Radio Internet FuhYooFm

Selasa, Mac 23, 2010

MALANG BAGI PEMBELI PREMIS DI TAMAN LARKIN INDAH

Saya telah menerima beberapa aduan dari pembeli di apartment Taman Larkin Indah, Johor Bahru. Terbaru pada tengahari tadi apabila pemilik kedai tidak dapat keluar masuk apabila kontraktor mula menutup laluan masuk tanpa diketahui tujuannya.

Sehubungan dengan itu, mereka telah membuat laporan polis. Penguatkuasa MBJB yang dihubungi telah datang dan membuat arahan agar pemaju membuka semula jalan masuk dan tidak melakukan sebarang kerja tanpa mendapat kebenaran Majlis.
.

Isnin, Mac 22, 2010

MALAM UNTAIAN BUDI SEKOLAH AGAMA BANDAR BARU UDA

.
Badan Kebajikan dan Majlis Guru Sekolah Agama Bandar Baru Uda malam ini mengadakan majlis Malam Untaian Budi Jalinan Kasih bertempat di Restoran JB Catering, Tasek Merdeka Johor Bahru.

Majlis yang dihadiri oleh AJK Badan Kebajikan dan Guru-Guru bersama keluarga masing-masing adalah sebagai majlis keraian keluarga disamping meraikan guru-guru yang telah berpindah serta guru yang baru melaporkan diri.

Kehadiran semua dengan berpakaian warna oren sangat meriah disamping juruacara yang dapat mengendalikan majlis dengan begitu ceria.

Selain penyampaian cenderahati kepada guru yang telah berpindah, banyak hadiah yang disediakan kepada mereka yang bertuah disamping mereka yang berjaya menjawab teka teki.

PUSAT DIALISIS MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA

.
The New Straits Times hari ini menyiarkan satu rencana mengenai Pusat Dialisis Dan Kesihatan (PDK) yang diuruskan oleh Masjid Jamek Bandar Baru Uda (Baca di sini).

Pusat ini mula beroperasi mulai 16.5.2004 dengan 2 buah mesin dan merawat 3 orang pesakit. Kini pusat ini beroperasi dengan 16 mesin dan pesakit yang dirawat adalah seramai 61 orang terdiri dari berbagai bangsa dan agama. Seramai 3 orang jururawat terlatih dan 7 orang pembantu yang dibayar gaji sepenuhnya oleh PDK bertanggungjawab mengendalikannya. Kesemua kakitangan ini dibawah seliaan 3 orang doktor yang berkhidmat secara sukarela yang diketuai oleh Dr. Hj Kamaruddin bin Ahmad.

Kaedah merawat melalui rawatan hemodialisis di pusat ini akan dilakukan 3 hingga 4 jam sekali sebanyak 3 kali seminggu.

Pesakit yang menerima rawatan bukan sahaja dari kalangan penduduk Bandar Baru Uda, sebaliknya merentasi ke sekitar daerah Johor Bahru termasuk dari Ulu Tiram, Gelang Patah dan Kulai Jaya.
.

Khamis, Mac 18, 2010

PBKF JOHOR SELATAN MELANCONG KE LANGKAWI

.
Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) bagi Kawawan Johor Selatan telah membawa seramai 40 orang ahli dan keluarganya melancong ke Pulau Langkawi.

Bas mula mengambil penumpang di Kota Tinggi pada hari Ahad, 14 Mac 2010 jam 4.30 pagi. Mereka bekumpul di Masjid Jamek Kota Tinggi dan seterusnya mengambil peserta lain di Ulu Tiram, Johor Bahru, Air Hitam dan Yong Peng.

Rombongan sampai di Jeti Kuala Perlis dan terus menaiki feri ke Kuah, Langkawi.

Sepanjang 3 malam di pulau lagenda, mereka ditempatkan di 2 unit apartment di perkampungan Kastam. 2 hari melawat tempat bersejarah, tumpuan pelancong dan membeli belah memberi kepuasan kepada peserta rombongan.

