Hari ini aku ada banyak jemputan kenduri kahwin. Begitupun, aku hanya dapat pergi empat daripadanya sahaja termasuk dua orang rakan kakitangan Felda, Haji Salim dan Jamaluddin Yusuf. Kedua-dua rakan aku ni memang mempunyai nasib yang jauh lebih baik dari rakan lainnya. Kalau dulu mereka mula bekerja sebagai Pembantu Luar (Field Assistant) dengan gaji RM200.00, tanyalah mereka berapa yang dikantung setiap bulan sekarang?. Kekadang aku rasa bangga juga dengan pencapaian mereka, tentunya dengan komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh dalam pekerjaan. Difahamkan Haji Salim akan ditawarkan jawatan Pengurus Besar dalam waktu terdekat ini.
Tapi jangan mereka lupa dengan perjuangan Kesatuan Pekerja Felda (KPF) yang banyak menuntut hak, pembelaan dan memperjuangkan kedudukan berasaskan keupayaan kerja. Mereka patut berbangga kerana mempunyai pemimpin yang mempunyai daya juang, pemikiran dan gaya perundingan yang efektif seperti yang ditunjukkan oleh salah seorang bekas Presiden KPF, Haji Indera Putera Ismail.
Sebagai bekas Timbalan Presiden KPF, aku sangat mengenali Indera Putera terutama gaya beliau berunding dengan majikan, memang sangat mengesankan. Beliau mempunyai jiwa yang kuat dan kental dan biasanya pemimpin sepertinya mempunyai banyak ide dan menempah kejayaan kerana dia tidak boleh diperkotakkatikkan.
Dalam kes aku ditukarkan tempat bertugas dari Felda Wilayah Selatan, Johor Bahru ke Lahat Datu, Sabah pada tahun 1989 berikutan dari krisis kepimpinan dan aku dikatakan terlibat dalam penentangan kepada Kerajaan, Indera Putera telah membuat perundingan dengan Datuk Aladin Hashim, Pengarah Besar Felda. Aku hanya ditukarkan ke Felda Bukit Batu, itupun masih dalam daerah yang sama, Johor Bahru. Perkara pokok yang diperbincangkan adalah samada aku telah melakukan kesalahan tatatertib atau masalah dalam tanggungjawab. Ia hanyalah kerana aku telah memberi sokongan kepada Datuk Shahrir Samad yang bertanding sebagai calun bebas dalam pilihanraya kecil Parlimen Johor Bahru.
Ia telah menjadi satu sejarah, tetapi sejarah tidak dapat dipadam. Dan aku tetap tidak akan melupakan dua orang yang bersungguh-sungguh memberi hukuman akibat tamparan kekalahan besar parti pemerintah ketika itu. Yang aku maksudkan adalah Datuk Khalid Yunus yang memegang jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah. Seorang lagi adalah Datuk Fadzil Yunus, Timbalan Pengarah Besar Felda.
Dalam sejarah ini, Datuk Shahrir Samad membawa kes pertukaran ini ke Dewan Rakyat dan jawapan yang diberi oleh Menteri adalah seperti yang diduga “pertukaran biasa kakitangan kerajaan”. Begitulah yang diberitahu oleh Datuk Shahrir dan ia boleh disemak di dalam catatan Dewan.
Di sinilah terletaknya kebijaksanaan pemimpin menyelesaikan masalah. Ini dibuktikan oleh pemimpin Kesatuan Pekerja Felda dan aku yakin banyak kejayaan perjuangan Kesatuan adalah dari stail atau gaya kepimpinan seperti yang ditunjukkan oleh Indera Putera Ismail.
Pemimpin tidak semestinya menentang arus atau tidak sealiran samada dengan majikan atau pemerintah. Sebaliknya pendekatan secara perundingan dengan menggunakan gaya tersendiri yang boleh memikat, pastinya akan memberi hasil yang positif.
