Radio Internet FuhYooFm

Selasa, Disember 21, 2010

JAWATAN PERTAMA SAYA "OFFICE BOY"

.

Saya dilahirkan pada 04 Oktober 1952. Mula bersekolah rendah pada umur 6 tahun dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1968. Pada bulan Mac 1969, keputusan SPM diketahui dan saya mendapat pangkat 3 dengan agg. 25, satu keputusan yang amat mengecewakan kerana abang Asmuni yang mengambil peperiksaan MCE pada tahun sama mendapat pangkat 2 dan telah ditawarkan ke Institut Teknologi Mara, Shah Alam.

Saya mengambil keputusan merantau ke Johor Bahru dari Benut, Pontian. Sebagai anak kampung, saya bertekad untuk melayari kehidupan di bandar. Untuk terus di kampung, pastinya saya akan membuat kerja-kerja seperti apa yang dilakukan oleh ayah atau semua mereka yang ada di kampung, menoreh getah dan lain-lain.

Cita-cita untuk meneruskan pelajaran begitu tinggi tetapi ketika itu tidak ada ruang langsung di sekitar daerah Pontian. Mau tidak mau mesti berada di bandar-bandar besar seperti Johor Bahru.

Di Johor Bahru, saya menumpang di rumah Pak Mahat, pemandu lori di Jabatan Kerja Raya. Kuartersnya di Jalan Kebun Teh. Sebagai imbalan, saya yang tidak dibekalkan wang merelakan diri membantu Mak Tipah, iseri Pak Mahat menjual nasi lemak dan sarapan pagi di tapak bangunan UMNO di Jalan Segget.

Di sinilah saya mula berkenalan dengan orang ramai dan diberitahu kekosongan jawatan Pelayan Pejabat "Office Boy" di pejabat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) bertempat di Tingkat 7, Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan.

Saya memohon jawatan tersebut dan setelah ditemuduga bersama 40 permohonan yang lain, saya telah diterima dan mula bertugas mulai 1 Januari 1969.

Orang yang bertanggungjawab menerima saya bekerja adalah Allahyarham Encik Abdul Razak bin Ahmad yang ketika itu berjawatan Setiausaha Cawangan, LKTP Johor Selatan.

Saya diberitahu mengapa saya dipilih adalah disebabkan saya ketika itu berumur 17 tahun, mempunyai kelulusan SPM, mempunyai 8 orang adik beradik yang masih belum bekerja dan berasal dari kampung.

Encik Abdul Razak Ahmad adalah seorang aktivis parti siasah berfahaman sosialis sehingga akhir hayatnya. Tentulah latar belakang saya menarik perhatiannya untuk melantik saya ke jawatan paling rendah di pejabat berkenaan.

Terima kasih Encik Razak dan alfatehah untuknya.

Jumaat, Disember 17, 2010

MENYELESAI MASALAH FLAT FASA 15A SKUDAI KANAN

.
Bertempat di Bilik Mesyuarat COB, Pesuruhjaya Bangunan MBJB, petang tadi saya bersama YB Hj Adam Sumiru, ADUN Tanjung Puteri menghadiri mesyuarat untuk menyelesaikan masalah penduduk Flat Fasa 15A, Taman Skudai Kanan, Bandar Baru Uda.

Isu utama adalah sama seperti permasalah di rumah-rumah bertingkat apabila pemilik rumah tertunggak bayaran yuran pengurusan sehingga agen pengurusan mengundur diri.

Di antara permasalahan di sini berpunca apabila Jawatankuasa JMB (Joint Management Body) tidak berfungsi. Ini menyebabkan beberapa penduduk membentuk Jawatankuasa Bertindak dan menjalankan kutipan wang bulanan dengan kadar bayaran RM10 sebulan. Mereka menggunakan wang ini untuk menguruskan bangunan. Ia memang tidak mengikuti peraturan dalam Akta 663. Hanya sebahagian sahaja pemilik dan penyewa yang bersama dengan Jawatankuasa Bertindak.

Tindakan selanjutnya yang akan dilakukan untuk mengatasi masalah ini ialah dengan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa JMB yang telah terlantik pada masa yang akan ditentukan.

