Radio Internet FuhYooFm

Ahad, Januari 31, 2010

KURSUS BIRO LATIHAN UMNO BAHAGIAN JOHOR BAHRU

.
UMNO Johor Bahru melalui Biro Latihan pada petang tadi telah mengadakan kursus pentadbiran setengah hari untuk Setiausaha dan Bendahari Cawangan.

Seramai 120 orang telah hadir di Dewan Raya Kampong Melayu Majidi. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Tuan Hj Mohd Zin Sungip, Naib Pengerusi Biro Agama UMNO Bahagian Johor Bahru.

Memulakan ucapan adalah Puan Hjh Saadiah Hussin, Pengerusi Biro Latihan yang menjelaskan mengenai keperluan mengadakan kursus ini.

Setiausaha UMNO Bahagian, Tuan Haji Misbah Haji Zainuddin telah menyampaikan taklimat dan perkembangan terakhir dalam urusan pentadbiran UMNO samada di peringkat Cawangan, Bahagian dan juga Ibu Pejabat.

Diantara perkara yang diperjelaskan adalah yang berkaitan dengan:- Pindaan Perlembagaan UMNO
  • Yuran Tahunan
  • Permohonan dan Pertukaran Ahli
  • Sistem Kuota dan Kelayakan
  • Jawatnkuasa Pemilihan UMNO (JPU)
  • Penambahan Perwakilan Ke Perhimpunan Agung
  • Penambahan Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa Di Semua Peringkat
  • Penambahan Perwakilan Ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian
  • Perlaksanaan Pindaan Perlembagaan
Ketua Bahagian, Dato' Shahrir Samad tidak dapat turut hadir kerana menghadiri mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri pada masa yang sama.

Sabtu, Januari 30, 2010

BLOGGER MENGHINA ALMARHUN SULTAN JOHOR DITUDUH DI MAHKAMAH SESYEN SEREMBAN

.
Aduka Taruna bersanding
sehari selepas pertuduhan di mahkamah


Khairulizam Abdul Ghani, nama sebenar blogger Aduka Taruna yang menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail telah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban.

Tertuduh berumur 29 tahun dan bekerja sebagai Pereka Grafik telah menghina Almarhum dalam blognya dengan tajuk "Dah mampos buat cara mampos la".

Dia yang telah melangsungkan perkahwinannya di Rumah Rakyat Panchor, Paroi pada hari Sabtu semalam, telah membuat entri berbunyi "Dah mampos buat cara mampos la. Boleh plak simpan mayat nak tunggu Datuk Bendahara balik dari shooping. Boleh meeting isytihar sedang terlentang. Pada hal dah mampos pagi tadi. Pergi mampos sama lu. Bodoh punya kerajaan spesis stupid".

Mahkamah telah mengenakan ikat jamin RM5,000 dan kesnya akan disebut pada 31 Mac 2010.

Khairulnizam didakwa mengikut Seksyen 233(1)(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1008 (Akta 588) yang boleh dikenakan humuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Saya telah mendapatkan maksud Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) dalam Bahagian X-Am (Bab 2 - Kesalah Dan Penalti Tambahan). Ia sangat penting kepada blogger bagi memperlengkap dan menyedarkan diri sebagai garis panduan dalam penulisan terutamanya dalam blog.

Seksyen 233: Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dll.

(1) Seseorang yang - (a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar - (i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta, dan (ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain: atau (b) memulakan sesuatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik, adalah melakukan suatu kesalahan.

(2) Seseorang yang secara sedar - (a) dengan menggunakan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi memberikan apa-apa komunikasi lucah bagi maksud komersial kepada mana-mana orang; atau (b) membenarkan suatu perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi di bawah kawalan orang itu untuk digunakan bagi suatu aktiviti yang diperhalkan dalam perenggan (a), adalah melakukan suatu kesalahan.

(3) Seseorang yang melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen ini apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

KALI KETIGA DIGANGGU PENYAKIT GOUT

.
Petang semalam sendi ibu jari kaki kanakku telah mula membengkak, panas dan terasa sakit. Saya gagahkan juga untuk mengikuti majlis membaca Yasiin dan tahlil di Istana Besar. Dato' Shahrir telah memberi arahan supaya AJK UMNO dan Pemuda Bahagian Johor Bahru untuk turut sama dalam majlis tersebut.