Begitupun, gaya perundingan menyelesaikan masalah hendaklah digunakan dengan upaya berwaspada kerana terkadang-kadang gaya ini juga boleh menjadi jerat dan perangkap.
Sabtu, Mei 31, 2008
KEISTIMEWAAN DATO' IMAM MAHAT MOHD SAID
Dato’ Imam Mahat bin Mohd Said adalah satu nama yang tidak asing di Johor Bahru. Beliau sangat dikenali sebagaimana kita mengenali nama pembesar negeri atau orang kenamaan lainnya. Mereka yang mengenali nama ini pasti teringat bagaimana Dato’ Imam Mahat menjalankan upacara akad nikah untuk pasangan pengantin.
Malam tadi aku menjadi saksi nikah kepada anak saudara isteriku dan Dato’ Mahat sekali lagi diberi kepercayaan untuk menjalankan upacara ini. Naluriku merangsang untuk aku menulis sedikit catatan mengenai manusia ini yang mempunyai banyak kenangan kepada mereka yang mengenalinya.
Aku cuba mencari-cari namanya dalam ‘search engine’ dan aku tidak berjaya mendapat sebarang maklumat mengenainya. Apa yang aku catatkan di Blog ini hanyalah sebagai satu penghargaanku kepadanya kerana beliau mempunyai beberapa keistimewaan yang mungkin tidak ada pada orang lain.
Di Johor Bahru, sesiapa sahaja yang ingin mengadakan majlis akad nikah pastinya pilihan pertama untuk mencari Jurunikah (dahulu dipanggil Naib Kadhi) adalah Dato’ Imam Mahat. Mengapa mereka mencarinya? Masing-masing mempunyai alasan tersendiri. Bagi aku, beliau adalah orang yang mudah dihubungi selain mempunyai suara yang lunak serta sangat mahir menjalankan akad nikah.
Kenapa tidak? Aku sempat bertanya dengannya mengenai jumlah pasangan yang telah dinikahkannya. Beliau memang tidak mempunyai angka yang tepat, bagaimanapun beliau menjangka telah menikahkan lebih kurang 20,000 pasangan.
Aku mula mencongak tentang angka yang diberi. Setelah mengambil kira waktu bermula ia bertugas pada tahun 1965 sehingga sekarang dengan mengambil purata 40 pasangan setiap bulan, aku mengangguk tanda mengiakannya.
Dalam musim cuti sekolah seperti sekarang ini, beliau adalah diantara orang yang paling sibuk dan tidak cukup tangan untuk mengendalikan satu tugas yang begitu berat menjalankan amanah syiar agama Allah seumpama mendirikan masjid dan memperbanyakkan umat Muslim. Hari ini sahaja, aku bertemu dengannnya dua kali dalam upacara yang sama iaitu jam 3 petang di masjid Bandar Baru Uda dan kali keduanya waktu malam di Jalan Mahmodiah.
Berurusan dengan Dato’ Imam Mahat terutama untuk majlis seperti ini memerlukan masa yang tepat seumpama pasangan pengantin mesti berada lebih awal dan menunggu kedatangan beliau. Ini adalah disebabkan beliau mempunyai jadual yang ketat. Ramai yang mengetahui hal ini, beliau akan meninggalkan majlis sekiranya pasangan yang dinikahkan masih belum bersedia. Ia tidak boleh dipersalahkan kerana beliau terpaksa mengikut jadual yang telah disediakan dan tidak menjejaskan di tempat yang lain pula.
Aku sendiri pernah melaluinya ketika majlis pernikahan anak perempuanku, Suria Irwany. Majlis akad telah aku wakilkan kepada Sohibuussamahah Dato’ Haji Noh Gadut. Malangnya Dato’ Mufti Johor agak lewat sampai kerana beliau masih dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur, maka Dato’ Imam Mahat terpaksa meninggalkan majlis lebih awal setelah selesai menjalankan tugas.