Khamis, Disember 16, 2010


.
Hari ini saya menerima sms dari seorang yang katanya berstatus "ibu tunggal". Saya catatkan semula pesanan tersebut:

"A'skum.. Terima kasih atas jsa baik Tuan haji yg nk tolong rakyat mcm sye..sye tau slah sye tpi Tuan hji x tau sush sye sebagai ibu tunggal untk mencri rezki yg halal..dgn rumah n keta tak tebayar setakat dpt mkn je tuan hj tak tau..klau sye senang tak kn niaga tmpt lain dri pukul 3pm smpi 3am dh 3ari dpt rm30 dgn bermodal kn pjm dwit kwn2 sb nk bayar hutang dgn buat ape semua seorang diri..anyanyi la ibu2 tungal pasti blasan Tuhan semua akn dpt 1 hari nti..".

Gerai beratap rumbia di bawah bumbung inilah yang diambil tindakan oleh penguatkuasa MBJB untuk membersihkan kawasan ini kerana ia adalah laluan awam.

Pemilik bangunan bersebelahan yang membina bumbung tanpa kelulusan telah menyewakan pula kepada peniaga kecil dengan sewaan bulanan antara RM600 hingga RM1200. Dahulu terdapat 5 gerai di sini dan usaha telah dibuat untuk memindahkan mereka buat sementara waktu dari kawasan ini namun peniaga di atas tidak mahu mengikut.

Kini, ia terpaksa berhadapan dengan tindakan penguatkuasaan demi menjaga kebersihan dan kemudahan pengguna.


MENGHADIRI KURSUS ASAS PENGGUNAAN INTERNET

.


Walaupun agak sebok dalam masa tiga hari ini, saya dapat juga menghadirkan diri untuk menyertai kursus pengenalan internet yang di anjurkan oleh Maktab Kerjasama Malaysia Wilayah Selatan di Bangunan Kerjasama, Jalan Dhoby, Johor Bahru.

Kursus yang dihadiri oleh peserta dari beberapa koperasi di selatan tanah air amat berguna bagi mereka yang tidak memahami internet. Begitupun, bagi saya yang mempunyai sedikit ilmu tentangnya, saya berterima kasih kepada pengajar di MKM kerana dapat menambahkan ilmu yang ada.

Kursus telah bermula pada 14 haribulan dan akan berakhir pada hari esok.







PENDUDUK SKUDAI KANAN LEGA

.

Pokok mati telah ditebang menunggu untuk dibersihkan

Laporan saya ke pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru tentang pokok mati di Taman Skudai Kanan telah diambil tindakan segera, pokok berkenaan telah ditebang.

Pokok mati sebelum ditebang, merbahaya


Tindakan ini pastinya telah melegakan penduduk di taman berkenaan yang keseluruhannya menduduki rumah-rumah kos rendah dan sederhana rendah. Pastinya bahaya ditimpa pokok mati ini dapat dielakkan sebagaimana yang telah berlaku di Kuala Lumpur pada bulan lalu.

Sabtu, Disember 11, 2010

TIDAK MUNGKIN SEORANG SAHABAT SANGGUP MENGANIYA SAHABATNYA SENDIRI

.
Saya tidur lena malam tadi selepas mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Johor Bahru.

Sebabnya, saya telah melahirkan cerita sebenar di hadapan Ketua dan rakan-rakan Ahli Jawatankuasa bagaimana seorang Ketua Cawangan yang sangat saya percayai telah mengaku membuat surat mempersoalkan kewibawaan saya sebagai Ahli Majlis.

Persoalan yang telah saya bangkitkan ialah mengapa tiada pertanyaan atau teguran dari ketua saya tentang kewibawaan saya?.

Bagi saya, apa yang telah dilakukan olehnya yang boleh menjejaskan kredibiliti saya akan saya lupakan kerana saya percaya kepada takdir dan ketentuan Allah Subhanahu Wataala.

Sebelum inipun saya telah menghantar sms dan berjanji kepadanya bahawa saya bersedia memaafkannya sekiranya ia telah melakukan fitnah kepada saya.

Yang menjadi persoalan ialah adakah benar surat yang telah disahterima oleh Ketua Bahagian itu dibuat dari keikhlasannya?. Sehingga kini saya masih tidak percaya kerana dia adalah sahabat saya, tak mungkin dan tak mungkin.
  

