Radio Internet FuhYooFm

Ahad, April 19, 2009

PROGRAM BIRO LATIHAN UMNO BAHAGIAN JOHOR BAHRU

.
Pentadbiran yang cekap dan efisien memainkan peranan yang amat penting di dalam sebuah organisasi yang berjaya.

Memandangkan sistem pentadbiran yang cekap adalah elemen yang utama, Biro Latihan UMNO Bahagian Johor Bahru dibawah pimpinan Hjh Saadiah Hussin, telah mengambil inisiatif menganjurkan kursus, ramah mesra dan dialog bersama Ahli Parlimen Johor Bahru merangkap Ketua UMNO Bahagian, YB Dato' Shahrir bin Abd Samad bersama pimpinan Bahagian dan Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Majlis yang diadakan di Institut Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru pada 18 April 2009 bermula jam 2.00 petang telah mendapat penyertaan ramai dari cawangan-cawangan.







MAULIDUL RASUL PBKF JOHOR SELATAN

.
Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF) Kawasan Johor Selatan telah mengadakan majlis Sambutan Maulidul Rasul SAW pada hari Sabtu 04 April 2009 bertempat di rumah seorang ahli persatuan, Puan Fatimah Hamid (Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram).

Seramai hampir 100 orang ahli menghadiri majlis yang dimulakan dengan bacaan rawi dan seterusnya ceramah disampaikan oleh Ustaz Razif dari Kampong Melayu, Johor Bahru.

Mengakhiri majlis, semua hadirin menikmati jamuan dan majlis ramah mesra.





MJBBU MENGORAK LANGKAH DALAM KOPERASI

.
Barisan anggota Lembaga Koperasi yang terpilih
bersama YB Dato' Shahrir Samad, Ustaz Sulaiman Sujak (MJBBU),
En Mohd Suhaimi Abd Rahman (SKM), Ustaz Hj Burhanuddin Tibek (JAIJ)
dan En Azrul (SKM)

Koperasi masjid mungkin belum lumrah di Malaysia. Di negara serumpun, Indonesia telah lama melaksanakannya. Dr Muhammad Hatta yang dikenali sebagai Bapak Koperasi pernah mengatakan bahawa Koperasi adalah Badan Usaha Bersama yang bergerak dalam bidang perekonomian yang mempunyai anggota dari rakyat yang berpendapatan rendah dan bergabung secara sukarela atas persamaan hak.

Adakah terlambat untuk kita menubuhkannya sekarang?. Tentunya tidak, apatah lagi dengan prinsip penubuhan koperasi yang memberi penekanan kepada penyatuan masyarakat dan membangunkan ekonomi demi menafaat bersama.

Perinsip ini amat bertepatan dengan Ayat 2, Surah Al-Maidah yang bermaksud:

" ......... Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong menolong dalam perbuatan dosa dan pelanggaran ........ ".

Untuk tujuan itu, Yayasan Masjid Jamek Bandar Baru Uda telah menubuhkan Jawatankuasa Penaja Koperasi Masjid Bandar Baru Uda yang dipengerusikan oleh Haji Safie Abd Rashid.

Hj Safie Abd Rashid mempengerusikan mesyuarat

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Johor (SKM) melalui suratnya bertarikh 30 Mac 2009, telah memberi kebenaran untuk jawatankuasa ini bergerak dengan menggunakan nama Koperasi Masjid Jamek Bandar Baru Uda Johor Bahru Berhad dan memberi tempoh selama 60 hari untuk mengadakan Mesyuarat Agung Permulaan.

Ahli Parlimen Johor Bahru, YB Dato' Shahrir Abd Samad sangat mengalu-alukan penubuhan koperasi ini dan kesungguhannya ditunjukkan apabila beliau telah hadir pada hari Jumaat 17 haribulan yang baru lalu untuk merasmikan mesyuarat agung permulaan.