Saya telah menjangka sakit ini adalah sakit gout yang pernah saya rasai dahulu, mungkin 5 tahun sebelum ini. Julung kali saya terkena adalah semasa membuat persiapan perkahwinan anak sulungku, Suria Irwany. Saya banyak memakan Tempeyek Kacang Tanah yang diberi oleh jiran sebelah rumah. Memang sedap hingga kaki begitu sakit pada keesokan harinya. Saya ke klinik berdekatan dan diberi satu suntikan yang dapat menghilangkan bisa.

Kali kedua adalah berpunca memakan sotong Cumi di Tanjong Pinang. Saya makan agak banyak seperti makan kacang putih. Keesokan hari kaki telah membengkak hingga sukar untuk memandu kereta.

Saya gagahkan juga ke Istana Besar walau tidak selesa, berjalan terhenjut kerana menahan sakit. Hj Abd Lah Awang, seorang penggiat NGO di Johor bersedia membawa saya ke sana.

Sepanjang malam saya menahan kesakitan. Terasa bisa seperti dicucuk di sendi jari kaki. Saya teringat penyakit ini adalah disebabkan oleh aaid urik yang telah berkumpul di bahagian bawah iaitu di jari kaki. Dahulu, penyakit ini dikaitkan dengan penyakit orang kaya kerana ia dikaitkan dengan jenis pemakanan yang terlalu banyak berkhasiat. Ketika tidur, untuk mengurangkan kesakitan, saya terpaksa meletakkan kaki kanan ke atas, lebih tinggi dari paras badan. Alhamdullillah, berkesan.

Sekitar jam 10 pagi, saya meminta isteri memandu kereta untuk membawa saya ke Klinik Perling dialamat 500 Jalan Simbang, Taman Perling. Saya ke sana untuk meminta khidmat nasihat dan merawat penyakit. Pemilik klinik adalah Dr. Ahmad Tarmimi Bokhari, anak saudara sepupu. Ibunya, Hjh Fatimah Maskon adalah sepupu waris. Pak Maskon adalah abang kepada ayahku. Sebab itu saya mencarinya untuk mudah meminta nasihat.

Dr Ahmad Tarmimi yang biasa sejak kecil kami memanggilnya 'Mamat' bertanya tentang jamuan khususnya makanan laut yang saya ambil dalam tempoh sehari dua ini. Dua hari sebelumnya saya bersama YB Adam Sumiru dan rakan-rakan mengikuti solat Maghrib dan Isyak dengan penduduk Kg Sri Paya. Selepas dari program ini, kami ke Restoran Anggun di Larkin Perdana. Saya menjamu Tom Yam Chingemai, ada yang memanggilnya Tom Yam Sedafood kerana diantara bahannya adalah Ketam dan makan laut lainnya.

Keesokan harinya pula, isteri menyediakan goringan ikan bilis yang dicampur dengan bawang dan lada. Enak, banyak yang saya makan, hampir separuh pinggan. Memang sedap kerana selepas makan saya masih meratah ikan bilis ini. Puncanya mungkin ikan bilis yang saya beli dari Kota Kinabalu, bersih, segar, cantik dan rangup.

Mamat mengatakan ikan bilis yang menjadi punca kerana terlalu banyak yang saya ambil. Kalangan lelaki yang berumur melebihi 40 tahun adalah yang paling ramai dihinggapi, apatah lagi umurku sudah mencapai 58 tahun. Asid urik biasanya menyerang pada ibu jari kaki terhasil dari pemecahan sel-sel tua yang mati yang berlaku dalam hati selain mengambil makanan yang tingi kandungan protinnya seperti makanan laut dan daging.

Bagi mengurangkan paras asid urik, Mamat memberi ubat untuk diambil setiap jam bagi mengeluarkannya melalui air kencing dan najis. Dalam tempoh 3 hari sekiranya najis telah menjadi cair, pengambilan ubat boleh dihentikan. Selain itu ubat yang diberi adalah tablet penahan sakit dan menghilangkan bengkak.