Umurnya telah menjangkau 73 tahun. Fizikal dan kudaratnya masih kuat walaupun beliau juga mempunyai masalah kesihatan sebagaimana warga emas lainnya. Keistimewaan yang ada padanya inilah yang menyebabkan beliau terus berkhidmat secara kontrak dengan Kerajaan Johor sebagai Imam di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru (Masjid Kerajaan Negeri). Beliau pernah menjawat jawatan Imam Besar di masjid ini. Keupayaan luar biasanya menyebabkan beliau dianugerahkan oleh Duli Tuanku Sultan Johor dengan gelaran Dato’.
Diantara keistimewaan lainnya ialah beliau tidak perlu membaca teks samada untuk khutbah dan lainnya. Semuanya telah terlekat di pemikiran dan hatinya. Ia boleh melakukannya sambil menulis segala maklumat di dalam borang berlapiskan bag ‘breaf case’ yang sentiasa menjadi temannya.
Majlis akad nikah adalah satu upacara yang tidak akan dilupakan oleh sesiapapun yang pernah melaluinya kerana ia adalah kenangan sepanjang hayat. Bagi diriku sendiri yang aku rasa insyaallah itulah yang pertama dan terakhir, juga dikendalikan oleh Dato’ Imam Mahat pada 01 Ogos 1973. Setelah diriku dan anakku, aku tak pasti adakah cucuku juga beliau masih boleh melakukannya. Yang pasti beliau pernah melakukan beberapa kali untuk tiga generasi, hebatkan?.
Cuma yang aku tak pasti ialah berapa kali pula beliau bernikah dan siapa pula yang menikahkannya?. Pasti banyak perkara yang boleh dicoretkan mengenai dirinya atau mungkin banyak peristiwa yang pernah berlaku dihadapannya atau dilaluinya seumpama berlaku pergadohan antara keluarga, isteri, anak, besan, biras dan sebagainya.
Teringat satu peristiwa bagaimana pada satu malam aku membawa beliau ke rumah bakal bapa mertua temanku di Tampoi untuk meyakinkannya supaya memberi kebenaran untuk menikahkan anaknya sebagai isteri kedua. Malang sekali, misi kami bersama Dato’ gagal.
Untuk mendengar suara yang lunak dan doa yang syahdu anak kelahiran Muar, Johor ini, dengarkan di Radio Best 104 Sensasi Selatan pada setiap berkumandangnya azan dan bacaan doa setelahnya.
Masih banyak yang boleh diceritakan, temuilah beliau.
Khamis, Mei 29, 2008
IKHLASNYA GURU TARANUM KAMI
Setelah dua bulan, aku belajar taranum Al-quran berguru dengan Ustaz Haji Safri, malam tadi kami telah berpindah ke surah yang lain. Ini bermakna kami telahpun diajar kesemua tujuh jenis lagu iaitu Bayati, Soba, Hijaz, Nahwan, Rash, Sikah dan Jaharkah.
Mengikut Ustaz Haji Safri, kami seramai lima orang (Sunawan, Razif, Zaaba, Marzuki & A Rahman) memang boleh menerima segala tunjuk ajar. Begitupun kami mempunyai masalah masing-masing. Aku sendiri mempunyai masalah suara serak dan nafas yang agak pendek.
Apa yang penting ialah pelajaran yang diterima bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kehebatan atau kemampuan masing-masing, yang penting membaca Al-quran bertaranum ini adalah untuk menghiburkan hati dan memberi ketenangan jika.
Sekiranya kita mempunyai suara yang baik dan berkemampuan membawa serta mengalunkannya, mengapa harus kita meningalkannya sedangkan kita adalah dituntut untuk membaca al-Quran dengan baik dan suara yang merdu.
Ustaz Haji Safri juga menggalakkan kita mempelajari bahasa Arab bagi memudahkan kita melagukan bait-bait ayat Al-quran yang sesuai dengan makna dan lagunya. Jika ayat mengenai kesedihan, maka lagunya mesti berentak sedih. Begitu juga sebaliknya, jika ayat itu gembira, maka lagu mesti gembira.