Bacaan doa dipimpin oleh Ketua Imam MJBBU,
Ustaz Hj Munadi Muhajir

Mesyuarat Agung ini yang diadakan selepas solat Isyak, telah dihadiri oleh 132 orang bakal anggota. Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Negeri Johor, Encik Mohd Suhaimi Abd Rahman dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Johor, Ustaz Haji Burhanuddin Tibek turut sama hadir.

Sebahagian dari 132 bakal anggota Koperasi
yang hadir

Draf perlembagaan Koperasi yang bermatlamat untuk membangunkan ekonomi anggota mengikut prinsip koperasi dan membantu serta menyokong aktiviti pengimarahan Masjid Jamek Bandar Baru Uda, telahpun diluluskan oleh bakal anggota yang hadir.

Dato' Shahrir Abd Samad, Ahli Parlimen Johor Bahru
memberi amanat kepada bakal anggota Koperasi

Mesyuarat juga dengan sebulat suara telah bersetuju memilih 12 orang untuk menganggotai Lembaga Koperasi dan memberi kuasa menandatangani permohonan untuk mendaftarkan koperasi.

Mereka adalah Hj Safie Abd Rashid, Hj Mohd Sunawan Hj Md Som, Hj Hussein Ismail, Hj Sapawi Ahmad Johari, Hj Md Ali Zaitun, Hj Zainal Abiden Ali, Hj Said Ahir Said Abdullah, Hj Abdullah Sa'aban, Hj Md Rumali Sahar, Zaharin Saniman, Hjh Norijah Daiman dan Hjh Zainab Basir.

Dari kiri, Imam Munadi Muhajir, Ustaz Hj Burhanuddin Tibak,
Ustaz Suliman Sujak, En Mohd Suhaimi Abd Rahman
dan Hj Safie Abd Rashid

Adalah diharapkan pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan meluluskan pendaftarannya dengan seberapa segera kerana beberapa kegiatan yang sudah berjalan dan akan diambilaleh oleh Koperasi seperti pengurusan bangunan dan dewan serta katering.

Selain itu permohonan untuk membangunkan kawasan perniagaan buah-buahan telahpun dimajukan ke Majlis Bandaraya Johor Bahru dan sedang menanti kelulusan.


Begitu juga dengan kedai dua tingkat kepunyaan Yayasan Masjid juga sedang menanti kelulusan untuk menduduki, akan digunakan untuk perniagaan berkonsep halal mart.

Insyaallah, Koperasi Masjid Jamek Bandar Baru Uda Johor Bahru Berhad akan menjadi titiktolak kepada pelebaran konsep masjid sebagai pusat komuniti dan khidmat masyarakat selain anggota koperasi berpeluang menginfaqkan sebahagian keuntungan perniagaan sebagai saham akhirat.


Dato' Shahrir santai sambil minum teh
bersama beberapa orang AJK Masjid
dan Lembaga Koperasi selepas berakhir mesyuarat



Khamis, April 16, 2009

YB ADAM BERSAMA JEMAAH SURAU ALFALAH, BANDAR BARU UDA

.
Saya baru balik dari surau Al-Falah, Jalan Jagong 4, Bandar Baru Uda. Bersama isteri dan Pikah, kami solat maghrib, isyak, membaca yassin dan bertahlil.

Beberapa hari lalu, YB Adam Sumiru memberitahu beliau akan ke surau ini untuk sama berjemaah dengan kariah dan meminta saya mencari imam atau ustaz untuk memberi tunjuk ajar tentang bacaan yang betul semasa membaca yassin dan bertahlil.

Dari kiri R Azmi (Ketua Kampong). Hj Makmon (Imam Surau Al-Falah),
YB Adam Sumiru dan Imam Hj Munadi Muhajir

Saya mempelawa Imam Haji Munadi Muhajir, Ketua Imam Masjid Jamek Bandar Baru Uda seperti yang dikehendaki oleh YB Adam.

Mengikut YB Adam, masih terdapat ramai orang yang membaca ayat-ayat quran semasa membaca yassin dan bertahlil dengan tidak mengikut aturan yang betul. Ini mungkin kerana mereka telah terbiasa sejak dari dahulu sebagaimana kelaziman.

