Petang Rabu lalu, saya bersama Hj Hussein Ismail, telah menghadiri mesyuarat di Suruhanjaya Koperasi Negeri Johor.
Di mesyuarat ini, kami diberitahu bahawa permohonan kariah MJBBU untuk menubuhkan koperasi, telahpun diluluskan sebagaimana sijil bertarikh 29 Mei 2009 yang telah ditandatangani oleh Setiausaha dan Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
SKM telah meluluskan permohonan dalam tempoh satu bulan, satu tugas pentadbiran berkualiti dan patut diberi pujian.
Dalam mesyuarat ALK Pertama, saya telah dilantik sebagai Setiausaha, Haji Safie Abd Rashid sebagai Pengerusi dan Haji Zainal Abiden Ali sebagai Bendahari. Jawatan lain dalam ALK disandang oleh Haji Hussein Ismail, Haji Sapawi Ahmad Johari, Haji Md Ali Zaitun, Haji Said Ahir Said Abdullah, Haji Abdullah Md Saaban, Haji Md Rumali Sahar, Zaharin Saniman, Hasjah Norijah Daiman dan Hajah Zainab Basir.
SKM telah meluluskan koperasi ini dengan nama KOPERASI MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA JOHOR BAHRU BERHAD.
Kerajaan Malaysia telah menyekat 11 laman web dan blog yang melanggar undang-undang negara. Demikian yang dinyatakan oleh Datuk Dr Mohd Ruddin Abd Ghani, Setiausaha Parlimen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ketika menjawab soalan Sebnator Datuk Armani Mahiruddin di Dewan Negara sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia Online.
Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, Lim Kit Siang pula menuduh Kerajaan telah membuat penumpuan untuk menyekat kebebasan penulis blog. Perkara ini telah dinafikan oleh Datuk seri Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Mengikut pengalaman saya selama 6 hari di Beijing, saya tidak dapat membuat capaian kepada semua blog termasuk blog Dunia Sunawan.
Saya diberitahu bahawa Kerajaan China telah membuat sekatan kepada semua laman blog.
Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Malaysia lebih adil dan memberi kebebasan kepada blogger dan pelayar internet untuk membaca, berkomunikasi serta menyampaikan pandangan.
Bagaimanapun, kebebasan yang diberi tidak sepatutnya disalahgunakan dalam laman web dan blog masing-masing seperti mencatat dan menyampaikan mesej yang berunsur fitnah tidak bertanggungjawab.
Jadi, salahkah kiranya 11 laman web dan blog ini disekat sekiranya ia adalah diantara mereka yang dikatakan telah menyalahgunakan kebebasan.
Rasanya, saya mungkin tidak pernah menipu sesiapa. Tetapi di Beijing, saya ditipu oleh penjual di tepi jalan yang mencari mangsa dari kalangan pelancung.
Ceritanya mudah. Si penjual mencari pelancung yang ingin menaiki bas. Pastinya pelancung ini (termasuk saya) akan tergesa-gesa kerana bas akan bergerak menuju distinasi selanjutnya. Pada ketika itulah berlaku penipuan dengan memulangkan wang baki menggunakan wang palsu.
Kebanyakan pelancung yang belum arif dengan mata wang China (Ren Minbi - RMB) iaitu Yuan, Jio dan Fen akan tertipu.
Saya adalah diantara pelancung yang terkena musibah ini. Lihat gambar di bawah, wang apa ni?. Pemandu pelancung kami juga tidak mengetahui tentang mata wang ini.
Bukan saya seorang yang terkena, bahkan ada beberapa orang lagi dari kumpulan kami yang menerima nasib yang sama.
Untuk mengetahui lebih jelas mengenai mata wang China, anda boleh mebacanya di sini.
Kami juga diberitahu bahawa terdapat modus operandi yang lain iaitu dengan cara meminta pelancung menunggu sebentar untuk tujuan menukar wang, lantas penjual menghilangkan diri.
Bedrhati-hatilah dengan penjual di jalanan seperti ini.
Eh! Mengapa bendera USA terbalik?. Soalan ini saya tanyakan kepada pemandu pelancong kami. Beliau tidak mahu menjawab langsung berlalu begitu sahaja.
