Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Julai 21, 2010

MENUJU KEJAYAAN PERNIAGAAN HALALAN THOYYIBA

.
Perjalanan hari ini memang sedikit meletihkan. Sekitar jam 7.30 pagi, bersama dengan Hj Rumali dan Zahrin Saniman, kedua-duanya adalah Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Masjid Jamek Bandar Baru Uda, kami pergi ke Kuala Kangsar untuk perbincangan mengenai pengeluaran produk halalan thoyyiba.

Abd Rahim, seorang sahabat yang bersedia memandu kereta dan memperkenalkan kami dengan Ustaz Hj Ahmad Tajuddin Arshad, Pengerusi IMP (Islamic Manufacturing Practice) tepat pada ketika azan Zohor berkumandang. Seterusnya, kami telah dijamu makan tengahari dengan makanan yang begitu menyelerakan di Restoran Tasik Raban, Lenggong. Keistimewaan restoran di sini adalah makanan masakan Melayu dengan ikan Kaloi yang dibakar dicecah sambal tempoyak.

Ikan Kaloi adalah jenis ikan air tawar. Saya menggemari ikan ini kerana sering saya dapati di Indonesia. Di negara jiran ini, ia dipanggil Gurame dan ia dimasak dengan pelbagai jenis.

Setelah solat jamak Zohor dan Asar, kami dibawa melihat sekitar kilang pengeluarannya dengan kakitangannya melebihi 100 orang. Apa yang saya kagumi adalah kebersihan dan mempastikan sumber halal sesuai dengan petikan Imam Al-Ghazali:

"Makanan yang haram akan menghantarkan seseorang pada Neraka Jahanam. Seseorang yang memakan makanan haram dan syubahah tertolak ibadahnya di hadapan Allah. Dan amalan-amalannya pun tidak diterima Allah swt."

Perbincangan selanjutnya adalah bagaimana Koperasi kami dapat bekerjasama mengeluar dan memasarkan beberapa produk yang difikirkan sesuai berkonsepkan halalan thoyyiba. Kami diberitahu syarikat ini telah mengeluarkan tidak kurang dari 200 jenis barangan termasuk Juz Tok Guru yang begitu dikenali ketika ini.

Mudah-mudahan sehari perjalanan yang agak meletihkan ini akan menjadi sinar baru kepada kejayaan Koperasi kami, insyaallah.

Sabtu, Julai 17, 2010

SINAR BARU KEPADA PENDUDUK FLAT BLOK G DAN H SKUDAI KANAN

.
Baru sekejap tadi, saya ucapkan tahniah kepada YB Hj Adam Sumiru yang telah dapat memberi penjelasan dan meyakinkan penduduk Rumah Pangsa Blok G dan H, Skudai Kanan yang tidak berpuashati kerana pembaikan yang tidak memuaskan hati di flat mereka.

Ucapan YB telah menjelaskan kepada penduduk tentang usaha yang telah dijalankan olehnya membantu kerosakan bangunan mereka yang dilanda ribut pada 13 Jun yang lalu. Perkara penting yang ditegaskan adalah kerjasama penduduk untuk membentuk semula JMB atau Joint Management Body dan seterusnya Jawatankuasa Pengurusan (MC) secepat mungkin.

Perkara penting yang perlu dilakukan oleh penduduk ialah melaporkan setiap rumah yang masih berlaku kerosakan dan seterusnya YB akan berikhtiar untuk memperbaiki dengan cara mendapatkan dana samada dari pemaju atau dari pihak lain.

Perjumpaan yang dianjurkan oleh YB dan penduduk pada malam ini yang cuba diambil kesempatan oleh orang luar telah memberi harapan baru agar mereka dapat bersatu dan membentuk persepakatan baru untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

Isnin, Julai 12, 2010

WARFARIN UBAT SAKIT JANTUNG DAN PEMBUNUH TIKUS

.