YB Adam bersama menikmati hidangan dalam dulang

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkan bacaan ayat-ayat quran walau dimana tempat dan suasana.

Turut bersama dalam program ADUN Tanjung Puteri ini adalah Sdr. R Azmi Md Aris, Ketua Kampung yang bertanggungjawab kepada penduduk di Bandar Baru Uda.


Isnin, April 13, 2009

ANAK KELAHIRAN BENUT MENJADI TIMBALAN MENTERI

.

YB Ahmad Maslan,
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

Saya sebagai seorang yang dilahir dan dibesarkan di Kampong Puteri Menangis, Benut, Johor tentunya merasa bangga kerana era Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Abd Razak telah melahirkan seorang Timbalan Menteri dari kalangan anak tempatan.

Beliau yang saya maksudkan adalah YB Ahmad bin Maslan, 42 tahun yang dilahirkan di Parit Haji Yusoff, Benut dari ethnik Banjar.

Saya tidak begitu mengenalinya melainkan dari berita-berita di media. Walaupun pernah berhadapan dengannya tetapi tidak pernah berbicara. Begitupun, sejak mengetahui namanya dalam arena politik, saya pernah membuat tekaan tentang potensinya yang lebih menyinar dalam bidang yang diceburinya. Ini adalah disebabkan kepetahannya berhujah dan berpidato selain kepercayaan bos-bosnya seperti Datuk Mustapha Mohamad. Apatah lagi dengan kepercayaan Dato' Najib yang melantiknya sebagai Pengarah Seranta Felda sejak dari tahun 2005 dan sebelumnya sebagai Pengarah Biro Tata Negara dari tahun 1991 hingga 1994.

Saya berkesempatan berjumpa dan bersemuka dengan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang baru dilantik ini di majlis maulidul rasul saw. di kampong saya. Perjumpaan ini adalah tidak disengajakan kerana saya membawa penceramah agama dari Johor Bahru, Ustaz Haji Anuar Sarimin.

Beliau sampai tepat pada jam 10:00 malam sebagaimana yang dijanjikan dan di dalam ucapannya beliau telah memberitahu tentang programnya pada hari tersebut berjumpa rakyat di 14 tempat.

Saya kagum dengan keupayaannya sebagai wakil rakyat dapat memenuhi kehendaki kesemua 14 majlis bermula dari jam 7:30 pagi hingga 10:00 malam. Mungkin ia bertepatan dengan kata-katanya sebelum ini iaitu beriltizam untuk bersama saf kepimpinan baru agar rakyat sentiasa didahulukan, pencapaian dan prestasi diutamakan serta berusaha membina Satu Malaysia yang gemilang.

Di kampungnya, beliau tidak sahaja dipanggil Mat tetapi juga Acit iaitu singkatan dari Rashid, satu nama yang diberi oleh datuknya.

Selain mempunyai ijazah MBA, beliau juga mempunyai kelulusan Ijazah Sains Politik daripada Victoria University of Wellington pernah menjadi Presiden Kelab UMNO New Zealand dan juga pernah berucap di Perhimpunan Agung UMNO mewakili Kelab-Kelab UMNO Luar Negara.

Saya yakin beliau akan dapat membawa bangsa, agama dan negara dengan lebih cemerlang memandangkan kesungguhan kerjanya. Setakat ini beliau telah acapkali menyuarakan masalah dan usaha membangunkan pekan Benut dan Pulau Pisang.

Iltizamnya untuk membangunkan kawasan yang selama ini tidak diambil peduli seharusnya mendapat sokongan dan dokongan dari masyarakat di Parlimen Pontian.

Sekiranya segala usaha yang dilakukan mencapai kejayaan, kenapa beliau tidak seharusnya mendapat undi melebihi 23,121 yang beliau perolehi pada PRU12 dan memberi peingatan kepada calun PKR atau calun lainnya supaya memikir berulangkali untuk mencabar YB Ahmad Maslan.

