Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Februari 24, 2010

BETULKAH KRONI UMNO DAPAT KONTRAK KELAS F

.
Saya paparkan temubual wartawan dengan YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang pada 3.2.2010 di Pejabat Ketua Menteri, Bangunan Komtar, Pulau Pinang yang saya ambil dari Blog SANGGAHTOKSAGO.COM.

Timbul dakwaan bahawa kontraktor Melayu hanya dapat dapat projek Kelas F?

Ini Kelas F, Kelas F hanya untuk orang Melayu sahaja. Jadi, Kelas F dahulunya anda tahulah, kroni Umno sahaja yang dapat dengan meluas, sekarang kita buat tender terbuka. Semuanya lebih senang, lebih cepat.
Kita ada kriteria, kita buat secara terbuka di mana Melayu, Cina, India boleh sama-sama buat tender. Apabila kita proses ini tender, kita tidak lihat latar belakang. Kita hanya proses sahaja, tetapi bila kita dapat maklumat, terkejut bila dapat tahu daripada kontrak tender yang diberikan 67 hingga 70 peratus adalah daripada kontraktor Melayu. Ini menunjukkan kontraktor Melayu mampu berdaya saing dengan kontraktor bukan Melayu. Apa yang kita hendak tegaskan ialah bukan tengok dari sudut bangsa, lihat dari sudut dasar-dasar yang gagal, dasar-dasar gagal yang masih diterima pakai. Kalau dasar itu betul, rakyat akan berdaya saing. Jangan lihat dari sudut individu atau bangsa, lihat dari sudut dasar. Ini yang akan memartabatkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Benarkah dakwaan ini?. Di Johor, kebanyakan kerja kelas F diuruskan oleh agensi-agensi kerajaan seperti pejabat Daerah, Pembangunan Negeri, Penguasa Tempatan, Badan-Badan Berkanun dan sebagainya.

Kalaulah benar hanya kroni UMNO yang mendapat kerja, mana mungkin kontraktor yang tidak menjadi kroni dapat hidup dan bertahan begitu lama.

Saya mengenali ramai kontraktor Melayu di Johor Bahru. Kebanyakan mereka mendapat kerja bukanlah kerana sokongan atau ditunjuk oleh mereka yang berkuasa dalam UMNO. Mereka berusaha sendiri untuk bersaing dengan kontraktor lain bagi mendapatkan kerja. Semuanya bergantung kepada keupayaan sendiri seperti keupayaan kerja, kekuatan syarikat serta harga kompetetif.

Mereka juga mungkin tidak menjadi ahli UMNO malahan ada diantaranya juga adalah dari ahli parti pembangkang yang aktif.

Apakah pemimpin UMNO mempunyai kuasa besar dalam pentadbiran kerajaan sehingga boleh mengarah atau memberi kerja-kerja kelas F kepada kontraktor Melayu?. Pendapat saya lebih menjurus kepada kuasa yang ada pada pimpinan dalam sektor kerajaan berkenaan.

Siasatlah perkara ini dan jangan hanya menuding jari kepada pimpinan UMNO sahaja.
.

Ahad, Februari 21, 2010

FORUM KESELAMATAN KEJIRANAN


Selepas solat Maghrib tadi, saya ke rumah Hj Salleh Shahdan, jiran sebelah rumah yang membuat doa selamat dan bacaan selawat kesyukuran kerana mendapat cucu yang baru dilahirkan.

Selepas solat Isyak dan menjamah jamuan di rumah Hj Salleh, saya bergegas ke program Karnval KRT Jalan Padi Ria. Program ini yang mendapat kerjasama dengan Local Agenda 21 MBJB dan Pejabat Perpaduan Daerah Johor Bahru mengadakan forum keselamatan kejiranan.

Panel forum yang bertajuk keselamatan kejiranan terdiri dari Encik Baharom Othman dari Pejabat Perpaduan Daerah Johor Bahru, Suprintenden Mohd Akhir Ishak, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara dan Ustaz Nazri Selamat dari Jabatan Agama Johor.

Turut hadir di majlis ini adalah Cik Syahilawani Nordin, Pegwai Perpaduan Daerah Johor Bahru dan Hj Abdullah Md Saaban, Pengerusi KRT Padi Ria, Johor Bahru.

Di majlis ini, seramai 30 orang ahli KRT telah menerima kad Skim Rondaan Sukarela yang dikeluarkan oleh pejabat Perpaduan Daerah yang boleh digunakan untuk tujuan kawalan di kawasan masing-masing.


