Radio Internet FuhYooFm

Sabtu, Januari 31, 2009

POS MALAYSIA "RAKAN YANG TIDAK DIPERCAYAI LAGI"

.



Tengahari ini ketika menonton Buletin 1.30 TV3, berita mengenai surat-surat yang tersasar hantar di Bandar Baru Uda, Johor Bahru telah dikeudarakan.

Saya lantas mengambil kamera untuk mengabadikan potret beberapa orang penduduk di rumah pangsa Jalan Padi Malinja 1 yang kesal dengan kecuaian kakitangan Pos Malaysia Berhad. Surat-surat mereka telah tersalah hantar menyebabkan beberapa masalah seperti surat penting panggilan temuduga tidak sampai ke tangan penerima.

Mereka tidak puas hati kerana alamat di sampul surat adalah jelas dan peti-peti surat juga tersedia di bawah kolong rumah pangsa.


Saya terpanggil untuk menghebahkan perkara ini kerana beberapa aduan telah kedengaran tentang cara kerja posmen di kawasan ini. Surat-surat saya pernah diletakkan di cermin kereta sehingga basah terkena hujan bahkan keselamatannya juga tidak terjamin.


Mereka juga pernah mencampakkan gulungan surat-surat walaupun surat tersebut masih boleh dimasukkan ke peti surat satu persatu.

Apa yang saya lihat ialah kakitangan pos ini tidak mahu turun dari motosikalnya. Sangkaan baik saya adalah mereka hendak menjalankan kerja dengan cepat. Soalnya ialah mengapa mereka tidak mahu menjaga keselamatan surat-surat yang dibawah amanah dan tanggungjawabnya?.

Kita pernah mendengar berguni surat yang dibuang, surat tidak sampai ke distinasi sebenar dan pelbagai masalah lagi.


Dahulu, ketika posmen kita menggunakan basikal tidak pernah terjadi kejadian-kejadian seperti ini. Apakah perlu basikal ini diperkenal dan digunakan semula?.

Atau tukarkan saja perkataan "RAKAN KEPERCAYAAN ANDA"


kepada

Rakan Tidak Dipercayai Lagi


PENGALAMAN KERJA MENOREH GETAH

.
Pusingan kerja menoreh getah sehingga menghasilkan kepingan getah untuk dijual

Menoreh getah adalah diantara pengalamanku yang tidak dapat dilupakan. Saya pernah menoreh getah pada akhir tahun 50an hingga 60an. Umur 10 tahun, saya sudah pandai menoreh kerana terpaksa membantu keluarga menambah pendapatan.

Kerja menoreh atau sadap bukannya mudah. Pisau toreh samada jenis 'sodok' atau 'tarik' perlu diasah terlebih dulu, biasanya sehari sebelum kerja menoreh. Mengasah pun mengambil masa 10 hingga 20 minit bagi memastikan pisau betul-betul tajam bagi memudahkan penorehan dan penghasilan yang baik. Pisau tumpul boleh menyebabkan kulit pokok getah akan rosak dan susu getah yang dihasilkan juga akan berkurangan.

Cara menggunakan pisau sodok adalah dengan menoreh kulit pokok menghala ke hadapan. Pisau tarik pula digunakan dengan cara menarik pisau ke belakang. Gaya pisau sodok ialah penoreh akan maju ke hadapan mengelilingi pokok sementara gaya pisau tarik, penoreh akan mundur ke belakang.

Pokok getah yang sudah boleh ditoreh

Untuk mendapatkan susu getah yang banyak, pokok akan ditoreh pada awal pagi sebelum subuh dengan cara menggunakan lampu suluh minyak tanah yang diletakkan di kepala. Kepala boleh rasa pening kepada sesiapa yang tak tahan dengan bau minyak tanah.

Selain mendapat susu getah lebih banyak, waktu awal pagi juga boleh melambatkan kepekatan getah serta dapat menoreh lebih pokok getah.

Susu getah terkumpul di cawan

Begitupun keluarga saya tidak keluar menoreh pada waktu ini kerana terpaksa mengutamakan solat suboh. Biasanya kami akan keluar setelah selesai solat walaupun masih terpaksa menggunakan lampu suluh.

Sewaktu menoreh, getah sekerap iaitu susu getah yang telah membeku atau mengeras di aliran turisan akan dikumpulkan dan dibawa balik.

Sekitar jam 10 pagi, kerja menoreh akan selesai dan kami akan pulang ke rumah untuk sarapan pagi. Berikutnya ialah kerja mengutip susu getah yang akan dituang ke dalam baldi dari cawan getah.

'Mengangkit' getah

Kerja mengutip susu yang kami menyebutnya sebagai 'mengangkit' dibuat seberapa cepat yang boleh kerana getah akan membeku dalam cuaca semakin panas.

