorang ahli, Tuan Haji Mahfoz Omar di Bandar Tenggara, Kota Tinggi.

Selain bacaan Yassiin dan tahlil, kami dapat menunaikan solat Asar berjemaah yang dipimpin oleh Ustaz Haji Khir Salam. Beliau juga dapat menyampaikan tazkirah yang lebih menumpukan kepada ibadah puasa.

Beberapa perkembangan terbaru mengenai persatuan khususnya perjalanan mesyuarat agung khas yang baru lalu juga dapat saya sampaikan kepada ahli-ahli yang hadir.


SOLAT TARAWIH DI MASJID BANDAR BARU UDA

.
Beginilah ramainya jemaah BBU menunaikan
solat Tarawih pada 8 rakaat pertama
lelaki dewasa dan kanak-kanak


Antara amalan yang pasti di tunggu-tunggu dalam bulan Ramadhan adalah solat sunat Tarawih. Di Masjid Bandar Baru Uda, seperti di surau dan masjid tanah air kita, kehadiran jemaah pada malam pertama amat membanggakan. Untuk jemaah lelaki, wanita dan kanak-kanak dianggarkan kehadiran adalah seramai 3,000 orang. Untuk membuat perkiraan di masjid ini amat mudah kerana setiap saf memuatkan 100 orang dan seramai 4,200 orang boleh memenuhi ruang solat berhawa dingin (42 saf).

Seperti tahun-tahun lalu, sebelum memulakan solat Tarawih, Imam Haji Munadi Muhajir (Ketua Imam) akan memperingatkan beberapa perkara penting terutama keharusan menunaikan solat sebanyak 20 rakaat serta ketertiban anak-anak yang turut sama bersolat.

Inilah yang berbaki ketika selesai solat Witir

Italic
Di masjid ini telahpun mempunyai tiga orang imam tetap. Bagaimanapun, untuk mengimamkan solat Tarawih, dua orang imam tahfiz diberi tanggungjawab. Mereka adalah Imam Talahah dari Klang, Selangor yang pernah berkhidmat pada tahun lalu dan Imam Illiyiin dari Jalan Tarom, Johor Bahru.

Saya bersama Hj Abdullah Saaban, Hj Sapawi Johari, Zaharin Saniman dan Mahadir Ibrahim melakukan rutin tahunan menjaga kanak-kanak untuk tertib semasa menunaikan solat. Inilah diantara cabaran kami selama ini kerana sebahagian besar ibubapa yang membawa anak-anak akan membiarkannya berada di belakang saf.

Persoalan kanak-kanak belum baligh berada di belakang saf dan tidak ramai ibubapa yang berani membawa anaknya berada dalam saf yang sama dengannya. Ini merupakan satu fenomena yang hampir sebati dengan penduduk Muslim di Malaysia.

Persoalan inilah yang menyukarkan kami Ahli Jawatankuasa Masjid untuk mentertibkan ratusan kanak-kanak dalam ruang solat yang besar. Boleh dibayangkan bagaimana kanak-kanak ini bermain dan berlari-lari di ruang masjid luas dan tidak bertiang!. Bising dan mengganggu jemaah yang menunaikan solat.

Akhirnya, penyelesaiannya ialah semua kanak-kanak tersebut diletakkan di dalam saf yang sama dengan orang dewasa terutama ibubapa mereka. Keputusan yang mungkin tidak menyenangkan sesetengah para jemaah ini terpaksa diambil memandangkan keperluan dan juga terdapat jemaah dewasa yang lebih gemar berada di saf belakang.

Alhamdullillah, walaupun begitu ramai jamaah yang menunaikan solat sunat Tarawih di masjid ini, suasananya begitu tenang, terkawal dan syahdu terutama dengan bacaan Imam yang menjadikan makmum lebih kyusuk.

Begitupun, bagi mereka yang khuatir solatnya terbatal disebabkan bersebelahan dalam saf kanak-kanak belum baligh, sila baca permasalahan ini yang dikeluarkan oleh pejabat Mufti Negara Brunei Darussalam.

Mengakhiri program solat sunat Tarawih di Masjid Bandar Baru Uda adalah tadarus Al-Quran. Seramai 15 kumpulan jemaah lelaki dan 8 kumpulan jemaah wanita bertadarus yang melibatkan hampir 150 orang.

Tadarus di Masjid Jamek Bandar Baru Uda

Selepas bertadarus, Biro Kebajikan Masjid telah menyediakan jamuan moreh.


Isnin, Ogos 17, 2009

KELAB SUKARELAWAN MJBBU MELAWAT PERKAMPONGAN ORANG ASLI BAKAR BATU

.
Diantara badan-badan yang ditubuhkan oleh Masjid Jamek Bandar Baru Uda adalah Kelab Sukarelawan. Kelab yang dipengerusikan oleh Haji Mokhtar bin Khalid telah melakukan pelbagai program seperti melawat warga tua yang sakit dan uzur samada di hospital atau di rumah-rumah, melawat warga tua di Rumah Seri Kenangan dan pelbagai program lagi.

Pada hari Ahad baru lalu, kelab ini telah melawat ke perkampongan orang asli di Kampong Bakar Batu, Danga, Johor Bahru.

Perkampongan ini dihuni oleh 38 keluarga dari kaum Seletar. Mereka menduduki tanah seluas 13 ekar dan kesemuanya bekerja sebagai nelayan tradisional.

Dalam lawatan ini, pelawat dari kelab ini telah dapat beramah mesra disamping mengagihkan sumbangan makanan.

Selain menghiburkan kanak-kanak dengan permainan, pelawat juga telah dapat bersama-sama menyempurnakan solat Asar berjamaah serta membaca Yassin dan tahlil.

Sebagai makluman, perkampongan ini terlalu hampir dengan kawasan pembangunan Danga Bay dan juga beberapa taman perumahan seperti Taman Sentosa dan Taman Perling.