Radio Internet FuhYooFm

Ahad, November 30, 2008

LANTIKAN AHLI MAJLIS MBJB TERTOLAK KERANA KES PESURUHJAYA SUMPAH

.

Sudah menjadi kelaziman di masjid kami, setiap Sabtu, Ahad dan hari-hari kelepasan am akan diadakan kuliah subuh. Dan seperti biasa, setelah selesai solat subuh, saya akan terus ke bahagian belakang masjid untuk membuat persiapan sarapan para jemaah. Di kawasan ini memang telah sedia ada corong pembesar suara khusus untuk petugas seperti kami mendengar kuliah.

Pada minggu yang baru lalu, beberapa jemaah sempat mengucapkan tahniah kepadaku kerana mereka telah terbaca di akhbar tempatan mengenai namaku yang tercalun untuk menjadi Ahli Majlis MBJB. Di antara mereka terdapat juga seorang penggiat parti pembangkang (di Johor) yang nampak seperti ada sahaja perkara yang tidak berapa kena.

Seperti biasa, saya tidak akan menunjukkan sebarang reaksi kepadanya. Bagiku, semua jemaah yang ada adalah sama seperti mana yang lain juga tanpa mengira fahaman masing-masing. Cuma pada pagi itu saya memberitahunya bahawa saya telah menjemput seorang ustaz dari Kuala Lumpur untuk membuat ceramah di masjid pada akhir bulan Disember ini. Saya memberitahunya yang ustaz ini sering berceramah di pentas parti pembangkang. Bagaimanapun ustaz ini telah diingatkan supaya tidak membuat ceramah yang ada unsur kepartian dan beliau mempersetujuinya.

Hujah yang saya beri ini nampaknya tidak disenanginya. Saya tak kesah sebab yang penting peringatan mesti diberi kepada semua penceramah. Mereka akan kembali ke tempat masing-masing setelah berceramah. Sebaliknya, kami yang berada dan bermastautin di sinilah yang akan menanggung segala risiko sekiranya berlaku perpecahan dan sebagainya.

Pagi itu saya terus balik ke rumah.

Baru-baru ini saya mendapat tahu, rakan tadi begitu bersungguh-sungguh ingin membuat protes sekiranya saya dilantik sebagai Ahli Majlis MBJB. Alasannya ialah saya pernah melakukan kesalahan semasa menjadi Pesuruhjaya Sumpah. Dikatakan bahawa kesalahan yang telah saya lakukan boleh menyebabkan saya hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Majlis.

Saya memang terkejut dengan berita ini. Terkejut bukan kerana mengikut andaiannya saya tidak akan terlantik sebaliknya tidak menyangka seorang rakan yang saya sentiasa hormati walaupun kami berbeza fahaman politik, sanggup melakukan sesuatu yang beliau sendiri tidak faham duduk perkara sebenar.

Sebelum ini, stiap kali berjumpa dengannya, saya tidak pernah mengeluarkan perkataan yang boleh menyenggong perasaanya. Bahkan sedaya upaya saya akan berusaha untuk menjadi seorang rakan dan jemaah yang baik termasuklah membantu apa saja yang termampu.

Agaknya, inilah diantara perbezaan pendekatan diantara kami. Bagi saya, fahaman politik ada ketikanya berubah-ubah. Ia mengikut masa dan keperluan. Begitulah juga parti rakan saya tadi yang sudah jauh berbeza dengan perjuangannya dahulu.

Dalam suasana negara selepas PR12, agama Islam dan bangsa Melayu mula diperlekehkan. Dasar-dasar negara bahkan institusi raja-raja yang menjadi payung kepada bangsa dan agama juga telah dipersoalkan.

Sepatutnya, waktu inilah orang-orang Melayu dan yang beragama Islam bersatu dan mencari titik persefahaman dengan tidak mengira fahaman politik untuk menangkis serangan mereka yang buta sejarah. Lupakan perkara titik bengek. Fokuskan penggembelingan dan kekuatan untuk memperkukuhkan kekuatan bangsa dan agama kita.

Mungkin apa yang sentiasa dalam pemikirannya ialah untuk terus menghancurkan sesiapa sahaja yang menyokong apatah lagi penggiat parti orang-orang Melayu yang dinamakan UMNO!. Agaknya mereka akan merasa puas sekiranya parti ini dapat dikuburkan.

Berbalik kepada persoalan samada saya akan menjadi Ahli Majlis MBJB atau sebaliknya, ianya terpulang kepada Kerajaan Negeri yang akan menentukannya kelak. Soal kes jawatan saya sebagai Pesuruhjaya Sumpah dilucutkan oleh Pendaftar Mahkamah Persekutuan telahpun selesai. Pihak plantif telah menarik balik tuntuannya di Mahkamah Tinggi Kuala Trengganu dan peguam saya juga telah menasihatkan saya untuk membuat saman balas kepadanya kerana jawatan saya telah terlucut. Saya sedang serius memikirkan perkara ini.

Ada cadangan supaya jawatan Ahli-ahli Majlis sepatutnya dipilih oleh pembayar cukai. Dalam konteks di Bandaraya Johor Baharu, saya bersetuju untuk diadakan khususnya di Bandar Baru Uda. Biarlah pembayar cukai memilih siapa sebenarnya yang layak dan diterima oleh masyarakat.

ROMANTISNYA ANWAR IBRAHIM & LIM KIT SIANG - MEREKA BERSEDIA MENGEMBALIKAN KEKEBALAN RAJA-RAJA!