Saya akan berusaha untuk mengelakkan berulangnya penyakit ini. Banyak maklumat yang boleh didapati dalam internet dan diantaranya adalah dari Portal Hospital Bentong (boleh klik di sini). Saya akan berusaha untuk mengurangkan asid urik dalam badan seperti menjaga kegemukan kerana ia boleh mengganggu keupayaan badan untuk mengeluarkan asid urik. Selain itu pengambilan berlebihan makanan purin berprotein tinggi seperti makanan laut (udang, ketam, sotong, ikan bilis dan sebagainya) serta daging merah (kambing, lembu dan lain-lain) akan menyebabkan berlebihan asid urik sehingga menderita gout.

PELAJAR AWAL SEKOLAH KEBANGSAAN SRI SENANG HATI, BENUT, PONTIAN

.
Align CentreHjh Fatimah Maskom

Saya sedang berusaha mendapatkan maklumat Sekolah Kebangsaan Sri Senang Hati, Benut, Pontian, Johor. Saya adalah salah seorang murid yang pernah mendapatkan ilmu pembelajaran sekolah rendah sejak dari tahun 1958 hingga 1961.

Mengapa sekolah ini diberi nama 'Senang Hati', masih belum mendapat jawapan tepat. Mungkin ia ada kaitan dengan nama kampong dimana sekolah ini terletak. Kampong yang dimaksudkan adalah Kampong Parit Peteri Menangis. Maksud Peteri Menangis di sini ialah Puteri Menangis.

Tentang Puteri Menangis, saya telah diberitahu oelh emak (ibu saya) bahawa ketika dahulu memang pernah kelihatan seorang wanita muda sedang menangis melalui perkampongan tersebut. Beberapa penduduk kampong pernah terjumpa beberapa kali sehingga kampong tersebut dinamakan Kampong Parit Peteri Menangis.

Bapa saya, Md Som (tulisan jawi Ma'asom) Bin Abdul Rahman lahir di Desa Pekalongan, Pati, Jawa Tengah adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan sekolah berkenaan. Insan ini yang juga dikenali sebagai Haji Tohir selepas menunaikan fardu haji, saya memanggilnya 'bapak' telah dilantik sebagai Ketua Kampong oleh Kerajaan Johor dengan elaun 100 ringgit setahun.

Hj Md Som bin Abdul Rahman

Pada awal tahun 50an, bapak telah menemui Wan Man, seorang Pegawai Pelajaran dari Melaka dan membincangkan pembinaan sebuah sekolah. Penduduk dari beberapa buah kampong berdekatan seperi Parit Tengah, Parit Salleh, Parit Gantong dan Parit Peteri Menangis sendiri telah bergotong royong membina sebuah bangunan 2 bilik untuk dijadikan tempat pembelajaran.

Saya masih teringat bagaimana saya ketika berumur 3 tahun telah dibawa oleh bapak untuk sama-sama melihat kerja-kerja gotong royong menyiapkan bangunan sekolah.

Sekolah yang dibina berada 2 kilometer dari jalan besar menghubung Batu Pahat dan Pontian, hanya beratapkan nipah dan berlantaikan tanah. Setiap meja digunakan oleh 2 orang murid. Setiap bilik darjah boleh diduduki oleh 20 orang murid. Guru yang mengajar di peringkat awal ini ialah Ahmad Kasdan, Ibrahim dan Masood Yusof.

Sekolah ini mula digunakan pada tahun 1954. Diantara murid pertamanya ialah Hjh Fatimah Maskon. Beliau adalah sepupu waris saya kerana bapak dan bapanya adalah saudara kandung. Kami sekeluarga memanggilnya Kak Tuginah. Bersama suaminya yang telah meninggal, Abang Bokhari Abd Hamid, ketika ini menetap di Felda Ulu Tebrau dan mempunyai keluarga yang berjaya.

Kak Tuginah hanya belajar hingga ke Darjah 5 kerana sekolah ini tidak dapat mengadakan Darjah 6. Mereka terpaksa meneruskan di Pekan Benut iaitu sejauh 5 kilometer.

Waktu tersebut merupakan satu waktu yang sukar terutama dari segi perhubungan jalan raya. Jalan-jalan di kampong masih lagi tanah liat dan juga menggunakan sungai dan tali air. Sebagai contoh, untuk sampai ke sekolah, Kak Tuginah yang berada di Parit Tengah terpaksa meredah belukar dan perkebunan getah sejauh 2 kilometer.