Susu-susu getah yang dinamakan 'latexs' akan dibawa ke bangsal untuk kerja-kerja membeku iaitu dengan cara menuangkan ke dalam takungan dan mencampurkan dengan cecair ethepon. Setelah 10-15 minit, getah yang membeku akan dituang dan dipijak-pijak supaya menjadi leper dan mudah untuk dimesin.

Mesin getah licin

Dua orang diperlukan untuk memesin getah, seorang untuk memegang dan memasukkan ke mesin licin dan seorang yang lain akan memutar. Kerja ini akan dilakukan 2 atau 3 kali supaya menjadi nipis dan akhir sekali menggunakan mesin bunga.

Mesin getah bunga

Getah keping yang telah siap dimesin akan disusun bertindih sehingga hari esok sebelum dijemur sehingga benar-benar kering. Biasanya getah kering akan disidai di ruang dapur supaya ianya terus kering dan juga atas faktor keselamatan.

Mereka yang pernah bekerja sebagai penoreh getah pastinya tau dengan bau yang terhasil darinya. Baunya yang busuk dan hancing memang telah sebati dan untuk menghilangkannya pasti mandi sebersih yang mungkin kerana selepasnya akan bersolat zohor.

Kenang-kenangan ini tidak mudah untuk dilupakan kerana tanda-tanda di badan saya membuktikan segala-galanya.

Kekadang terasa juga denyutannya

Hujung jari hantu tangan kanan saya luka kerana terkena pisau toreh. Ketika itu saya berlari anak balik ke rumah untuk bersarapan setelah selesai menoreh. Saya terjatuh kerana terlanggar akar kayu. Pisau toreh jenis 'tarik' yang saya bawa menggelongsor dari genggaman dan saya tidak sempat melepaskannya.

Chain saw

Pokok getah juga pernah menyebabkan perut saya terluka. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1967 ketika saya membantu kerja-kerja menebang pokok getah di Parit Semerah, Pontian.

Walaupun kecil, ia tetap menjadi satu tanda dan ingatan

Kejadian berlaku apabila saya diminta menyokong anak pokok getah yang ditebang. Seorang pekerja yang memegang mesin rantai penebang 'chain saw' terlalu hampir dengan badan saya sehingga libasan rantai mengenai kulit perut di sebelah kiri.

Ustaz Hj Abu Bakar Selamat, rakan sepermainan

Mesin getah juga memberi kenangan kerana saya sering ke rumah rakan yang juga jiran saya, Abu Bakar Selamat. Jejari saya pernah tersepit mesin getah di rumahnya. Saya tidak pasti samada Ustaz Hj Abu Bakar Selamat mengingati peristiwa ini.


NOSTALGIA MAIN GASING

.
Posting hari ini masih lagi mengimbau kenangan zaman kanak-kanak yang keinginannya hanyalah makan, minum dan bermain-main sahaja. Begitulah, setiap orang mempunyai pelbagai ingatan dan kenangan lampau pada zamannya.

Saya masih teringat bagaimana sukanya bermain gasing. Saya menyebutnya sebagai 'gangsing' kerana perkataan itulah yang digunakan oleh orang-orang sekampung saya yang berketurunan Jawa. Tidak ada seorang pun yang menyebut 'gasing' melainkan 'gangsing'.

Ada beberapa jenis gasing yang dimainkan. Ada gasing kecil yang diperbuat dari 'buku benang'. Biasanya 'buku benang' yang benangnya telah habis digunakan. Satu buku benang akan jadi dua gasing iaitu dengan memotong di tepi dan memasukkan pensil untuk menjadi paksinya.

Tidak menjadi masalah untuk saya membuat gasing jenis ini kerana emak dan nyai (ibu kepada emak saya) kerjanya menjahit dan berjualan pakaian terutama pakaian kanak-kanak perempuan.

Pernah juga saya membuat gasing dari buah pinang muda dengan cara mengupas sabut dan kulitnya, kemudian dicucukkan kayu bulat melalui pulurnya untuk menjadi paksi dan pemegang gasing. Di bahagian paksi bawah akan ditajamkan seperti pensil yang digunakan untuk gasing buku benang.

Kedua jenis gasing ini akan saya mainkan di dalam rumah terutama di atas lantai papan. Rumah keluarga saya adalah rumah papan dan lantainya yang licin amat sesuai untuk permainan ini.

Sekarang, gasing jenis ini sudah tidak kelihatan lagi dan telah diganti jenis pelastik yang terjual di kedai-kedai. Tentulah tak glamour nak bermain gasing buku benang atau gasing buah pinang.

Gasing pelastik memutarnya dengan jari,
pengganti gasing buku benang dan gasing buah pinang

Apabila umur meningkat dan sudahpun menjejak sekolah rendah di darjah satu. Rakan-rakan sudah ada yang membawa gasing jantung yang diperbuat dari kayu dan menggunakan tali ke sekolah. Gasing dimasukkan dalam beg kerana bentuknya yang kecil.

Saya juga teringin nak bermain gasing jenis ini. Hendak membuat sendiri tentulah tidak mampu. Sebagai anak kecil, kemampuan yang ada hanyalah meminta kepada ayah.