Amboi.... bila pulak nak suap menyuap? Anwar Ibrahim dan Lim Kit Sing menikmati jamuan di Kongres Tahunan Nasional ke-5 PKR pada 29 November 2008

Benarkah kenyataan pakatan pembangkang yang bersedia untuk mengembalikan kekebalan raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan di negara ini bagi menolak tohmahan kononnya PKR cuba menghakis kedaulatan raja-raja, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga agama Islam.

Dikatakan juga bahawa parti yang bergabung dalam pakatan pembangkang telah menandatangani 'communique bersama', yang menjelaskan komitmen pakatan itu terhadap kedudukan raja-raja Melayu, kedudukan istimewa kaum Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam, seperti mana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

PERSANGKA DAN BIROKRASI DI JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT JOHOR BAHRU DAN MAJLIS AGAMA ISLAM JOHOR

Melayu paling ramai pendapatan bawah RM1,000 (Utusan Malaysia, Rabu - 12 November 2008)

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Kaum Melayu merupakan kumpulan terbesar dalam senarai penduduk negara ini yang pendapatannya di bawah RM1,000 sebulan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany berkata, berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, sebanyak 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

‘‘Sebanyak 495,500 isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan secara keseluruhannya.

‘‘Pecahan itu merangkumi 50,900 isi rumah kaum Cina, India (29,000), Kadazan (29,300), Orang Asli (7,500) dan lain-lain (78,800),” katanya semasa menjawab soalan Dr. Micheal Jeyakumar Devraj (PKR- Sungai Siput) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, bagi kumpulan berpendapatan antara RM1,001 hingga RM2,000 pula, keseluruhan bilangan isi rumah ialah 1,695,900 isi rumah dengan 976,500 daripadanya adalah Melayu, 338,300 (Cina), 125,300 (India), 38,800 (Kadazan), 9,800 (Orang Asli) dan 207,200 untuk kaum-kaum lain.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 1,144,700 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM2,001 hingga RM3,000.

‘‘Seramai 614,700 daripada mereka adalah orang Melayu, 300,800 (Cina), 121,500 (India), 15,300 (Kadazan), 2,500 (Orang Asli) manakala 89,900 isi rumah daripada kaum-kaum lain.

‘‘Bagi pendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 terdapat sebanyak 743,000 isi rumah dengan 380,500 daripadanya adalah Melayu, 234,700 (Cina), 73,300 (India), 8,900 (Kadazan), 1,000 (Orang Asli) dan 44,600 kaum lain.

Katanya, seramai 497,800 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM4,001 hingga RM5,000 pula dengan 254,700 daripadanya adalah Melayu, 166,600 (Cina), 44,800 (India), 6,900 (Kadazan), 200 (Orang Asli) dan 24,600 kaum lain.

‘‘Bagi pendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000, ia membabitkan seramai 914,200 isi rumah.

‘‘Daripada jumlah itu, 419,200 adalah Melayu, 368,400 (Cina), 76,800 (India), 13,400 (Kadazan) dan 36,500 lain-lain kaum.

‘‘Sebanyak 235,300 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM10,001 hingga RM20,000 dengan 85,700 adalah Melayu, 118,700 (Cina), 23,400 (India), 800 (Kadazan) dan 6,700 kaum lain,” jelasnya.

Sementara itu, terdapat 49,500 isi rumah yang memperoleh pendapatan melebihi RM20,000 sebulan dengan 16,500 adalah Melayu, 27,900 (Cina), 3,600 (India) dan 1,500 dari kumpulan etnik lain.

==================================================

Saya sengaja memaparkan laporan di atas kerana pagi ini saya begitu marah apabila diberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak meluluskan permohonan bantuan kepada Puan Rogayah binti Abbas beralamat di 33 Jalan Padi 4, Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Puan Rogayah adalah seorang ibu tunggal yang mempunyai pendapatan RM300 hasil dari pencen suaminya yang telah meninggal dunia. Beliau mendiami rumah pusaka suaminya bersama seorang anak istimewa bernama Mohd Najib bin Zakaria @ Musa, 31 tahun. Anak ini lumpuh dan terlantar di pembaringan sejak dari kecil akibat demam panas.

Saya diberitahu, Puan Rogayah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak terutama lampin pakai buang dan susu sedangkan beliau tidak dapat mengerjakan pekerjaan lain disebabkan keadaan kesihatan (61 tahun) serta terpaksa menjaga Mohd Najib.

Mengikut Puan Rogayah, alasan yang diberi oleh Pegawai JKM ialah keadaan rumahnya yang sempurna dengan mempunyai pelbagai perabut.

Soalnya ialah segala perabut, peralatan dan rumah yang didiami adalah dari tinggalan suaminya ketika bertugas sebagai pemandu. Setelah suaminya meninggal, tidak ada sebarang perabut atau peralatan baru yang dibeli. Manakah cukup dengan pendapatan RM300 sebulan?.

Tahun lalu, saya telah berusaha mendapatkan bantuan dari Majlis Agama Islam Johor dan alhamdullillah permohonannya telah diluluskan.

Malangnya, bantuan dari MAIJ telah diberhentikan pada bulan November ini dan Puan Rogayah perlu membuat permohonan sekali lagi. Urusan ini memang berlaku setiap tahun. Kalaulah ini peraturan MAIJ, ia benar-benar membebankan dan menyusahkan orang yang memang susah dan perlukan bantuan. Tidakkah lebih prektikal kepada pegawai MAIJ untuk terus membuat siasatan dan lawatan pada setiap tahun. Sekurang-kurangnya dapat juga mereka menjenguk dan melaporkan keadaan sebenar orang yang diberi bantuan.

