Radio Internet FuhYooFm

Jumaat, Mac 27, 2009

SHAHRIR MUKTAMAD UNDUR KABINET

.
Gambar terbaru Dato' Shahrir di PWTC

Saya sedih apabila mendapati Dato' Shahrir Samad tidak terpilih sebagai Ahli MKT dalam pemilihan di Perhimpunan Agung UMNO Ke 58. Tetapi saya tidak terkejut apabila beliau mengumumkan tidak mahu lagi dilantik sebagai anggota kabinet baru pimpinan bakal Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abd Razak.

Saya sedih bukan kerana beliau adalah ketua saya tetapi keyakinan dan cara beliau menawarkan diri untuk bertanding sebagai ahli MKT dengan menyandarkan keupayaannya telah tidak diterima oleh perwakilan.

Saya katakan bahawa beliau sangat bersih dari perkara yang sedang diperkatakan sekarang iaitu penyalahgunaan kuasa dan wang sebagai sogokan untuk kemenangan. Tanyalah kepada sesiapa yang mengenalinya, berapa kali mereka dapat belanja minum secawan kopi dari Dato' Shahrir?.

Kami sebagai AJK dalam Bahagiannya pun tidak pernah diberi arahan untuk pergi berkempen bagi pihaknya. Kamilah yang berusaha sendiri menghubungi rakan-rakan dan para perwakilan mengikut kemampuan yang ada.

Hendak bertanya dengannya mengenai hal tersebut? atau apatah lagi yang ada kaitannya dengan wang atau sebarang perbelanjaan?. Lebih baik kita tidak bertanya kerana jawapan yang diberi akan menyebabkan kita berfikir berulang kali tentang apa kesudahan dengan perjuangan pemimpin-pemimpin UMNO sekarang!.

Saya tidak pasti adakah diantara punca kekalahannya adalah disebabkan Bahagian Johor Bahru iaitu Bahagian yang diketuainya dan satu-satunya Bahagian di Johor yang telah mencalunkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan tidak Tan Sri Muhyiddin Md Yassin sebagai Timbalan Presiden.

Adakah kerana pencalunan ini menyebabkan ramai perwakilan yang memandang serong terutama perwakilan dari negeri Johor sendiri?.

Atau adakah kerana prestasi kementeriannya yang sangat diharapkan oleh rakyat untuk menurun dan menstabilkan harga barangan tidak mencapai pengharapan mereka juga telah menyebabkan perwakilan tidak menaruh kepercayaan kepadanya?.

Mungkin ada banyak faktor lain yang hanya perwakilan yang tidak mengundinya mempunyai sebab-sebab tersendiri.

Walau apapun kejayaan meraih lebih dari 1,000 undi masih boleh dibanggakan sehingga meletakkan beliau ke tempat 30 yang membuktikan masih ada sejumlah ahli yang mempunyai kepercayaan dan suci hati untuk memberi pengharapan kepada pemimpin UMNO yang bersih dan berwibawa.

Soalnya sekarang ialah mengapa pula Dato' Shahrir tidak mahu lagi dilantik sebagai Menteri atau Jemaah Kabinet yang baru dibawah nakhoda Dato' Seri Najib?.

Saya memang tidak terkejut kerana sebelum ini beliau pernah berulangkali menyebut mengenai keupayaan seorang yang telah meningkat umur untuk terus memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau sendiri pernah menyatakan bahawa umurnya yang telah mencapai 59 tahun sekarang dan perlu memikirkan masa depan untuk bersama-sama dengan keluarga.

Pada masa beliau mengutarakan perkara ini, saya berpendapat beliau telah menyatakan sesuatu kepada pemimpin bawahannya untuk memikirkan siapa individu yang layak untuk menggantinya.

Bagi saya, Dato' Shahrir tidak bermasalah untuk tidak mempunyai jawatan dalam Kabinet tetapi belum sepatutnya beliau mengundurkan diri dalam arena politik terutama sebagai pemimpin masyarakt di Parlimen Johor Bahru.

Dalam situasi sekarang dengan pengundi Melayu sebanyak 51.03% dari 89,725 pengundi, belum ada lagi pemimpin UMNO atau dari parti-parti komponen yang boleh diterima untuk mewakili mereka dalam Barisan Nasional sebagaimana kepercayaan mereka kepada Dato' Shahrir Samad.

Tiga calun BN yang menang di Parlimen Johor Bahru (Dato' Shahrir Samad)
ADUN Tanjung Puteri (Hj Adam Sumiru) dan
ADUN Stulang (Mok Chek Hou)

Kepercayaan saya ini adalah dari keputusan PR 12 yang lalu. Pada ketika ramai calun-calun BN tidak diterima oleh pengundi bukan Melayu/bumiputera, dari analisa yang saya buat, beliau masih boleh mendapat 30% undi mereka.