Bangunan baru Sek Keb Seri Senang Hati
,

YASIIN DAN TAHLIL DI ISTANA BESAR

.
Maghrib tadi saya ke Istana Besar Johor Bahru untuk bersama-sama bertahlil untuk Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail yang telah mangkat pada hari Jumaat minggu lalu. Dianggarkan 1,000 orang menghadiri majlis tersebut yang kebanyakannya terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Majlis bermula dengan solat Maghrib diikuti dengan bacaan Yasiin dan bertahlil serta diakhiri dengan solat Isyak. Majlis tersebut diketuai oleh YB Dato' Haji Noh Gadut, Penasihat Agama Islam Negeri Johor.

KEMASKINI BLOG AHLI MAJLIS MBJB ZON BBU

.
Memang telah lama saya tidak kemaskini blog mbjbzonbbu.blogspot.com. Entri terakhir adalah pada 22 Julai 2009. Hari ini saya memaparkan ucapan saya dalam Mesyuarat Penuh MBJB bagi bulan Januari 2010.

Insyaallah, saya akan cuba mengaktifkannya semula.

Rabu, Januari 27, 2010

HEBOH DENGAN ADUKA TARUNA

.
Orang Melayu di negara kita sekarang bercakap hal seorang blogger yang menulis perkataan kesat yang merujuk kepada kemangkatan Sultan Iskandar di dalam blognya. Sungguhpun blogger ini (Aduka Taruna) telah menyatakan permohonan maaf (baca), ia masih menjadi perbualan ramai dimana saja. Peliknya, ada orang yang tak pernah mambaca blog sehingga yang tidak pernah memegang dashboard pun boleh bercerita panjang tentangnya.

Saya sendiri tidak pernah terjumpa dengan blog ini. Sekarang cuba juga untuk melayarinya, itupun hanya melihat secara rambang. Puncanya hanya kerana bahasa yang digunakan, sangat kasar dan tidak bersopan.

Saya tak pasti berapa banyak entirinya tapi salah satu darinya menyebut tentang Aishah, isteri Nabi Muhammad SAW. Baca dan fikirlah sendiri apakah jenis manusia seperti ini.
.

Jumaat, Januari 22, 2010

LAWATAN AHLI MAJLIS MBJB KE ZON KEBUN TEH

.
Petang tadi saya mengikuti lawatan yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Johor Bahru, Dato' Shahrir Samad ke Zon Kebun Teh. Zon MBJB ini diwakili oleh Puan Hjh Salmah Saffar, Ketua Wanita UMNO Bahagian Johor Bahru.

Lawatan ke zon-zon MBJB dalam Parlimen Johor Bahru adalah jadual yang telah ditetapkan oleh Dato' Shahrir untuk tujuan mengenalpasti masalah setempat disamping mencari jalan penyelesaiannya.

Semua lawatan seperti ini akan dilakukan oleh Ahli-Ahli Majlis dari Parlimen Johor Bahru dan dari semua parti yang mewakilinya seperti UMNO, MCA, MIC dan PGRM. Bagaimanapun, untuk lawatan hari ini, hanya 5 orang Ahli Majlis dari UMNO yang turut bersama iaitu Hjh Salmah Saffar, Azman Dawam, Khalid Mohamad, Datuk Yahya Jaafar dan saya sendiri.

Beberapa tempat lawatan yang menjadi fokus adalah:-
  • Kawasan sering banjir di Jalan Ole-Ole, Kg Kurnia
  • Tasek jadian di Southern City
  • Rumah kosong di Taman Kebun Teh
Turut sama dalam lawatan ini adalah pegawai-pegawai dari Majlis Bandaraya Johor Bahru.

Rabu, Januari 20, 2010

SAYA PERNAH KETAGIH ROKOK

.
Ramai yang mengetahui bahaya menghisap rokok. Soalnya mengapa susah benar untuk berhenti menghisapnya?.

Saya pernah ketagih rokok satu ketika dahulu. Ketika saya berumur lewat belasan tahun, saya mula menghisap rokok. Saya telah mempunyai pekerjaan tetap, tentulah tidak bermasalah untuk membelinya. Kawan juga ramai yang kebanyakannya perokok.

Sepuluh tahun saya merokok. Tidak banyak masalah cuma sesekali terasa juga sakit dada dan kekadang sesak nafas juga.