Apakah setelah pemohon dengan bersusah payah pergi ke Jabatan untuk mengambil borang, mengisinya, mendapatkan sokongan Ketua Kampong dan sebagainya lantas mengembalikan semula ke pejabat. Bila pula nak lulus? Terpaksa lagi menunggu laporan dan lawatan pegawai. Belum lagi menunggu mesyuarat dan pelbagai birokrasi untuk mendapatkan bantuan.

Wahai pegawai-pegawai JKM dan MAIJ, kasihanilah mereka sebagaimana kita mengasihani ibu bapa dan anak-anak kita. Takdir tuhan menjadikan Puan Rogayah dan Mohd Najib begitu. Bagaimana sekiranya nasib itu menimpa pada diri kita? Cukupkah RM300 untuk menampung segala-galanya dalam persekitaran hidup di Bandaraya Johor Bahru yang terkenal dengan kos hidup yang tinggi!.

Fikirkanlah dan tinggalkanlah segala persangka negetif dan birokrasi tuan-tuan semua.


Mohd Najib bin Zakaria @ Musa, 31 tahun

Puan Rogayah Abbas dan Mohd Najib

ANCAMAN AH LONG

Utusan Online
30 November 2008 / 2 Zulhijjah 1429

Anak berhutang, ibu diancam ah long

Oleh HAMDAN TAWADI

JOHOR BAHRU 29 Nov. – Seorang ibu berusia 46 tahun diancam oleh tiga ah long setelah anak lelakinya didakwa berhutang dengan mereka sebanyak RM11,500.

Ekoran itu, mangsa yang bekerja sebagai pekerja kilang dan hanya mahu dikenali sebagai Lee, tidak lagi mahu mengaku anaknya sebagai darah dagingnya.

Mangsa berkata, anaknya itu berusia 25 tahun dan bekerja sebagai penyanyi kelab malam di bandar raya ini.

Katanya, seorang daripada ah long itu datang ke rumahnya di sini pada 22 November lalu manakala dua lagi menghubunginya menerusi telefon kediamannya.

“Saya cuba menghubungi anak lelaki saya itu namun nombornya tiada lagi dalam perkhidmatan.

“Tidak adil dia buat begini kepada keluarga, dia yang berhutang dan tergamak membahayakan keselamatan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang dianjurkan Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA cawangan Johor Bahru, Michael Tay di sini hari ini.

Lee berkata, ah long itu masih belum dapat mengesan anaknya dan keadaan itu membebankan ahli keluarga lain yang kini diugut ah long.

“Ah long itu mengugut untuk membuat kacau jika saya tidak dapat memberitahu di mana anak saya itu berada,” katanya.

Menurut Lee, dia telah membuat laporan polis berhubung ugutan ah long itu di Balai Polis Pelangi Indah di sini.

Katanya, anak lelakinya itu telah berpindah keluar dari rumahnya sejak lima bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Zainal Baharom ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes itu sedang disiasat.

Datuk Bandar Johor Bahru, Dato' Naim Nasir sanggup turun ke bawah dan berjumpa Jawatankuasa Penduduk bagi menerangkan tanggungjawab bersama antara Majlis dan penduduk terutama membenteras poster & paparan ah long

Ah long sanggup menggantung paparan di hadapan rumah penduduk Bandar Baru Uda


Bukan saja poster ah long, poster-poster seperti ini yang diantaranya tidak beretika serta ditampal merata tempat tanpa kebenaran juga harus dibenteras

Ini yang kita mau. Penduduk Bandar Baru Uda melampiaskan kebencian pada poster-poster ah long


Berita seperti ini tidak asing di negara kita. Dah berpuluh kali kita mendengarnya. Mungkin sudah beratus kali jika dicampur dengan pelbagai cerita, berita benar atau mulut ke mulut dan sebagainya.

Soalnya sampai bila keadaan dan kejadian seperti ini akan terus berlaku?

Mengapa pihak yang berwajib terus memejamkan mata dengan membiarkan ah long bermaharajalela? Mereka sanggup menghisap darah orang yang dalam kesusahan. Pernah berlaku seorang pemuda Melayu dihambat kerisauan apabila diburu oleh lapan ah long akibat hutangnya yang bermula dengan RM1,000 bercambah hingga mencecah RM16,000 yang tidak mampu dibayarnya.

Kedengaran cerita mengenai seorang bekas pengurus cawangan pejabat pos mini di Jabatan Perdana Menteri telah didakwa kerana pecah amanah kerana menyeleweng sejumlah wang. Di mahkamah beliau merayu agar hukuman diringankan kerana beliau menderita penyakit barah dan pengakuannya ialah beliau
terpaksa menyelewang wang dibawah jagaannya kerana terpaksa membayar pinjaman ah long.

Banyak lagi cerita sedih dan menyayat hati yang pernah dilaporkan hasil dari kekejaman ah long.

Kita pernah mendengar pelbagai kenyataan tentang usaha untuk membasmi ah long seperti kenyataan
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pada bulan Disember 2006 yang mengarahkan Jabatan Jenayah Perdagangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menyiasat skim pinjaman wang terbabit memandangkan ia kini menjadi semakin serius dan mengancam nyawa.

Apakah ia hanya tinggal kenyataan kerana tidak ada tanda-tanda ah long makin berkurangan bahkan berleluasa seperti cendawan tumbuh di waktu pagi. Lihat saja di sekitar bandaraya Johor Bahru. Paparan iklan dari pelbagai bentuk seperti membuat kertas sebaran, kad nama, banner dan sebagainya berleluasa sehingga mengotorkan pemandangan.