Pelbagai pengalaman menarik ditimba sepanjang perjalanan. Diantaranya adalah menaiki 'cable car' yang pastinya tidak dapat dilupakan. Tempat-tempat lain adalah Dataran Helang, Gunung Mat Chinchang,Pekan Kuah, Makam Mahsuri, Telaga Air Hangat, Beras Terbakar, Under Water World, Mengelilingi Pulau, Gua Kelawar, SSungai Kilim, Taman Ikan, Galeria Perdana, Kompleks Belibelah dan lain-lain.

Rombongan yang diketuai oleh Puah Fatimah Hamid sampai ke rumah masing-masing pada 17 haribulan dengan membawa pelbagai kenangan manis.


.

PENGALAMAN MENAIKI BAS EKSPRES

.
Perjalanan hari ini dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dengan menaiki bas ekspres amat mendebarkan. Saya tidak menyangka bas yang dinaiki berdaftar 6611 dan dipandu yang kelihatan berbangsa India, sangat laju.

Bas bergerak pada jam 2.45 petang dan sampai di Bandar Baru Uda pada jam 6.45 petang. Ini bermakna perjalanan memakan masa 4 jam termasuk 45 minit berhenti di dua perhentian untuk buang air dan minum petang.

Sepanjang perjalanan dengan merempuh hujan di beberapa tempat, kelajuan bas dianggarkan 130-140 kmj. Tidak ada sebuah bas atau lori yang mengunggulinya malahan banyak kenderaan lain seperti kereta yang terpaksa berada di belakang bas ini.

Perasaan saya memang sentiasa berdebar kerana kekuatiran berlakunya kemalangan bas persiaran dan ekspres sebelum ini. Saya sentiasa melihat perjalanan bas dan sentiasa bersedia sekiranya sesuatu berlaku. Terfikir juga untuk melaporkan kepada pihak berwajib, akhirnya saya pendamkan saja hasrat tersebut.

Untuk mengurangkan ketegangan, saya mendengar ceramah agama dalam mp3 yang sentiasa saya bawa bersama kamera.

Ketika bas berhenti untuk berehat di sebuah restoran berdekatan rumah tol Yong Peng Utara, saya sempat mengambil gambar bas yang saya maksudkan.

Berdasarkan kepada pengalaman ini, saya rasa kemungkinan kemalangan boleh berlaku sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Rabu, Mac 10, 2010

MANUSIA BERTANDUK

.
Berikut adalah berita yang saya ambil dari Kosmo Online hari ini:

LINLOU, China - Seorang nenek berumur 101 tahun, Zhang Ruifang mempunyai tanduk di dahi kirinya yang semakin panjang, lapor sebuah akhbar semalam.

Ruifang memiliki tanduk sepanjang 6.1 sentimeter seperti yang terdapat pada kambing sejak tahun lalu.

Apa yang lebih pelik lagi ialah terdapat tanda-tanda bahawa satu lagi tanduk akan muncul di dahi kanannya.

Seorang anak bongsu lelakinya, Zhang Guozheng, 60, berkata, terdapat satu tompokan di dahi ibunya pada tahun lalu sebelum tanduk itu muncul.

"Kini terdapat satu lagi tompokan di dahi kanannya. Pastinya ia satu lagi tanduk," katanya.

Nenek itu mempunyai enam anak dan anaknya yang tua berumur 82 tahun.

Walaupun setakat ini benda yang tersembul keluar dari dahi Ruifang tidak diketahui tetapi ia mirip tanduk.

Tanduk itu dipercayai dihasilkan daripada keratin iaitu bahan protein yang terdapat pada kuku, tanduk, sisik dan lapisan luar kulit. - Agensi

.

Selasa, Mac 09, 2010

BEKALAN AIR TERPUTUS DI BANDAR BARU UDA

.
"Pegawai Kami sedang sibuk, anda akan dilayan sebentar lagi". Itulah kata-kata teleinfo toll free Syarikat Air Johor (1800-88-7474). Jawapan seterusnya adalah "Pegawai kami masih sibuk, anda akan dilayan sebentar lagi". Akhirnya tidak kedengaran suara lagi.

Begitulah saya menghubungi SAJ Holdings Sdn Berhad sepanjang pagi ini. Tiada jawapan yang diterima.

Penduduk di Fasa 1 Bandar Baru Uda tidak mendapat bekalan air dari SAJ sejak jam 4 petang semalam. Tiada sebarang pemberitahun dan ini menyebabkan pelbagai kesukaran.

