Radio Internet FuhYooFm

Khamis, Jun 24, 2010

PENUBUHAN PUSAT RAWATAN MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA

.

Sebentar tadi saya menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ustaz Hj Suliman Sujak bagi membincangkan penubuhan Pusat Rawatan MJBBU di sebidang tanah kepunyaan Masjid BBU seluas 1.39 ekar terletak di persimpangan Jln Tampoi/BBU/Hospital Permai. Pusat rawatan ini akan mempertingkatkan kemudahan pusat rawatan dialisis yang sedang beroperasi di perkarangan masjid selain bercadang untuk memberi rawatan perubatan.

Sebuah bangunan akan didirikan yang akan dimajukan oleh Yayasan Masjid, Pusat Dialisis & Kesihatan serta para kariah melalui Koperasi Masjid Jamek Bandar Baru Uda Johor Bahru Bhd sebagai pemajunya.

Semuga mendapat kerjasama dari semua pihak dengan keizinan Allah SWT. Doakan kejayaannya.

Rabu, Jun 16, 2010

KESAH TRAGEDI MV MARMARA DI MASJID BANDAR BARU UDA

.

Malam tadi di Masjid Bandar Baru Uda, dua orang sukarelawan yang terlibat dalam tragedi di MV Mavi Marmara pada 31 Mei lalu telah menceritakan detik-detik cemas dan urutan cerita di hadapan kariah.

Ustaz Hassanuddin Mohd Yunus dari Aqsa Syarif dan Dr Mohd Arbai'e Syawal dari HALUAN Palestin adalah diantara 12 orang sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara milik IHH Turki ketika diserang dalam Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G).

Program malam tadi adalah pertama bagi mereka untuk menjelajah ke seluruh negara bagi memberitahu dan berkongsi pengalaman agar matlamat mereka untuk terus memberi bantuan kepada penduduk Gaza akan mendapat sokongan dari seluruh rakyat Malaysia yang bersimpati.

INDERA PUTERA ISMAIL MENJAWAT NAIB YANG DIPERTUA P.B.K.F.

.
Indera Putera ketika hadir di majlis yassin tahlil Johor Selatan

Satu perkembangan baru kepada Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) apabila Indera Putera Ismail berjaya menjawat Naib Yang Dipertua dalam mesyuarat agung dwi tahunan yang diadakan pada hari Isnin 14.6.2010 di Dewan Perdana Felda.

Kejayaan Indera Putera yang pernah memegang jawatan Presiden Kesatuan Pekerja Felda dengan menewaskan Datin Nursiah Sulaiman adalah manefestasi ahli-ahli yang mahukan mereka yang datangnya bukan dari bekas pegawai turut sama memegang jawatan penting dalam persatuan.

Ini bukan kempen Indera Putera dan Datin Nursiah,
kedua-duanya sedang mengendalikan ahli-ahli
yang mengikuti lawatan ke Sabah

Indera Putera dan Datin Nursiah sebelumnya memegang jawatan Ahli Jawatankuasa dan memainkan peranan besar terutamanya dalam Jawatankuasa Kebajikan. Kedua-dua mereka mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing. Indera Putera masih memegang jawatan penting dalam MTUC dan menjadi panel beberapa badan yang mempunyai hubungkait dengan pekerja seperti PERKESO. Begitu juga dengan Datin Nursiah yang bergerak aktif dalam NGO khususnya yang berkaitan dengan peranan wanita di peringkat nasional.

Datuk Dzulkifli Abd Wahab,
Pengarah Besar Felda

Mesyuarat agung yang telah dirasmikan oleh Datuk Dzulkifli Abd Wahab, Pengarah Besar Felda telah dihadiri oleh lebih dari 450 orang ahli dari seluruh negara, satu jumlah yang tidak terduga sehingga menyebabkan dewan penuh sesak dan melimpah keluar.

Dalam pemilihan kali ini yang dibuat secara angkat tangan, Haji Jayos Pawiro sekali lagi dipilih sebagai Yang Dipertua sementara Timbalannya disandang oleh Datuk Khamis Md Som. Kedua-dua mereka dipilih sebulat suara.