Semua pihak mesti menggembling tenaga dan fokus dalam usaha membenteras gejala yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat kita. Bukan sahaja pihak Polis, bahkan semua yang terlibat seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Kewangan, MECD dan lain-lainnya. Kerajaan-kerajaan negeri yang mempunyai kuasa meluluskan lesen pinjaman wang juga harus berhati-hati dan menghadkan jumlah lesen yang dikeluarkan bahkan harus membuat pemantauan dan mengambil tindakan kepada pemunya lesen yang membuat salahguna.

Yang paling penting ialah rakyat mesti diberi penerangan dan penjelasan tentang perilaku ah long yang begitu kejam sehingga sanggup membunuh walaupun ada diantaranya ada yang mempunyai motto "ah long hanya mau tolong". Jelaskan kebencian kita kepada mereka bahkan juga kepada pelajar di semua peringkat sekolah dan pusat pengajian.

Anak-anak kecil dan pelajar sekolah lebih mudah diasuh supaya membenci ah long terutama pelbagai vendalisma yang dilakukan seperti menampal poster-poster di tempat yang tidak sepatutnya. Bukan sahaja kepada anak-anak kita bahkan sebagai rakyat yang cinta kepada negara, kita mesti berani membenteras gejala tidak bermoral ini seperti membuang segala bentuk paparan ah long.

Jangan kita harap tindakan dari pihak berkuasa tempatan kerana pasti mereka akan berkata dan beralaskan jawapan "tidak cukup kakitangan".

Ayohh...



Jumaat, November 28, 2008

USTAZ HAJI KASBI ISMAIL KEMBALI KE RAHMATULLAH KERANA KAMBING ASMA 'UL HUSNA?





















Gambar Allahyarham tiga dari kiri berbaju kelabu & samping kuning/putih yang diambil dalam bulan Oktober yang lalu di majlis perjumpaan Hari Raya MJBBU. Berdiri tiga dari kanan berbaju biru ialah Haji Lod Ismail, abang Allahyarham.


Gambar bawah Allahyarham sedang mengetuai bacaan tahlil kumpulan Yassin Al-Ikhlas, Jalan Jagong, Bandar Baru Uda




Maghrib semalam (Khamis malam Jumaat), semasa saya mengetuai bacaan yassin di rumah Hj Salleh Shahdan, kami diberitahu Haji Kasbi Ismail meninggal dunia. Allahyarham adalah Pengerusi kumpulan Yassin Al-Ikhlas yang kami sertai. Ahli-ahlinya adalah dari penduduk Bandar Baru Uda di Jalan Sekoi, Jalan Jagong, Jagong 11, 12, 13, 14, 15, 16, 17 dan 18.

Sebenarnya kami mensedekahkan bacaan Yassin semoga Allah swt memulihkan kesihatannya atau memudahkan rohnya keluar dari jasad sekiranya itu sudah menjadi takdir. Belum pun sempat bacaan berakhir tetiba seorang petugas surau Alfalah datang dan membisikkan ke telingaku tentang kematiannya.

Selesai membaca Yassin dan sebelum meneruskan bacaan tahlil, saya sempat memberitahu semua yang hadir mengenai berita yang diterima. Kami menerima ketentuan Allah walau dengan berat hati kerana Allahyarham adalah ketua kami dan beliau banyak jasa yang ditabur. Biasanya dalam majlis yasin dan tahlil, selepas solat Isyak berjemaah, pastinya dia akan memberi tazkirah walaupun dalam masa 5 atau 10 minit.

Selepas selesai di rumah Hj Salleh, kami ke rumah Allahyarham di Jalan Jagong 17 dan membacakan yassin serta bertahlil.

Ketentuan Allah tiada sesesiapapun dapat menghalangnya. Abang Allahyarham bernama Haji Tahir Ismail yang bermastautin di Kuala Lumpur datang menaiki bas untuk menziarah. Setibanya di Bandar Baru Uda, semasa sedang berjalan bersama anaknya menuju ke rumah Allahyarham, ajal Haji Tahir sampai apabila tetiba saja dia jatuh dan rebah di tepi Jalan Padi 2.

Inilah yang dinamakan ketentuan. Abang yang ingin menziarah juga turut bersama menemui Allah Yang Esa bersama-sama dengan adik kecintaannya.

Seorang lagi keluarga Allahyarham, Haji Lod Ismail yang juga merupakan pegawai agama di Masjid Bandar Baru Uda begitu sedih dengan kehilangan kedua-duanya. Begitupun beliau bersyukur kematian mereka pada hari Jumaat dan beliau juga berharap akan turut mencari kematian pada hari yang amat baik ini.

Mengenag kembali jasa yang dicurahkan oleh Haji Kasbi, beliau baru saja menjawat Pengerusi Surau Al-Falah Jalan Jagong 4 dan sejak dari pengurusannya telah nampak beberapa pembaharuan. Begitu juga dengan tugasnya sebagai penceramah agama dan juga semasa kempen pilihanraya yang baru lalu membantu kemenangan Dato' Shahrir Samad dan YB Hj Adam Sumiru. Beliau juga adalah Timbalan Ketua UMNO Cawangan Uda Jagong dalam Bahagian Johor Bahru.

Kematian Hj Kasbi menyebabkan kami mengenang kembali kepada Allahyarham Haji Miad Abdullah, salah seorang AJK Masjid BBU yang juga meninggal berpunca dari tekanan darah yang melonjak tinggi.

