Radio Internet FuhYooFm

Rabu, Julai 23, 2008

RAKAMAN SIARAN BICARA MUFTI DI MASJID BBU









Nama dan penghargaan memang ramai yang mencari. Bila dah dapat, ni yang susah.

Begitulah yang terjadi pada Masjid Jamek Bandar Baru Uda. Tahun ini mendapat dua penghargaan. Pertama, dianugerahkan oleh Kerajaan Johor dalam penganugerahan khas masjid negeri Johor bersempena sambutan Maal Hijrah dan keduanya dianugerahkan sebagai Masjid Hadhari oleh YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Ketika ini telah bermula episod lawatan dari pelawat pada saban minggu. Tak taulah bila akan berakhir. Begitupun, semuanya ini adalah ketentuan dari Yang Maha Esa dan Jawatankuasa Tadbir menerima dengan kerelaan dan percaya akan menerima ganjaran sekiranya segala apa yang dilakukan adalah dengan ketakwaan dan ikhlas.

Terakhir ialah pada malam sabtu yang lalu, JAKIM membuat rakaman Bicara Mufti sebanyak tiga slot. Saya tidak pasti apakah Sohibussamahah Dato; Haji Noh Gadut, Mufti Johor yang memilih masjid ini untuk tempat rakaman. Yang pasti para jamaah masjid BBU tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama dalam rakaman siaran tersebut.

Saya, isteri dan rakan-rakan lain juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenang-kenangan sebelum dan semasa berlangsungnya majlis.

KEKALKAH LAGI HAJI MISBAH ZAINUDDIN SEBAGAI SETIAUSAHA UMNO BAHAGIAN




Haji Misbah bin Zainuddin baru sepenggal memegang jawatan Setiausaha UMNO Bahagian Johor Bahru. Namun beliau telah lama berkecimpung dalam politik UMNO di Bahagian Johor Bahru. Sebelum ini beliau memegang jawatan Setiausaha Kerja dan atas keupayaannya yang menyerlah telah menghambat hati Datuk Shahrir Samad untuk memberi jawatan yang lebih mencabar.

Pengalamannya memegang beberapa jawatan dalam kerja-kerja sukarela dan kemasyarakatan yang menjadikan ia satu aset kepada UMNO Bahagian Johor Bahru. Tidak ramai di kalangan pemimpin politik terutama anak-anak muda yang bergiat dalam pertubuhan sosial dan kemasyarakatan. Haji Misbah boleh menjadi contoh yang baik kerana sehingga kini, masih banyak jawatan yang disandang seperti di dalam Persatuan Pesara Daerah Johor Bahru dan Negeri Johor. Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting di dalam Kesatuan Sekerja Pos dan sebagainya.

Sebab itu, tidak hairanlah beliau mempunyai ramai kenalan dan berupaya mendekati pelbagai Jabatan Kerajaan dan swasta untuk berhubungan dan ia adalah perkara penting untuk kelancaran sesuatu organisasi.

Selain dari itu, Haji Misbah berupaya dan mempunyai gaya berucap di khalayak ramai sebagaimana beberapa pemimpin yang ada di Johor Bahru.

Sehingga kini jawatannnya sebagai Setiausaha UMNO Johor Bahru memang tidak tercabar selagi ia mendapat keyakinan Ketua Bahagian. Tentunya beliau tidak perlu bersusah payah untuk bertanding pelbagai jawatan yang diidam oleh sesetengah orang bahkan untuk menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO yang mewakili G7 juga tidak menjadi masalah kepadanya kerana biasanya Datuk Shahrir sebagai Ketua Bahagian akan mewakilkan kepadanya (Datuk Shahrir adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO).

Siapakah orang lain yang lebih beruntung darinya dalam musim-musim pemilihan seperti ini?

GANDINGAN PENGERUSI DAN TIMBALAN PENGERUSI TETAP UMNO BAHAGIAN JOHOR BAHRU







Pemegang-pemegang jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru rasanya sukar untuk digugat dalam pemilihan pada 25 dan 26 Oktober 2008 ini.

