Radio Internet FuhYooFm

Isnin, September 28, 2009

TEMPOH SEBULAN UNTUK MENGETAHUI PENYAKIT!

.
Saya baru balik dari Klinik Kesihatan Kempas kerana memenuhi temujanji dengan doktor untuk rawatan jari hantu tangan kiri yang sakit. Walaupun jariku sudah sembuh setelah dibuat suntikan oleh doktor klinik swasta, saya pergi juga untuk melihat pemeriksaan darah yang telah diambil sebulan yang lalu.

Doktor yang membuat pemeriksaan bertanya tentang penyakitku. Dengan selamba saya mengatakan penyakit sudah sembuh. Dia bertanya lagi, doktor mana yang merawat, klinik mana, apa penyakitnya, kena suntik atau tidak dan sebagainya.

Terfikir di hatiku mengapa soalan ini tidak ditanya semasa saya mengadu sakit sebulan yang lalu. Ketika itu saya hanya diminta untuk membuat ujian darah pada hari esoknya dan seterusnya kembali semula untuk berjumpa doktor pada hari ini (selepas sebulan). Ketika itu saya hanya diberi ubat tahan sakit. Sila baca posting yang pernah saya buat sebelum ini.

Mungkinkah klinik-klinik kesihatan yang lain juga begini?. Sekiranya benar, begitu malang nasib pesakit yang kurang mampu terutama dari luar bandar yang terpaksa menanggung sebulan lamanya hanya untuk mengetahui punca penyakit!.

Sebagai contoh, untuk kes ini, doktor hanya akan mengetahui tentang Urid Acid. Hari ini dia mengetahui Urid Acid saya agak tinggi kerana bacaannya adalah 463 melebihi dari paras 410.

Saya tidak diberi sebarang ubat dan ketika keluar dari bilik pemeriksaan doktor beberapa persoalan yang bermain di pemikiranku.

"Patutlah ketika ini begitu banyak klinik persendirian dan hospital swasta,"

Sabtu, September 26, 2009

MENGAPA YB DR SITI MARIAH MENGANGGAP RAYA TAHUN INI PALING TIDAK MERIAH?

.

Raya tahun ini paling tidak meriah bagi
YB Dr Siti Mariah Mahmud

Saya baru terbaca blog Ahli Parlimen Kota Raja dari Parti PAS (baca blognya). Terkejut kerana saya tidak terfikir beliau berani menyatakan perkara benar yang berlegar dalam pemikirannya. Tidak ramai wakil-wakil rakyat terutama dari Pakatan Rakyat yang berfikiran begini selain YB Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin dari PKR.

Pemikiran YB Kota Raja ini berkecamuk dan tidak tenteram seperti dahulu kerana dalam musim Hari Raya kali ini banyak cerita yang tidak sedap didengar.

Saya percaya beliau bercakap benar dan berterus terang. Mungkin ketika ramai rakyat bertemu antara satu dan lain sewaktu solat 'Aidil Fitri atau semasa kunjung mengunjung, berita tidak sepakatan pimpinan atau kelemahan kerajaan dalam Pakatan Rakyat menjadi isu perbualan.

Beliau sendiri mempersoalkan mengapa Pakatan Rakyat tidak berpakat?. Lihat apa katanya "Kan nama yang diguna pakai ialah Pakatan Rakyat, apa pasal tak berpakat? Rakyat mula bertanya. Apa nak jawab."

Teguran Tun Dr Mahathir dalam beberapa isu sejak akhir-akhir ini juga merungsingkannya. Mengapa tidak, dalam pengamatan saya, beberapa kenyataan Tun telah mendapat banyak sokongan yang boleh menguatkan semula sokongan rakyat kepada Barisan Nasional.

Mungkin YB ini nak menyedapkan hatinya. Apa katanya, "Tun Mahathir pun dah masuk daun, dia komen macam-macam fasal pakatan ikut sedap dia ajelah.... macam biasa lah."