Ceritanya hampir sama. Haji Miad rebah pada jam 12.30 tengahmalam ketika berakhir mesyuarat AJK Masjid. Harinya, isnin malam selasa. Pada malam itu, Haji Miad ke masjid Wadi Hassan untuk majlis Asma 'Ul Husna dan pastinya jemaah akan dijamu dengan nasi beryani gam berlaukkan daging kambing masakan Arab. Begitu juga dengan Haji Kasbi, beliau ke sana untuk tujuan yang sama dan rebah juga pada waktu yang hampir sama. Kedua-duanya juga meninggal beberapa hari selepas terlantar di hospital.

Ajal dan maut memang di tangan Allah. Sebab musababnya juga ketentuan Allah. Tetapi kita sebagai hambanya pasti berusaha untuk mencari jalan terbaik untuk mengelak sebarang musibah.

Inilah yang menjadi ingatanku. Kalau kita mempunyai sejarah kesehatan yang memerlukan ubat dan pelbagai cara untuk mengelaknya, mengapa kita tidak mengikut arahan doktor atau apa saja peraturan dan ingatan yang diberi kepada kita?.

Kepada Allah kita datang dan kepadaNya juga kita akan kembali.

Khamis, November 27, 2008

Masjid Bandaraya masjid hadhari kedua negara

.

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (fr Heli)

Masjid Bandaraya masjid hadhari kedua negara


DR. AHMAD Zahid Hamidi (empat dari kanan) dan Nasir Tun Sakaran (lima dari kanan) menyaksikan KY Mustafa (tiga dari kanan) dan Amri Suratman bertukar dokumen perjanjian di Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu, kelmarin.


KOTA KINABALU 18 Nov. - Masjid Bandaraya yang terletak di Likas di sini mencipta sejarah apabila diisytiharkan sebagai masjid hadhari kedua negara semalam.

Masjid yang mempunyai reka bentuk seakan-akan masjid Nabawi serta dikelilingi air itu menjadi masjid kedua yang mendapat pengiktirafan berkenaan selepas Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilihan masjid tersebut sebagai masjid hadhari amat wajar sekali berdasarkan kepada peranan yang dimainkan masjid berkenaan.

"Pemilihan tersebut amat tepat kerana masjid berkenaan menepati kriteria yang disyaratkan seperti mempunyai kemudahan prasarana mesra jemaah khususnya untuk Orang Kurang Upaya (OKU).

"Selain itu, masjid ini berjaya menggerakkan pelbagai aktiviti dakwah, kebajikan dan juga ekonomi yang memberi manfaat kepada ummah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Program Akuakultur antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) Link dengan Masjid Bandaraya di sini semalam.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengerusi UMS Link Holding Sdn. Bhd., Datuk KY Mustapha; wakil Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Roslinah Ahmad Saufi; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAINS), Amri Suratman dan Timbalan Pengerusi Masjid Bandaraya, Ab. Jamal Tun Sakaran.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohammad Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran.

Menurut Zahid, JHEAINS telah memainkan peranan besar bagi memastikan masjid di negeri ini khususnya Masjid Bandaraya menjadi sebuah institusi yang mesra rakyat.

"Kewujudan perkhidmatan klinik bergerak, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kolam ternakan ikan serta pusat kecemerlangan ilmu merupakan antara elemen penting menjadikan masjid ini menarik perhatian masyarakat sekali gus memberi input terhadap perancangan masjid hadhari," katanya.

Sementara itu, Zahid berkata, masjid mempunyai peranan luas dalam kehidupan masyarakat Islam.

Katanya, masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah tetapi menjadi pusat perpaduan ummah, kecemerlangan ilmu dan nadi utama aktiviti pembangunan ekonomi.

Sabtu, November 22, 2008

TELUSKAH UMNO JOHOR BAHRU MEMILIH AHLI-AHLI MAJLIS BANDARAYA JOHOR BAHRU?



Cadangan Ahli Majlis MBJB dari UMNO Johor Bahru, gambar dari atas Hjh Salamah Saffar, Dato' Yahya Jaafar, Azman Hj Dawam, Azura Affandi (pemerhati), Khalid Mohamad dan Mohd Sunawan Hj Md Som




















UMNO Johor Bahru telah diberi peruntukan untuk mengemukakan lima calun untuk dilantik sebagai Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi tempoh 2009-2010.

Dato’ Shahrir Samad selaku Ketua UMNO Bahagian telah mencadangkan supaya Sdr. Khalid Mohamad (Ketua Pemuda) dan Puan Hjh. Salamah Saffar (Ketua Wanita) sementara tiga yang lain dipilih dari kalangan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian yang ingin menawarkan diri.

Pemilihan Hjh Salamah Saffar disebabkan keperluan mengemukakan seorang calun wanita sebagaimana yang dikehendaki oleh pentadbiran Negeri Johor. Sementara itu, Khalid Mohamad baru menjawat Ahli Majlis pada bulan April 2008 menggantikan YB Hj Adam Sumiru yang terpilih sebagai ADUN Tanjung Puteri.

Semasa mengemukakan kedua-dua nama tersebut, Dato’ Shahrir tidakpun menyebut mengenai keperluan dari segi jawatan yang disandang. Ini dapat dilihat apabila beliau tidak mencadangkan nama Ketua Puteri, Azura Affendi sedangkan beliau juga layak. Apakah disebabkan Azura yang baru menjawat Pegawai Khas JPM (jawatan kontrak) dan ditempatkan di pejabat Felda menyebabkan beliau terpinggir.

Sebelum ini UMNO Johor Bahru pernah mengemukakan nama Hj Aziz Hashim yang berkhidmat dengan Perbadanan Johor dan beliau telah diterima sebagai Ahli Majlis selama sepenggal. Datuk Shahrir tidak menyebut mengenai perkara ini dan yang pasti ialah beliau tidak menyatakan bahawa jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita sebagai faktor cadangannya.