Ilmu yang saya dapat hari ini adalah mengenai "Warfarin" sejenis ubat untuk mencairkan darah. Seorang rakan Facebook, Hajar Sam memberi maklumat berikut apabila saya bertanya dengannya (baca sini):

Warfarin ialah ubat utk cair darah utk pesakit jantung. Sekira tuan ambik Warfarin, tuan kena lebih hati hati kerana warfarin sgt sensitive kepada ubat ubat yg berlawanan komposisi dgnnya. Contoh, sekira tuan ambik ubat tahan sakit, Voltaren, ia akan membuat darah tuan lebih cair. Begitu jugak dgn panadol. Sekira tuan makan ubat ini secara berterusan tanpa preskirpsi doktor, ujian INR akan terganggu. Ini juga melibatkan ubat sapu penahan sakit atau koyok yg boleh mencairkan lagi darah kita. Harap maklumat ini menjawab soalan tuan.

Saya berminat dengan Warfarin kerana saya adalah penggunanya setiap hari. Ia berpunca dari kepekatan darah dan saya pernah melalui rawatan melalui kaedah Angiograme.

"Warfarin" adalah satu perkataan yang pernah saya ketahui sejak mula bekerja dengan Felda pada tahun 1971. Ketika itu, saya mengenalinya untuk tujuan membuat racun tikus (baca sini). Setiap pegawai Felda diajar bagaimana untuk membuat racun tikus iaitu dengan mencampurkan lilin yang telah dimasak untuk mencairkannya dan juga dengan campuran kepala ikan bilis.

Sekarang, baru saya tahu Warfarin bukanlah racun sebaliknya ia digunakan untuk mencairkan darah yang boleh menyebabkan tikus mati.

Saya mesti beringat: Jangan gunakan Warfarin lebih dari sukatan kerana ia boleh menyebabkan darah cair melebihi kebiasaan dan boleh mengakibatkan kesan sampingan.


Isnin, Julai 05, 2010

PERJUMPAAN TAN SRI MUHYIDDIN DENGAN PEMUDA SEZAMAN

.
Bertemu dengan rakan lama memang seronok, dapat mengimbau pelbagai kenangan. Begitulah yang berlaku pada hari Jumaat baru lalu di Hotel Mercure Senai. Pada jam 3 petang, kami pemimpin pemuda UMNO Johor yang sezaman dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkumpul menyambut dan meraikannya atas kejayaan menduduki tempat kedua tertinggi negara.

Tan Sri yang pernah memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Muar Dalam (sekarang Pagoh) pernah bersama-sama kami mengharungi pahit manis perjuangan dalam UMNO. Dalam Perhubungan Pemuda UMNO Negeri Johor, Tan Sri pernah memegang jawatan Penolong Setiausaha dan juga pernah sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor.

Saya pernah menjadi Ahli Jawatankuasa ketika beliau memegang jawatan Ketua Pemuda Negeri pada tahun 1984 hingga 1986. Ketika itu, Dato Abdul Ghani Othman yang kini Menteri Besar Johor memegang jawatan Bendahari.

Majlis yang kami namakan Permata Di Perlembahan Nostalgia adalah khusus kepada Tan Sri Muhyiddin yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO dan juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Kami yang menganjurkannya menamakan kumpulan ini sebagai Angkatan Pemuda Sezaman dengan dipengerusikan oleh Datuk Haji Abd Rahman Yunus dan saya diberi amanah sebagai Timbalan Pengerusi. Setiausahanya adalah Ghaus Yusof.

Di pertemuan ini, apa yang terlihat menampakkan kegembiraannya sehingga beliau sanggup menjadikan majlis itu sebagai majlis anjurannya untuk meraikan rakan-rakan lama seperjuangannya. Ini bermakna segala perbelanjaan untuk mengadakan majlis tersebut telah ditanggung olehnya.

Di akhir pertemuan beliau berharap akan ada lagi perjumpaan supaya hubungan di antara kami semua tidak akan terputus walau mungkin masing-masing mempunyai hala perjuangan sendiri.

Sabtu, Julai 03, 2010

PARLIMEN JOHOR BAHRU MENDEKATI SURAU DAN MASJID

.
Mungkin apa yang dilakukan oleh pimpinan UMNO Johor Bahru sedikit berbeza dengan pimpinan UMNO lain dari segi pendekatan kepada kariah masjid dan surau. Diantara perkara yang dilakukan ialah melalui Naib Ketua UMNO Bahagian yang juga ADUN Tanjung Puteri, YB Hj Adam Sumiru telah menggerakkan pembelajaran kepada ketua keluarga untuk menjadi guru al-quran. Maksud guru di sini memahami dari segi pembacaan yang betul sehingga boleh mengajar dan memperbetulkan bacaan ahli keluarga masing-masing.