Para akhir postingnya memperlihatkan benar-benar beliau mengharapkan agar segala isu dan cerita yang sedang diperdebatkan oleh rakyat adalah cerita yang tidak benar. Tapi mengapa pula beliau percaya pimpinan parti PKR, DAP dan PAS akan bertemumuka untuk menyelesaikan masalah?. Apa katanya,

"Moga-moga cerita sekadar cerita .... last nanti terpaksalah ke3 tiga bos besar duduk round table and keluar statement ..... pas tu terus salam-salaman dan peluk-pelukan.... selesai satu perkara..... Amin."

Begitupun, YB Kota Raja ini tidak percaya kerajaan Pakatan Rakyat tidak berhadapan dengan isu lagi. "Tapi macam tak serik je .... tak lama lepas tu keluar lagi satu hal yang yang rakyat tak suka."

Akhirnya beliau memberi peringatan kepada pimpinan Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Selangor, "Jagalah Negeri Selangor baik-baik.... Amanah rakyat tu."

Begitulah kerunsingan YB Dr Siti Mariah sehingga menganggap raya tahun ini paling tidak meriah.


Jumaat, September 25, 2009

BERKENALAN DENGAN BLOGGER AHMAD SYAZWAN

.
Pagi tadi ketika mencari-cari agen pelancongan untuk membawa beberapa orang dari Kelab Warga Emas Masjid Bandar Baru Uda untuk melancong ke Vietnam, saya terjumpa blog Ahmad Syazwan. Saya terus menghubunginya dan mendapat respon yang cepat.

Petang semalam saya membaca blognya tetapi tidak tahu beliau juga boleh menguruskan lawatan dan ziarah ke luar negara.

Saya tertarik apabila membaca blognya dan percaya beliau mempunyai banyak pengalaman walaupun umurnya baru 25 tahun. Dalam blognya dia merasakan dah tua (i know, i'm old). Bagi saya, beliau mempunyai banyak masa untuk melihat dan bersama-sama mewarnakan dunia mendatang.

Bandingkan antara saya dan Syazwan, pada ketika beliau lahir, saya telahpun menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pulai dan ketika itu saya telah melihat Anwar Ibrahim adalah orang yang tidak patut diberi tempat dalam UMNO. Saya menentang dan tidak mencalonkannya dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Dan sekarang terbukti Anwar menjadi ancaman kepada UMNO, parti pembela bagi mereka yang sanggup digelar orang Melayu, agama Islam dan negara Malaysia.

Saya percaya Syazwan mempunyai pemikiran positif dan berdasarkan latar belakang dan pengalamannya yang baru saya baca, beliau seharusnya mencari lebih ramai kenalan untuk bertukar-tukar fikiran dan akhirnya membentuk individu yang menjadi aset berguna kepada negara.

Insyaallah beliau mungkin boleh membantu saya khususnya komuniti masjid saya untuk membuat lawatan-lawatan ke luar negara dan juga perkara-perkara lainnya.



Khamis, September 24, 2009

HARI KELIMA: BERMULA MARHABAN RAYA

.

Di Johor atau mungkin di negeri lain di negara kita, bermulanya Syawal maka akan bermulalah kumpulan Marhaban berarak atau berziarah dari rumah ke rumah untuk berselawat dan bermaaf-maafan.

Di Bandar Baru Uda, saya adalah ketua kumpulan Yassin Al-Ikhlas yang telah ditubuhkan sejak dari tahun 1984. Ahli-ahlinya sekarang yang telah jauh berkurangan disebabkan ramai yang telah meninggal dunia, berziarah dari rumah ke rumah dalam bulan Syawal ini adalah satu kemestian.

Pada setiap tahun, kumpulan ini akan mula berziarah dengan dimulakan dengan bacaan Yassin dan Tahlil. Untuk itu, rumah saya diberi penghargaan untuk memulakannya.