Saya dan beberapa rakan tertanya-tanya samada ia disengajakan atau sebaliknya.
Beberapa bendera dari negara tertentu berdiri megah sebaris dengan bendera tuan rumah, China di tengah-tengahnya.
Deretan bendera ini terletak di permukaan pintu masuk ke World Park yang menempatkan pelbagai replika keajaiban binaan atau yang sinonim dengan negara tertentu.
Kecewa juga apabila tidak terdapat bendera Jalur Gemilang bahkan tidak terdapat sebarang replika yang boleh dibanggakan yang memberi pengenalan kepada Malaysia.
Soalan yang masih bermain-main di minda saya adalah mengapa bendera USA terbalik?. Adakah kerana replika bangunan berkembar World Trade Centre yang telah musnah pada 11 September 2001, masih lagi berdiri megah di situ?.
Agen pelancungan yang menguruskan perjalanan kami menyediakan sebuah beg sandang warna biru dan topi warna kuning. Sebahagian dari kami yang menggunakannya.
Halim, pemandu pelancong kami menyatakan bahawa rombongan pelancong China akan sentiasa menggunakan topi mengikut warna-warna tertentu.
Sebahagian kami menggunakan topi kuning
Pelbagai warna boleh digunakan. Hanya jangan yang berwarna hijau.
Pernahkah kita berjumpa dengan rakyat China menggunakan topi berwarna hijau?. Mungkin jarang berjumpa kerana mereka mempunyai kepercayaan yang anih!.
Katanya, mana-mana lelaki yang memakai topi hijau bermakna isterinya mempunyai suami yang lain. Benarkah?.
Sepanduk dah siap. Bersusahpayah Haji Fathil menyiapkannya. Bagaimanapun, Halim tidak membenarkan kami membentangkannya walaupun untuk tujuan bergambar.
Halim memberitahu bahawa pada beberapa bulan akan datang ini Negara China akan mengadakan sambutan ulangtahun secara besar-besaran. Pemerintahnya tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan dengan memasang sepanduk yang dikhuatiri boleh menyebabkan kecelaruan seperti tunjuk perasaan dan sebagainya.
Apa nak dikata lagi. Simpan sahajalah sepanduk tu.
Kelihatan tasek buatan, jambatan dan pulau
yang dibina sebuah istana di atasnya.
Kami dibawa melawat ‘Summer Palace’ atau Istana Musim Panas yang dibina pada tahun 1888 oleh Raja Dowager Cixi (Dinasti Ching 1644-1912) adalah merupakan taman diraja tercantik serta terbesar di China.
Raja-Raja Dinasti Ching yang berasal dari Manchuria mengarahkan rakyatnya membina taman buatan manusia yang agak unik. Ini adalah kerana terdapat sebuah tasek buatan yang begitu luas. Di tengah-tengahnya terdapat sebuah pulau yang terletaknya sebuah istana. Tanah-tanah yang menjadikan tasek sedalam 2 meter telah ditimbunkan menjadi pula sebuah bukit. Di atas bukit ini dibina kuil.
Diantara pulau dan daratan dibina sebuah jambatan sepanjang 150 meter untuk menyeberangi tasek. Jambatan yang diberi nama Shiqi Kong Qiao ini dibina dari batu-batu yang dipahat serta terdapat 500 ukiran singa.
Selain dari jambatan, istana dan kuil adalah bangunan yang masih kekal hingga kini.
Saya berdiri di atas jambatan dan kelihatan ukiran singa.
Di belakang adalah tasek dan bukit yang terdapat kuil
Halim mengenalkan diri semasa bas mula bergerak dari Tianjin ke Beijing
Hari pertama di China, kami mengenali Halim. Nama sebenarnya Xiao Yang. Berumur sekitar awal 30an dan berasal dari selatan China. Sangat petah berbahasa Melayu. Pengalamannya berkawan dengan seorang Cina warga Indonesia berumur 60an menjadikannya mahir menguasai bahasa Melayu dan Indonesia.
Perkataan-perkataan Islami seperti assalamualaikum, alhamdullillah dan sebagainya sering berada di bibirnya.