Saya masih teringat bagaimana pada dinihari pagi dalam tahun 1979 telah dibawa ke hospital Johor Bahru dari Felda Ulu Tebrau kerana menderita demam panas. Ketika itulah bermulanya saya berhenti menghisap rokok.

Bagaimanapun, ia hanya bertahan lebih kurang setahun. Bermula dengan hisap suka-suka dengan meminta sebarang rokok dari seorang rakan menyebabkan saya ketagih semula.

Berdasarkan pengalaman saya, apabila kita menghisap semula, ketagihan kita lebih hebat dari dahulu. Kalau sebelumnya saya hanya memerukan 12 batang rokok sehari, setelah menghisap semula menjadi 20 batang sehari.

Ketentuan Allah, pada bulan September 1982 saya dihinggapi demam panas ketika mengendalikan kursus anjuran Gerakan Belia 4B Johor Bahru di Kampong Maju Jaya. Bermula saat itulah saya berhenti sekali lagi.

Seminggu tidak menghisap rokok. Mungkin kerana demam, tekak terasa pahit. Alhamdullillah, secara kebetulan kerajaan menaikkan cukai dan harga rokok mula melambung.

Saya bertekad untuk terus berhenti merokok. Sehingga kini, saya dapat bertahan dan sudah tidak terfikir untuk merokok lagi.

Memang benar, selepas berhenti merokok, badan bertambah gemuk.

Kini yang tinggal hanyalah gambar sebagai kenang-kenangan.

Bagi yang ingin berusaha untuk berhenti merokok, bolehlah baca blog ini, majalah blogspot dan rampaiseri wordpress.

Saya berbaju batik bersama rakan Belia 4B Kebangsaan,
lihat kamera dan rokok di jari

Ketika membuat urusetia lawatan ke Kuala Lumpur,
lihat kotak rokok bersebelahan typewritter

Mencangkung di tengah-tengah, itulah saya
rokok tetap ada di celah jari kiri

SIAPA MENGENALI MEEKA BERTIGA INI?

.

Saya ingin mencari 3 orang jemaah haji yang bersama saya dalam satu bilik di Madinah dan Mekah.

Kami menggunakan pakej Utas Travel sepanjang berada di tanah suci pada bulan Mei 1998.

Sesiapa yang mengenali ketiga-tiga mereka boleh menghubungi saya melalui blog ini atau email kepada saya sunawanbbu@gmail.com atau telefon bimbit 019-7731264.

WAJAH NYAIKU

.
Nyai Rahmah duduk di tengah-tengah diantara bapa dan ibuku
Baris belakang, saya di kiri bersama Ahmadon, Asmuni dan Abang Redzuan.
Di hadapan, Ahmad Abdul Bashir dan Noramireen (Cicit Nyai)

Inilah wajah nyaiku. Satu-satunya gambar yang ada dalam simpanan. Namanya setelah pergi menunaikan fardhu haji adalah Hajah Rahmah binti Sardini.

Nyai adalah ibu kandung ibuku. Suaminya yang juga yaiku bernama Reban dan setelah menunaikan haji diberi nama Haji Abdul Majid bin Radio. Kedua pasangan suami isteri ini mempunyai 2 orang anak perempuan iaitu ibuku yang diberi nama Sarmi dan kakaknya yang meninggal dunia semasa dilahirkan.

Yai Reban

Nyai Rahmah lahir dari sebuah desa di Kendal, Jawa Tengah. Ketika ramai penduduk pulau Jawa berpindah dari kampong halaman untuk mencari penghidupan baru menuju Sumatera dan Malaya, Nyai Rahmah bertekad ke Malaya atau Tanah Melayu. Nyai ke Klang Selangor. Difahamkan ada beberapa orang saudara maranya di sana hingga kini yang tidak dapat dikenali.

Selasa, Januari 19, 2010

RESEPI: ROJAK ASMA

.
Bahan Kuah:
  1. Kacang Tanah
  2. Lada Kering
  3. Asam
  4. Gula Tebu atau Gula Timbang
  5. Gula Pasir
  6. Ajinomoto
  7. Bijan (goreng tanpa minyak)
Cara Membuat Kuah:

Semua bahan disatukan dalam periuk lalu dijerang atas api hingga naik minyak. Kiranya terlalu pekat, campurkan sedikit air.