Tidakkah ini memberi bukti bahawa beliau masih diterima oleh pengundi di Johor Bahru?. Analisa yang saya lakukan mendapati tidak ada calun BN yang mendapat undi lebih dari 30% dari pengundi bukan Melayu malahan ada yang hanya mendapat 5% sahaja.

Dengan sebab itu, kehadiran Dato' Shahrir di Parlimen Johor Bahru masih diperlukan kerana inilah satu-satunya kawasan parlimen yang masih dikuasai oleh calun UMNO dalam kawasan bandar.

Saya percaya Dato' Shahrir sedar mengenai perkara ini dan tentunya beliau sedang mengasuh seseorang untuk menjadi penggantinya.

Saya berharap penggantinya hendaklah mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang sangat rapat dengan rakyat dan mempunyai penglibatan dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan.

---------------------------------------------------------------------------------

Di bawah adalah berita dari mStar Online pada hari Jumaat Mac 27, 2009 yang bertajuk
"Shahrir muktamad undur Kabinet"

KUALA LUMPUR: Datuk Shahrir Abdul Samad mengesahkan beliau sudah muktamad agar tidak dilantik semula sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) dan juga Kabinet yang baru.

Shahrir menjelaskan, susulan kekalahan semalam adalah tidak adil untuk kepimpinan parti melantik beliau semula menduduki MT dan jemaah menteri.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu berkata, keputusan yang diumumkan lewat malam tadi menggambarkan sokongan terhadap kedudukan beliau sebagai anggota Kabinet.

Tegas Shahrir, beliau tetap akan menolak jikapun dilantilk semula oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Presiden Umno dan bakal Perdana Menteri.

"Saya akan menolak jika ada tawaran dilantik... bagi saya kita kena ada asas sokongan daripada ahli parti walaupun untuk pegang jawatan dalam kerajaan," kata beliau ditemui di PWTC tengah hari ini.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa belum memaklumkan hasratnya kepada Najib lagi.

Pun begitu beliau yakin Najib akan memahami kedudukan dan hasratnya itu.

Malah kata Shahrir, adalah tidak adil bagi pucuk kepimpinan melantik beliau semula menduduki MT sebagaimana dilakukan pada 2004.

Shahrir dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Mac 2008 selepas pilihan raya umum ke-12.

Beliau merupakan antara dua menteri, timbalan menteri dan empat menteri besar gagal dalam saingan mereka untuk menduduki MT kali ini.

Kata beliau, keputusan itu juga selari dengan konvensyen Umno iaitu meletakkan jawatan ekoran keputusan pemilihan.

Malah katanya, keputusan itu diambil selari dengan peralihan kuasa dijangka awal bulan depan.

Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak akan mengambil alih jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Selasa, Mac 24, 2009

MENYAMBUT TETAMU DARI REMBAU

.
Petang ini, Masjid Jamek Bandar Baru Uda menerima pelawat seramai 35 orang yang terdiri dari Nazir-Nazir Masjid Daerah Rembau, Negeri Sembilan Darul Khusus.

Rombongan diketuai oleh Hj Nor Azamir bin Hj Alias, Pegawai Agama Daerah Rembau. Dalam ucapannya, beliau berharap dapat menimba pengalaman masjid yang dianugerahkan sebagai Masjid Hadhari dan seterusnya akan diguna dan diterapkan di masjid-masjid di Rembau.

Hj Nor Azamir bin Hj Alias,
Pegawai Agama Daerah Rembau

Peserta rombongan tekun mendengar taklimat

Bertukar-tukar cenderamata

Bergambar kenang-kenangan
di tangga Babussalam


Ahad, Mac 22, 2009

HENDAK PERGI KE PERHIMPUNAN AGUNG UMNO?

.

Perhimpunan Agung UMNO tahun ini yang akan diadakan di PWTC mulai 23 hingga 28 Mac ini dikatakan mempunyai sejarahnya yang tersendiri kerana diantaranya adalah pemilihan Ahli MKT mendapat pelbagai liputan terutama bagaimana menghindarkan politik wang ketika proses berkempen dan pemilihan.

Tindakan bersungguh-sungguh Lembaga Disiplin UMNO telah menyebabkan Datuk Seri Mohd Ali Rustam terkeluar dari pemilihan Timbalan Presiden dan beberapa orang ahli digantung keahlian dan diberi amaran.