BERGURU QURAN DI JALAN PADI 4, BBU

.
Sudah setahun tugas saya setiap pagi Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu membawa Shafikah ke rumah Hj Ismail di Jalan Padi 4 untuk mempelajar Al-Quran.  Ketika ini ia masih dalam kelas Iqra'. 

Saya suka cara Hj Ismail dan isterinya, Hjh Aminah mengajar. Walaupun agak keras cara mengajar, tapi di peringkat pembelajaran anak-anak, ia sangat mementingkan sebutan atau makhraj.

Mudah-mudahan Shafikah dapat menimbu ilmu dari pasangan ini.

BAHAYA MENANTI DI SKUDAI KANAN

.
Saya terlihat sebatang pokok mati di Jalan Barli 1, Taman Skudai Kanan, Bandar Baru Uda. Keadaannya memang amat merbahaya kerana ia boleh tumbang pada bila-bila masa.

Saya telah menghubungi Jabatan Landskap MBJB minta segera ditebang segera pokok tersebut.

Tindakan segera boleh mengelakkan berulang kemalangan seorang penunggang motosikal dihempap tunggul pokok tumbang di Kuala Lumpur pada 28 November lalu.

Sabtu, Disember 04, 2010

LAWATAN JAWATANKUASA MASJID SANDAKAN SABAH

.
Seperti dijanjikan, seramai 16 orang pelawat terdiri Jawatankuasa Masjid Daerah Sandakan Sabah telah menjejakkan kaki ke Masjid BBU pada jam 8 pagi pagi tadi. Mereka yang datang dengan menaiki teksi telah bermalam di Hotel Selesa Johor Bahru dengan niat semata-mata untuk mempelajari perjalanan masjid kami.

Sepanjang menjadi tetamu, beberapa penerangan telah diberikan terutama dalam urusan pentadbiran dan juga perjalanan Yayasan Masjid serta Pusat Kesihatan dan Dialisis.

Tetamu dari jauh ini juga telah dibawa ke Dewan Jubli Perak untuk bertemu dengan Kelab Warga Emas yang sedang menjalankan kegiatan silaturahmi dan seterusnya bersama-sama menikmati jamuan tengahari.

Sebelum berpisah, tetamu dari Sabah ini telah menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Kelab Warga Emas Masjid BBU.



MENGHADIRI MAJLIS PERKAHWINAN

.
Walaupun agak sebok pada hari ini dengan beberapa kegiatan di Masjid Jamek BBU, bersama isteri dapat juga menghadiri jemputan majlis perkahwinan. Malangnya, ketika hendak sampai di rumah Dato' Mohd Naim Nasir, mantan Datuk Bandar MBJB, saya terpaksa berpatah balik kerana jemputannya begitu ramai hingga terlalu jauh untuk berjalan kaki.

Begitupun, di beberapa majlis yang lain tidak dihampakan.


JAMUAN MESRA SILATURRAHIM

.
Kelab Warga Emas Masjid Bandar Baru Uda pagi tadi telah mengadakan satu lagi kegiatan silaturrahmi di Dewan Jubli Perak BBU. Kali ini kegiatan hanya dipenuhi dengan ucapan dan menguji minda dengan soalan pengetahuan am yang mudah. Beberapa cenderamata diberikan kepada mereka yang bernasib baik dan seperti sebelum ini terdapat hadiah menarik iaitu melancong ke luar negara kepada mereka yang berjaya menjawab soalan dengan tepat.

Selain itu, majlis ini juga mengadakan penyampaian hakmilik tanah kekal kepada mereka yang membuat permohonan untuk memindanya dari hakmilik pajakan.




SEKARANG HANYA SEKALI LAFAZ NIKAH BAGI PENGANTIN DI BANDAR BARU UDA

.

Saya dijemput oleh Hj Alimat Paiman untuk menghadiri majlis pernikahan anak perempuannya di Jalan Jagong 3, BBU selepas solat Isyak. Sebelum Jurunikah hadir, telah diadakan majlis menerima hantaran sepertimana adat yang telah berjalan sejak begitu lama.

Hj Alimat telah meminta saya menjadi wakilnya dalam majlis ini. Rombongan pengantin lelaki yang berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat telah membawa wang hantaran yang berupa sekeping cek HSBC bernilai RM12,000 dan sebentuk cincin, gelang dan subang bernilai RM4,000. Selain itu dihantar juga barangan berupa hadiah iringan.