Perkara ini penting untuk diperjelaskan kerana ia akan menjadi satu presiden atau contoh ikutan yang akan digunakan pada masa akan datang. Pastinya ia akan dituntut oleh ahli-ahli pergerakan sayap parti UMNO di Johor Bahru setiap kali mengemukakan calon.

Bagi tiga calon yang lain, sembilan orang Ahli Jawatankuasa telah menawarkan diri termasuk Dato’ Yahya Jaafar yang berada di luar Negara tetapi telah mengemukakan surat persetujuannnya melalui Sdr Hamid Halidek. Malang bagi Hj Mohd Said Ibrahim, Ahli Majlis bagi Zon Bandar Baru Uda yang tidak dapat menawarkan diri kerana kalah dalam pemilihan Jawatankuasa di mesyuarat perwakilan yang baru lalu.

Mesyuarat bersetuju supaya pemilihan dibuat secara undian sulit dan membenarkan Pengerusi iaitu Dato’ Shahrir berkecuali di dalam pengundian dan kiraan undi akan dibuat olehnya. Seramai 27 orang telah mengundi termasuk Datuk Haji Ali Mohamad (Timbalan Ketua) dan 3 AJK yang dilantik oleh Ketua terdiri Naib-naib Ketua Pemuda, Puteri dan Wanita.

Semasa mengumumkan keputusan pengundian, Dato’ Shahrir menjelaskan bahawa 3 nama teratas akan dikemukakan iaitu Mohd Sunawan Hj Md Som, Azman Hj Dawam dan Dato’ Yahya Jaafar. Nama-nama lain mengikut urutan jumlah undi yang diterima akan disenaraikan sebagai calon Ahli Majlis sekiranya terdapat penolakan ke atas tiga nama yang dicadangkan. Ini bermakna Syed Yassin Ali, Hj Jalil Long, Hj Abu Talib Alias, Hj Md Raf Murad, Hj Hashim Ahmad dan Hj Abu Bakar Ibrahim masih mempunyai peluang untuk menjawatnya.

Pengumuman Pengerusi mesyuarat tentang peluang enam nama yang lain ini telah menguji sejauh mana keakraban dan kesetiakawanan di antara rakan-rakan dalam Jawatankuasa UMNO Bahagian. Ini disebabkan pengumuman dan keputusan ini boleh menyebabkan mereka yang terlalu berminat untuk jawatan ini akan berusaha mencari jalan penyingkiran walau dalam apa cara sekalipun. Pelbagai fitnah boleh berlaku sekiranya iman di hujung kuku atau tidak percaya kepada qada’ qadar ketentuan dari Allah swt.

Adakah ini berlaku di Bahagian Johor Bahru? Mudah-mudahan Allah melindunginya. Begitupun, adalah menjadi satu peringatan kepada semua pihak yang berminat untuk menjawat pelbagai jawatan samada Ahli Majlis, ADUN, Ahli Parlimen, Pelawat Hospital, Pegawai-Pegawai Khas Penerangan/Kemas dan sebagainya, bahkan untuk mendapatkan sebutir pingat kebesaran seperti PPN/PIS, mereka hendaklah sentiasa bersih atau kelihatan bersih dari semua aspek.

Sebagai Pengerusi mesyuarat dan Ketua UMNO Bahagian, Dato’ Shahrir telah berulang kali mengingatkan semua lapisan pemimpin supaya tidak mengambil kesempatan dan mempunyai kepentingan peribadi dalam organisasi yang dicerburinya.

Di akhir mesyuarat, majlis sebulat suarat mencadangkan Azura Affandi (Ketua Puteri) sebagai pemerhati Ahli Majlis menggantikan Haji Ali Senawi yang tidak memenangi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian.

Di bawah adalah berita dari Berita Harian Online pada Sabtu, 22 November 2008 / 24 Zulkaedah 1429

Johor: Ketua Whip MBJB lepas jawatan

Oleh Johan Afandi
johan@bharian.com.my

Hashim hanya dapat empat undi dalam pemilihan ahli majlis minggu lalu

JOHOR BAHRU: Ketua Whip Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Hashim Ahmad, yang tidak sampai setahun memegang jawatan berkenaan, terpaksa melepaskannya selepas tidak terpilih semula untuk menjawat jawatan Ahli Majlis MBJB selepas kalah dalam undian pada peringkat Umno bahagian Johor Bahru.

Difahamkan, Hashim yang terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Johor Bahru dalam mesyuarat pemilihan lalu, hanya mendapat empat undi dalam pemilihan untuk jawatan Ahli Majlis MBJB yang diadakan minggu lalu.

Turut tidak dipilih semula adalah Ahli Majlis MBJB Zon Uda, Mohd Said Ibrahim, yang kalah dalam pemilihan AJK Umno bahagian dalam Mesyuarat Umno bahagian berkenaan, bulan lalu.

Sumber berkata, Ketua Umno bahagian Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad menetapkan Ketua Pemuda Umno bahagian, Khalid Mohamad dan Ketua Wanita Umno bahagian, Salmah Safar saja yang terpilih secara automatik untuk memegang jawatan sebagai Ahli Majlis, manakala yang lainnya perlu dipilih secara undian.

"Salmah akan meneruskan tugas sebagai Ahli Majlis Zon Taman Suria, manakala Khalid pula Ahli Majlis Zon Larkin," katanya.