Mereka yang masih boleh bertanding dan sekiranya ada unsur-unsur memberi apa saja pemberian kepada perwakilan atau kepada agennya, tidak akan rasa senang hati kerana selepas pemilihan dan berjaya, SPRM dan Lembaga Disiplin masih menunggu. Lupakah kita dengan kes Tan Sri Isa Samad pada tahun 2004?.

Bagi saya, apa yang berlaku pada tahun ini merupakan satu peringatan kepada seluruh pimpinan UMNO supaya gejala beri memberi ini akan dapat dihapuskan sehingga ke akar umbi.

Bakal Presiden UMNO, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mempunyai luas pengalaman dalam kes-kes seperti ini terutama semasa beliau sendiri terlibat dalam Team Wawasan pada tahun 1993 bersama Brother Anwar Bin Ibrahim (B.A.B.I.), perlu mengambil tindakan lebih drastik kerana kegiatan tidak bermoral telah menular ke peringkat cawangan.

Mereka yang telah memberi dan menyogok wang, tentunya telah mengeluarkan modal yang banyak. Dan ketika menang tentunya hendak mendapatkan semula modal yang mungkin berlipat kali ganda.

Bagaimana pula kalau kalah?. Sebahagiannya akan menjadi penentang UMNO seperti kalangan mereka yang ada dalam parti-parti pembangkang sekarang.

Pada perhimpunan dan pemilihan kali ini, hati saya tidak begitu ghairah untuk bersama-sama dengan rakan-rakan lain ke Kuala Lumpur. Sekiranya pergi, saya hanya berminat untuk mendengar perbahasan sekiranya tiada siaran langsung di saluran tv.

Bukanlah kecewa kerana hanya mendapat tempat ke-8 dalam pemilihan G7 tempuhari atau tidak dipilih mengganti tempat Ketua Bahagian kerana Dato' Shahrir adalah Ahli MKT, mungkin kali ini saya akan lebih tenteram (benci melihat sebahagian kecil gelagat perwakilan) di rumah bersama keluarga di samping dapat melakukan kerja-kerja kebajikan di masjid.

Begitupun, saya ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Dato' Seri Najib Tun A Razak yang akan ditabalkan sebagai Presiden dan saya juga berharap Tan Sri Mahyuddin Md Yassin akan menjadi Timbalan Presiden.

Selain kedua-duanya, harapan meninggi saya adalah kepada Datuk Seri Mohd Khalid Nordin dan Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Naib Presiden.

Begitu juga kepada Menteri Besar Johor, Dato' A Ghani Othman. Kelima-lima mereka adalah sezaman dengan saya ketika menjadi Ketua Pemuda Bahagian pada tahun 1984-1988.

Pastinya saya berharap Dato' Shahrir Samad akan berjaya dan menduduki ranking terbaik kerana beliau adalah diantara calun yang langsung tidak memberi sebarang hadiah atau wang ringgit kepada perwakilan.

Inilah pengharapan saya pada pemilihan kali ini.

DOA DI SEMINAR PEMBANGUNAN USAHAWAN KEPADA PENGUSAHA KECIL DAN SEDERHANA

.
Pada hari semalam, saya telah diminta untuk membaca doa ketika majlis perasmian Seminar Pembangunan Usahawan Kepada Pengusaha Kecil Dan Sederhana anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan GAPEM bertempat di Hotel M-Suites, Johor Bahru.

Seramai 300 orang peserta dari seluruh Johor telah mengikuti seminar yang dirasmikan oleh YB Dato' Shahrir Samad, Menteri KPDNHEP.

Diantara tetamu lain adalah Haji Sahlan Saruddin (Ahli Lembaga Pengarah GAPEM), Puan Mahani Tan Abdullah (Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP) dan Dato' Iskandar Astar (Konsultan GAPEM).

Berikut adalah doa yang saya bacakan:-

"Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam. Selawat dan salam kepada Nabi Junjungan, Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabatnya serta mereka yang mencontohinya hingga hari akhirat.

Allahumma Ya Allah, pada hari yang berkat lagi bersejarah ini, bersempena dengan majlis Seminar Pembangunan Usahawan Kepada Pengusaha Kecil Dan Sederhana anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan GAPEM, kami menadah tangan dan besyukur ke hadratMu di atas nikmat limpah kurniaMu yang tidak terhingga ke atas kami sehingga kami dapat hidup dengan aman, damai dan harmoni serta dapat melaksanakan tugas-tugas kami di muka bumi ini dan dipohonkan jadikanlah majlis ini majlis yang Engkau redhai dan berkati.