Bahan Membuat Jemput-Jemput:
  1. Tepung
  2. Taugeh
  3. Yeast
  4. Garam
Cara Membuat Jemput-Jemput:

Semua bahan diramas rata dan dibiarkan sekejap supaya ia naik sedikit lalu digoreng.

Bahan Membuat Rojak:
  1. Timun
  2. Daun Salad
  3. Telur Rebus
  4. Sotong Rebus
  5. Tahu Goreng
  6. Kentang Rebus
  7. Ketam Goreng
  8. Mee Kuning

INGIN MENCUBA RESEPI MASAKAN ISTERIKU?

.
Mulai hari ini, saya akan berusaha untuk resepi masakan isteriku. Memang banyak catatannya semasa dia belajar memasak semasa muda dahulu. Tidak malu saya katakan, ketika mula berumahtangga dengannya memang isteriku ini tidak pandai memasak. Kalau bolehpun mungkin masakan biasa sahaja. Begitupun, apabila dia tahu kelemahannya, lantas dia belajar dengan beberapa orang guru memasak. Banyak juga belanjanya. Setiap pelajaran akan dikenakan bayaran RM5, tidak termasuk bahan mentahnya. Itu belum lagi tambang perjalanan pergi balik dari Ulu Tiram ke Johor Bahru dengan teksi. Ketika tahun 70an, RM20 untuk perbelanjaan belajar memasak dianggap mahal.

Banyak catatan yang disimpan. Biarlah saya salin semula di blog ini supaya dapat dimenfaatkan oleh mereka yang ingin mencubanya.

Bagi mereka yang ingin keterangan lanjut tentang resepi yang akan dipaparkan, bolehlah menghubungi saya melalui email sunawanbbu@gmail.com atau terus menghubunginya, Kak Anis 019-7676400.

Mudah-mudahan ilmu yang sedikit ini dapat menjadi sebahagian dari jariah kami, insyaallah.



Ahad, Januari 17, 2010

PENDUDUK SETINGGAN AKAN TERUS DIBELA

.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Dato' Shahrir Samad mengulangi kenyataannya bahawa penduduk setinggan di 7 buah kampong dalam DUN Stulang akan tetap dan terus diberi pembelaan. Jaminan ini diucapkan dihadapan penduduk Kampong Dato' Hajah Hasnah Ahmad hujung minggu lalu.

Dalam perjumpaan ini Dato' Shahrir menegaskan bahawa pemimpin masyarakat di kampong-kampong setinggan hendaklah terus gigih menjalankan tugas dengan penuh keikhlasan tanpa memikirkan soal ganjaran atau imbuhan. Sebagai pemimpin, mereka juga akan mendapat imbalan yang sama sebagaimana anak buah mereka tanpa sebarang keistimewaan.

Dato' Shahrir mengucapkan terima kasih atas kesediaan penduduk Kampong Dato' Hajah Hasnah Ahmad yang sanggup berpindah walaupun kampong mereka tidak terlibat dengan pembinaan jajaran EDL atau Eastern Dispersal Link yang menghubungkan Kompleks KIK Iskandar hingga ke Pandan Interchange. Ini menunjukkan penduduk telah berfikir secara positif dengan mengutamakan kualiti dan kesejahteraan hidup.

Sebagai Ahli Parlimen dan Ketua UMNO di Bahagian Johor Bahru, Dato' Shahrir menjelaskan 3 prinsip utama untuk memindahkan penduduk setinggan iaitu mempastikan mereka mempunyai rumah yang boleh ditinggalkan kepada waris, berpindah dengan penduduk lain dalam kampong yang sama dan tidak akan berpindah selagi rumah belum siap sepenuhnya.

PEMERGIAN SEORANG SUKARELAWAN GIGIH MASJID BANDAR BARU UDA

.
Allahyarham Hj Subari Manan

Petang semalam, kariah masjid dan masyarakat Bandar Baru Uda kehilangan seorang sukarelawan yang begitu gigih pada sebahagian besar sisia hidupnya berbakti di Masjid Bandar Baru Uda.