Pada setiap kali membaca Yassin dan Tahlil, selain mensedekahkannya kepada Junjungan Besar Nabi Mohammad SAW, keluarga, sahabat, alim ulamak, muslimin dan muslimat, saya tidak melupakan lapan arwah berikut:-
  • Hj Ma'asom bin Hj Abd Rahman (bapa)
  • Hj Mansor bin Ahmad (bapa mertua)
  • Hj Abd Rahman bin Zakaria (atuk lelaki dari bapa)
  • Hj Abd Majid bin Radio (atuk lelaki dari ibu)
  • Hjh Maimon binti Yusof (ibu mertua)
  • Hjh Pawitah binti Hj Hassan (atuk perempuan dari bapa)
  • Hjh Rahmah binti Sardani (atuk perempuan dari ibu)
  • Siti Junaini binti Hj Md Som (adik)
Selesai bertahlil, kami akan menunaikan solat Isyak berjemaah dan diikuti dengan bacaan selawat dan berzanzi.

Sebelum menikmati jamuan, sebagai tuan rumah dan juga ketua kumpulan, saya akan berucap mengalu-alukan kedatangan ahli-ahli dan berharap hubungan yang akrab seperti satu keluarga akan dapat diteruskan. Saya juga mengharapkan segala program yang telah dijalankan pada setiap tahun akan dapat dilanjutkan pada tahun-tahun akan datang.


HARI KELIMA: BERITA YANG TIDAK MENGGEMBIRAKAN

.
Pagi ini saya dan isteri berbual-bual panjang sambil sarapan pagi dengan Azree dan isterinya, anak saudaraku dari Kuala Lumpur. Mereka bermalam di rumahku dan balik ke Kuala Lumpur selepas sarapan pagi.

Kami terus ke pasar untuk berbelanja bahan-bahan bagi persediaan jamuan yassin dan tahlil pada malam ini.

Di sebelah petang, seorang anak gadis dari sahabat sekerjaku dahulu datang menemuiku. Tujuannya adalah untuk memberitahu tentang bapanya yang mempunyai masalah kegagalan fungsi buah pinggang dan perlukan rawatan dialisis.

Beliau mengenaliku setelah terjumpa maklumat Pusat Dialisis Masjid Bandar Baru Uda di dalam blogku.

Dengan perasaan sedih dan linangan air mata, beliau menceritakan bagaimana ayahnya tidak bersedia untuk rawatan dialisis. Keadaannya ketika ini mungkin menyukarkan untuknya melakukan kerja-kerja rutin hariannya.

Saya dan isteri yang amat mengenali ayahnya memang tahu tentang sifat dan peribadinya yang sangat baik dan patuh pada pekerjaan yang diamanahkan kepadanya. Bagaimanapun, beliau mempunyai sikap yang mungkin baik baginya tetapi boleh membahayakan diri sendiri iaitu tidak akan memberitahu orang lain walau sahabat baik tentang segala masalah dirinya.

Kehadiran anak gadis ini juga diluar pengetahuannya. Beliau sangat khuatir kiranya ayahnya mengetahui beliau telah memberitahu orang lain tentang masalah dirinya.

Saya sangat bersimpati dengan masalah sahabatku ini. Apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak dan isterinya adalah berusaha memujuk walau dengan apa cara sekalipun agar beliau dapat menerima nasehat dari doktor yang merawatnya untuk persediaan rawatan dialisis.

Insyaallah saya akan cuba membantunya sekiranya diperlukan.

Rabu, September 23, 2009

HARI KEEMPAT: MENERIMA KUNJUNGAN KELUARGA

.
Hari ini adalah hari raya keempat, saya tidak keluar berziarah. Sebaliknya menunggu keluarga datang ke rumah. Perkara seperti ini memang kami lakukan setiap tahun untuk memastikan mereka yang ingin ke rumah dapat dilayan sewajarnya.