Manakan tidak, Haji Aziz Ibrahim yang sekarang ini memegang jawatan Timbalan Pengerusi Tetap telah menyatakan kesediaannya untuk terus memikul tanggungjawab tersebut sedangkan beliau dilihat mempunyai kredebeliti sebagaimana yang ditunjukkan semasa mempengerusikan mesyuarat perwakilan pada tahun-tahun sebelum ini. Beliau telah menyatakan sokongannya kepada Haji Daud Md Noor untuk mengekalkan jawatan berkenaan.

Pada tahun 2004, Haji Daud Md Noor yang ramai mengenalinya sebagai Pak Daud pernah ditentang oleh Haji Md Noh Semiro. Tidak pasti samada Pak Daud akan dicabar oleh orang yang sama atau yang lain, yang pasti Haji Aziz Ibrahim adalah gandingan terbaik untuk ketika ini.

Pak Daud bukanlah nama baru dalam Bahagian Johor Bahru kerana beliau pernah memegang beberapa jawatan termasuk Setiausaha UMNO Bahagian. Walaupun beliau masih bergiat dengan perniagaan di Pulau Batam, Indonesia, namun beliau masih mempunyai waktu untuk berkhidmat dengan Pusat Khidmat Wakil Rakyat dan UMNO Bahagian Johor Bahru.

Lihatlah gambar-gambar yang terpapar bagaimana eratnya hubungan kedua-dua Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru.

Selasa, Julai 22, 2008

BERANIKAH NORNIKMAN OSMAN MENCABAR KHALID MOHAMAD SEBAGAI KETUA PEMUDA UMNO JOHOR BAHRU




Gambar terbaru Khalid Mohamad semasa perasmian berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Johor Bahru



Tajuk di atas bukanlah bermakna satu cabaran kepada Nornikman Osman untuk menentang ketuanya sekarang. Yang pasti, Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Desa Jaya telahpun mencalonkan nama beliau untuk bertanding jawatan tersebut.

Bukan saja Nornikman, bahkan beberapa nama lain mungkin juga dicalonkan seperti Musbah Yusof, Nik Hasni, Syed Amiruddin, Azlan, Tom Ghadafi dan lain-lain.

Mengapa mungkin terjadi beberapa pencalonan untuk jawatan ini? Adakah kerana ia adalah kehendak individu yang ingin menawarkan diri atau kerana ketidakpuasan hati ahli-ahli pemuda cawangan keatas pimpinan Khalid Mohamad?.

Pilihanraya 2008 telah menyaksikan nama Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor ini yang dikatakan telah disenaraikan oleh Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah terkeluar. Sebaliknya, nama Adam Sumiru yang pernah tersenarai pada tahun 2004 yang diterima oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional.

Khalid pernah satu ketika dilantik oleh Datuk Shahrir Samad sebagai Pegawai Khas Backbenchers Club (BBC) Barisan Nasional sehingga Datuk Shahrir melepaskan jawatan pada bulan Mei 2006.

Soalnya ialah mengapa beliau tidak dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna?. Peliknya ialah Haji Ali Mohd Salleh, Setiausaha Pemuda yang dilantik oleh Khalid pula yang diberi tanggungjawab tersebut.

Datuk Shahrir mungkin mempunyai perkiraan dan percaturan sendiri dan tentunya keupayaan dari pelbagai sudut pemimpin-pemimpin muda ini yang diambilkira. Atau mungkin disebabkan Khalid telahpun memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru, agaknya Datuk Shahrir mahukan Khalid menumpukan tugas yang baru dipegang ini.

Apakah disebabkan oleh peranan Khalid Mohamad yang dilihat oleh sesetengah pihak kurang membantu dalam pilihanraya yang baru lalu menjadikan ahli-ahli pemuda cawangan ingin merubah pimpinan? Atau adakah kerana Khalid tidak dapat menyatukan dan menjadikan satu kesatuan pemuda yang kuat terutama Ahli-ahli Jawatankuasanya?.

Ramai di kalangan jawatankuasa yang menghampiri atau melepasi umur 40 tahun, dilihat kurang berpuashati dengan cara Khalid memimpin pemuda.

Mungkin di sinilah kelihatan beberapa kelemahan Khalid dan ia memberi ruang kepada ahli-ahli pemuda cawangan untuk mencalunkan beberapa nama untuk mengambilalih pimpinan pemuda bahagian.