Disinilah ingatan yang sentiasa terpahat apabila ayah yang saya memanggilnya bapak dengan bersusah payah membuat gasing. Saya tau bapak tidak mahir membuat kerja-kerja seperti ini kerana latar belakang hidupnya. Semasa kecilnya, bapak diasuh oleh keluarganya di tanah Jawa sebagai 'santri' atau pelajar di pesantren iaitu pondok madrasah.

Kerana kecintaan dan sayangnya kepada anak-anak, bapak membuat juga gasing. Tentulah saya gembira mendapat gasing buatan ayah sendiri. Malangnya, gasing saya tidak dapat bertahan lama dalam pusingan uri. Memanglah saya sentiasa kalah dalam permainan ini kerana gasing rakan lain yang lebih hebat pembuatannya.

Apabila bertambah tahun, rakan-rakan lain terus bermain gasing jenis piring atau leper. Saya hanya mampu menjadi penyokong dan pemerhati sahaja. Ada juga sekali sekala meminjam gasing kekawan untuk melepaskan gian.

Saya tak menikmati permainan gasing jenis ini

Keluarga saya terutama bapak memang tidak menjadikan permainan ini sebagai permainan yang penting. Maklum saja, saya memang tidak pernah nampak bapak bermain gasing bahkan sepanjang ingatanku, bapak memang tidak berminat atau aktif dalam sebarang permainan. Peluhnya hanya keluar dengan mengerjakan kebun sahaja.

Jumaat, Januari 30, 2009

BAHASA MELAYU LOGHAT JAWA DAN PANCING IKAN AIR TAWAR

.
Membaca posting Datuk A Kadir Jasin dalam blognya http://kadirjasin.blogspot.com/ bertajuk Lompak Katak, Ikan Karing dan Cerut Seratus Ringgit sangat menarik perhatian saya. Lantas teringat kenangan silam semsa saya masih di alam kanak-kanak.

Sebagai anak kampung di Kampung Puteri Menangis, Benut, Johor, tentulah suasananya berlaku mengikut persekitaran penduduk yang hampir keseluruhannya berketurunan Jawa.

Di rumah, di serata kampung bahkan di sekolah, kami menggunakan bahasa Jawa melainkan semasa bercakap dengan guru.

Di kampung hanya ada sebuah sekolah rendah kebangsaan dan di waktu petangnya digunakan untuk sekolah agama.

Guru kedua-dua sekolah ini didatangkan dari luar kampung yang bukan dari suku Jawa. Sebab itu murid hanya bercakap sesama sendiri dengan bahasa Jawa dan tidak dengan guru. Boleh dibayangkan bagaimana kami bercakap Melayu dengan loghat Jawa. Kalaulah ketika itu ada yang merakamkan percakapan dan sekarang diputar dan diperdengarkan semula, tentulah tertawa besar mendengarkannya.

Saya pernah ditertawakan rakan-rakan sekelas di Tingkatan Satu kerana tersalah menyebut perkataan ikan sardin. Saya menyebutnya ikan saldin dengan loghat Jawa yang pekat.

Ketika itu, saya ditempatkan di Sekolah Menengah Dato' Penggawa Barat, Pontian. Itulah satu-satunya sekolah menengah kebangsaan bagi daerah Pontian. Ketika itulah saya mula mengenal dunia luar yang selamanya duduk terperuk di kampung.

Di situlah bermulanya saya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa percakapan. Ketika bercakap, saya akan berhati-hati kerana tidak mahu ditertawakan sekali lagi.

Walaupun bahasa Melayu saya begitu pekat dengan loghat Jawa, satu perkara yang menjadi kebangaan saya ketika ini ialah kelancaran saya membaca Al-Quran sehingga pernah menjadi Johan di peringkat sekolah bahkan menjadi wakil sekolah agama ke musabaqah peringkat daerah.

Ketika berumur 9 tahun, saya telah khatam al-quran. Maklum saja, guru quran adalah ayah sendiri dan di rumah kamilah anak-anak kampungku belajar membaca quran dengan ayah yang ku panggil bapak.

Sebelum maghrib, semua anak-anak yang nak belajar quran (mengaji quran) tidak kira lelaki maupun perempuan akan berkumpul di rumahku. Ada diantaranya yang membersih dan mengemas termasuk juga memasang lampu pam minyak tanah. Murid-murid quran ini semuanya patuh dan tidak pernah membantah serta tahu kerja yang dilakukan.

Selepas solat maghrib berjemaah, barulah ayah (bapak) mengajar murid-murid di kiri dan kanannya. Di tangannya menggenggam sebatang rotan tetapi seingatanku bapak tidak pernah menggunakannya untuk menyebat. Yang dilakukan ialah rotan dipukulkan ke lantai sebagai satu amaran kepada murid-muridnya.