Tanyalah kepadanya tentang kiblat dan waktu solat, Halim akan terus menjawab dan bersahaja. Lebih dari itu, Halim akan mengingatkan ahli rombongan wanita untuk membawa telekung.
Persoalan yang bermain-main di minda kami sebagai peserta rombongan adalah apabila ditanya samada beliau seorang muslim?. Dia tidak mengiyakan sebaliknya bercerita asal usul dan leluhurnya supaya kami dapat memahami siapa beliau sebenarnya.
Halim mengakui bahawa bapa dan ibunya adalah penganut agama Islam sebagaimana datuk-datuknya yang menganut agama yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Parti Komuinis yang memerintah China dibawah Mao Tze Tong telah menyebabkan jutaan penduduk China yang beragama samada Islam, Budha, Hindu dan sebagainya telah terpaksa melupa dan meninggalkan agama yang dianuti.
Tidak ketinggalan kepada keluarga Halim. Bapanya yang bekerja sebagai anggota tentera terpaksa menjadi ahli parti. Mereka yang tidak menjadi ahli parti Komuinis tidak akan mendapat sebarang bantuan.
Rumah-rumah ibadat seperti kuil, masjid, gereja dan sebagainya banyak yang dimusnahkan atau dijadikan sekolah dan sebagainya.
Beginilah gaya Halim memberi penerangan kepada kami
Halim dibesarkan sebagai manusia yang tidak pernah belajar tentang agama. Beliau sudah berkahwin dengan isterinya yang tidak beragama dan dikurniakan seorang anak.
Apabila ditanya adakah beliau seorang Muslim?.
Jawabnya dengan tersenyum ialah beliau hanya Islam di bahagian atas dan bawah sahaja.
Apa maksudnya?. Bahagian atas adalah beliau tidak menjamah babi dan makanan lain yang tidak dimakan oleh masyarakat muslim. Beliau tidak merokok dan meminum minuman keras sebagaimana kelaziman warga China.
Bahagian bawah pula adalah anunya dipotong. Beliau sendiri bertanya kepada kami kenapa anunya mesti dipotong?.
Begitulah sebahagiannya, siapa Halim yang kami kenali selama lima hari.
Saat akhir kami bersama Halim sebelum menaiki keretapi laju ke Tianjin
Sekali lagi Kelab Warga Emas Masjid Jamek Bandar Baru Uda mengadakan program lawatan. Kali ini ke Tianjin dan Beijing, China.
31 orang ahli rombongan berkumpul di perkarangan masjid pada pukul 11 malam pada hari Isnin 8 haribulan yang lalu. Selepas setengah jam, bas yang membawa rombongan bertolak ke Kuala Lumpur bersama wakil agen pelancongan Utas Travel dan 3 orang yang dibawa oleh agen ini menjadikan kesemuanya 35 orang.
Di LCCT Sepang, peserta rombongan bertambah kepada 38 orang apabila 3 orang lagi peserta dibawa oleh agen dari Kuala Lumpur.
Belum lagi berbelanja, bagasinya sudah begini
Kami menaiki penerbangan Air Asia ke Tianjin dan berlepas pada jam 8.30 pagi. Agak membosankan penerbangan dengan Air Asia kerana tiada sebarang hiburan yang boleh didengar atau dilihat melalui skrin yang ada di hadapan tempat duduk penumpang.
Segala-galanya ada kiranya kita membayar RM30. Semuanya berbayar. Saya hanya sanggup berbelanja RM10 untuk secawan mee segera Maggi dan sebotol air mineral.
Selepas menempuh penerbangan selama 6 jam kurang 10 minit, penerbangan D7 2612 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianjin.
Kami disambut oleh Encik Xiao Yang, pemandu pelancung yang akan memandu dan mengendalikan perjalanan kami selama 5 hari. Beliau membahasakan dirinya sebagai Halim, nama yang sebati dengan dirinya terutama kepada pelancung dari Nusantara.