Minggu hadapan kami diberi cuti selama seminggu kerana Ustaz akan bercuti bersama keluarga ke Trengganu. Kami ingin memberinya sedikit imbuhan tetapi telah ditolak. Ini adalah kali kedua usaha kami untuk memberi sedikit sumbangan kepada beliau.
Mengikutnya, beliau terpaksa menolak kerana usaha yang diberikan adalah ikhlas sebagaimana beliau menerima tunjuk ajar dari guru-gurunya terdahulu yang juga tidak menerima segala bentuk kewangan.
Semoga Allah SWT menerima segala bentuk kebajikan yang diberi dan tercapai cita-cita kami semua. Insyaallah.
HARAPAN KEPADA YB ADAM SUMIRU
N44 TANJONG PUTERI
Jumlah Pengundi: 47,062
Peratusan Kaum: M: 61.44% C: 33.33% I: 5.06%
1. Adam Sumiru (BN) (23,023 - 69.73%)
2. P. Subramaniam (PKR) (9,283 - 28.12%)
Majoriti: 13,740
Jumlah undi: 33,017
Peratus mengundi: 70.16%
Undi rosak: 711
Penyandang: Ali Mohamed (BN)
(Majoriti: 19,676 undi)
Keputusan Pilihanraya Umum Kali Ke 12 pada 8 Mac 2008 telah diketahui. Bagi Dewan Undangan Negeri Kawasan Tanjung Puteri, YB Haji Adam Sumiro telahpun ditabalkan sebagai ADUN setelah mendapat kemenangan mutlak dari pesaingnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), P. Subramaniam.
Tanggungjawabnya bukan sahaja terletak di bahu, tetapi di semua pancaindera dan anggota badan bahkan segala bentuk pengorbanan kepada agama, bangsa dan negara. Ia bukanlah tanggungjawab yang mudah dan dengan sebab itu semua wakil-wakil rakyat tidak boleh asyik atau khayal dengan dunianya sahaja.
Sebagai pemegang amanah rakyat dengan memegang undi sebanyak 23,023, kepercayaan yang diberi adalah begitu besar kerana dalam PRU12 tidak ramai ADUN yang mendapat jumlah undi sebegitu dan beliau adalah diantara ADUN yang mendapat majoriti terbanyak (13,740).
Dengan sebab itu suara sebenar pengundi serta khususnya rakyat di DUN Tanjung Puteri hendaklah didengari dan dicari jalan bagaimana untuk mencapai hasrat mereka. Rakyat mempunyai kepercayaan kepadanya dan dengan sebab itu ia hendaklah bertindak atas kapasitinya untuk menyelami, bersuara, bertindak, memantau dan mengambil maklum balas dari rakyat agar program-program yang dijalankan benar-benar memberi faedah yang optimum kepada mereka.
YB Haji Adam Sumiru telahpun diberi pengalaman asas sebagai wakil rakyat apabila sebelum ini telah memegang jawatan Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru. Begitu juga dengan beberapa jawatan lain seperti memegang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, pastinya beliau telah dilatih dan diberi kepercayaan oleh YB Datuk Shahrir Samad untuk memegang jawatan. Beliau juga telah dilatih untuk menyelami masalah setinggan dan pembeli rumah terbengkalai di kawasan Larkin selain diberi kepercayaan keperluan peruntukan kewangan kepada mereka yang memerlukan.
Semua ini menjadi asas kepada beliau untuk menjadi cemerlang dalam tugasnya. Soalnya ialah apakah beliau dapat melakukannya atau dapat mengungguli tugas yang telah ditunjukkan oleh mantan ADUN sebelumnya, Haji Ali Mohammed?.
Umum mengetahui bahawa beliau adalah diantara pemimpin pelapis yang sangat diharapkan untuk mengambilalih pimpinan yang disandang oleh Datuk Shahrir Samad iaitu apabila sampai pada ketikanya kelak.