Kedai-kedai makanan tidak beroperasi hari ini kerana tidak mendapat bekalan air. Ramai yg mencari air untuk kegunaan penting seperti mandi dan memasak di luar.

Saya sendiri terpaksa ke pejabat di Jalan Padi Emas 4/1 untuk tujuan membersihkan badan.

Sehingga kini, jam 12.50 tengahari tiada tanda-tanda penduduk mendapat bekalan air. Seharusnya SAJ menghantar air menggunakan lori tangki di kawasan terlibat.

PROGRAM 1KOMUNITI 1KOPERASI AKAN DIPERLUAS KE SELURUH NEGARA

.
SUNGAI BULOH: Program '1Komuniti, 1Koperasi' (1K1K) yang berteraskan penubuhan koperasi di setiap komuniti, akan diperluas ke seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata program itu, yang dilancarkan hari ini, diharap dapat menyemarakkan lagi minat masyarakat Malaysia untuk menubuhkan koperasi tanpa mengira lokasi atau kawasan.

Katanya melalui penubuhan koperasi, pelbagai peluang perniagaan terbuka luas untuk diteroka secara berkumpulan dan penglibatan rakyat secara berkumpulan itu akan meningkatkan sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan sosioekonomi rakyat.

"Perkara utama yang perlu diwujudkan dalam koperasi adalah semangat kerjasama, perasaan hormat-menghormati serta sikap saling mempercayai sesama anggota bersesuaian dengan budaya dan kehidupan harian masyarakat majmuk 1Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Paya Jaras Hilir, dekat sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Muhyiddin berkata selain sektor awam dan swasta, sektor koperasi merupakan sektor ketiga terbesar yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pembangunan sektor itu diyakini akan menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada satu peratus kepada lima peratus menjelang 2013.

Penubuhan gerakan koperasi yang bermula sejak 88 tahun lepas telah berkembang pesat dan sehingga kini, terdapat 7,296 koperasi berdaftar dengan keanggotaan berjumlah 6.65 juta orang.

"Ini menggambarkan pembangunan masyarakat melalui gerakan koperasi terbukti masih lagi relevan di negara kita," katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan sehingga kini telah memberi khidmat nasihat melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi penubuhan dan pembangunan koperasi, selain menyediakan Peruntukan Pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)berjumlah RM69.5 juta.

Katanya kerajaan juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua dan menyediakan peruntukan bagi pinjaman Tabung Modal Pusingan berjumlah RM390 juta. Kesemua program itu akan diteruskan dalam RMK-10. Muhyiddin berkata konsep koperasi berasaskan komuniti bukanlah perkara baru, cuma ia tidak digerakkan secara besar-besaran sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, dengan pelaksanaan program '1Komuniti, 1Koperasi' itu, penubuhan koperasi komuniti akan dipergiat dan diperluas untuk merangkumi pelbagai aktiviti berdasarkan keperluan komuniti.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya berkata komuniti yang disasarkan melalui penubuhan 1K1K adalah penduduk sebuah kampung, taman perumahan, kondominium, pangsapuri, qariah masjid, sebuah persatuan keluarga, suatu pasukan, persatuan, kelab, pertubuhan dan perkumpulan wanita dan pekerja.

Beliau berkata kementerian juga telah mewujudkan Majlis Perundingan Koperasi Peringkat Parlimen (MPKP) di setiap kawasan Parlimen bertujuan menggalakkan amalan berkoperasi di kalangan pelbagai lapisan masyarakat melalui program pembudayaan.

Katanya dengan peluasan program itu ke seluruh negara pula diharap dapat membantu rakyat mendapatkan perkhidmatan yang lebih murah di samping menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan.- BERNAMA

.

TIADA KESAN NYATA KEJAYAAN PENTADBIRAN PEMBANGKANG DI TIGA NEGERI, KATA TPM

.
Tan Sri Muhyiddin menerima cenderahati
semasa melawat gerai Koperasi Masjid Jamek
Bandar Baru Uda Johor Bahru Berhad

SUNGAI BULOH: Prestasi pakatan pembangkang selepas dua tahun memegang tampuk pentadbiran di tiga buah negeri yang dikuasai mereka masih tidak menunjukkan kesan nyata kejayaan dalam pentadbiran, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Malah saya mendapat banyak aduan khususnya daripada peniaga-peniaga di negeri yang dikuasai pembangkang yang menyuarakan tidak puas hati kerana terlalu banyak kerenah birokrasi di peringkat negeri, sedangkan kita di Persekutuan mahu mengurangkan kerenah birokrasi," katanya.