Malam sebelumnya isteriku telahpun membuat persiapan untuk persediaan memasak. Selepas subuh isteriku telah mula memasak beberapa jenis masakan yang beliau gemari seperti Laksa Kiju, Laksa Penang dan Mee Hoon Goreng Putih. Selain kuih mueh yang telah disediakan, isteriku juga telah bersedia dengan Karipaf Kentang dan Sadin yang telah dibuat sebelumnya dengan bahan 5 kilo tepung gandum.

Malang bagi diriku kerana tidak semena-mena saya demam dan tidak dapat membantu isteriku. Saya terpaksa menelan beberapa biji Panadol.

Sebelum tengahari keluarga isteriku telah mula datang ke rumah dan tidak berhenti-henti hingga ke tengah malam. Memang begitu ramai yang datang.

Alhamdullillah, makanan mencukupi walaupun agak menggetarkan juga kerana pada satu ketika bahan untuk membuat Laksa telah kehabisan dan terpaksa membeli di kedai berdekatan. Begitu juga dengan gas untuk memasak juga telah kehabisan.

Saya sendiri tidak dapat melakukan banyak kerja walau untuk melayan tetamu sekalipun. Agak malang juga kerana saya tidak dapat mengambil gambar mereka yang datang.

Saya sangat berterima kasih kepada isteriku yang telah bertungkus lumus menyediakan segala juadah dan melayan tetamu yang begitu ramai.

Mungkin untuk tahun mendatang saya akan fikirkan cara mana yang lebih sesuai memandangkan faktor umur dan kesihatan kami selain kehadiran mungkin akan bertambah ramai disebabkan anak cucu saudara mara telah bertambah.

Sepupuku, Hj Ahmad Sahuri bersama isteri,
anak dan cucunya yang datang pada petang raya ketiga


HARI RAYA KETIGA: PERJUMPAAN KELUARGA MBAH SALIMON

.

Beginilah ramainya keluarga Mbah Salimon,
itupun masih ramai yang tidak ada di sini

Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri ini adalah kali kedua bagi keluarga besar Mbah Salimon. Buat julung kalinya pernah diadakan pada tahun lalu di rumah Hj Kamaluddin di Stulang Laut.

Untuk perjumpaan ini telah diadakan di rumah Mak Ucu atau nama sebenarnya Hjh Hendon Ahmad. Mak Ucu adalah adik kepada bapa mertuaku. Dengan sebab itu Md Ghazali Hamzah atau kami memanggilnya Amat telah ditugaskan mengepalai pertemuan ini.

Pengerusi menyampaikan ucap alu-aluan

Pertemuan di rumah Mak Ucu bertempat di Jalan Mariamah berhadapan perkuburan Mahmoodiah mempunyai nostalgia kepada sanak saudara dari keluarga Mbah Salimon. Ini adalah disebabkan rumah ini terletak bersebelahan rumah Mbah Salimon selain ramai dari mereka yang telah meninggal dari keluarga ini dikebumikan di tanah perkuburan Mahmoodiah.

Majlis yang bermula pada jam 9.30 pagi dimulakan dengan bacaan Yassin dan tahlil khusus kepada keluarga yang telah meninggal dunia.

Berdoa kepada arwah keluarga yang telah mendahului
kembali ke rahmatullah

Ia diteruskan dengan marhaban dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Mohammad SAW.

Berselawat dan bermarhaban

Majlis dipenuhi dengan pelbagai acara seperti permainan untuk kanak-kanak, nyanyian dan sebagainya.

Tiup belon untuk acara kanak-kanak

Harris Haron, bekas kakitangan RTM yang juga salah seorang keluarga kami, memeriahkan dengan pelbagai celoteh dan mengacarakan program khusus untuk kanak-kanak.

Datuk Hairi sedang ditemuramah
oleh Harris Haron

Kutipan derma juga dilakukan untuk bantuan membiayai kos perubatan salah seorang keluarga yang perlukan perbelanjaan rawatan serta juga untuk kos pembiyaan Madrasah Salimon.

Jualan amal dengan cara menjual aiskerim yang dibuat sendiri oleh Hj Kamaluddin juga telah diadakan.