Selepas penyampaian wang dan barangan hantaran, Ustaz Abu Bakar Watak yang menjadi jurunikah telah hadir untuk menikahkan pasangan berkenaan. Satu pembaharuan yang dilakukan oleh Ustaz Abu Bakar ialah beliau telah menyediakan teks untuk dibaca oleh pengantin lelaki ketika upacara akad iaitu "Saya terima nikah ............................ dengan maskahwinnya RM22.50 tunai/hutang".

Apa yang dilakukan oleh jurunikah ini amat memudahkan dan menjadikan pengantin lelaki hanya menyebut sekali sahaja. Ini amat berbeza dengan apa yang dilakukan sebelum ini. Pernah terjadi pengantin lelaki tidak dapat menyebut dengan betul yang mungkin tersasul dan sebagainya sehingga menyebabkan jurunikah berhenti untuk berehat bagi menenangkan pengantin. Begitu juga pernah diceritakan pengantin terpaksa dimandikan kerana bagi menghilangkan darah gemuruh dan sebagainya.

Apa yang dilakukan oleh Ustaz Abu Bakar Watak yang baru dilantik sebagai jurunikah bagi kawasan Bandar Baru Uda adalah sesuatu yang sangat baik dan sangat positif. Mudah-mudahan ia akan dapat diikuti oleh jurunikah yang lain.




MESYUARAT PENUH MBJB BULAN NOVEMBER 2010

.

Pada setiap akhir bulan, setiap Kerajaan Tempatan akan mengadakan mesyuarat bulanannya yang dipanggil Mesyuarat Penuh yang sepatutnya dihadiri oleh semua Ahli Majlis. Mesyuarat ini adalah untuk meluluskan semua keputusan mesyuarat Jawatankuasa yang diadakan sepanjang bulan berkenaan.

Begitulah yang berlaku pada Isnin, 29 Disember lalu, Majlis Bandaraya Johor Bahru telah mengadakan mesyuaratnya. Pada kali ini hanya seorang sahaja Ahli Majlis yang berucap dalam ucapan penangguhan iaitu Encik Ng Puay Wah. Ahli Majlis bagi Zon Taman Sentosa. Beliau telah membangkitkan beberapa masalah khususnya yang berkaitan dengan permasalahan setempat di zon jagaannya.

Pada kebiasaannya, pada setiap kali mesyuarat seperti ini, sekurang-kurangnya dua orang Ahli Majlis akan berucap. Saya sendiri sejak dilantik pada Mei 2009 dan sehingga kini telah 4 kali berucap yang menjadikan saya adalah Ahli Majlis MBJB yang terbanyak berucap.

Banyak isu yang telah saya bangkitkan dan yang terbaru pada mesyuarat bulan lalu, saya telah mencadangkan supaya akaun bagi hasil pendapatan haram seperti dari premis perjudian, menjual minuman keras dan sebagainya hendaklah diasingkan.

Beberapa perkara lain yang sering saya bangkitkan adalah kegagalan Majlis bertindak kepada pemilik bangunan yang membuat ubahan tanpa mendapat kebenaran yang didapati berleluasa seperti di premis perniagaan.

Tempoh bertugas Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Tempatan di Negeri Johor akan berakhir pada 31.12.2010. Ini bermakna perlantikan baru akan dilakukan pada awal Januari hadapan.


Jumaat, Disember 03, 2010

PROGRAM PENGIMARAHAN MASJID BBU AKHIR TAHUN 2010

.
Di bulan Disember ini, selain program harian dan mingguan di Masjid Jamek Bandar Baru Uda, beberapa program telah diaturkan sebagaimana berikut:-
  • Sabtu 4 Disember:  Menerima lawatan dari Jawatankuasa Masjid Sandakan Sabah.
  • Sabtu 4 Disember:  Perjumpaan Kelab Warga Emas di Dewan Jubli Perak, BBU
  • Ahad 5 Disember:  Taklimat Penerapan Sunnah Dalam Kehidupan Seharian di Dewan Kuliah
  • Selasa 7 Disember:  Kuliah subuh oleh Dr Jamnul Azhar Mulkhan, pendakwah bebas dari Kuala Lumpur
  • 14-15 Disember:  Kem Smart Remaja, Online Dengan Allah di Dewan Kuliah
Orang ramai khususnya kariah Bandar Baru Uda dipersilakan mengikuti program berkenaan.