Sebagai guru quran, bapak tidak pernah mendapat sebarang bayaran. Apa yang dia maukan ialah murid-murid yang khatam mukaddam atau quran membawa bubur putih merah dan gula-gula untuk dibacakan doa dan selepasnya dijamu kepada semua murid-murid yang ada.

Mereka yang belajar quran inilah rakan-rakan sekampung yang mewarnai kehidupan sebelum baligh. Dengan merekalah saya bermain air di perigi dan parit sehingga kami pandai berenang.

Di perigi dan parit inilah kami memancing ikan betuk, keli, haruan, pelaga dan lain-lain. Parit dan perigi adalah tempat orang-orang kampung mandi manda dan mencuci pakaian. Udang juga senang didapati di parit-parit dengan menggunakan pungkis.

Ikan Betuk

Mengail ikan tidaklah menggunakan joran seperti yang ada sekarang. Dahulu, kami menggunakan batang buluh dan umpannya adalah cacing yang banyak di pangkal pokok pisang.

Sebanyak manapun ikan yang kami dapat, emak tidak akan memasaknya kerana ketika itu keluarga kami tidak mengemarinya memandangkan ikan yang dijual di pasar lebih murah dan mudah didapati.

Ikan Laga atau Pelaga

Bapak pernah menimba perigi dan mendapat ikan yang banyak termasuk ikan belut. Bukan mudah untuk menangkap belut, terpaksa menyepitnya dengan menggunakan jari telunjuk, hantu dan manis. Bapak seorang yang memasak dan memakannya.

Ikan Belut

Sehingga sekarang, saya dan adik beradik yang lain masih tidak makan ikan air tawar melainkan ikan sepat kering.

DEMONSTRASI MEMBANTAH LEMBAGA DISIPLIN UMNO DAN SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

.

SEBAGAI AHLI UMNO, SAYA SANGAT MALU DENGAN PERLAKUAN MEREKA!

Selasa, Januari 27, 2009

BAGAIMANA MENYEMARAK AKTIVITI BERENANG

.
Haji Azizan Ali, bakal mencatat rekod berenang

Cuti Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari ini elok rasanya kita beramai-ramai ke Tasik Putrajaya untuk melihat dan memberi sokongan kepada perenang veteran, Haji Azizan Ali yang akan berenang mengelilingi tasik untuk satu pusingan sejauh 22 kilometer.

Renangan yang akan bermula pada jam 9 pagi akan dilepaskan oleh YAB Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Menteri Besar Perlis. Sekiranya renangan ini berjaya mengikut masa yang dijadualkan, ia akan direkodkan di dalam 'Malaysia Book Of Records'.

Usaha Azizan Ali yang berumur 62 tahun diantaranya adalah sebagai persediaan untuknya berenang menyeberang Selat Inggeris dari Dover, England ke Calais, Perancis sejauh 40 kilometer pada bulan Julai akan datang.

Dayausaha pesara guru ini patut diberi pujian kerana usia tua tidak menghalangnya untuk melakukan kegiatan yang penuh cabaran berbanding dengan ramai diantara kita yang tidak mempunyai semangat dan kekuatan sepertinya.

Berapa ramai atau berapa peratuskah rakyat Melaysia yang pandai berenang? Mungkin tidak sampai 30 peratus yang mempunyai kemahiran berenang. Yang dikatakan pandai berenang itu pun sekadar 'tahu' sahaja maksudnya berenang yang tidak sistemetik.

Perenang jenis ini adalah yang datangnya dari kampung dan desa yang sudah terbiasa mandi di dalam perigi, sungai, tasik dan pantai. Kepandaian mereka pun secara alami kerana sudah terbiasa dengan suasana serta persekitaran hidup.

Itu dahulu. Anak-anak kecil, anak-anak muda dan sebahagian besar penduduk kampong dan desa sekarang tidak lagi ke perigi atau sungai kerana sumber air telah tersedia mengalir ke rumah-rumah melalui batang besi. Kalau ada parit dan sungai, airnya keruh dan tercemar yang tidak sesuai untuk aktiviti berenang dan mandi manda.

Di bandar-bandar pula, berapa banyak Pihak Berkuasa Tempatan yang menyediakan kemudahan kolam renang?. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mempunyai penduduk menghampiri 2 juta orang hanya menyediakan kolam renang untuk orang awam tidakpun sampai 10 kolam.

Jadi, apakah usaha yang dilakukan oleh pihak yang berwajib untuk meningkatkan kesedaran rakyat agar aktiviti renang ini menjadi satu amalan kerana ianya mempunyai pelbagai kebaikan yang diantaranya:-

i. Aktiviti sukan paling murah berbanding sukan lain dengan hanya berpakaian renang yang dibenarkan dan bayaran yang biasanya RM2 untuk kolam renang awam.

ii. Aktiviti sukan paling sihat dan tidak mendatangkan kecederaan serta latihan aerobik yang popular.

iii. Dapat mengekalkan dan membentuk tubuh badan yang cantik iaitu dengan melakukannya secara berterusan dan mengawal makanan.

iv. Kemahiran berenang tidak secara langsung melibatkan kegiatan air seperti scuba diving dan lain-lain.

v. Berenang merupakan sunnah yang dituntut selain sukan memanah dan berkuda.

vi. Aktiviti berenang melibatkan banyak otot di bahagian atas dan bawah serta boleh mengurangkan kesan sampingan akibat stress.

vii. Berenang juga diamalkan untuk proses 'rehabilitation' selepas kecederaan atau untuk orang kurang upaya (OKU).