Haji Jayos Pawiro,
Yang Dipertua PBKF

Bagi 7 jawatan Ahli Jawatankuasa, mereka yang terpilih adalah Mohd Sunawan Hj Md Som (Johor Selatan), Yahya Ramli (Kedah/Perlis), Harris Hussin (Negeri Sembilan), Abd Hajar Abd Wahab (Perak), Zainal Abidin Abu Bakar(Kuantan), Raja Mohamad Abd Rahman (Temerloh) dan Haji Mohamad Abd Rahman (Trengganu).

Tiga orang lagi telah dilantik melalui quota perlantikan adalah Dr Hafsah Nawawi (Wanita), Datin Nursiah Sulaiman (Wanita) dan Hj Wan Yusof Md Nor (Kelantan).

Ahli Jawatankuasa PBKF ketika mengendalikan
Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kali Ke 10

Saya sebagai penyelaras Kawasan Johor Selatan telah membawa hampir 100 orang ahli dengan 2 buah bas dan kenderaan sendiri. Mereka telah bertolak dari rumah masing-masing seawal jam 2.00 pagi demi memastikan kehadiran mereka tepat pada waktunya iaitu jam 10.00 pagi

Sebahagian ahli dari Johor Selatan yang menghadiri mesyuarat

Dalam perjalanan pulang ke Johor, rombongan ahli-ahli dari Johor Selatan telah singgah di Putrajaya untuk melihat keindahan senibena bangunan di pusat pentadbiran kerajaan Malaysia.

Mereka sempat bergambar berdekatan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Besi.

Ahli Johor Selatan bergambar di Putrajaya

Sabtu, Jun 12, 2010

BEGINILAH BILA CUTI PERSEKOLAHAN

.
Hari ini adalah Sabtu minggu kedua cuti persekolahan. Sekitar jam 10 pagi saya telah bergerak bersama isteri ke Kluang Johor untuk menghadiri majlis perkahwinan.

Inilah yang akan saya lakukan sepanjang hari ini, Mengikut jadual, saya akan pergi ke 6 majlis perkahwinan. Selain di Kluang, baki 5 majlis lagi semuanya di sekitar Johor Bahru.

Beginilah yang akan saya lakukan pada setiap kali cuti persekolahan. Sehingga ini saya masih tertanya-tanya mengapa majlis perkahwinan mesti dibuat pada cuti persekolahan. Biasanya bila ditanya, jawapannya adalah sama: mudah untuk saudara mara datang meraikan majlis perkahwinan!.

Pada masa ini, jawapan seperti ini sepatutnya tidak lagi relevan kerana kerajaan telahpun memberi cuti hujung minggu selama 2 hari. Majlis perkahwinan khususnya di kawasan bandar lebih mudah kerana semuanya dibuat secara pakej atau dikontrakkan. Segala-galanya boleh diselesaikan dalam tempoh satu hari.

Apa yang saya lihat adalah majlis perkahwinan tidak semeriah pada hari yang diadakan bukan pada cuti persekolahan. Ini adalah disebabkan terlalu banyak majlis menyebabkan kehadirannya berkurangan. Tidak secara langsung ramai juga yang hadir tetapi tidak menjamah makanan atau hanya makan ala kadar. Akhirnya, banyak makanan yang terbuang dan berlakulah pembaziran.

Saya melihat sendiri di rumah terakhir yang saya pergi tadi, hampir separuh periuk lauk pauk yang masih berbaki.

Jam 5 petang, saya dapat menghadiri semua jemputan kahwin. Setelah solat Asar, saya masih boleh pergi ke majlis di rumah jiran iaitu tahlil dan cukur rambut bayi.

Beginilah bila cuti persekolahan. Esok, hari Ahad tentunya ada lagi majlis-majlis seperti ini.

Khamis, Jun 10, 2010

PERSATUAN PESARA KERAJAAN NEGERI JOHOR.

.
Saya pernah menjadi ahli Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Johor dan pernah juga mewakili Daerah Johor Bahru ke mesyuarat perwakilan Negeri yang diadakan di Muar beberapa tahun lalu.

Begitupun, sehingga kini saya tidak pernah menerima surat panggilan untuk menghadiri mesyuarat agung daerah. Tidak tahu dimana silapnya.