Di antara beberapa nama yang berpotensi adalah Nornikman Osman yang ketika ini memegang jawatan Naib Ketua Pemuda Bahagian. Beliau adalah anak sulung kepada Dato' Osman Sapian (ADUN Kempas/Timbalan Ketua Bahagian Pulai) dan juga anak saudara kepada Dato' Aziz Sapian (ADUN Nusa Jaya/Ketua Bahagian Gelang Patah). Kebanyakan pimpinan cawangan terutama Ketua Cawangan tertarik dengan tuturkata dan bahasa badan beliau yang berbudi bahasa dan menghormati orang yang lebih tua.

Inilah diantara kelebihan Nornikman berbanding Khalid. Sekiranya faktor Ketua Cawangan yang boleh mempengaruhi perwakilan pemuda, dijangkakan Khlaid mempunyai masalah besar untuk mempertahankan jawatan.

Faktor lain untuk menentukan pimpinan pemuda Bahagian Johor Bahru ini ialah siapa yang akan bersama-sama dengan Khalid, adakah Syed Amiruddin?. Dan siapa pula yang mengganding Nornikman?

Di belakang kedua-dua pemimpin muda ini kelihatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Khalid, tetapi beliau tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu Disember ini. Nornikman pula dilihat mempunyai hubungan yang baik dengan Datuk Mukriz Mahathir yang dikatakan akan menawarkan diri sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Sepanjang minggu-minggu mendepan ini akan lebih mendebarkan apabila banyak lagi cawangan-cawangan pemuda akan bersidang dan membuat pencalunan.

CERAMAH MENGENAI ISU PENJAJAHAN AMERIKA DI IRAQ






Pada 19 Mac 2003, bumi Iraq telah diceroboh oleh tentera Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya. Tujuan utama Gabungan tentera kafir yang diketuai oleh Amerika, England dan Israel adalah untuk menguasai minyak di Timur Tengah dan dalam masa yang sama mengambil peluang untuk menghancurkan umat Islam yang sedang lemah akibat perpecahan dan permusuhan sesama sendiri. Bumi yang dilanda kemusnahan ini tiada penghujung, tercalar kedaulatan, hilang identiti bangsa, runtuh sistem ekonomi, sivil dan sosial. Pelbagai institusi telah lumpuh dengan dahsyat sehingga kepada institusi keluarga yang tidak terbilang banyaknya.

Golongan Kafir laknatullah ini telah diperingatkan oleh Allah SWT dalam Surah Ali Imran, 3:54:

“Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itu pun merancang tipu, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.”

Adalah dianggarkan seramai 1.2 juta rakyat Iraq telah terbunuh disepanjang tempuh penjajahan tersebut. 160,000 orang masih menjadi tahanan di penjara dan 2,000 daripadanya terdiri dari tahanan wanita.

Isu ini adalah isu kemanusiaan yang wajar mendapat perhatian dari masyarakat dunia terutama dari masyarakat Islam sendiri. Ingatlah sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW:

"Sesiapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, dia bukanlah daripada kalangan mereka!".

Sehubungan dengan itu Jawatankuasa Tadbir Masjid Jamek Bandar Baru Uda telah memberi kerjasama penuh kepada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan melancarkan kutipan derma sebagaimana ingatan Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, 214:

"Apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana orang-orang yang dahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesangsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya "Bilakah datangnnya pertolongan Allah?", ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu sangat dekat".

dan dalam Surah Al-Mumtahinah, 2:

"Jika mereka menangkap kamu, nescaya mereka bertindak, sebagai musuh bagimu dan melepaskan tangan dan lidah mereka kepadamu dengan menyakitimu, dan mereka ingin supaya kamu (kembali) kafir".

Pada 19 Julai 2008, dua orang Ahli Parlimen Iraq yang terdiri dari Mr Khalaf AlMullah dan Mrs Satha Munther telah memberi ceramah kepada kariah masjid Bandar Baru Uda selepas solat Isyak. Kehadiran amat memberangsangkan dan dari penjelasan yang diberi telah memberi gambaran sebenar mengenai keadaan yang berlaku di negara ambiak, negara yang penuh dengan cerita gemilangnya pada suatu zaman dahulu.