Ya Latif Ya Rahman, kurniakanlah kami taufik dan hidayahMu, bimbinglah kami ke arah kejayaan, keamanan, kecemerlangan dan kYa esejahteraan di dalam penghidupan kami di dunia mahupun di akhirat. Jadikanlah kami orang-orang yang bertaqwa sentiasa mematuhi perintahMu dan menjauhi laranganMu. Ampunilah dosa dan keterlanjuran kami dan jadikanlah kami orang-orang yang berada di dalam keredhaanMu jua.

Ya Munzilal Barokah, berkatkanlah bumi bertuah ini. Jayakanlah segala usaha yang kami anjurkan untuk menjadikan rakyat Malaysia menjadi rakyat yang maju dan sejahtera. Mudah-mudahan usaha yang dilakukan ini adalah sebagai satu usaha dan langkah Pemerintah dan Parti di bawah agenda Melayu untuk mencapai hasrat Kerajaan meningkat dan menambah lebih ramai lagi bilangan usahawan Bumiputera di bawah dasar Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera Generasi Baru.

Ya Sattar Ya 'Alim, kepadaMu Ya Allah, kami pohonkan keselamatan dan kesejahteraan kami dan pemimpin-pemimpin kami, hindarkanlah negari dan negara kami dari segala bahaya bencana. Tanamkanlah di hati kami sifat sabar, tabah dalam meghadapi ujian dan dugaan. Ya Allah, terimalah segala kerja dan khidmat bakti kami dengan sempurna dan dikira sebagai amal ibadat kami pepadaMu jua.

Ammin, Ya Roobbal 'Alamin".



ANDA BIJAK JAUHI ZINA

.
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakan)".

Intipati larangan Allah dalam surah Al-Israa' ayat 32 yang menekankan aspek pencegahan dan pendidikan menjauhi zina telah menjadi inspirasi kepada Biro Rakan Muda Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) dan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Johor untuk mengadakan program "Anda Bijak Jauhi Zina".

Program ini mempunyai objektif untuk mewujudkan kesedaran kepada remaja, belia dan ahli masyarakat akan bahaya gejala sosial dan kepentingan Pengetahuan Pendidikan Kesihatan Reproduksi dan Seksual dalam era globalisasi.

Selain dari itu ia diharapkan akan dapat membina sikap sayangkan diri sendiri melalui gaya hidup sihat disamping menjadi panduan kepada remaja untuk membenteng diri daripada terlibat dengan gejala sosial khususnya zina.

Program yang akan diadakan pada 29 Mac 2009 dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari bertempat di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Uda menyasarkan pelajar sekolah terutama menengah dan atas untuk mengikuti program ini.

Mereka yang berminat untuk mengikutinya bolehlah menghubungi Zahrin Saniman (016-7001127), Rasis Yaakob (07-2388166) dan Hidayah Twahir (013-7097052).

Sdr Zahrin Saniman,
Pengerusi Biro Rakan Muda MJBBU

Khamis, Mac 19, 2009

WARGA EMAS MJBBU KE KUCHING

.
Bersama 17 orang ahli Kelab Warga Emas, Masjid Jamek Bandar Baru Uda, saya ke Kuching untuk tujuan melancong mulai 14 hingga 16 Mac 2009.

Kami bertolak dari Masjid Jamek Bandar Baru Uda pada jam 4.30 pagi dengan menggunakan bas dan sempat solat berjemaah subuh di Terminal Sultan Ismail, Senai sebelum menaiki pesawat Air Asia AK5702.

Sesampainya di Kuching, rombongan kami telah disambut oleh pemandu pelancong, Hadi dan dibawa terus bersiar-siar di Bandaraya Kuching seperti melihat bangunan peninggalan White Rajah seperti Colonial Law Court, Clock Tower, Chares Brooke Memorial, Post Office, Astana dan Kuching Water Front.

Kami juga dibawa ke perkampungan Melayu di Gresek serta melihat pembuatan Kek Lapis.

Pada hari kedua kami dibawa ke Pasar Serikin di sempada Sarawak dan Kalimantan. Perjalanan selama satu jam amat berbaloi kerana di tempat ini banyak barangan buatan Sarawak dan Indonesia boleh didapati dengan harga yang agak murah seperti batik sarong, tikar sarawak, barangan kristal, beg, barangan kulit dan pelbagai barangan lagi bahkan barangan terlarang seperti telur penyu juga ada dijual.

Dalam perjalanan balik ke Kuching, kami melewati pekan Bau untuk makan tengahari dan terus ke Perkampungan Budaya di Pantai Damai, Santubong.

Perkampungan seluas 17 ekar ini mempamerkan warisan kebudayaan dan kesenian negeri Sarawak dan lawatan ini dapat melihat aktiviti harian suku kaum dan aktiviti memproses seperti sago dan kraftangan.