APAKAH KERANA KECEWA DENGAN PEMILIHAN PARTI SANGGUP MELOMPAT KE PARTI LAIN?


.
Datuk Nasaruddin kecewa kerana gagal dalam pemilihan UMNO
dan gembira kerana diterima oleh PKR

Datuk Nasaruddin Hashim, 58 tahun, ADUN Barisan Nasional Kawasan Bota dari UMNO telahpun mengisytiharkan dirinya keluar parti dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau memberi alasan yakin dengan kepimpinan PKR yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

"Setelah mengambil pertimbangan terutamanya melihat perkembangan suasana politik khasnya melihat arah tuju sokongan rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu serta keadaan yang wujud dalam parti dan kepimpinan Umno masa kini, saya dengan ini mengambil keputusan untuk keluar dari Umno dan seterusnya menyertai PKR iaitu salah satu parti dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Berikutan dari itu, terdengar khabar angin yang menyatakan beberapa orang ADUN Barisan Nasional Perak akan mengikuti jejak langkah Datuk Nasaruddin Hashim.

Bagaimanapun, berita ini dinafikan oleh Datuk Seri Tajuk Rosli Ghazali, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO yang telahpun mengadakan mesyuarat tergempar bersama semua ADUN BN Perak.

Datuk Seri Najib Tun Razak pula menyatakan kesemua ADUN Perak yang menemuinya di kediaman beliau di Jalan Langgak Duta telah berikrar untuk turut komited bersama Barisan Nasional termasuk beberapa orang yang tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

Di pihak yang lain, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mendakwa tiga lagi ADUN Barisan Nasional dari parti UMNO dijangka akan menyertai Pakatan Rakyat. Beliau menyatakan perbincangan sedang dilakukan dengan ketiga-tiga ADUN tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam mengesahkan beliau telah ditawarkan untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan akan dibawa untuk menemui Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur.

Datuk Ahamad Pakeh Adam ditawar menyertai PKR, Katanya,
"Dah orang anggap Ketua UMNO Bahagian lebih penting
daripada wakil rakyat, jadi tengoklah macamana nanti"

Kebanyakan mereka yang ditawarkan untuk melompat parti adalah mereka yang kecundang dalam pemilihan untuk memimpin UMNO Bahagian dan tidak memegang jawatan-jawatan penting serta mereka yang mempunyai masalah dalaman parti.

Datuk Nasaruddin Hashim yang pernah menjadi Pengerusi Felcra Berhad telah tewas kepada Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hassan dalam perebutan jawatan Ketua UMNO Bahagian Parit yang baru lalu.

Begitu juga dengan Datuk Ahamad Pakeh Adam yang gagal dalam pemilihan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput.

Seorang lagi yang diberi tawaran untuk menyertai PKR adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar yang telah gagal untuk mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Beruas selepas tewas kepada seorang kontraktor, Abdul Manaf Hashim, sebelumnya memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian.


Datuk Hamdi Abu Bakar,
tetap setia pada UMNO kah?

Persaingan jawatan Ketua UMNO Bahagian Larut yang disandang oleh ADUN Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dengan Timbalannya, Datuk Mohamad Daud Yusof serta Ahli Parlimen Larut yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin sehingga menyebabkan mesyuarat tertangguh telah dijadikan umpan untuk memikat wakil-wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Terdengar berita tentang 3 ADUN yang disebut oleh Menteri Besar Perak adalah Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar. Dikatakan beliau kecewa apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengumumkan keputusan membenarkan Datuk Hamzah Zainuddin bertanding berdasarkan fasal 6.3.8 dalam perlembagaan parti sedangkan persoalan yang dibangkitkan oleh Raja Ahmad Zainuddin adalah Datuk Hamzah menjadi ahli parti di Bahagian Larut selepas berakhir tahun 2007.

Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar,
apakah beliau juga akan menyertai PKR?

Walaupun pernah kecewa tidak dapat menarik Ahli-ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat dalam misi mengambilalih pentadbiran di Putrajaya pada 16 September 2008, pada kali ini mereka berusaha lagi berkampung di Perak untuk menawarkan (rasuah ke?) pelbagai habuan bagi ADUN-ADUN rejek untuk menyertai mereka.