Umno bahagian Johor Bahru diperuntukkan lima kerusi Ahli Majlis iaitu Zon Larkin, Kampung Melayu, Taman Suria serta Bandar Baru Uda dan secara tradisinya, Ahli Majlis yang mempunyai jawatan paling senior pada peringkat bahagian berkenaan akan dipilih sebagai Ketua Whip MBJB.

Sebelum Hashim, jawatan Ketua Whip MBJB disandang Naib Ketua bahagian Johor Bahru, Adam Sumiru yang kemudian melepaskannya selepas terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Puteri.

Selain Umno Johor Bahru, Umno Pulai mempunyai tiga tempat sebagai Ahli Majlis diikuti Pasir Gudang (dua) dan Tebrau (satu)

Sumber itu berkata, tiga AJK Umno Johor Bahru dipilih untuk menjawat jawatan Ahli Majlis MBJB dan mereka ialah Azman Dawam, Sunawan Mat Som serta Datuk Yahya Jaafar.

"Kemungkinan untuk Umno Johor Bahru mengekalkan jawatan Ketua Whip MBJB pada tahun depan dilihat sukar kerana Ahli Majlis Zon Tampoi dari Umno Pulai, Ramlee Bohani dilihat lebih senior kerana memenangi jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian," katanya.

Beliau berkata, kontrak Ahli Majlis MBJB akan tamat akhir tahun ini, dan pelantikan baru akan dibuat selewat-lewatnya Mac depan selepas mendapat izin daripada Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

"Ramlee lebih berkebolehan dan berketrampilan untuk memegang jawatan Ketua Whip kerana pengalamannya yang luas sebagai Setiausaha Kerja Umno Johor selain sudah empat tahun menjadi Ahli Majlis MBJB.

"Bagaimanapun, Timbalan Ketua Umno bahagian Pasir Gudang, Datuk Ibrahim Ghaffar juga adalah Ahli Majlis dan kemungkinan, beliau terpilih sebagai Ketua Whip MBJB baru tahun depan, juga tidak boleh diketepikan," katanya.

Dari kiri, Syed Yassin Ali (nama sedia menunggu sekiranya berlaku penolakan atas nama yang dikemukakan), Hj Mohd Said Ibrahim (Ahli Majlis yang tewas dalam pemilihan AJK Bahagian) dan Hj Hashim Ahmad (Ketua Whip yang tidak terpilih sebagai Ahli Majlis)



Rabu, November 19, 2008

FELDA TRAVEL DI DESARU DAMAI BEACH RESORT, KOTA TINGGI





Saya telah mendapat tawaran untuk menjadi wakil Haji dan Umrah untuk syarikat Felda Travel Sdn Bhd. Untuk itu saya telah diminta untuk menghadiri seminar yang telah dijalankan di Desaru Damai Beach Resort pada 14 dan 15 November 2008.

Pada seminar ini, Felda Travel telah memberi taklimat terakhir kepada bakal-bakal haji dari Johor yang mengikuti pakej bagi tahun 2008. Seramai 180 orang bakal haji akan dibawa dan akan berangkat pada 19 November 2008 melalui Kelana Jaya.

Untuk tujuan selanjutnya, Felda Travel akan membuat urusan umrah dan ziarah mengikut bulan sebagaimana berikut:-

Bulan April 2009: 4 April - 15 April (Umrah ziarah 12 hari - RM5700), 6 April - 18 April (Umrah ziarah 13 hari - RM5200) dan 18 April - 30 April (Umrah ziarah 14 hari - RM5900).

Bulan Mei 2009: 1 Mei - 14 Mei (Umrah+Jordan+Syria 15 hari - RM6900), 18 Mei - 30 Mei (Umrah cuti sekolah 15 hari - RM6500) dan 23 Mei - 4 Jun (Umrah cuti sekolah 14 hari - RM6800)

Bulan Jun 2009: 3 Jun - 16 Jun (Umrah+Kaherah+Iskandariah 14 hari - RM6800), 7 Jun - 20 Jun (Umrah ziarah 14 hari - RM6000) dan 17 Jun - 29 Jun (Umrah ziarah 14 hari - RM6400).

Bulan Julai 2009: 4 Julai - 16 Julai (Umrah ziarah 14 hari - RM6750), 7 Julai - 20 Julai (Umrah ziarah 14 hari - RM6200) dan 11 Julai - 23 Julai (Umrah ziarah 14 hari - RM6750).

Bulan Ogos 2009: 6 Ogos - 16 ogos (Umrah ziarah 1`2 hari - RM6950), 8 Ogos - 18 Ogos (Umrah ziarah 12 hari - RM6750) dan 20 Ogos - 2 September (Umrah awal puasa 15 hari - RM7300).

Bulan September 2009: 2 September - 14 September (Umrah akhir puasa 14 hari - RM7300).

Felda Travel juga mengadakan pakej pelancongan dalam negeri dan luar negara seperti Indonesia, Viatnam, China, Australia, Eropah dan lain-lain.

Mereka yang berminat untuk mengikuti rombongan dan lawatan dengan menggunakan Felda Travel bolehlah menghubungi saya melalui telefon 019-7731264, 07-2386400 atau melalui email: sunawanbbu@gmail.com.

DATUK SARIFUDDIN SM MELAWAT P.D.K. BANDAR BARU UDA










Datuk Sarifuddin SM dari Naza Motor telah membuat lawatan ke masjid Bandar Baru Uda pada hari rabu 12.11.2008. Tujuannnya adalah untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai operasi Pusat Dialisis.

Dalam ucapan rengkasnya menyatakan bahawa beliau amat tertarik dengan keupayaan sebuah masjid yang ditadbir secara sukarela tetapi dapat memberi perkhidmatan yang baik dan mengenakan bayaran yang amat murah kepada pesakit sehingga mempunyai 15 unit mesin dialisis.