Pada hari ketiga dan terakhir kami dibawa ke Pasar Tamu di Satok dan barangan yang mesti kami beli sebagai ole-ole adalah ikan masin Terubuk. Saya tidak melepaskan peluang dengan membeli beberapa kilo udang basah segar yang harganya jauh lebih murah dari pasar-pasar di Johor Bahru.


Memasuki Bandaraya Kuching ....
18 peserta rombongan di hadapan replika Kucing

Di Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara

Di Muzium Kucing

Menikmati Kek Lapis di Kg Geresek

Di belakang kelihatan bangunan Dewan Undangan Negeri sedang dalam pembinaan

Gambar pun cukuplah ....
Hj Abdullah Saaban tak sempat hendak menaiki Sarawak River Cruise

Berebut-rebut membeli ikan Terubuk Asin

Di sebuah testoran yang memberi peringatan untuk menunaikan solat

Melihat persembahan budaya di Kampung Budaya

Hj Jamburi mencuba menari tarian di rumah Bidayuh

Di hadapan rumah Orang Ulu di Kampung Budaya

Melihat pembuatan tembikar sarawak

Di Pasar Serikin

Bergambar sebelum kembali ke Johor Bahru

Jumaat, Mac 13, 2009

LONTARAN CADANGAN PENGGABUNGAN PAS DAN UMNO

.
Haji Mohamad Abdul Rahman

Ketika saya membuat lawatan ke Pulau Pinang pada hari Sabtu hingga Isnin yang lalu, saya sempat menghubungi Haji Mohamad Abdul Rahman yang ketika ini bertugas dengan Universiti Sains Malaysia untuk bertemu dengannya.

Alhamdullillah, saya dapat berjumpa dengannya dan berbual panjang sambil minum teh di salah sebuah gerai berdekatan Hotel Grand Continental, tempat saya menginap.

Saya mengenalinya ketika bersama-sama bergiat dalam Kesatuan Pekerja-Pekerja Felda kerana beliau adalah Ahli Majlis Jawatankuasa Agung. Ketika ini, beliau bersama-sama dengan saya menduduki jawatan AJK dalam Persatuan Bekas Kakitangan Felda (PBKF).

Dalam perbualan saya dengannya, saya membangkitkan mengapa tidak ada usaha untuk penggabungan antara parti PAS dan UMNO. Saya menyatakan ini kepadanya kerana beliau juga adalah penggiat cergas parti PAS.

Saya berbincang panjang lebar dengannya dalam isu ini kerana pada akhir-akhir ini ketuanan Melayu dan dominasi agama Islam telah mula digugat.

Walaupun perbincangan kami tidak mempunyai sebarang keputusan tetapi saranan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang membentuk sebuah kerajaan campuran perlu diambil perhatian serius.

ANAKKU, IRWAN HELMY

.
Mengapa saya mempunyai seorang anak lelaki bernama Irwan Helmy Maula Mohd Sunawan dan tidak Irwan Helmy Bin Mohd Sunawan?.

Dia adalah anak angkat yang didaftarkan pada 09 Ogos 1992 di Jabatan Pendaftaran Negara, Johor Bahru.

Kisahnya bermula apabila kami tidak mendapat cahaya mata setelah mendirikan rumahtangga pada bulan Ogos 1973. Lima tahun merupakan masa yang agak lama dan amat merunsingkan kerana ketiadaan anak yang boleh menyebabkan hidup kami kurang bersinar dan sepi.

Setelah setahun mendirikan rumahtangga, kami berpindah dari Johor Bahru ke Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram. Hidup kami berdua memang bahagia. Malangnya, lama kelamaan kesepian kami mula terasa apabila tiada cahaya mata untuk kami timang dan bermanja.

Kesepian ini begitu ketara disebabkan cuti mingguan kami berdua tidak sama, cuti isteri pada hari Ahad sementara saya pada hari Jumaat. Tempat bertugas isteri pula agak jauh iaitu di Johor Bahru dan untuk pergi dan balik kerja bermula dari subuh hingga maghrib. Begitulah setiap hari.

Bagaimanapun, kegembiraan mula terasa apabila seorang anggota Polis (Encik Harun) yang bertugas di Pondok Polis Felda Ulu Tebrau memberitahu tentang seseorang (sepasang suami isteri) telah menawarkan untuk menyerahkan anak yang sedang dikandungkan kepada mereka yang berhajatkan anak.

Setelah berbincang dengan isteriku, kami terus bersetuju lantas berjumpa dengan pasangan berkenaan yang menduduki sebuah rumah penempatan setinggan di Kampong Pengkalan Rinting, Tampoi.