Beberapa keluarga juga mengambil kesempatan dalam perjumpaan ini bergambar berama-ramai tanda kenangan.


Haji Kamaluddin, pengusaha ice cream
kecil-kecilan! (untuk majlis ni aje..)

Beberapa keluarga juga mengambil kesempatan dalam perjumpaan ini bergambar berama-ramai tanda kenangan.


Keluarga Hj Kamaluddin beserta isterinya,
Datin Paduka Hjh Norsiah Haron
(Mantan Setiausaha Kerajaan Johor)

Insyaallah, majlis perjumpaan seperti ini untuk tahun 2010 akan diadakan di rumah salah seorang lagi keluarga kami iaitu, Datuk Dr Mahfoz Mohammad di Kg Kundang Hulu, Muar.

Semasa mengalu-alukan penerimaan saudara mara untuk ke kediamannya pada hari ketiga Hari Raya tahun hadapan, beliau mengharapkan hubungan silaturrahim tidak akan terputus walaupun berbeza fahaman politik.

Beliau juga bersedia akan menganjurkan majlis tersebut dengan syarat umur panjang dan tidak ada pililahanraya umum ke-13 pada masa tersebut.

Datuk Dr Hj Mahfoz Mohammad,
Pesuruhjaya PAS Negeri Johor

Selasa, September 22, 2009

HARI KEDUA: BERHARI RAYA DI JOHOR BAHRU

.
Gambar di Hari Raya kedua
bersama Suria dan Amalina

Pagi Hari Raya kedua saya menunggu anak-anak datang ke rumah. Suria dan Amalina yang menyewa rumah di Larkin sampai pada waktu Zuhur.

Seperti kebiasaan, berada di rumah pada Hari Raya pastinya akan melayan anak-anak yang datang beraya. Saya tak ambil peduli mereka datang dari perumahan manapun. Apa yang saya tahu, mereka datang untuk buat collection, jadi terpaksalah juga saya menyiapkan wang kecil. Itulah yang saya mampu.

Isteriku bersama anak dan cucunya,
Suria, Amalina, Syafikah dan Dini Izuddin

Selepas solat Zuhur, saya beserta isteri, Syafikah, Suria dan Amalina bergerak ke rumah kakak sulung isteriku, Hjh Zainab atau lebih mesra kami memanggilnya Mak Nab. Kami beraya di rumahnya yang terletak di Jalan Ariffin berdekatan dengan pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor. Anaknya, Husnul Hadi dan isterinya menyambut kami. Anak-anak Hidayah juga ada sedangkan beliau ke rumah mertuanya di Kelantan.

Isteriku bersama kakaknya, Mak Nab

Selepas rumah Mak Nab, kami ke rumah seorang lagi kakak isteriku, Hjh Faridah. Kami memanggilnya sebagai Mak Dah. Rumahnya di Taman Sentosa. Semua anak-anaknya ada di rumah melainkan keluarga. Mungkin mereka belum sampai lagi. Di rumah ini saya berbual dengan Salehuddin tentang bola sepak Liga Inggeris. Saya tahu beliau adalah peminat tegar Manchaster United. Beliau juga boleh bermain bola sepak dengan baik. Dengan adiknya pula, Shah, saya bertanya-tanya dengannya tentang Facebook. Saya memang tak begitu tau tentang ini walaupun saya ada mendaftar di situ. Nantilah, kalau ada masa saya cuba godeh facebook.

Isteriku dan kakaknya, Mak Dah

Isteriku dan menantu Mak Dah

Kami ke rumah abang tertua isteriku, Hj Jaafar atau kami memanggilnya Abang Apar. Beliau memang sangat sayang dengan semua anak-anak saudaranya. Jadi, tak hairan kalau Abang Apar biasa mencium atau bermesra dengan mereka, sekalipun perempuan yang telah dewasa. Abang Apar juga sering memberi nasehat kepada kami mahupun semua anak-anak saudaranya.