KEBAKARAN RUMAH IBU TUNGGAL, HARIZAN AHMAD





Sebuah rumah ibu tunggal, Puan Harizan Binti Ahmad beralamat di 15, Jalan Padi Mahsuri 2/6, Bandar Baru Uda, Johor Bahru telah terbakar di bahagian dapur dan sebuah bilik tidur. Bencana yang berlaku pada 19 April yang lalu jam 4.30 petang dikatakan berpunca dari litarpintas dari sebuah bilik di bahagian belakang.

Kecekapan pasukan bomba dan penduduk yang membantu telah berjaya memadamkan kebakaran dan tidak merebak ke rumah jiran yang lain. Begitupun beberapa dokumen penting telah musnah dan kerosakan teruk pada bahagian bangunan dianggarkan memerlukan RM20,000.00 untuk tujuan pembaikan.

Ketika kejadian, Puan Harizan sedang bekerja dan telah bergegas pulang. Takdir Allah menentukan bahawa seorang anaknya (down sindrom) berada di bahagian hadapan ketika kejadian dan telah dapat diselamatkan.

Saya telah dapat menghubungi YB Haji Adam Sumiru (ADUN), Haji Mohd Said Ibrahim (Ahli Majlis MBJB) dan RAzmi Md Aris (Ketua Kampung) dan ketiga-tiganya telah melawat serta menjanjikan bantuan sewajarnya.

Ahad, Julai 20, 2008

PEREBUTAN JAWATAN-JAWATAN DALAM UMNO: APA SEBENARNYA YANG DIMAHUKAN (JAWATAN PEMERIKSA KIRA-KIRA)

Mulai Jumaat yang lalu, bermulalah episod mendebarkan bagi mereka yang memegang dan mengidamkan jawatan dalam semua peringkat kepimpinan UMNO. Dalam situasi keyakinan yang semakin merosot, perlakuan para penafsu jawatan ini masih tidak berubah.

Perebutan jawatan terjadi dimana sahaja, dari peringkat jawatan yang paling kurang diminati seperti Pemeriksa Kira-Kira di Cawangan-cawangan, sebahagiannya masih menjadi rebutan. Manakan tidak, biasanya jawatan ini adalah sebagai tapak permulaan untuk mereka yang ingin mencuba atau berjinak dalam mana sahaja persatuan. Kelazimannya penjawat ini hanya akan digunakan apabila sampai masa mesyuarat agong atau persidangan. Setahun sekali mereka akan dicari untuk mendapatkan tandatangannya sebagai bukti penyata kira-kira telah disemak dan disahkan. Kebanyakan mereka tidak faham atau sengaja tidak mahu faham bahawa tugasnya memang penting. Mereka, pada bila-bila masa boleh membuat semakan keatas perjalanan dan pentadbiran kewangan. Tetapi ini tidak dilakukan. Sebaliknya mereka khuatir tidak akan mendapat sokongan Ketua Cawangan untuk mendapat jawatan yang lebih baik seperti Ahli Jawatankuasa.

Perlakuan seperti ini menjadi makanan kepada pimpinan cawangan yang akan mengadakan mesyuarat agong atau persidangan cawangan. Ini adalah disebabkan laporan kewangan yang telah disahkan oleh Pemeriksa Kira-Kira hanya akan dibentang di dalam mesyuarat dan tidak memerlukan pengesahan oleh ahli-ahli yang hadir, bahkan tidak ada sebarang pertanyaan yang dibenarkan. Segala-galanya hanya boleh dibangkitkan di dalam ucapan penangguhan, itupun sekiranya masih ada waktu yang terluang.

Agenda 'ucapan penangguhan' terletak pada agenda 14.13 sebagaimana yang tercatat dalam buku Peraturan Persidangan Cawangan yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi UMNO. Agenda ini diletakkan selepas 'tangguhan persidangan' (14.12) yang bermakna segala perkara yang dibangkitkan boleh dijawab atau tidak oleh Bendahari atau pimpinan cawangan.

Pada kebiasaannya, segala pertanyaan atau bangkitan dari ahli akan dijawab oleh Ketua Cawangan, Bendahari atau mereka yang bertanggungjawab. Diantara jawapan mudah ialah "mesyuarat Jawatankuasa telah membincang dan mengesahkan semua laporan di dalam mesyuarat akhir".