Pasangan suami isteri ini ialah Mohd Tahir bin Sair (Kad Pengenalan 550309015697 / 4810058) yang berasal dari Kg Serom 6 Baroh, Muar dan Raja Habibah Binti Raja Sulong (Kad Pengenalan 530923015816 / 4686544) yang berasal dan telah bernikah di Kampong Koris, Batu Pahat pada 17 Oktober 1975.

Kami diberitahu, pasangan ini sudah mempunyai dua orang anak perempuan yang masih kecil. Anak kedua bernama Haslinda yang dilahirkan pada 04 November 1979 dan tidak mempunyai kemampuan untuk menanggung seorang anak yang bakal dilahirkan.

Pada awal Disember 1978, kami diberitahu pasangan tersebut telah melahirkan seorang anak lelaki.

Saya bersama isteri dan kakak ipar, Naemah Mansor (Mak Nong) terus menemui pasangan berkenaan dan mengambil bayi yang telah dilahirkan 3 hari sebelumnya. Saya dimaklumkan keluarga pasangan ini yang berada di Batu Pahat tidak membenarkan bayi ini diserahkan kepada kami.

Hari pertama Irwan Helmy dalam keluarga kami

Bagaimanapun, olehkerana mereka telah membuat perjanjian untuk menyerahkan bayi yang bakal dilahirkan dan mungkin kepercayaannya kepada kami, maka bayi ini kami bawa balik ke Larkin dan seterusnya ke Felda Ulu Tebrau.

Sepanjang dua minggu pertama, bayi yang diberi nama Irwan Helmy kami menjaganya dengan penuh kasih sayang dan meminta salah seorang adik perempuan saya untuk mengasuhnya. Ini disebabkan isteri saya bekerja di Syarikat Plessey, Jalan Tebrau, Johor Bahru.

Malang menimpa Helmy apabila pada dua minggu terakhir, bayi ini diserang muntah dan cirit birit.

Gambar selepas keluar dari wad HSA dan dibawa balik
ke Kg Puteri Menangis, Benut untuk majlis doa selamat

Olehkerana Helmy perlu dibawa ke klinik dan masih belum mempunyai surat beranak, saya terpaksa menemui Encik Harun, anggota Polis untuk membantu mendaftarkannya.


Semasa membuat pendaftaran di Balai Polis Ulu Tiram, saya telah membuat akuan bahawa saya dan isteri adalah ibu bapa sebenar kepada Helmy.


Setelah mendapat surat beranak, saya ke rumah sepupu di Taman Sri Pandan dan terus ke Klinik Peoples Dispensary, Jalan Ibrahim, Johor Bahru. Doktor yang membuat pemeriksaan telah mengarahkan bayi ini dibuat pemeriksaan lanjut di Hospital Sultanah Aminah dan seterusnya dimasukkan ke wad untuk beberapa hari.


Kami terus membesarkan Helmy dengan penuh kasih sayang. Hampir 5 tahun, adik-adik perempuan saya bergilir bersama membantu seharian sehinggalah pada akhirnya isteri saya melahirkan Suria Irwany pada bulan Mei 1981.


Benarlah petua orang-orang tua kita supaya mengambil anak angkat sebagai usaha untuk mendapatkan anak sendiri.

Irwan Helmy bahgia bersama kami disamping adiknya, Suria Irwany

Pada tahun 1990, pada ketika Helmy berumur 11 tahun dan mempunyai dua orang lagi adik selain Suria Irwany iaitu Irwan Lutfi dan Amalina Irwani, saya telah pergi ke Mekah untuk menunaikan fardhu haji.

Ketika menjadi murid Sekolah Agama Bandar Baru Uda

Seminggu sebelum kembali ke tanah air, satu peristiwa yang ada kaitannya dengan Helmy telah saya alami di tanah suci Mekah. Peristiwanya ialah saya telah disedarkan dari kesilapan saya mem'bin'kan kepada nama saya.

Helmy bersama adik-adiknya, Suria, Lutfi dan Amalina

Seperti biasa, pada setiap kali selepas solat maghrib, saya akan pergi ke satu sudut di Masjidil Haram (berhampiran kaabah dan selari dengan hajatatul Aswad) untuk mendengar ceramah dan kuliah dalam Bahasa Melayu/Indonesia dari seorang ulamak yang bernama Mohammad Abdul Kadir Mandili.


Kebanyakan jemaah haji yang pernah ke Masjidil Haram memang amat mengenali beliau yang telah lebih 30 tahun menjadi guru agama di sini. Beliau berasal dari Alor Star, Kedah telah 50 tahun menetap di Mekah dan mengikut jejak arwah bapanya yang pernah menjadi guru di tempat yang sama.