Hj Rafie Manaf,
Pengerusi Surau memberi ucapan

Ceramah Ustaz Hj Anuar Sarimin

YB menandatangani plak surau

Kenang-kenangan bersama YB Ahmad Maslan

Mohd Abdul Bashir, Setiausaha Surau
merangkap Ketua UMNO Cawangan

YB menjamah jamuan bersama kariah surau



MEMBAWA YB HJ ADAM SUMIRU KE BANDAR BARU UDA

.
Selepas menghadiri majlis sambutan maulidul rasul di Kg Muafakat, saya membawa YB Hj Adam ke Jalan Padi Malinja 14, Bandar Baru Uda untuk melihat pembinaan sebuah dewan terbuka untuk kegunaan penduduk di kawasan berkenaan.

Dewan yang boleh digunakan oleh pelbagai kegiatan berharga RM1 juta yang diselenggarakan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru telahpun siap dan ketika ini dalam tempuh tanggungan kecacatan. Begitupun, kelihatan beberapa orang kanak-kanak sedang bermain futsal.

YB Hj Adam berharap agar penduduk setempat dapat menggunakan dewan ini dan dimenafaatkan sepenuhnya serta diuruskan dengan baik.

Setelah melawat dewan, bersama seorang lagi ketua masyarakat di sini, Azmi Tuganal, saya membawa YB Hj Adam berziarah ke rumah seorang ibu tunggal di Jalan Padi 4 iaitu Puan Rogayah binti Abbas yang mempunyai seorang anak istimewa Mohd Najib bin Zakaria@ Musa berumur 31 tahun.

Kedatangan kami disambut oleh beberapa orang Jawatankuasa kumpulan Yassin Jalan Padi diketuai oleh Haji Hashim Samion.

Saya pernah melaporkan masalah ibu tunggal ini kepada YB Hj Adam yang tidak mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sementara bantuan dari Batulmal Johor pula telah dihentikan dan terpaksa membuat permohonan baru dengan pelbagai karenah serta birokrasi.

Alhamdullilah, bantuan yang dipohon dari Baitulmal Johor telahpun diterima walaupun agak terlewat.

Seterusnya, kami ke rumah Haji Ismail @ Haron bin Ahmad di Jalan Padi 6. Bekas pengawal keselamatan di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru ini menderita penyakit parkinson. Malangnya kami tidak dapat memasuki rumahnya kerana tiada sesiapa yang membuka pintu walaupun kami mengetahui Haji Ismail ada di dalam.

Walaupun kami hampa, insyaallah wakil rakyat kami ini akan datang sekali lagi untuk melawatnya dan juga melawat pesakit serta mereka yang perlu diberi perhatian.

SAMBUTAN MAULIDULRASUL KG MUAFAKAT

.
Petang semalam, bersama YB Hj Adam Sumiru (ADUN Tanjung Puteri) saya sempat menghadiri sambutan maulidul rasul saw yang dianjurkan oleh penduduk Kampong Muafakat, Jalan Tun Abd Razak, Johor Bahru.

Ketika kami sampai, Ustazah Nor Hadayah Ahmad, pensyarah UTM Skudai sedang menyampaikan ceramahnya.


Kami datang sedikit terlewat disebabkan sebelumnya terpaksa menghadiri mesyuarat khas Jawatankuasa UMNO Bahagian yang dipengerusikan oleh YB Dato' Shahrir Abd Samad.

Majlis yang diadakan di perkarangan surau dihdiri oleh penduduk setempat terutama kaum wanita. Mungkin disebabkan penceramahnya adalah wanita, maka tidak ramai penduduk lelaki yang datang. Apa yang kelihatan, sebahagian dari mereka berada di belakang bangunan surau untuk persiapan menyediakan jamuan.


Pada hemat saya, ini adalah aktiviti terakhir yang diadakan di kawasan ini kerana penduduk setinggan Kg Muafakat ini akan dipindahkan ke kawasan rumah pangsa yang dimajukan oleh Suria Bistari Sdn Bhd.