Jumaat, Februari 19, 2010

LAWATAN IMPIAN MEMBINA HOSPITAL ISLAM

.
Ahli rombongan bergambar di pintu masuk
Hospital Pusrawi

Saya bersama 35 orang rombongan Masjid Jamek Bandar Baru Uda telahpun selamat sampai ke rumah pada jam 12.15 sekejap tadi. Kami ke Kuala Lumpur untuk melawat dan mendengar taklimat di Hospital Pusrawi dan Hospital Pakar Al-Islam, Kuala Lumpur.

Hospital Pusrawi tajaan MAIWP

Tujuan lawatan ini adalah sebagai persiapan kami untuk membangunkan sebuah hospital Islam di sebidang tanah 1.5 ekar kepunyaan MJBBU yang terletak di persimpangan Jalan Tampoi/BBU/Hospital Permai berdekatan Produa.

Projek ini difikirkan sangat perlu terutama untuk menempatkan semula pusat rawatan dialisis yang kini telah menampung 69 pesakit dengan 16 mesin dalam keadaan yang kurang selesa. Kami juga memikirkan untuk pusat bersalin ibu mengandung dan pusat rawatan kanak-kanak.

Datuk Shahrir (berbaju biru) bersama rombongan
mendengar taklimat di Hospital Pusrawi

Cita-cita kami yang mendapat ransangan dan dokongan kuat dari Ahli Parlimen Johor Bahru, YB Datuk Seri Utama Hj Shahrir Abd. Samad. Beliau bersama isteri, Datin Shahrizan sanggup bersama-sama dalam lawatan ini dari mula hingga ke akhir lawatan.

Pengerusi Hospital Pusrawi, Lt. General (B) Datuk Abd Aziz Hassan telah menyambut kedatangan dan memberi taklimat serta bersoaljawab. Kami telah dibawa melawat persekitaran hospital dan disediakan jamuan makan tengahari.

Datuk Seri Utama Hj Shahrir Abd. Samad menerima cenderamata dari Pengerusi Hospital Pusrawi, Lt. General (B) Datuk Abd Aziz Hassan

Hospital tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ini mula beroperasi pada 11.6.1984 yang bermula dengan 14 katil, kini telah dapat menampung 159 katil dan 535 orang pekerja.

Senama dan sejawatan,
Dr Kamaruddin Ahmad (baju hijau) dari MJBBU
dan Dr Kamaruddin Ahmad (baju putih) dari Pusrawi

Seterusnya, kami menunaikan solat jamak Zohor dan Asar di Masjid Jamek Kg Baru, Kuala Lumpur yang terkenal dengan pengagihan bubur lambuk di bulan Ramadhan.

Selepas menunai solat, kami disambut oleh Pengerusi dan Jawatankuasa Tadbir masjid serta diberi taklimat tentang kegiatan masjid berkenaan.

Banyaknya periuk ......

Kami juga mengambil peluang meminta bantuan bagi mendapatkan Imam Taraweh dari Mekah yang bertugas di Masjid Kg Baru pada setiap bulan Ramadhan.

Tekun mendengar taklimat

Kedua-dua Pengerusi Masjid
bertukar cenderamata

Lawatan seterusnya adalah ke Hospital Pakar Al-Islam, di Jalan Raja Abdullah. Hospital yang berhadapan dengan Masjid Jamek Kg Baru ini dahulunya dikenali dengan nama Pusat Perubatan Kampong Baru (KBMC) dibangunkan sebagai salah satu program dakwah Bil-hal Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Saya bersama Hj Hussein Ismail,
pencetus ide lawatan

Hospital ini mula beroperasi pada September 1996 dan mempunyai kapisiti 65 katil. Unit kecemasannya beroperasi 24 jam dan mempunyai beberapa khidmat rundingan.

Pengarah Hospital Pakar Islam,
Dr Ishak Mas'ud bersama Dato Shahrir

Dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru, kami singgah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3, Putrajaya. Sebelumnya, masjid ini digelar Masjid Besi. Masjid ini dibuka pada bulan Ogos 2009 dan mempunyai keluasan sekali gandi berbanding Masjid Putra yang terletak 2.2 km ke utaranya.


Indahnya masjid waktu senja yang menjadi salah satu
mercutanda di Putrajaya

Masjid ini dibina dengan 70% darinya dengan keluli dan bakinya dari konkrit. Masjid ini mempunyai keistimewaan kerana tiada pemasangan kipas dan alat penyaman udara dan hanya menggunakan gas penyejuk.

Seni bina Islam yang diimport dari
Anyaman Masyrabiah Jerman dan China

Di masjid ini, kami menunaikan solat Maghrib dan jamak Isyak berjemaah sebelum meneruskan perjalanan balik ke Johor Bahru.