Malah, banyak janji semasa pilihan raya masih tidak dilaksanakan kerajaan pimpinan parti pembangkang di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, katanya ketika berucap merasmikan program 1Komuniti, 1Koperasi di Paya Jaras Hilir, dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata oleh itu, dalam tempoh dua tahun, sebahagian besar rakyat diharap dapat menilai cara dan gaya kepimpinan Barisan Nasional (BN) berbanding kepimpinan pembangkang yang mentadbir negeri-negeri berkenaan.

"Kalau mereka masih pertikai dua tahun apa boleh dibuat, kita lihat sahaja pentadbiran di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa belum pun sampai setahun, sudah pelbagai perkara yang dibuat," katanya.

Sebagai contoh, Muhyiddin berkata di bawah pentadbiran Najib, Malaysia telah memperkenalkan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), melaksanakan tindakan-tindakan untuk menangani impak kegawatan ekonomi selain bakal memperkenalkan Model Ekonomi Baru. "Jadi, bagi saya, mereka ini tidak upaya (mentadbir negeri) dan kenyataan ini boleh dinilai oleh rakyat jelata sendiri," katanya. - BERNAMA

Ahad, Mac 07, 2010

MERAKAM CERAMAH AGAMA

.
Saya baru membeli MP3. Kegunaan penting adalah untuk merakam pembelajaran Taranum yang saya ikuti pada setiap malam Selasa dan Khamis. Saya membelinya pun disebabkan VCam yang sering saya gunakan telah rosak. Begitu juga dengan perakan kaset telah tidak dapat digunakan.

Inilah kali pertama saya menggunakan MP3. Selain merakam suara, ia boleh digunakan untuk mendengar radio.

Hari ini, saya menggunakannya untuk merakam ceramah Ustaz Mohd Hafiz Mansor, Pegawai Agama Jabatan Mufti Johor. Dari MP3 ceramah ini akan saya pindahkan ke PC dan juga CD. Seterusnya ia boleh dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukannya.

Ceramah hari ini adalah dalam program Maulidul Rasul di Surau Jalan Langkasuka, Larkin. Turut sama dalam majlis ini adalah YB Dato Seri Utama Shahrir Samad dan YB Adam Sumiru.
.

Rabu, Mac 03, 2010

MELAWAT KAWASAN BERMASALAH DI TAMAN CENTURY

.

Selepas solat Jumaat baru lalu, saya mengikuti lawatan Ahli Parlimen Johor Bahru, YB Datuk Seri Utama Shahrir Samad ke Century Garden. Taman yang dibangunkan pada tahun 1965 ini adalah diantara yang terawal di Bandaraya Johor Bahru (dulu Majlis Bandaran).

Turut sama dalam lawatan ini adalah YB Hj Adam Sumiru (ADUN Tanjung Puteri), YB Mok Chek Hou (ADUN Stulang) serta Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru dari Parlimen Johor Bahru. Kawasan ini dibawah Ahli Majlis Taman Century, Puan Wong Kwee Eng.

Beberapa orang pegawai Majlis Bandaraya juga mengikuti lawatan ini bagi melihat sama kawasan bermasalah dan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.

Beberapa tempat yang dikenalpasti bermasalah adalah:

  • Pokok-pokok terlalu rendang terutama di Dewan Raya Datin Rokiah sehingga boleh menyebabkan sinaran lampu terlindung.
  • Beberapa longkang pecah dan tersumbat.
  • Air kotor mengalir ke longkang yang disyaki dari restoran.
  • Sampah termasuk perabut lama yang dibuang dan tidak dikutip oleh SWM, syarikat pengendali kutipan sampah.
  • Pokok yang perlu ditebang.
  • Laluan pejalan kaki telah rosak disebabkan akar pokok yang timbul di permukaan jalan.
Lawatan berakhir pada jam 6 petang.