Difahamkan, rumah yang bakal diduduki telahpun siap 80 peratus dan berkemungkinan mereka akan berpindah pada tahun ini juga.

Masalah yang perlu diselesaikan segera di sini adalah terdapat 17 orang penduduk yang masih belum mendapat pinjaman dari institusi kewangan. Kegagalan ini akan menyebabkan mereka tidak akan dapat sama berpindah di penempatan baru.

Banyak usaha telah dilakukan oleh Dato' Shahrir dan Hj Adam Sumiru dan terbukti ramai diantara rakan mereka yang mempunyai masalah seperti ini telah berjaya diselesaikan.

Bagaimanapun, usaha selanjutnya yang akan dilakukan adalah membincangkannya dengan YAB Menteri Besar Johor yang mungkin ada cara lain untuk mendapatkan sumber kewangan.

Diharapkan semua penduduk di kawasan ini akan bersama-sama pindah dan menikmati suasana baru dengan persekitaran yang lebih bersih, cantik dan aman berbanding dengan keadaan sekarang yang tidak begitu selesa.

Khamis, April 09, 2009

ZIARAH KE BUKIT TINGGI DAN PADANG, SUMATRA

.

Saya tidak pernah ke Bukit Tinggi dan Padang di Sumatra. Program ziarah yang diaturkan oleh Kelab Warga Emas Masjid Jamek Bandar Baru Uda telah memberi peluang kepada saya untuk menguruskan lawatan ini.

Tentulah saya tidak melepaskan peluang ini dan bersama-sama dengan Haji Salam Safar, kami seramai 24 orang terdiri dari 7 lelaki dan 17 wanita telah sampai ke sana serta kembali ke tanah air sebagaimana jadual yang diaturkan.

Kami bertolak dari perkarangan MJBBU pada hari Ahad 5 April jam 12 tengahmalam dengan menaiki bas ke LCCT Sepang.

Menaiki bas ke LCCT Sepang

Di R&R Seremban kami sempat membersihkan diri dan solat subuh di LCCT Sepang.

Penerbangan Air Asia AK942 mendarat di Lapangterbang Antarabangsa Minagkabau Padang pada jam 8.00 pagi (waktu Indonesia) dan disambut oleh Pak David Khudri Adnan bersama pemandu pelancong Pak Usman.

Di hadapan Lapangterbang Padang International Airport


Perjalanan kami terus ke Bukit Tinggi dengan menaiki bas yang sangat selesa. Pemandu pelancong, Pak Usman sentiasa memberi penerangan dan tidak jemu-jemu melayan segala pertanyaan dan karenah ahli rombongan.


Menikmati sarapan pagi
di Rumah Makan Lamun Ombak

Untuk sarapan pagi, kami singgah di Rumah Makan Lamun Ombak. Diantara hidangan sarapan kami adalah tempe dan tauhu goreng. Jangan diperlekeh, kami bertambah untuk makanan yang memang sinonim dengan rakyat Indonesia, bukan sahaja di tanah Jawa malahan di Sumatera juga.
Warga emas MJBBU yang sehat
masih sanggup mendaki anak-anak tangga

Perjalanan kami singgah sebentar di Air Terjun Lembah Anai. Dikatakan bahawa terdapat tujuh tingkat air terjun dan di sini kami hanya singgah di salah satu darinya kerana ia terletak di tepi laluan ke Bukit Tinggi.
Air Terjun Lembah Anai di belakang kami

Di hadapan Pusat Dokumentasi dan
Imformasi Kebudayaan Minangkabau

Di Pusat Dokumentasi dan Imformasi Kebudayaan Minangkabau, Padang Panjang, kami diberi penerangan mengenai rumah Minangkabau dari segi rekabentuk dan pelbagai penggunaan rumah berkenaan oleh seorang ibu petugas.