Pengerusi dan Jawatankuasa HELWA MJBBU
bergambar di pintu masuk Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

.

Rabu, Februari 17, 2010

SOLAT MAGHRIB DI SURAU APARTMENT SRI IMPIAN

.
Minggu ini, program ADUN Tanjung Puteri, YB Hj Adam Sumiru menemui jemaah surau disambung semula. Maghrib tadi, saya mengikutinya ke Surau Apartment Sri Impian, Larkin Perdana. Bersama-sama dengannya adalah Khalid Mohamad (Ahli Majlis Zon Larkin), Hj Andek Ariffin (Penggerak Masjid dan Surau), R Azmi Md Aris (Ketua Kampong) dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Johor Bahru.

Majlis ucapan dan soal jawab telah diadakan selepas solat Maghrib dan Isyak dan diakhiri dengan jamuan.

Ketua masyarakat yang juga Ketua UMNO Cawangan Sri Impian, Wan Zuraimi bin Wan Abd Jamil telah mempengerusikan majlis perjumpaan.

.

CITA-CITA KAMI HENDAK MENUBUHKAN HOSPITAL PAKAR

.
Ustaz Suliman Sujak dan Hussein Ismail
memberi penerangan projek Hospital Pakar

Mampukah pengurusan Masjid Jamek Bandar Baru Uda membangun dan menguruskan sebuat hoapital pakar?.

Inilah hasrat kami kini. Ia nampak seperti mustahil. Mana mungkin sebuah masjid dapat melakukannya.

Universiti al-Azhar al-Shareef adalah inspirasi kami. Dahulu, pada tahun 969, Kerajaan Fatimiyah telah membangunkan masjid al-Azhar dan kini masjid ini telahpun menjadi sebuah universiti yang sangat dikenali.

Masjid kami telahpun berjaya menubuhkan Pusat Dialisis dan Kesihatan, Pusat Pembangunan Seni Khat dan Jawi, Kelab Warga Emas, Kelab Sukarelawan, Kelab Bulan Sabit Merah, Koperasi dan lain-lain, kini tibalah masanya untuk kami menubuhkan Hospital Pakar.

Berpaksikan kepada dakwah, fardhu kifayah dan ekonomi Islam, cadangan ini mula diperbincangkan oleh Jawatankuasa pengurusan MJBBU. Apatah lagi dengan kesanggupan Ahli Parlimen Johor Bahru, YB Datuk Seri Utama Shahrir Samad yang sanggup menjadi penerajunya.

Hari Khamis ini, kami akan ke Kuala Lumpur. Tujuannya adalah untuk membuat lawatan dan mendengar taklimat dari pengurusan Hospital Pusrawi dan Hospital Pakar Islam (Al-Islam Specialist Hospital) Kg Baru. Mereka yang mengikuti lawatan ini adalah Jawatankuasa Pengurusan Masjid BBU dan wakil-wakil dari Pusat Dialisis dan Kesihatan, beberapa orang doktor Islam diketuai oleh Dr Kamaruddin Ahmad, pengerusi-pengerusi surau di BBU serta wakil dari Jabatan Agama Johor.

Sebidang tanah seluas 1.5 ekar di persimpangan Jalan Tampoi/Hospital Permai/Bandar Baru Uda adalah tapak yang akan dibangunkan. Hospital ini dijangka akan menempatkan mesin dan rawatan dialisis yang sekarang ini berada dalam kawasan masjid. Selain itu, ia juga akan digunakan sebagai rawatan ibu mengandung dan pusat bersalin selain rawatan dan wad untuk kanak-kanak.

.

Ahad, Februari 14, 2010

NAMAKU SUNAWAN, YANG CANTIK LAGI MENAWAN

.
Reban @ Hj Abd Majid bin Radio

SUNAWAN, itulah nama yang diberi kepada diriku. Nama ini tidak ramai yang memilikinya. Sehingga kini, saya hanya mengenali dua orang lain yang menggunakan nama yang sama. Seorang darinya menetap di Kampong Puteri Menangis, kampong ibu saya berada sekarang. Sunawan bin Hj Omar ini mempunyai seorang anak lelaki bernama Mohd Fauzi yang bertugas sebagai Setiausaha Sulit Kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Ahmad Maslan.

Seorang lagi, Sunawan bin Jasir yang menjadi Ketua Kampong Maju Jaya, Skudai. Saya pernah bertemu dengannya beberapa kali.

Puas juga saya mencari dan bertanya tentang makna 'Sunawan', tidak ada yang tahu. Mereka yang faham bahasa Arab mengatakan hanya 'Sinwan' yang bermaksud 'kembar'. Sebab itu, Dato' Noh Gadut, bekas Mufti Johor memanggil saya 'Sinwan' sehingga kini.