Bagaimanapun, pagi semalam saya menerima panggilan dari Haji Misbah Zainuddin, Setiausaha Persatuan supaya saya bersedia membaca doa di majlis makan malam anjuran persatuan di Hotel M-Suite Johor Bahru bersempena mesyuarat agung. Dalam majlis ini, tetamu utamanya adalah Dato' Haji Abd Ghani Othman, Menteri Besar Johor dan isteri.

Di majlis ini yang diadakan pada malam semalam, saya bertemu rakan lama yang aktif dalam politik UMNO dari Bahagian Bakri, Sdr Bahar Siran.

Bahar Siran

Rabu, Jun 09, 2010

BERKURANGAN LAGI AHLI KUMPULAN YAASIN AL-IKHLAS.

.
Dalam masa seminggu, 2 orang ahli kumpulan Yaasin Al-Ikhlas Jalan Jagong BBU telah meninggal dunia. Bermula dengan Jumaat lalu apabila Jemaat Ngadimon meninggal disebabkan kegagalan buah pinggang dan hari ini, Olan Ahmad mengikutinya disebabkan oleh sesak nafas.

Jenazah kedua-dua rakan kami ini disemadikan di perkuburan Bukit Alif, Tampoi bersebelahan antara kedua-duanya.

Bagi Allahyarham Olan Ahmad, untuk pertama kalinya, Haji Abdul Kadir Jais telah membacakan talkin dan doa. Ia selaras dengan jawatan barunya sebagai Ketua Imam di Surau Al-Falah, BBU.

Nampaknya semakin berkuranganlah ahli kariah kami.

MELIHAT PERMASALAHAN DI TERMINAL LARKIN

.
Sekali lagi Terminal Bas Larkin mendapat perhatian Dato' Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar. Baru sebulan lebih yang lalu beliau telah melakukan lawatan ke kawasan ini dan pada hari ini tadi sekitar jam 3.30 petang, beliau sekali lagi membuat lawatan mengejut.

Petang semalam saya mendapat berita tentang lawatan ini. Ini tentunya berkaitan dengan laporan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Utama Shahrir Samad yang tidak berpuas hati dengan beberapa tindakan J-Corp melalui anak syarikatnya, Damansara Asset yang dikatakan tidak mengambil berat masalah penyewa bangunan dan beberapa tindakannya yang boleh menyebabkan banyak masalah.

Lawatan mengejut Menteri Besar ini menunjukkan betapa seriusnya kerajaan cuba menyelesaikan masalah rakyat. Tentulah lawatan ini tidak sahaja dari laporan yang disiarkan oleh PAS Johor Bahru (klik), sebaliknya beberapa siri pertemuan Ahli Parlimen Johor Bahru dan ADUN Tanjung Puteri serta siri lawatan ke sini telah menjadikan ia suatu isu yang perlu diambil perhatian serius.


Ahad, Jun 06, 2010

PESTA RIA DI BANDAR BARU UDA

.
Pagi tadi, bertempat di padang permainan kanak-kanak Jalan Padi 4, BBU, Pergerakan Wanita UMNO Cawangan Uda Jagong telah mengadakan pasar ria dan juga sukaneka.

Tetamu yang hadir adalah YB Hj Adam Sumiru, Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Puteri.

Di dalam ucapannya beliau mengharapkan kegiatan seperti ini dapat dijalankan setiap tahun untuk mengeratkan hubungan antara ahli dan orang ramai disamping dapat mendapatkan sumber kewangan yang boleh digunakan untuk kebajikan ahli.

Beliau juga menyarankan agar permohonan hendakah dibuat untuk mendapatkan sebuah dewan raya bertempat di sebahagian taman permainan kanak-kanak yang ada sekarang kerana beliau telahpun mengemukakan secara lisan kepada YSB Menteri Besar Johor.

Majlis yang bermula pada jam 8.00 pagi telah berakhir sehingga jam 3.00 petang.

INGIN MELANCONG KE JAWA TENGAH DAN JAWA TIMUR


Tarikh: 26.07.2010/Isnin hingga 01.08.2010/Ahad (7 hari 6 malam)


Penerbangan: LCCT Sepang ke Yogyakarta dan balik dengan Air Asia


Pergi AK 594 jam 7.00 pagi dan balik AK595 jam 9.00 pagi

Atau:

Singapura ke Yogyakarta dan balik dengan Air Asia

Pergi QZ7139 jam 11.00 pagi dan balik QZ7138 pada 7.35 pagi


Bandar

dilawati: Yogyakarta, Magelang, Semarang, Demak, Kudus, Jepara, Pati, Tuban, Surabaya, Malang, Sidoarjo, Malang, Blitar, Kediri, Madiun, Ngawi dan Surakarta (Solo).