Tujuan beliau dalam lawatan ini adalah untuk menjadikan masjid ini sebagai model kepada sebuah masjid yang akan dibangunkan oleh syarikatnya di salah sebuah taman perumahan di negeri Selangor.

Beliau juga berharap agar pengurusan Pusat Dialisis masjid ini sudi untuk memberikan segala tunjuk ajar kepadanya agar pembangunan yang akan dijalankan nanti tidak akan mencapai kegagalan.

Dalam lawatan ini saya mengambil kesempatan dengan memohon kemurahannya untuk menyumbangkan sebuah kenderaan jenazah bagi diwakafkan kepada Badan Khairat Kematian Penduduk Islam Bandar Baru Uda. Ini adalah disebabkan Badan ini mempunyai sebuah kenderaan yang agak uzur kerana telah berumur 33 tahun yang dibeli pada tahun 1985 dari peruntukan Tan Sri Mohamad Rahmat.

Datuk Saripuddin telah menyarankan kepada saya untuk menghubungi Dato' Dr Latif Ahmad, Timbalan Menteri Kesihatan agar beliau dapat menghubungi anak saudaranya iaitu anak kepada Allahyarham Tan Sri Nizamuddin.

Berikutnya, saya telah dapat menghubungi Dato' Dr Latif dan beliau berjanji akan mengusahakannya.

MESYUARAT PERTAMA JAWATANKUASA UMNO BHG JOHOR BAHRU 2008-2011

Dato' Shahrir Samad sedang mempengerusikan mesyuarat dan di kanan kirinya adalah Datuk Hj Ali Mohamad (Timbalan Ketua) dan YB Hj Adam Sumiru (Naib Ketua)










Setelah selesai Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru, Jawatankuasa yang terpilih telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada hari Ahad 16.11.2008 di Bilik Mesyuarat UMNO Bahagian.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB Dato' Shahrir Samad, Ketua UMNO Bahagian telah melantik pegawai dan AJK tambahan iaitu Hj Misbah Zainuddin (Setiausaha), Hj Raihan Baba (Bendahari), Hj Abu Talib Alias (Ketua Penerangan) dan AJK terdiri dari Hjh Salmah Sainal, R Azmi Md Aris, Zaini Mohamed & Nordin Ahmad.

Mesyuarat juga telah mencadangkan penerima darjah dan bintang kebesaran kepada Hj Daud Md Noor (KMN), Hj Md Raf Murad (AMN) dan Borahan Kassim (PPN).

Dalam agenda pemilihan Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru, Pengerusi telah membacakan syarat kelayakan yang diantaranya hendaklah ahli profesional tempatan, tidak muflis, tidak mempunyai kesalahan jenayah dan tidak pernah menerima hukuman mahkamah.

Memandangkan UMNO Johor Bahru diberi 5 kuota, YB Dato' Shahrir telah mencadangkan supaya dua darinya hendaklah terdiri dari Ketua Pemuda (Khalid Mohamad) dan Ketua Wanita (Hjh Salmah Safar) sementara seramai 9 orang AJK telah menawarkan diri untuk dipilih untuk mengisi 3 lagi kekosongan.

Seramai 27 orang AJK telah membuat undian secara sulit dan keputusannya adalah sebagaimana berikut:-

Mohd Sunawan Hj Md Som (12), Azman Hj Dawam (12), Dato' Yahya Jaafar (11), Syed Yassin Ali (10), Hj A Jalil Long (9), Hj Abu Talib Alias (9), Hj Md Raf Murad (7), Hj Abu Bakar Ibrahim (4) dan Hj Hashim Ahmad (4).

Alhamdullillah, saya telah diberi kepercayaan untuk menjadi Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru dan sekiranya cadangan nama saya ini diterima oleh Kerajaan Negeri Johor, maka saya berharap untuk memberi khidmat bakti bagi kawasan atau Zon Bandar Baru Uda, insyaAllah.

SEMINAR PENGURUSAN MASJID PERINGKAT NEGERI SABAH 2008


YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri


Ustaz Ann Wan Seng, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Cina Muslim
Malaysia (MACMA)


Hj Hussin Ismail sedang menyampaikan kertas kerja


Kelihatan Ustaz Hj Suliman Sujak menikmati minum pagi


Hj Hussin Ismail dan VIP lain


Peserta seminar tekun mendengar pembentangan kertas kerja


Hj Hussin Ismail menerima cenderamata dari penganjur

Masjid Jamek Bandar Baru Uda telah diminta oleh JAKIM untuk membentangkan kertas kerja di Seminar Pengurusan Masjid Peringkat Negeri Sabah 2008 pada 18.11.2004. Seminar yang dihadiri oleh 400 orang peserta dari seluruh Sabah telah diadakan di Banquet Hall, Tang Dynasty Hotel, Kota Kinabalu.

Penganjuran bersama JAKIM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah ini telah dirasmikan penutupannya oleh YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Saya berserta dengan Ustaz Hj Sulaiman Sujak (Pengerusi MJBBU) dan Hj Hussin Ismail (Bendahari MJBBU) telah hadir untuk membuat pembentangan kertas kerja yang bertajuk "Pengurusan dan Pengimarahan Masjid di Semenanjung: Pengalaman Masjid Bandar Baru Uda, Johor Bahru".

Sebelum itu Ustaz Ann Wan Seng dari PERKIM telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk "Pendekatan Dalam Memperkukuhkan Akidah Saudara Baru).