Bersama Abang Hj Jaafar

Seterusnya kami ke rumah kakak dan abang isteriku, Nasibah dan Jamil Taufik. Malang, kedua-dua rumah yang kami kunjungi tidak dapat kami berziarah kerana mereka beraya di tempat lain. Kami terus balik ke rumah kerana masih belum menunaikan solat Asar.

Selepas Isyak, kami ke rumah seorang lagi kakak isteriku di Taman Setia Indah. Mak Nong adalah diantara keluarga isteriku yang pandai memasak terutama Laksa Johor. Jadi, apalagi kami semua meratah Laksa Johor semaunya. Memang sedap. Di rumahnya kami bertemu dengan keluarga adik bungsu isteriku, Azman. Isteri dan semua anaknya ada termasuk Along yang baru balik bercuti dari Universiti Al-Azhar di Mesir. Beliau masih belajar di tahun akhir. Entah bila nak balik dengan membawa ijazah.

Isteriku bersama Mak Nong dan
Azah (isteri Azman)

Anak-anakku memang sangat akrab dengan keluarga Azman terutama Suria kerana sering berjumpa disebabkan tempat mereka berniaga berdekatan.

Kami balik ke rumah hampir jam 11 malam. Suria dan Amalina ke Larkin dan saya terus ke Bandar Baru Uda.

Besok jam 9 pagi mesti pergi ke satu perjumpaan keluarga yang lebih besar dari keturunan dan keluarga Salimon. Pertemuan keluarga esok akan diadakan di Jalan Mariamah.

Begitu akrab persaudaran antara
Suria,
Amalina dan Iddin

Isnin, September 21, 2009

BERHARI RAYA DI KAMPONG

.
Biasanya setiap bulan Ramadhan saya akan mencari ruang untuk bersama keluarga di kampong samada untuk berbuka atau bersahur. Pada tahun ini saya tidak sempat melakukannya walaupun saya balik pada minggu pertama puasa, namun disebabkan banyak perkara yang perlu dilakukan, saya tidak dapat bersama berbuka atau bersahur terutamanya bersama ibu.

Saya bercadang untuk balik ke kampong pada hari Sabtu agar dapat berbuka puasa pada hari terakhir, namun tidak kesampaian kerana keadaan lalulintas yang agak sesak. Saya bersama isteri dan Safikah hanya dapat berbuka dalam kereta di persimpnagan Tol Sedenak dan seterusnya bersolat Maghrib di Felda Bukit Batu.

Perjalanan malam Hari Raya memang menyeronokkan kerana di kiri kanan jalan terutama di kawasan perkampongan kelihatan kanak-kanak bermain bungi api disamping meihat pelbagai telatah mereka. Lampu-lampu minyak tanah pula dipasang dalam pelbagai bentuk. Suasana seperti ini tidak ada di bandar-bandar. Mungkin sebahagian mereka yang di bandar telah balik ke kampong masing-masing.

Setibanya di kampong, Kak Juriah, Abang Asmuni dan Junaidah masih belum sampai. Tidak mengapa kerana yang penting ada adik beradik lain yang telah ada untuk membuat persiapan. Sekurang-kurangnya kehadiran mereka dapat menggembirakan hati ibu.

Saya tidor awal pada malam Hari Raya di kampong mungkin terlalu mengantuk disebabkan pada sembilan malam terakhir Ramadhan saya tidak melepaskan peluang berqiamullail bersama isteri di masjid.

Setelah mandi sunat Hari Raya (Bapakku memang sentiasa mengajarkan anak-anaknya tentang hal ini) dan berpakaian baru (Saya berbaju Melayu yang dibeli dan diguna pada tahun lalu), kami semua akan mencium tangan ibu dan meminta maaf darinya.

Saya terus ke surau lebihkurang 200 meter dari rumah untuk menunaikan solat Aidilfitri. Semua ruangan di surau yang baru disiapkan dipenuhi terutama oleh anak-anak muda. Terdapat beberapa orang juga suri rumah yang solat bersama. Memang ramai yang tidak saya kenali, maklum saja pangkat anak-anak dan cucu namun saya boleh mengagak mereka itu semua dari keluarga yang saya kenal.