Puan Rokiah bersama ibu petugas
Pusat Dokumentasi dan Imformasi

Dr Warid dan isterinya Wan Kamaliah
mengenakan pakaian tradisional Minang

Ketika perut mulai berkeroncong, kami singgah di Rumah Makan & Restaurant Pak Datuk di Jalan Sultan Syahrir, Padang Panjang dan seperti yang diduga kami dihidangkan makanan tradisional Nasi Padang.

Di tanah Minang, saya minta seporsi (pinggan) masakan ikan belut. Alhamdullillah, saya dan beberapa orang ahli rombongan lelaki dapat merasainya. Bagi kaum wanita, mereka langsung tidak mahu menjamahnya mungkin kerana tidak terbiasa.


Bu... silakan ...

Setelah makan tengahari, kami singgah di beberapa kedai yang menjual pakaian dan kelengkapan solat. Di sinilah bermula agenda lawatan bagi peserta wanita. Bagi kami kaum lelaki hanya melihat-lihat dan bagi si suami pula terpaksa melayan kehendak isteri masing-masing.

Lihat, pada hari pertama peserta sudah
mula berbelanja, shopping sakan

Bagaimana pula dengan peserta lelaki, lihatlah sendiri ...

Setelah membelibelah, kami terus ke tempat penginapan di Hotel Campagi, Bukit Tinggi. Kami menginap di hotel tiga bintang ini untuk dua malam.

Cuaca di kawasan ini begitu nyaman dan ketika tidur kami tidak memerlukan pendingin hawa. Begitupun ia tidaklah sedingin di Genting Highland.

Setelah makan di restoran tempatan, kesemua kami terus ke kamar untuk melelapkan mata kerana keletihan dek perjalanan yang agak jauh.

Pagi Isnin, setelah sarapan pagi di hotel, kami bersiap-siap untuk dibawa ke destinasi selanjutnya seperti yang diatur oleh pemandu pelancong.

Di muka pintu lobby hotel, beberapa peniaga telah sedia menunggu. Mereka memang sedia maklum, pelancong Malaysia memang suka berbelanja dan baik hati agaknya.

Beginilah keadaan di luar pintu lobby hotel

Pemandu pelancong mengatakan kami akan dibawa melihat keindahan Lembah Sianok, kelok 44, Tasek Maninjau dan ke rumah kelahiran Bung Hamka. Dan kami mengikut sahaja ..

Ketika kami menelusuri lereng bukit dan gunung, kami berhenti sebentar di beberapa tempat untuk menikmati keindahan alam semula jadi yang begitu cantik dengan udara menyegarkan.

Cantik dan damainya lembah ini dengan kabus
masih menutupi sebahagian darinya

Di satu tempat yang pemandangannya begitu menarik, kami berhenti untuk mengambil gambar ramai dengan tujuan kenang-kenangan. Ketika itu hanya ada sebuah pondok untuk berjualan.

Wow .. indahnya ..

Bagaimanapun, tidak begitu lama selepas itu bermula lagi episod membelibelah dengan penjual eceran mula berdagangan.

Seronoknya membelibelah

Setelah melalui Kelok 44 atau 44 selekoh tajam, kami ke rumah kelahiran Buya Hamka atau Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Salah seorang cucunya, Pak Hanif Rasyid telah diberi amanah untuk mengelola dan memberi penerangan tentang sejarah hidup Buya Hamka.

Allahyarham yang dilahirkan pada tahun 1908 di Kampong Molek, Maninjau merupakan seorang ulamak, sastrawan dan ahli politik yang mempunyai hubungan akrab dengan Malaysia.

Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA)

Bergambar dengan Bapak Hanif Rasyid
di tangga rumah kelahiran Buya Hamka

Setelah melihat keindahan Tasek Maninjau yang terjadi dari letusan gunung berapi ribuan tahun lalu, kami menikmati makan tengahari di Kedai Nasi Pauh Piaman, Bukit Tinggi yang menyajikan masakan gulai ikan laut iaitu sesuatu yang berlainan dari restoran Minang yang biasanya berlaukkan ikan air tawar.