Soalnya ialah siapa yang bertanggungjawab dan memberi penjelasan sekiranya penjawat sebelumnya tidak lagi memegang jawatan dalam pemilihan yang baru?.

Inilah diantara fenomena Pemeriksa Kira-Kira, satu jawatan dikatakan paling rendah di dalam susunatur jawatan di Cawangan atau Bahagian, juga masih mendapat perhatian kepada mereka yang mempunyai minat terhadapnya.

Selasa, Julai 15, 2008

LAWATAN MUBALIGHAT MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR
















Pada hari ini, seramai 43 orang 'mubalighat' (pendakwah wanita) dari Majlis Agama Islam Selangor telah melawat masjid BBU pada hari Isnin dan menjejak kaki ke masjid pada waktu solat Asar. Tujuan mereka yang diketuai oleh Hajjah Hendon adalah untuk melihat dan mendapat penerangan tentang kegiatan dan pengimarahan masjid.

HAJI SHARIFF KAHAR MENINGGAL DUNIA





Gambar ini dipotret pada 15 Jun 2008 semasa lawatan YB Datuk Ahmad Zahid Hamidi ke Masjid Jamek Bandar Baru Uda.

Seorang lagi sahabat meninggal dunia pada minggu ini. Allahyarham adalah Haji Shariff bin Kahar, meninggal dunia disebabkan masalah pernafasan. Saya mengenalinya sejak tahun 1970an. Ketika itu beliau bergiat dalam Gerakan Belia 4B dan Pemuda UMNO Cawangan Tampoi dan seangkatan dengan Abdul Wahab Muslim, Fadhil Abdullah, Allahyarham Imam Mahbob dan lain-lain.

Mungkin saya adalah rakan terakhir yang menemuinya kerana saya berbual panjang dengannya pada malam itu setelah selesai majlis yassin tahlil dan solat berjemaah di Jalan Jagong. Beliau meninggal pada waktu subuh dan difahamkan masih belum sempat menunaikan solat subuh.

Walaupun beliau telah menghampiri umur 70 tahun, keperibadiannya sepatutnya boleh diambil sebagai contoh terbaik. Beliau mempunyai disiplin yang tinggi seperti tidak pernah memakai selipar sewaktu keluar dari rumah, sentiasa berpakaian baju kebangsaan bersamping atau bergamis apabila bersolat dan di majlis-majlis keagamaan. menepati waktu apabila berjanji, sentiasa menderma ke tabung surau atau masjid walaupun mungkin jumlahnya kecil serta mempunyai sifat perihatin dalam pelbagai hal.

Satu sifat semulajadi Allahyarham yang ramai mengetahui adalah beliau adalah sangat sensetif dan dengan sebab itu ramai rakan-rakan yang sangat berhati-hati apabila bertutur atau bergurau dengannya. Sifat ini baik kerana kita sebagai manusia sepatutnya menjaga tutur kata kita supaya tidak disalahtafsir oleh orang lain.

Bukti Allahyarham diterima oleh masyarakat dan rakan-rakan adalah begitu ramai mereka yang datang melawat jenazah dan semasa disembahyangkan adalah dianggarkan seramai tidak kurang dari 500 orang yang hadir. Dan diantara perkataan yang diungkapkan oleh Imam Hassan yang turut sama menguruskan jenazahnya ialah bagaimana keadaan jenazah yang begitu baik, rapi dan wajahnya yang dalam keadaan ceria.

Semoga Allah mencucuri rohnya, Alfatihah.

Isnin, Julai 14, 2008

FORUM: HALAL DAN HARAM BUKAN PADA MAKANAN SAHAJA







Pada hari Sabtu malam Ahad yang lalu, Jawatankuasa Tadbir Masjid Jamek Bandar Baru Uda dengan kerjasama Bank Islam (M) Berhad telah menganjurkan forum agama yang bertajuk "Halal Haram Bukan Pada Makanan Sahaja". Diantara panel yang diundang adalah Datuk Abu Hassan Din Alhafiz. Dianggarkan seramai 1,500 orang telah hadir dalam forum tersebut.

Pada subuh Ahad, Datuk Abu Hassan Din Alhafiz telah memberi kuliah subuh di masjid ini.