Beliau adalah satu-satunya guru yang mengajar menggunakan Bahasa Melayu/Indonesia dan diberi kebenaran oleh pemerintah Arab Saudi untuk menyampaikan ajarannya.

Diantara perkara yang disampaikan oleh guru ini ialah mengenai kesalahan mem'bin'kan anak angkat.

Olehkerana ilmu yang diajar adalah berkaitan secara lansung kepada diri saya iaitu kesalahan memberi nama Helmy dengan bin kepada saya dan membuat pengakuan sebagai anak kandung, maka saya telah tersedar dari satu kesalahan besar.

Saya insaf atas kesalahan ini dan setelah solat isya', lantas saya melakukan tawaf dan solat sunat serta mohon ampun kepada Allah Swt di hadapan kaabah. Saya berjanji untuk menemukan kepada kedua ibu bapanya dan membuat pertukaran nama dalam sijil kelahiran.

Permohonan saya termakbul apabila diberitahu bahawa pada masa yang sama kedua ibu bapa Helmy tergerak hati dan datang ke rumah saya di Bandar Baru Uda untuk menemui Helmy. Dua hari mereka mencarinya sehingga akhirnya berjumpa.

Janji kepada Allah Swt saya tunaikan dengan membuat pendaftaran semula. Memang agak sukar untuk melakukannya kerana terpaksa mengemukakan pelbagai dokumen termasuk menemui saksi-saksi untuk mengesahkan kelahirannya seperti mencari bidan yang menyambut kelahiran.

Akhirnya, setelah hampir dua tahun menunggu, surat kelahiran dikeluarkan dengan nama sebenar iaitu Irwan Helmy Bin Mohd Tahir sebagaimana sijil kelahiran No. J092434 bertarikh 27 Jun 1992.

Seterusnya adalah pendaftaran anak angkat dan saya mendapat nasihat dari beberapa orang guru agama supaya perkataan 'Bin' itu ditukar kepada 'Maula' yang bermakna anak angkat.

Pendaftarannya telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sebagaimana sijil C033492 bertarikh 09 Ogos 1992.

Saya catatkan di bawah ini beberapa maksud ayat-ayat Alquran dan hadis yang berkaitan dengan kesalahan membinkan anak angkat atau melarang sistem tabanny:-

Allah tiada menjadikan bagi seseorang dua hati dalam rongganya. Dan Dia tidak menjadikan isteri-isteri kamu yang kamu zhirar itu sebagai ibu-ibu kamu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu menjadi anakmu. Itu hanyalah perkataanmu dengan meulutmu saja. Dan Allah menyatakan kebenaran dan Dia menunjukkan jalan (yang benar) -(Al-Ahzab 33:4).

Saat bahagia

Panggillah mereka (anak-anak angkat) menurut (nama) bapaknya, hal itu lebih adil pada sisi Allah. Kalau kamu tiada mengetahui bapaknya, mereka menjadi saudara kamu dalam agama dan maula (pengabdi) kamu. Dan tiada dosa atasmu apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang - (Al-Ahzab 33:5).

Barang siapa yang menisbatkan anak kepada orang tua yang bukan bapaknya padahal ia tahu bahawa ia adalah bukan bapaknya, maka syurga haram baginya - (Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Setelah dewasa, Irwan Helmy bertemu jodoh dengan Siti Fatimah Binti Ibrahim (Kad Pengenalan 850219146356) dan telah dikurniakan 3 orang anak (seorang perempuan dan dua lelaki). Malangnya, perkahwinan mereka tidak dapat bertahan dan masing-masing membawa haluan, Siti Fatimah ke Kuala Lumpur mengikut bapanya sedang ibunya yang telah bercerai dan berkahwin baru berada di Johor Bahru. Helmy masih berada di Johor Bahru.

Ainul Shafikah bersama datuk atau ayah dan mama?

Anak-anaknya pula, yang sulung, Ainul Shafikah bersama saya. Anak kedua, Dinny Izuddin bersama dengan anak kedua saya iaitu Suria Irwany dan yang ketiga bernama Mohd Firdaus diserahkan kepada sepasang suami isteri di Taman Larkin Perdana, Johor Bahru.

Tanggungjawab Suria mendidik Dinny Izuddin

Saya yakin cerita yang dipaparkan ini akan memberi gambaran sebenar dan hubungan darah serta kaitan kekeluargaan yang tidak sepatutnya dipisah-pisahkan.


BERLAWAN DENGAN TOK MAT UNTUK JAWATAN KETUA PEMUDA BAHAGIAN

.
Sdr Abd Wahab Muslim memberi ucapan.
Saya berada antara Tok Mat dan Baharom Ghani

Gambar di atas yang dirakam pada tahun 1984 mempunyai sejarah sendiri yang tidak dapat saya lupakan.