Adikku, Ahmadon menjadi bilal surau dan solat diimamkan oleh Haji Misran Sungkono sementara Cikgu Rafi (Pi'e) membaca khutbah.

Setelah solat, para jemaah bersalam-salaman dan bergambar. Rasanya baru tahun ini terdapat seorang anak ahli kariah mengambil gambar. Saya dapat juga merakamkan gambar penggerak dan AJK surau berkenaan.

Rutin yang pasti dilakukan pada setiap solat Hari Raya di kampungku sejak saya kecil adalah bertahlil untuk arwah semua keluarga di kampung yang telah meninggal dan pastinya ia akan dituruti oleh makan kenduri.

Inilah satu adat turun temurun di kampungku, makan nasi ambeng (sebutannya bukan ambang). Setiap keluarga akan membawa sedulang hidangan dari rumah masing-masing.

Perkara penting adalah kami tidak akan makan dari hidangan yang kami bawa sendiri. Makan nasi dalam satu dulang dengan tidak menentukan berapa ramai orangnya, yang penting mereka semua dapat menjamahnya. Yang penting mereka dapat bersama dan makan pun hanya sebagai syarat sahaja kerana sebahagian besar hidangan akan dibagi-bagi samarata untuk dibawa balik ke rumah.

Makanan yang dibungkus dan dibawa balik ke rumah ini disebut "berkat". Inilah adat Jawa yang dibawa dari negara seberang. Memang unik makan nasi ambeng kerana keluarga yang di rumah juga akan turut sama menjamahnya. Bayangkan bagaimana nasi dari satu dulang dapat dirasa oleh ramai orang.

Di rumah, kami terpaksa menolong ibu melayan begitu ramai tetamu. Memang beginilah keadaannya setiap tahun sejak dari dahulu kerana keluarga orang tuaku sangat disegani dan dihormati oleh penduduk di kampungku. Mungkin ia bermula dari datukku yang menjadi Ketua Kampong dan diikuti oleh bapaku. Selain itu, bapaku adalah guru Al-Quran dan begitu ramai murid-muridnya. Tentulah anak cucu mereka sentiasa memberi penghormatan kepada gurunya walaupun setakat guru membaca Al-Quran, apatah lagi ibuku masih ada dan diantara beberapa orang lama yang masih ada.

Di sebelah petang, anak-anakku datang dari Johor Bahru dan kami bersama-sama mengunjungi rumah-rumah sepupuku. Bapa dan emak saudaraku semuanya telah meninggal dunia bahkan beberapa orang sepepuku juga telah turut sama menemui Yang Esa.

Kami dapat berhari raya di rumah Kak Marmi di Parit Yusof (sekampung dengan YB Haji Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Kak Parisah, Kang Bakar, Kak Nah dan Samini serta Kak Ngadilah.

Memang banyak rumah lagi yang tidak dapat kami kunjungi terutama rumah sepupu yang lain, namun kami terpaksa balik ke Johor Bahru pada malam tersebut. Memang terlalu berat untuk meninggalkan keluarga di kampung apatah lagi Kak Juriah yang menderita penyakit Parkinson, baru saja datang dari Bandar Tenggara bersama anak dan cucunya. Abang Asmuni masih belum sampai, tentulah juga saya terkilan tidak dapat berjumpa dengannya.

Sesampainya di rumah Bandar Baru Uda, saya terus menonton perlawanan bola Liga Inggeris yang membabitkan pasukan kegemaranku, Chelsea.

Pagi hari raya kedua ini kami akan berziarah ke rumah-rumah keluarga isteriku yang begitu ramai di Johor Bahru. Lusa, satu pertemuan besar keluarga isteriku akan diadakan sebagaimana berlaku pada tahun lalu. Malam Jumaat, saya akan mengadakan bacaan yassin dan tahlil di rumah tanda bermulanya program ziarah hari raya untuk kumpulan Yassin (saya menjadi ketuanya).