Isnin, Januari 26, 2009

FLAT SKUDAI KANAN TIDAK SELAMAT DIDUDUKI

.
Saya diberitahu bahawa Buletin 130 Tv3 tengahari semalam menyiarkan tentang keresahan penduduk Rumah Pangsa (Flat) Taman Skudai Kanan disebabkan rumah yang diduduki tidak selamat akibat keretakan dinding, kebocoran bumbung rumah, plaster rumah runtuh dan pendawaian bumi.

Jangkaan saya tepat kerana sehari sebelumnya kelihatan jurugambar Tv3 berada di lokasi. Tentulah mudah menghubungi Tv3 kerana pejabatnya hanya beberapa ratus meter sahaja dari Taman Skudai Kanan.

Saya tidak terkejut dengan penyiaran berita tersebut dan bertanggapan elok juga untuk disiarkan. Sekurang-kurangnya dengan siaran ini akan memberi ruang kepada semua pihak samada pemaju perumahan, badan pengurusan, pemimpin masyarakat bahkan pemilik-pemilik rumah itu sendiri untuk mengambil segala inisiatif memperbetulkan segala kelemahan dan keburukan.

Beberapa bulan lalu, sekumpulan pemerotes berkumpul di perkarangan Flat untuk melahirkan ketidakpuasan hati atas tindakan pemaju dan badan pengurusan yang tidak mengambil tindakan atas beberapa perkara yang telah diajukan.

Usaha mereka untuk mengambil perhatian nampaknya berhasil walaupun diketahui umum tentang penglibatan pihak luar yang bersama-sama dalam tindakan tersebut. Ini dikesan dari diantara jurucakapnya bukan dari penduduk setempat.

Begitupun, usahanya telah mendapat perhatian ADUN Kawasan Tanjung Puteri, YB Hj Adam Sumiru yang telah melawat dan menemui ketua-ketua masyarakat setempat untuk mendapatkan penjelasan.

Flat ini terdiri dari 380 unit enam blok rumah pangsa dua bilik berharga RM22,000 telah diduduki sejak 12 tahun yang lalu dari penempatan semula sebahagiannya penyewa-penyewa rumah di kawasan setinggan Kampong Skudai Kanan.

Penempatan semula penduduk di Taman Skudai Kanan ke kawasan Bandar Baru Uda diuruskan oleh pemaju Uda Land Development dan badan pengurusannya adalah syarikat yang dilantik oleh pemaju iaitu Uda Dayaurus Sdn. Bhd.

Memandangkan penempatan ini terletak dalam kawasan perumahan Bandar Baru Uda, maka menjadi tanggungjawab sosial kepada Jawatankuasa Pentadbir Masjid Jamek BBU untuk membantu permasalahan yang berbangkit.

Tindakan pertama yang dilakukan oleh Jawatankuasa ini adalah menghubungi Ahli Parlimen Johor Bahru, YB Datok' Shahrir Samad yang menyatakan hasrat dan tujuan. Berikutan dari itu, pertemuan diantara Pengurus Projek Uda Land Development, Hj Mohd Ali Salleh (Setiausaha Politik Dato' Shahrir Samad) dan wakil MJBBU telah diadakan pada 20 Januari yang lalu di pejabat pemaju.

Dalam pertemuan tersebut, pihak pemaju memberitahu bahawa semua unit rumah telah mempunyai Sijil Layak Menduduki (CFO) yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru dan ketika proses menduduki rumah, pembeli telah diberi peluang untuk mengemukakan aduan kerosakan dan pemaju telah mengambil tindakan sewajarnya.

Pemaju juga menyatakan pemilik yang sengaja menjual premis secara lelongan kerana nilai harta yang tinggi. Penjualan semula dan permintaan ramai pembeli untuk unit-unit di penempatan ini adalah disebabkan lokasi strategik dan mempunyai banyak kemudahan.

Banyak unit yang disewakan dan ini menyebabkan pemilik tidak berusaha untuk membayar caruman Kumpulan Wang Pengurusan (Management Fund) kepada badan pengurusan iaitu Uda Dayaurus Sdn. Bhd.

Akibatnya yuran tertunggak yang tidak dapat dikutip mencecah RM500,000 dan ia telah menjejaskan operasi untuk mengurus premis berkenaan.

Dalam pertemuan ini, pemaju menjelaskan bahawa struktur bangunan adalah kukuh dan usaha sedang dilakukan untuk memperbaiki kerosakan bumbung dan dinding.

Pemaju dan badan pengurusan tidak bertanggungjawab atas segala kerosakan di dalam unit rumah kerana ia adalah tanggungjawab pemilik sendiri.

Mesyuarat bersama badan pengurusan akan diadakan secepat mungkin bagi mengenalpasti masalah dan tindakan yang dilakukan disamping mendapat lapuran untuk pengurusan di bangunan rumah pangsa yang diuruskan di sekitar Bandar Baru Uda.

LORI UNTUK MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA

.



Alhamdullillah, Haji Abdullah Awang yang baru balik dari menunaikan rukun Islam ke lima di Mekah telah bermurah hati mendermakan sebuah lori satu tan kepada masjid BBU.