Satu perkara yang amat malang bagiku pada lawatan kali ini adalah laptop yang kubawa dari rumah telah terjatuh dan tidak dapat digunakan. Kami cuba untuk membuat pembaikan di I-Media Komputer, malangnya tidak berhasil.

Sdr Samsool, Juruteknik MJBBU cuba membantu dan
membaiki kerosakan laptopdi di hadapan I-Media Komputer

Di antara tempat yang kami nantikan untuk lawatan ini adalah melihat Jam Gadang iaitu sebuah menara jam yang menjadi lambang atau landmark kepada kota Bukit Tinggi. Nenara ini dibina pada tahun 1926 dengan kreativiti arkitek Yazid Sutan Gigi Ameh dan jam pula merupakan hadiah dari penjajah Belanda.

Pada awalnya, di atas menara jam ini dibuat patung ayam jantan dan semasa pendudukan Jepun, ia telah diganti dengan bentuk rumah ibadat Budha. Akhirnya, pemerintah Indonesia telah menggantinya kepada bentuk rumah Minangkabau.

Semua peserta rombongan lelaki
di hadapan menara Jam Gadang

Di sekeliling menara ini yang terletak di pusat kota, terdapat beberapa gedung dan pasar untuk tujuan jualan pelbagai barangan. Di sini barangan lebih banyak dengan berbagai kualiti dan harga.

Malamnya, sekali lagi kami menikmati makanan nasi padang yang lebih menyelerakan di Rumah Makan Sederhana. Di seluruh pelusuk negara Indonesia, banyak restoran berjenama Sederhana. Tidak hairan makanan untuk malam ini lebih enak berbanding makanan nasi padang sebelumnya.

Lihat bagaimana mereka asyik
menikmati masakan Nasi Padang Sederhana

Suasana malam di Kota Padang tidak seperti kota-kota lain terutama di Pulau Jawa. Di sini tidak ternampak pusat-pusat hiburan, kami langsung kembali ke hotel.

Keesokan paginya, setelah sarapan pagi, kami terus besiap untuk meneruskan perjalanan bagi tujuan lawatan dan kembali ke Kota Padang.

Pada ketika kami membawa bagasi ke bas yang sedia menunggu, penjual eceran sedia menunggu dan sekali lagi berlaku kesebukan diantara memunggah barang dan urusan tawar menawar.

Di sini, berbelanja mesti pandai memilih dan menawar harga setiap barang kerana kami telahpun diberitahu tentang berurusan dengan penjual-penjual. Mereka akan meletakkan harga dengan begitu tinggi dan sebagai pembeli, kita dibenarkan menawarkan dengan harga yang jauh lebih rendah dan meungkin sehingga sekali ganda.

Ada rupiah lagi ke?

Bas sudah menunggu tu .....

Dalam perjalanan ke Padang, kami singgah dulu di Ngarai Sianok yang juga cantik dan menarik. Lembah ini diberi jolokan Grand Canyon versi Bukit Tinggi. Rasanya ia terjadi seperti lurah gelinciran yang mungkin disebabkan struktur tanah berpasir dan gegaran gempa bumi.

Di sini juga terdapat jaluran jalan bawah tanah yang diberi nama Lobang Jepang. Ia dibena semasa pemerintahan Jepun selama tiga setengah tahun. Terdapat banyak lorong di dalam lubang 100 meter ke bawah dari permukaannya. Ia adalah tempat persembunyian tentera Jepun.

Persoalan yang masih belum terjawab sehingga kini adalah kemana perginya tanah yang telah dikorek. Mengikut perkiraan, kesemua tanah tersebut sekiranya dikumpulkan boleh membentuk sebuah bukit. Soalnya dimana tanah tersebut?.

Di belakangku adalah
Ngarai Sianok, Grand Canyon Bukit Tinggi

Pintu Lobang Jepang

Di sini terdapat banyak monyet atau kera dan bagi mereka yang berani, bolehlah bermain-main dengannya.