Untuk tujuan itu, semua ketua keluarga digalakkan mempelajari dengan mengikuti pelbagai kelas yang dianjurkan. Diantaranya, pada siang tadi, kelas khas pemahaman tajwid telah diadakan di Pelangi Golf Driving Range Johor Bahru.

Di majlis ini juga, YB Datuk Seri Utama Hj Shahrir Samad yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru telah menyampaikan bantuan kepada semua surau dan masjid di Parlimen Johor Bahru sebanyak RM3,000 bagi kegunaan pentadbiran.

LARIAN AMAL PALESTIN DI BANDAR BARU UDA

.
Pagi tadi mengikuti program Larian Amal Palestin anjuran Parlimen Johor Bahru/Uda Holding/Utusan bertempat di Plaza Angsana Johor Bahru. Seramai 400 orang termasuk pelajar sekolah di sekitar Tampoi mengikuti larian. Beberapa pemimpin seperti Datuk Seri Utama Shahrir Samad melepaskan larian. Ustaz Hassanuddin Mohd Yunus, salah seorang sukarelawan di kapal Mavi Marmara yang diserang oleh rejim Israil pada 31 Mei lalu adalah diantara tetamu utama.

Sebelum bermulanya larian, Ustaz Hassanuddin telah menceritakan beberapa peristiwa bagaimana serangan tentera Israil dan segala kesakitan dan kesengsaraan ketika itu tidak terasa kerana kekuatan minda dan semangat sukarelawan.

Larian sejauh lebihkurang 2 kilometer dari Plaza Angsana ke perumahan Bandar Baru Uda telah dapat mengumpulkan derma sebanyak RM30,000 yang akan disumbangkan untuk membantu penduduk Gaza Palestin.




HAMSAN OMAR PENERAJU ALUMNI 4B JOHOR

.
Meyuarat Agung Dwi Tahunan Alumni 4B Johor yang diadakan pada hari semalam di Dewan Jubli Intan Pontian telah memilih Hamsan Omar untuk menjadi Pengerusinya bagi tempuh dua tahun akan datang.

YB Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pontian telah merasmikannya pada jam 4.30 petang.

Mesyuarat yang berjalan tidak sampai setengah jam akan menjadi sejarah awal kepada pertubuhan ini samada ia akan dapat berjalan dan bergerak sebagaimana prinsipnya "Berprinsip, Bermoral, Berwibawa dan Berbakti".

Saya menyuarakannya di sini bukanlah kerana saya tidak mendapat sebarang jawatan, tetapi banyak persoalan yang perlu mendapat jawapan. Diantaranya:-
  • Mengapa pengerusi mesyuarat tidak menyebut nama saya yang telah menawarkan diri untuk jawatan Pengerusi sedangkan saya telah menghantar penerimaan dan penawaran diri untuk bertanding dengan menghantarnya melalui fax dan surat poslaju.
  • Ramai ahli-ahli yang telah berdaftar tidak mendapat surat panggilan mesyuarat.
  • Seramai 40 orang yang datang dengan menaiki bas dan dikatakan datang dari Pasir Gudang telah menghadiri mesyuarat dengan mendaftar dengan menggunakan nama ahli lain.
Walau apapun yang dikatakan, yang pasti Syed Hood Syed Idrus yang menjadi Pengerusi Penaja telah menjadi Pengerusi Tetap. Kejayaannya menyingkirkan saya yang sebelum ini sebagai Timbalan Pengerusi Penaja untuk memegang sebarang jawatan dengan cara penipuan, berjaya.

Harapan saya kepada Hamsan Omar yang sebelum ini menjadi setiausaha penaja mengambilalih dari Omar Rupee yang dipecat, supaya tidak melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh pengerusi penaja.

Matlamat saya untuk mempastikan Syed Hood tidak menjadi Pengerusi Alumni 4B Johor telahpun berjaya.

Syed Hood Syed Edros