Haji Subari Manan, pesara kakitangan Pos telah menghembuskan nafas akhirnya pada jam 2.30 petang di Hospital Pakar Puteri Johor Bahru. Beliau yang berumur 75 tahun meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

Jenazahnya telah dimandi dan dikafankan oleh Hj Abd Rahman Wahab, bilal Masjid BBU dan telah disolatkan di kediamannya dan juga sekali lagi di masjid. Seterusnya jenazah telah disemadikan di Makam Bukit Alif Tampoi selepas solat Asar.

Alhamdullillah, begitu ramai yang menziarah serta menguruskan pemakamannya yang memberi erti segala pengorbanannya semasa hayatnya diberi pernghormatan.

Seminggu allahyarham berada di hospital, saya dapat mengunjunginya dua kali. Terakhir adalah dua hari sebelum beliau meninggal. Dia masih boleh mengeluarkan suara walaupun dalam keadaan tersekat-sekat. Masih terdengar-dengar dia meminta maaf dan menghalalkan segala makan minumnya. Ketika ingin meninggalkannya, saya begitu sayu kerana dari keadaan keuzurannya allahyarham akan segera menemui tuhannya.

Saya pamirkan gambar-gambar yang menunjukkan betapa gigihnya allahyarham sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan yang sebahagian tugasnya adalah menguruskan pasukan katering masjid.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan bersama-sama para solihin.

Seminggu sebelum Hj Subari meninggal dunia
bersama Mahadzir, Samsool, Hj Salam dan Yanto

Jumaat, Januari 15, 2010

MAJLIS PERASMIAN KIOSK KARIAH DAN EBC BANK ISLAM

.
Sesuai sebagai pusat komuniti setempat, Masjid Jamek Bandar Baru Uda memperluaskan fungsinya dengan menempatkan Kiosk Kariah dan mesin EBC Bank Islam.

Kiosk Kariah merupakan antara perniagaan yang diuruskan oleh Koperasi Masjid Jamek Bandar Baru Uda Johor Bahru Berhad dengan menjual peralatan ibadah dan makanan ringan. Mesin EBC atau Electronic Banking Centre kepunyaan Bank Islam Malaysia Berhad menyediakan perkhidmatan kepada kariah untuk urusan perbankan yang berurusan 24 jam.

Kedua-dua kiosk ini terletak bersebelahan bangunan induk masjid dan telah dibina dengan kerjasama Khir Arkitek serta IOS Resources Sdn Berhad.

Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Dato' Shahrir Samad, Ahli Parlimen Johor Bahru selepas solat Jumaat yang baru lalu. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Dato' Wan Ismail Wan Yusoh, Pengurus Besar Perhubungan Strategik Bank Islam Malaysia Berhad.

Bersempena dengan majlis perasmian, Yayasan Restu Malaysia bersama Yayasan Warisan Johor telah mengadakan pamiran seni khat dan pamiran seni Islam.

Beberapa akhbar harian telah membuat liputan seperti yang dilaporkan oleh NST pada 12/01/2010 dan 20/01/2010.


Dari kiri, Us Baharuddin Tibek (KPP Pengurusan Masjid JAIJ),
Dato' Wan Ismail Wan Yusoh (Bank Islam Malauysia Berhad),
Us Suliman Sujak (Pengerusi MJBBU),
Dato' Shahrir Samad (Ahli Parlimen Johor Bahru)

Dato' Wan Ismail Wan Yusoh (Bank Islam Malauysia Berhad)

Dato' Shahrir Samad (Ahli Parlimen Johor Bahru)

Antara tetamu yang hadir

Papan tanda Kiosk Kariah

Dato' Wan Ismail menerima cenderamata

Hj Khairuddin Darwis dari Khir Arkitek menerima cenderamata

Bersama memotong pita perasmian Kiosk Bank Islam

Dato' Shahrir memulakan urusan menggunakan mesin EBC

Memotong pita perasmian Kiosk Kariah

Plak perasmian Kiosk Kariah

Dato' Shahrir bertanya sesuatu dalam Kiosk Kariah

Dato' Shahrir menerima hasil kerjatangan Us Jainal Sakiban

Hasil seni Us Jainal Sakiban untuk Dato' Wan Ismail

Yayasan Warisan Johor turut menjayakan
majlis perasmian

Menandatangani Buku Pelawat

Dato' Shahrir melihat al-Quran mushaf Malaysia
hasil penulisan tangan Yayasan Restu Malaysia