Perjalanan seterusnya adalah ke Beijing dengan menaiki bas. Selepas melalui lebuhraya dengan persekitaran bersih dan cantik selama hamper 2 jam, kami sampai di Berijing dan terus melihat persembahan menakjubkan akrobatik.
Selepas makan malam di sebuah restoran muslim, kami terus mendaftar masuk ke Hotel Shanshui Trends di 207 Beilijia Shaoyao Ju Chaoyang District Beijing.
Hari pertama menikmati makanan halal di Beijing
Saya sebilik dengan Ir Haji Abd Aziz di bilik 552.
Malam pertama di China, kami berdua terus tidur selepas solat jamak Isyak dan Maghrib serta kada’ Zuhur dan Asar.
Ketika saya membelek-belek gambar lawatan ke Beijing, nampak benar perutku yang dah membuncit. Sebelum ni pun dah terasa bila seluar saiz 38 sudah tidak boleh diguna lagi. Apatah lagi apabila ramai rakan-rakan yang menegur saiz badanku yang dah membengkak.
Masalah kegemukan ini mungkin menjadi satu fenomena di Malaysia terutama bagi mereka yang telah meningkat usia. Lihat saja gambar-gambar saya bersama-sama rakan ketika di Beijing.
Bersama Hj Khaidir, bekas pensyarah UTM
Hj Yahya Hamid juga perut sama saiz
Bersama Hj Aziz, seorang Jurutera Bertauliah
Seorang lagi, Hj Othman, pesara Pegawai Imigresen (berbaju putih)
Berbeza pula dengan Rashid(baju biru), beliau masih muda
Melainkan Hj Salam Safar, bekas pensyarah yang ketika ini rajin mengerjakan ladang kelapa sawit bergambar bersama dua saudara Muslim Cina serta Ustaz Muaalim
Dari pemerhatian saya di Beijing, memang amat sukar untuk melihat mereka yang gemuk atau berperut buncit. Terlalu jelas perbezaan bentuk badan diantara rakyat Malaysia dan China.
Membaca dari laman ini tentunya lebih menarik lagi kerana ia menyentuh persoalan kegemukan boleh dikurangkan apabila lebih kerap memeluk isteri. Bacalah di sini.
Hari Jumaat 5 haribulan yang baru lalu adalah hari jadi kepada abangku, Asmuni yang ke 59. Saya mempunyai hubungan lebih rapat berbanding dengan adik beradik lain. Mungkin kerana jarak umur yang begitu hampir dengannya. Saya sendiri telah menghampiri 57.
Apabila umur meningkat, bermakna alam barzakh lebih menghampiri kita. Saya percaya abang dan saya juga telah bersedia menghadapinya.
Setiap kali umur kita meningkat, tentulah kita akan mengingati sejarah yang telah sama-sama kita lalui.
Kita bersama sejak dari kecil diasuh oleh makbapak kita dengan penuh kasih sayang. Penghidupan dahulu tersangat jauh bezanya dengan apa yang dilalui oleh anak-anak kita sekarang.
Kita dilahirkan pada subuh yang sama pada sekitar jam 5.00 pagi, ketika manusia yang mengingati tuhannya yang tunggal, akan mengerjakan solat Subuh. Hanya yang membezakannya adalah tahun, bulan dan hari.
Begitupun, mengikut perkiraan Jawa, abang Asmuni dilahirkan pada hari Isnin 'Wage'. Saya pula pada hari Sabtu 'Wage'. Dua orang lagi yang dilahirkan pada hari ' wage' adalah Kak Juriah pada hari Selasa dan adik Junainah hari Khamis. Kempat-empat kami dilahirkan pada waktu subuh.
Emak mengatakan bahawa biasanya kami empat beradik yang lahir pada hari 'Wage' akan menerima sakit pada masa yang hampir sama atau berturutan seumpama salah seorang yang demam maka yang tiga lagi akan turut sama.
Benarkah kenyataan tersebut?. Apa yang pasti ketika ini kami berempat mempunyai penyakit berlainan. Kak Juriah menderita Parkinson, Abang Asmuni dengan masalah paru-paru, Junainah dengan kes asma dan saya sendiri mempunyai masalah kaki dan darah tinggi.