Saya telah melihat lori berkenaan. Lori yang telah digunakan ini berkeadaan baik dan boleh digunakan untuk pelbagai kegiatan di masjid seperti untuk urusan pengangkutan bagi tujuan katering, khemah, kerusi meja dan sebagainya.

Dokumen Yayasan Masjid Jamek Bandar Baru Uda telahpun saya serahkan kepadanya untuk urusan pindahmilik.

Beliau juga akan berurusan dengan PUSPAKOM untuk tujuan pemeriksaan dan memastikan lori yang disedekahkan dalam keadaan baik kerana ia adalah satu ibadah dan tanda mensyukuri nikmat Allah sebagaimana ayat 267 dalam surat Al-Baqarah:

"Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa terpuji."

Tentunya lori yang diserahkan kepada masjid ini adalah dengan keikhlasan dan bukannya untuk mendapat nama atau riak kerana ia tidak akan mendapat sebarang pahala seperti yang tertera dalam ayat 264 surah Al-Baqarah:

"Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). Demikianlah juga halnya orang kafir dan riak itu, mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir."

Insyaallah, penderma ini akan mendapat fadilat sedekah iaitu rezeki yang murah, dapat menolak bala dan panjang umur serta akhirnya dapat menyelamatkan pendermanya dari api neraka sebagaimana hadis Riwayat At-Tarmizi "Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api."





ADAKAH I.S.A. SATU PENGANIAYAAN?

.
Malam minggu kelmarin, saya melapangkan masa untuk mengikuti satu program Bicara Tokoh anjuran The Patriot (http://tpj-one-thepatriot.blogspot.com) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri yang bertajuk "Adakah I.S.A. Satu Penganiayaan?".

Program yang bermula pada jam 8.45 malam bertempat di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Tampoi, Johor Bahru telah dihadiri oleh sekitar 700 orang dari Tampoi dan Skudai.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku dan Bangsa Johor serta diikuti oleh ucapan Pengerusi Majlis, YM Tengku Putra Harun Aminurrashid bin Tan Sri Tengku Abdul Hamid Jumat.

Pengerusi Majlis, Tengku Putra Harun Aminurrashid

Tokoh bicara pertama adalah Saudara Lokman Noor Adam, bekas aktivis Gerakan Reformasi dan Setiausaha Pemuda KeADILan telah menceritakan pengalamannya selama lebih dari dua tahun di dalam tahanan ISA.



Sdr. Lokman Noor Adam

Kehebatannya berpidato memukau hadirin dan dirasakan masa yang diberi tidak mencukupi untuk beliau menjelaskan segala suka duka di dalam tahanan ISA.

YBM Dato' Seri Syed Hamid Albar, Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab kepada tahanan ISA adalah tokoh bicara kedua. Beliau mengupas tentang betapa pentingnya undang-undang pencegahan 'Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960' dilaksanakan di negara kita.



Dato' Syed Hamid Albar

Beliau menjelaskan bahawa pihak Kerajaan akan sentiasa memastikan pelaksanaannya dilakukan secara adil dan saksama.

Pertanyaan dari seorang blogger tentang kecenderungan pengundi muda

Di akhir majlis, Haji Abdul Rashid Kasman yang menjadi moderator majlis telah memberi peluang kepada hadirin untuk bersoal jawab dalam tajuk yang diberikan.

Keperihatinan penganjur kepada kesengsaraan nasib rakyat Pelastin di Gaza juga tidak dilupakan apabila memberi sumbangan sejumlah wang kepada wakil kumpulan akhbar The Straits Times

Majlis yang turut dihadiri oleh YB Datuk Md Othman Yusof (ADUN Kukup) dan Datuk Samsul Bari Jamali (ADUN Semarang) serta beberapa orang pegawai-pegawai kanan Polis Negeri Johor dan negara telah ditamatkan pada jam 11.30 malam.

Moderator yang juga Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru,
Haji Abdul Rashid Kasman

Khamis, Januari 22, 2009

PERUBAHAN KETARA DI PANTAI LIDO DAN SELAT TEBRAU

.
"Bang apa dah jadi dengan Pantai Lido ni, berlumut, Majlis Bandaraya tak jaga ke pantai ni?". Inilah soalan yang pernah ditanya oleh isteriku di satu sore semasa kami melalui Pantai Lido, tempat perkelahan warga Johor pada beberapa minggu lalu.

Kami teringat pasirnya yang dahulu mememutih telah hilang sebaliknya ia bertukar dengan warna kehijaun seolah pasirnya dilitupi lumut atau ditumbuhi rumput dan rumpai.

Ketika melalui pantai ini kelihatan beberapa orang sedang mencangkung dan mengorek pasir, tidak pasti apa yang dicari. Satu ketika dahulu memang ramai peminat hidupan dan karangan laut sepeti kepah dan lokan yang mengutipnya di kawasan ini bahkan nelayan yang menternak kupang juga mendapat penghasilan lumayan di sini.