Saya tak kesah kalau orang mengatakan saya anak Jawa. Memangpun emak saya keturunan Jawa dan bapak saya lahir di Tanah Jawa. Pernah beberapa kali apabila bertemu dengan orang yang baru dikenali dan memperkenalkan nama, selamba mereka akan berkata "Jawa ye?".

Puas saya mencari makna dan maksud 'Sunawan', masih tidak terjumpa. Ada dalam bahasa Hindi, tetapi saya tidak tahu maknanya. Saya hanya tahu, 'su' dalam bahasa Sanskrit adalah cantik. Jadi, tidak salahlah kalau saya pernah mengatakan bahawa 'Sunawan' itu adalah 'Yang cantik lagi menawan'.

Mungkin juga benar apa yang diperkatakan oleh portal Indonesia 'Apakabar' yang cuba menjelaskan disebalik makna dua pemimpin besar mereka iaitu Sukarno dan Suharto. Klik di sini pernyataan portal tersebut.

Dulu, saya pernah tertanya-tanya, mengapa nama saya seorang diantara 9 orang adik beradik saya yang mempunyai nama Jawa. Yang lain-lain adalah Juriah, Asmuni, Ahmadon, Junaidah, Juliha, Junainah, Junaini dan Abdul Bashir.

Emak memberitahu, kesemua nama 8 orang tersebut dari ilham bapa saya yang bernama Mohd Som (Bapak tidak pernah menyebut namanya sebagai Mohd Som, sebaliknya Ma'asom sebagaimana yang ditulis dalam tulisan Jawi).

Siapa pula yang memberi nama saya?. Tidak lain dan tidak bukan adalah datuk saya yang bernama Reban @ Hj Abd Majid bin Radio. Ketika saya dilahirkan, bapak berada di Mekah menunaikan fardhu haji. Datuk atau Yai Reban yang memberi nama. Katanya, ada seorang yang bernama Sunawan di Tanah Jawa yang sangat dihormati dan mempunyai jawatan dengan pemerintah. Tidak pasti pula samada pemerintah Belanda atau pemerintah rakyat yang telah mendapat kemerdekaan.

Mungkin ada Sunawan yang lain, tetapi Sunawan yang satu ini mempunyai nama awalan Mohamad, nama nabi akhir zaman.

Walau apapun yang diperkata oleh orang lain, saya tetap bangga dengan nama Sunawan kerana saya tidak mempunyai ramai pesaing. Sebutlah nama saya dimana sahaja, orang yang mengenali akan mengatakan, itulah Mohd Sunawan Hj Md Som yang lahir di Pontian dan sekarang bermukim di Johor Bahru.

Alfatehah untuk Yai Reban yang memberi nama Sunawan, yang cantik lagi menawan.

Sabtu, Februari 13, 2010

MENGHADIRI TAKLIMAT KOPERASI KEJIRANAN

.
Koperasi Masjid Jamek Bandar Baru Uda Johor Bahru Berhad yang telah diluluskan pendaftarannya oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia pada bulan Mei 2009 telah diberi penghargaan untuk membentangkan kertas kerja dalam taklimat dan pengenalan koperasi kejiranan.

Haji Hussein Ismail, Ahli Lembaga Koperasi MJBBUJB Berhad telah membentangkannya pada program yang diadakan pada 8 dan 9 Februari 2010 bertempat di Putri Resort, Ayer Keroh, Melaka.

Program yang dihadiri oleh hampir 150 orang peserta telah memberi pendedahan tentang aktiviti yang boleh dijalankan ole koperasi kejiranan.

Saya bersama Ahli Lembaga Hj Rumali Sahar, Zahrin Saniman dan Mahathir Ibrahim mengambil peluang berjumpa koperator dari seluruh negara dengan mempamir dan menjual barangan dari Kiosk Kariah MJBBU.

Alhamdullillah, jualan menggalakkan dan kami juga berpeluang memperkenalkan 'KIFAYAH' iaitu kit kelengkapan pengurusan jenazah bagi membantu umat Islam menyeragamkan pengurusan jenazah selain memenuhi keperluan tuntutan fardu kifayah.

Koperasi adalah sebagai pengedar tunggal yang telah diberi kepercayaan oleh pengeluarnya iaitu Dunia Kifayah yang beroperasi di Johor Bahru.

KAKITANGAN MASJID BBU KEMALANGAN

.
Seorang kakitangan Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Akmal Muslim terlibat dalam kemalangan jalanraya baru-baru ini ketika dalam perjalanan balik ke rumah keluarganya di Sungai Lurus, Senggarang, Batu Pahat.