Majlis anjuran UMNO Bahagian Pulai yang diadakan di Balai Raya Tampoi yang dihadiri oleh Ketua dan Setiausaha Pemuda Cawangan serta Ketua-Ketua Cawangan dalam Bahagian Pulai adalah untuk mendengar ucapan Dato' Mohamad Rahmat, Ahli Parlimen Pulai yang juga Ketua UMNO Bahagian.

Majlis dimulakan dengan ucapan Sdr Abd Wahab Muslim yang menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai.

Kesungguhan Tok Mat menyokong Baharom Ghani untuk
jawatan Ketua Pemuda Bahagian tidak memberi kesan
besar kepada perwakilan cawangan

Memang menjadi kelaziman Dato' Mohamad Rahmat atau Tok Mat yang akan pulang sekali sekala ke kawasan pilihanrayanya dan berjumpa dengan pemimpin cawangan dan bahagian.

Tetapi pada hari tersebut, ucapannya agak berbeza dengan kelazimannya dan saya sendiri tidak menduga apabila tiba-tiba saja saya telah diajukan soalan samada saya hendak meneruskan niat untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Bahagian.

Soalan yang didengar oleh semua yang hadir sangat memeranjatkan tetapi saya dapat mengawal perasaan dan emosi. Dengan tenang saya menjawab bahawa saya tidak akan menghampakan hasrat cawangan-cawangan pemuda yang telah mencalunkan saya untuk jawatan tersebut.

Jawapan saya memang amat mengecewakan Tok Mat kerana semua mengetahui bahawa beliau mahukan setiausahanya iaitu Baharom Ghani untuk memegang jawatan tersebut.

Saya bersama Baharom Ghani

Ekoran dari majlis tersebut, kempen-kempen yang dijalankan semakin hebat kerana pertandingan adalah satu lawan satu.

Walaupun saya tidak mempunyai jawatan penting dalam kerajaan atau kerjaya yang baik, namun hubungan saya dengan cawangan adalah amat erat disebabkan jawatan saya sebagai Penolong Setiausaha Pemuda Bahagian disamping memegang pelbagai jawatan dalam badan-badan NGO seperti menjadi Setiausaha Gerakan Belia 4B Malaysia Daerah Johor Bahru.

Bersama dengan Abd Wahab Muslim dalam majlis Gerakan Belia 4B

Pergerakan Pemuda dibawah pimpinan Abd Wahab Muslim juga mempunyai kesepaduan dan sokongan kuat kerana banyak kegiatan dan pembelaan yang dilakukan khususnya pada kepentingan ahli-ahli pemuda.

Lawatan Pemuda UMNO Bhg Pulai ke Perhubungan UMNO Kelantan

Dengan sebab itu saya tidak mempunyai masalah yang besar dalam pemilihan jawatan tersebut dan akhirnya saya telah berjaya bahkan semua AJK yang terpilih adalah dari team saya.

Pada pemilihan berikutnya iaitu pada tahun 1987, sekali lagi kekuatan saya diuji apabila seorang lagi calun yang dikatakan telah ditaja oleh Tok Mat iaitu Hadi @ Aji bin Daris, seorang peguam dari kalangan anak tempatan, telah dicalunkan untuk jawatan yang sama.

Saya bersama Hadi @ Aji Daris

Beberapa perundingan sebelumnya telah saya lakukan bersama-sama rakan-rakan yang lain agar calun ini (Hadi) tidak bertanding. Saya telah menjanjikan kepadanya jawatan Setiausaha Pemuda (Penolong) dan seterusnya akan menyokong beliau untuk jawatan Ketua Pemuda untuk pemilihan yang akan datang.

Apabila beliau menolak pelawaan, keputusan pertandingan juga memberi kemenangan kepada team saya dan tidak kepada team yang mendapat sokongan Tok Mat.

Begitupun, Hadi berjaya juga dalam cita-citanya apabila Tok Mat membawanya dalam kepimpinan Bahagian dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Whip Ahlimajlis Bandaraya Johor Bahru.

Tetapi apakah akhir kesudahannya Hadi dalam kerjaya politiknya? Sementara itu, Baharom Ghani yang sangat setia kepada Tok Mat mendapat kejayaan sehingga menjadi ADUN, Ketua UMNO Bahagian dan mendapat anugerah gelaran Datuk.

Mesrakah hubungan saya dengan Tok Mat?

Dan bagaimana pula dengan kerjaya saya dalam bidang politik?. Ikutilah kisah selanjutnya dalam blog ini yang akan saya nukilkan dari masa ke semasa.