Ketika air surut kelihatan lumut hijau menutupi pantai berpasir

Saya sendiri mempunyai pengalaman mencari ketam di kawasan pantai ini terutama di sekitar Shahbandar. Memang menyeronokkan kerana penghasilannya cukup untuk dibuat hidangan keluarga.

Tapi itu berlaku 30 tahun dahulu. Dan selepas segala air kumbahan dialirkan ke Selat Tebrau terutama dari Hospital Sultanah Aminah, segala-galanya pupus bahkan amaran kerajaan dikeluarkan supaya tiada lagi kegiatan meternak kupang dan mencari karangan laut. Mandi manda juga dilarang dan akibatnya tiada seorang pun yang berani bermain air di Pantai Lido!.

Akhirnya, persoalan ini terjawab apabila pada 22 Januari lalu saya menghadiri seminar bertajuk Aplikasi Bioteknologi 'Effective Microorganisms' (EM) anjuran Majlis Bandaraya Johor Bahru di Auditorium Pusat Penerangan Pelancongan (JOTIC), Jalan Air Molek, Johor Bahru.



Teknologi EM inilah yang sebenarnya memberi kesan besar kepada persekitaran alam di Pantai Lido, Johor Bahru. Ia telah dapat meningkatkan Indeks Kualiti Air (IKA) serta memastikan pengawalan efluen daripada loji-loji kumbahan.

Indahnya pantai Lido ketika air pasang

Ketika air pasang, saya melihat air Selat Tebrau begitu bersih dan jernih. Sebelumnya, ia kelihatan kotor dan tercemar sehingga pernah berlaku kematian ribuan dan mungkin jutaan ikan.

Air yang bersih dan jernih dari kekotoran
di Pantai Lido

Di majlis perasmian seminar, saya begitu tertarik dengan ucapan YB Datuk Ahmad Zahri Jamil, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri Johor yang memberi keyakinan atas keberkesanan aplikasi EM. Ucapan beliau yang penuh semangat dan keyakinannya tentang penggunaan teknologi ini yang dikatakan langkah terbaik untuk pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri Johor sedar akan kehancuran yang akan berlaku akibat pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada manusia sendiri. Kesan yang paling ketara adalah pemanasan global yang dapat dirasai dengan perubahan iklim dan cuaca yang sukar diramalkan malahan telah memberi kesan negatif kepada penduduk dunia.

Datuk Ahmad Zahri dan Dato' Mohd Naim
meninjau hidupan laut di persisiran Pantai Lido

Beliau berharap langkah kerajaan negeri memajukan Bioteknologi untuk mengurangkan masalah pencemaran perlu disahut oleh semua pihak. Kerajaan negeri telah mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan program ini dan ianya terbukti apabila negeri Johor adalah yang terawal melakukannya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, Dato' Mohd Naim Nasir pula komited dengan program ini apabila ia mula diaplikasikan sejak tahun 2007. Sejajar dengan misinya 'pemulihan dan dan peningkatan kemampanan alam sekitar' serta kesungguhannya merealisasikan penggunaan teknologi EM, beliau telah memperluaskan kepada semua perkhidmatan majlis.

Datuk Bandar berwawasan menyelesaikan masalah
pencemaran melalui teknologi Bioteknologi EM

Usaha-usaha untuk memperkenal dan memperluaskan pemahaman dan penggunaan kepada seluruh warga bandaraya Johor Bahru telah dilaksanakan melalui program sosial dan kemasyarakatan. Beliau mengharapkan mereka akan bersama serta peka kepada tanggungjawab masing-masing untuk memulihara alam sekitar.

Dato' Mohd Naim bersama warga perihatin
memasukkan EM Mud Ball yang bertujuan
untuk pembiakan bacteria anaerobic

Kesungguhannya jelas tersaksi dengan kenyataan di perairan Selat Tebrau terutama di Pantai Lido apabila sekarang ini terdapat kumpulun burung bangau putih di pesisir pantai yang membuktikan terdapat banyak ikan yang menjadi makanannya.

Seorang rakan di masjid BBU, Yanto yang sering memancing di perairan ini juga terkejut dengan kemunculan 'ikan Cermin' yang kebiasaannya ikan ini hidup dalam air laut yang bersih. Bahkan 'Wat-wat' sejenis hidupan seperti cacing yang digunakan untuk umpan pemancing ikan juga ketika ini banyak terdapat di pantai Selat Tebrau.

YAB Dato' Hj Abdul Ghani Othman
mencurah larutan EM (aktif) bertujuan untuk
menguraikan ammonia dan Asid sulfurik kepada unsur-unsur
tidak berbau melalui aktiviti fototropik bakteria

Kemunculan semula pelbagai hidupan ini memberi pengertian jelas bahawa segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Dato' Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor serta perlaksanaan yang bersungguh-sungguh pimpinan dan wargakerja Majlis Bandaraya Johor Bahru telah memberi kesan positif dari aplikasi Bioteknologi EM.