Kemalangan yang berlaku di persimpangan lampu trafik Pekan Kulai telah menyebabkan kereta yang dipandunya mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

Akmal yang memandu berseorangan pada malam tersebut mengalami kecederaan di kaki dan terpaksa berehat untuk beberapa hari.

Saya beserta beberapa orang kakitangan masjid sempat melawatnya di kampung. Bapanya yang merupakan pesara guru agama Johor melayani kami.

Akmal (baju merah) menjelaskan bagaimana
beliau terlibat dalam kemalangan

Keadaan kereta yang rosak

Jumaat, Februari 12, 2010

TPM MINTA KAKITANGAN FELDA MELIHAT MASALAH PENEROKA

.

Saya tertarik dengan saranan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa kakitangan Felda 'turun ke bawah' melihat permasalahan peneroka (klik di sini).

Sepanjang 26 tahun bekerja dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda dan kebanyakan masa bekerja saya adalah di tanah rancangan, saya menganggap saranan ini adalah sebagai peringatan dan ulangan arahan dari pegawai atasan sahaja. Kakitangan Felda yang sebahagian besarnya berada di merata tanah rancangan, tentulah tidak terkejut dengan saranan ini kerana tugas mereka sepanjang hari adalah bersama dengan masyarakat peneroka.

Kakitangan Felda sangat mengenali masyarakat peneroka di tempat mereka bertugas. Mereka mengenali bukan sahaja peneroka itu sendiri, malahan keluarganya, pekerjaan mereka dan segala-galanya. Ini adalah sebahagian besar tugas mereka sehingga menganggap peneroka itu sendiri sebagai keluarga sendiri.

Terlalu banyak yang hendak dipaparkan. Saya sendiri masih teringat bagaimana seorang peneroka datang merayu untuk mendapatkan beras dan susu anak kerana tidak kecukupan wang. Ini berlaku pada tahun-tahun 1970an, ketika masyarakat peneroka belum memperolihi pendapatan lumayan.

Ketika peneroka memperolehi penghasilan yang baik, lain pula ceritanya. Diantara mereka ada yang berusaha untuk mempelbagaikan kegiatan dengan menceburi perniagaan. Ini juga tugas kakitangan Felda untuk membantu walaupun mereka sendiri tidak pernah berniaga sehingga ramai pula yang sanggup menjadi penjamin pinjaman dari institusi kewangan. Akibatnya ramai yang diisytiharkan bankrap kerana peminjam tidak dapat melunaskan pinjaman.

Inilah diantara contoh yang saya katakan kakitangan Felda tidak terkejut malahan ia merupakan satu ulangan arahan dari pegawai-pegawai atasan Felda, dan sekarang diulang semula oleh Timbalan Perdana Menteri.

Yang sepatutnya diberi perhatian oleh Timbalan Perdana Menteri ialah bagaimana membantu kakitangan Felda yang tidak berpeluang mendapatkan kemudahan selepas bersara seperti ditawarkan tanah dan rumah sebagaimana peluang dan kemudahan untuk generasi anak peneroka Felda.

Nampaknya masyarakat peneroka lebih penting dari kakitangan dan pegawainya.



Ahad, Februari 07, 2010

KELAS SENI KHAT MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA

.
Pembelajaran seni khat sentiasa hidup di Masjid Jamek Bandar Baru Uda. Kelas yang diadakan pada setiap hari Ahad mulai jam 9 hingga 11 pagi mendapat bimbingan dari Ustaz Jalaluddin Satim. Ketika ini seramai 14 orang dari pelbagai peringkat umur sedang mengikuti kelas berkenaan.

Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pelajar. Yang penting adalah komitmen mereka untuk terus belajar.

TAKLIMAT PENUBUHAN YAYASAN MASJID

.

Keunikan Masjid Jamek Bandar Baru Uda yang tidak terdapat di masjid lain seluruh negara kita adalah kerana ia mempunyai Yayasan Masjid. Ia telah menarik perhatian pentadbir masjid lain dan diantaranya adalah Masjid Jamek Nurul Ta'zim, Kampong Dato' Sulaiman Menteri Johor Bahru.

Pagi tadi, 10 orang pimpinan masjid berkenaan diketuai oleh pengerusinya, Haji Mohd Mohyin bin Hj Samin telah hadir untuk meminta taklimat bagaimanacara penubuhan Yayasan Masjid.

Di taklimat ini, Hj Hussein Ismail (Bendahari Masjid Jamek BBU) telah memberi penerangan dan kefahaman sebagaimana yang dipinta.