Siapa berani ni?

Seterusnya kami singgah di perkampungan untuk melihat industri tenunan kelolaan Hajah Rosmah. Di sini terdapat 6 orang beliawanis dari Kelantan yang sedang mengikuti kursus selama 6 bulan dengan perbelanjaan RM5,000 bagi setiap peserta.

Kerjaya ni tak sesuai untuk Hj Salam,
pengalaman anda adalah pendidik

Membeli lagi?

Sewaktu melewati sebatang sungai, kami diberitahu terdapat batu-batu berwarna putih dan pokok tumbang di dasar sungai. Ia adalah disebabkan oleh bencana lahar dingin yang telah turun dan dimuntahkan dari puncak Gunung Merapi pada 01 April yang baru lalu.

Kesan lahar dingin

Di salah sebuah perkampungan yang menghasilkan makanan berunsurkan kreativiti hasil kampung seperti pisang salai, minuman herba dan sebagainya, kami telah dijamu dengan hasil keluarannya.

kami mengambil peluang mencuba minuman yang dihasilkan dari daun kopi yang dikeringkan dan sebelum meminumnya digalakkan merendam kayu manis dalam minuman tersebut.

Lihat Kayu Manis dalam cawan

Rotan ke tu? Bukan, itu kulit Kayu Manis

Untuk makan tengahari, kali ini kami di bawa ke restoran di kawasan sawah dengan keindahan kawasan di sekeliling. Cara makan dengan duduk bersela. Agak sukar bagi kami yang sakit lutut dan agak gemuk.

Begitupun, bagiku hidangan belut goreng menambah seleraku.

Pinggan kecil di kananku adalah bekas hidangan belut goreng

Setelah makan tengahari, kami singgah sebentar di Rumah Gadang atau Istana Silinduang Bulan di Balai Janggo Pagaruyung yang merupakan sebuah bangunan baru yang dibangunkan semula setelah terbakar sebelumnya.

Berdekatan dengan bangunan ini, kami ternampak sepohon pokok kelapa yang batangnya berkeluk seperti sebatang keris. Kebetulan pula terdapat penjualan keris di kawasan ini.

Di hadapan Istana Silinduang Bulan

Pelik, pohon kelapa berkeluk

Jualan keris dan parang

Di kawasan ini juga terdapat Batu-batu Bersurat dari zaman Kerajaan Serivijaya dan juga terdapat makam kesultanan.

Bagaimanapun, kami tidak melihat secara dekat kedua-dua bahan sejarah tersebut.

Batu Bersurat tulisan Sanskrit

Setibanya di Kota Padang, kami terus mendaftar masuk ke Hotel Innar Muara. Pada malamnya kami menjamu selera di sebuah restoran dan menikmati nyanyian secara live.

Seterusnya kami meronda di kawasan pantai dan membeli jagung bakar serta telur penyu.

Gambar kenang-kenangan sebelum kembali ke tanah air

Paginya, sebelum berangkat ke airport, kami bergambar ramai di hadapan hotel dan seterusnya singgah sebentar untuk membeli songkok dan beg tangan wanita.

Bersama Dr Warid mengenakan songkok baru

Dapat beg baru juga

Penerbangan balik dengan Air Asia yang sepatutnya pada jam 2.40 petang telah tergendala satu jam.

Sementara menunggu penerbangan
Kacak ke kami dengan songkok Minang?


Sekali lagi, kami menggunakan perkhidmatan bas yang disewa khas dari LCCT Sepang ke Johor Bahru dan sampai di perkarangan Masjid Jamek Bandar Baru Uda pada jam 11.30 malam.

Secara keseluruhannya, trip pada kali amat memuaskan dan diantara faktornya adalah pengendalian yang baik serta kerjasama dan hubungan erat antara peserta rombongan.

Setinggi terima kasih kepada Bapak David Khudri Adnan, Bapak Usman serta pembantu lainnya.

Bersama Bapak Usman, pemandu pelancong