Antara tempat

Dilawati: Istana/keraton, Borobodor, Perambanan, Mesjid Agung Demak, Lapindo, ukiran kayu, pembuatan kulit, batik, tanaman epal dan lain-lain.


Bagaimana ingin mengikuti lawatan ini:-

- Menempah sendiri tiket penerbangan seawal yang mungkin dan memaklumkan kepada saya dengan segera. (ketika ini tiket melalui Sepang lebihkurang RM500 dan melalui Singapura RM430).

- Semua perbelanjaan di Indonesia (kenderaan, minum pagi, tengahari, malam, tiket tempat lawatan dan pemandu pelancong) sepanjang lawatan adalah sebanyak RM800.00.

- Menyediakan paspot antarabangsa (tarikh luput tidak kurang dari 6 bulan pada masa ketibaan). Boleh mengambil paspot berkumpulan untuk satu perjalanan sekurang-kurangnya untuk 5 orang.

- Sekiranya ramai yang ingin menyertai, perjalanan dari Johor Bahru ke LCCT Sepang atau Singapura boleh diaturkan.


Untuk makluman, lawatan ini dibuat secara santai dengan mengambil kira keadaan semasa perjalanan.


Sehingga ini mereka yang telah membeli tiket (dari LCCT Sepang) untuk mengikuti lawatan ini adalah:-

1. Indera Putra Ismail dan isteri

2. Maaulut Manas dan isteri

3. Abu Bakar Dawi dan isteri

4. Mohd Katur bin Salleh dan isteri

5. Zakaria dan isteri

6. Mohd Sunawan Hj Md Som dan isteri


Segala pertanyaan boleh menghubungi saya:

Mohd Sunawan Hj Md Som - 0197731264


SUATU INGATAN KEPADAKU

.
Lama benar saya tidak melayari blog sendiri, mungkin asyek dengan facebook. Tidak mengapalah, tetapi hari ini saya menguatkan hati untuk menulis sesuatu kerana beberapa hari lepas saya telah diberi peringatan apabila tekanan darah saya sampai kepada 180/120.

Petang 3 Jun, saya ke Klinik Fatimah di Bandar Baru Uda. Doktor meminta saya berehat dan tidak membenarkan saya berjalan kemanapun, namun saya memberitahunya ingin menemui Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada malam tersebut di Melaka.

Doktor memberi saya sebutir teblet dan meminta saya berjaga-jaga dan sekiranya sakit kepala hendaklah memakan panadol.

Malam itu, saya dapat bertemu dan berbincang agak lama juga di Kota Cemerlang Melaka walaupun sudah lewat malam dan masuk ke pagi. Jam 1.30 pagi Datuk Seri meneman saya pulang hingga ke pintu lif. Saya sampai di rumah sekitar jam 4.30 pagi.

Datuk Seri Mohd Ali Rustam,
Presiden Alumni 4B Malaysia

Mungkin saya tidak memperdulikan kesihatan kerana dua hari sebelumnya, saya beserta beberapa orang rakan telah ke PWTC kerana majlis makan malam anjuran Alumni 4B Malaysia. Malam itu saya sampai di rumah sewaktu azan Subuh berkumandang. Semuanya kerana ingin menghidupkan wawasan bekas ahli Gerakan Belia 4B yang masih ingin menyambung khidmat bakti dengan menubuhkan alumni.

Bersama Ustaz Shahrin Jamaluddin (berbaju hitam),
Pengerusi Gerakan Belia 4B Negeri Johor di PWTC

Keesokkannya, tengkok dan kepala terasa berat ketika sujud, dada sakit, tangan terketar-ketar dan badan lemah longlai.

Allah telah memberi peringatan kerana pada hari itu jugalah salah seorang jiran meninggal dunia kerana penyakit kencing manis dan seorang lagi jatuh akibat darah tinggi dan mendapat strok.

Semalam, saya mula membaca surah-surah Al-Quran dari Al-Baqarah.