Sabtu, September 19, 2009

'AIDILFITRI: DI INDONESIA ADA YANG SUDAH MERAYAKANNYA HARI INI

.

Jemaah An-Nazir khyusuk mengerjakan solat
yang diimamkan oleh Ketuanya, Lukman A Bakti
di Kampong Butta Ejayya

Kita semua sedang menunggu pengumuman 'aidilfitri yang dijangka akan dirayakan pada hari esok, Ahad 20 September 2009.

Bagaimanapun, di Indonesia terdapat ribuan orang telah mengerjakan solat 'Aidilfitri pada hari ini (Sabtu). Mereka adalah dari Jemaah An-Nazir dari Wilayah Sulewasi Selatan, Jemaah Al-Muthor dari Desa Wates, Tulungagung, Jawa Timur dan Jemaah Tarikat Naqsabandiyah di Padang, Sumatra Barat.

SUMBANGAN KEPADA PENDUDUK ORANG ASLI KG BAKAR BATU

.

Pengerusi Kelab Sukarelawan Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Haji Mokhtar bin Khalid sedang menyampaikan sumbangan MJBBU kepada wakil Tok Batin penduduk orang asli Kg Bakar Batu, Johor Bahru.

Sumbangan adalah berbentuk bahan mentah untuk persiapan hari raya seperti beras dan sebagainya.

Sepanjang bulan Ramadhan ini Masjid Jamek Bandar Baru Uda telah menghantar bubur lambuk kepada penduduk kampong berkenaan untuk juadah berbuka puasa.


MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN

.

Gambar-gambar di bawah adalah dari Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan pada hari Khamis baru lalu yang bertepatan dengan 27 Ramadhan.

Majlis yang diadakan di Masjid Jamek Bandar Baru Uda telah diadakan selepas solat Asar dengan dimulakan dengan khatam Al-Quran.

Majlis seperti ini telah menjadi rutin tahunan MJBBU dari hasil sumbangan dermawan dan kariah Bandar Baru Uda.

Mereka yang menerima sumbangan adalah terdiri dari anak-anak yatim, fakir miskin, orang kurang upaya dan ibu tunggal.

Selepas majlis khatam dan penyampaian sumbangan, diadakan pula majlis tahlil dan berbuka puasa. Jamuan nasi beryani dihidangkan selepas solat Maghrib.


Hjh Rabiah, Pengerusi HELWA
memberi penjelasan kepada anak-anak yatim
dengan disaksikan oleh Ustaz Suliman Sujak,
Pengerusi MJBBU

Gembiranya anak-anak yatim ini menerima sumbangan

Anak-anak yatim lelaki dan perempuan
berbaris menerima sumbangan

Mereka bersabar menunggu giliran

Giliran ibu tunggal pula berbaris
untuk menerima sumbangan

Mereka juga ceria menerima sumbangan
yang disampaikan oleh Pengerusi MJBBU

Hjh Rabiah menjelaskan kepada wakil ibu tunggal
yang tidak dapat hadir untuk mengambil
beras selain menerima wang tunai

Penyampaian cenderamata kepada ketua kumpulan
tadarus wanita

Ustaz Abu Bakar Selamat, salah seorang
ketua kumpulan tadarus menerima
cenderamata dari Pengerusi MJBBU

Ketua kumpulan tadarus dari kalangan
remaja menerima cenderamata

Mendaftar nama untuk mendapatkan sumbangan

Kaum wanita turut sama membaca ayat-ayat suci
Al-quran dalam majlis khatam

Hj Fathil, Pengerusi Biro Penerbitan MJBBU
turut sama dalam majlis

Wakil setiap kumpulan tadarus
dalam majlis khatam

Saya tak berkesempatan berbaju Melayu,
alhamdullillah, dapat bersama dalam majlis ini