Kami lapan beradik mempunyai hubungan yang akrab. Semoga ianya akan terus berkekalan. Sebagai abang yang tua, pastinya Abang Asmuni mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mempastikan kesemua kami akan terus hidup bersepakat.
Selamat hari jadi, semoga abang akan terus menjaga diri, keluarga dan kesihatan.
Tidak salah agaknya saya ingin membuat sedikit komentar tentang pemilihan pimpinan PAS di Muktamar Tahunan PAS ke-55.
Saya ahli UMNO dan beragama Islam. PAS yang memperjuangkan Islam adalah parti pilihan bagiku.
Dalam blog duniaku ini, saya pernah beberapa kali meluahkan rasa hati supaya ada keseriusan perbincangan untuk mencari titik pertemuan agar agama, bangsa dan tanah air ini terus bersinar dan menjadi milik kita.
Kemenangan mutlak Datuk Sri Haji Hadi Awang dan kepercayaan sebahagian besar perwakilan kepada Ustaz Nasaruddin Mat Isa memberi pengharapan kepada ide menubuhkan kerajaan perpaduan.
Saya lebih tertarik apabila Ketua baru Dewan Pemuda PAS Pusat kini diterajui oleh Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi. Beliau mempunyai sikap terbuka dan bersedia menerima pandangan dari pihak lain. Pandangannya disini.
Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi
Pengharapan saya agar UMNO dan PAS sebagai parti terbesar orang-orang Melayu dan Islam, dapat menurunkan keegoan masing-masing untuk merealisasikan impian agar masalah ekonomi dan konflik politik dapat diselesaikan.
Saya sebagai orang luar melihat Datuk Sri Haji Hadi Awang mempunyai sedikit perbezaan pendekatan jika dibandingkan pada satu masa lalu.
. Di satu majlis perkahwinan di Bandar Baru Uda, saya bersua dengan Haji Mohd Said Ibrahim dan Abdullah Idris. Kedua-duanya adalah rakan saya yang bergiat dalam parti politik.
Sungguhpun mereka berbeza dari segi ideologi dan perjuangan, namun sebagai umat Islam tentulah merea tidak dapat dipisahkan dari segi persaudaraan seagama.
Tidak taulah kalau salah seorang dari mereka menganggap yang seorang lagi tu tidak seagama dengannya, maklum saja mungkin ada yang mengatakan dia lebih Islam dari yang lain!.
Hj Mohd Said (berbaju kuning) adalah Ketua UMNO Caw. Skudai Kanan dan Abdullah Idris (berbaju hijau) adalah Ketua PAS Bahagian Pulai
Malam Sabtu yang lalu, saya diberitahu bahawa Kak Supinah, ibu mertua Abang Asmuni telah meninggal dunia di Taman Koperasi Polis Gombak.
Saya bergegas ke Kuala Lumpur bersama Annis, Shafikah, Junainah, Najla dan bertolak pada jam 11.00 malam.
Kami sampai di rumah Halim (adik ipar) di Taman Equine pada jam 4.00 pagi dan dapat melelapkan mata sebelum bertolak semula ke masjid Taman Koperasi Polis untuk bersama menguruskan jenazah allahyarhamah.
Saya sempat mengambil gambar di tanah perkuburan dengan menggunakan telefon bimbit Samsung Omnia.
Mungkin gambar-gambar ini akan menjadi kenang-kenangan keluarga Abang Asmuni.
Alfatehah untuk roh allahyarhamah Kak Supinah, semoga ditempatkan bersama roh di kalangan orang-orang soleh dan solehah.
Saya telah hadir dalam Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi bulan Mei yang telah diadakan pada hari Isnin 01 Jun 2009 bermula jam 10.00 pagi. Mesyuarat boleh diikuti secara langsung melalui laman web MBJB.
Lahir di Kg Puteri Menangis, Benut, Johor pada tahun 1952. Pernah 25 tahun bekerja sebagai kakitangan FELDA dan meneruskan penghidupan dengan pelbagai kerja yang halal. Sekarang bekerja sukarela dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.
Sebelum ini bergiat aktif dalam parti siasah UMNO di peringkat cawangan dan Bahagian.