Persekitaran masyarakat dan politik di Parlimen Johor Bahru ini banyak berkait dengan Datuk Shahrir Samad. Ia umpama aur dan tebing yang saling mempunyai ikatan diantara satu dengan yang lainnya. Haji Adam mesti belajar bagaimana Datuk Shahrir dapat diterima oleh rakyat bahkan pengundi bukan Melayu masih boleh memberi undi melebihi 30 peratus sedangkan di tempat lain ia telah merudum hingga ke 5 peratus.
Beliau mesti melihat bagaimana cara wakil rakyat memenangi hati rakyat. Adakah wang atau janji-janji manis menjadi bahan penarik hati mereka? Di Johor Bahru, perkara ini tidak menjadi perkara penting.
Sebagai wakil rakyat di Negeri Johor, beliau mesti berupaya menerapkan budaya kerja sebagaimana yang dibukukan dii dalam buku kecil mengenai Etika Kerja Wakil Rakyat Negeri Johor Darul Ta'zim. Buku ini akan dapat membantu beliau dalam menjalankan tugas-tugas dengan lebih berkesan.
Dalam buku tersebut menjelaskan bahawa sikap mereka kepada rakyat yang diwakili dan tanggungjawab kepada negara menjadi lebih berat dengan pemikiran yang lebih rasional serta realistik harus dijana bagi menentukan halatuju perjuangan membela nasib rakyat.
JALAN PENGHUBUNG SURAU ALFALAH DAN DEWAN RAYA FASA SATU BBU
Penduduk Fasa Satu Bandar Baru Uda, Johor Bahru tentu gembira dengan pembukaan jalan baru menghubung Jalan Jagong 4 dan Jalan Jagong. Usaha yang dilakukan oleh UMNO Cawangan Uda Jagong dengan mengemukakan permohonan kepada Datuk Bandar MBJB dan atas sokongan kuat oleh Haji Mohd Said Ibrahim, Ahli Majlis MBJB bagi Zon BBU telah merealisasikan impian.
Pembinaan jalan sepanjang 150 meter ini begitu penting terutama kepada pengguna dua bangunan awam yang penting iaitu Surau Alfalah dan Dewan Raya. Kedudukan kedua-dua bangunan ini yang terletak di penghujung Jalan Jagong 4 menyebabkan kesukaran kepada pengguna terutama untuk meletakkan kenderaan serta untuk berpatah balik.
Ketika pembinaan, pekerja Tenaga Nasional Berhad telah memindahkan tiang lampu nombor JJ4 2/1 yang menyebabkan persekitaran gelap pada waktu malam. Penduduk berharap agar pengurusan TNB perihatin atas perkara ini.
Diharapkan dengan terlaksananya pembinaan jemaah surau akan lebih selesa untuk membawa kenderaan terutama kereta. Begitu juga dengan penggunaan Dewan Raya yang akan lebih dimenafaatkan terutama untuk mengadakan majlis perkahwinan dan sebagainya. Penduduk tidak mahu menggunakan Dewan ini disebabkan masalah meletakkan kenderaan dan juga arus lalulintas yang terbatas.
Mudah-mudahan ianya akan mendapat kejayaan dan keberkatan walaupun terpaksa menggunakan sebahagian tanah kepunyaan Majlis Bandaraya (taman permainan), Surau Alfalah dan SAJ Holding.
Selasa, Mei 27, 2008
PERJUMPAAN BERTERUS TERANG DATUK SHAHRIR DENGAN PEMIMPIN CAWANGAN
Perjumpaan Datuk Shahrir dengan pemimpin-pemimpin UMNO Cawangan Bandar Baru Uda pada hari Sabtu malam Khamis (24.5.2008) dimulakan pada jam 9.30 malam bertempat di Bilik Gerakan UMNO Cawangan Rumah Pangsa Skudai Kanan.
Pemimpin Bahagian yang hadir adalah Haji Ali Mohamad (Timbalan Ketua) dan YB Haji Adam Sumiro (Naib Ketua). Haji Raihan Baba (Pengerusi Biro Kebajikan) turut mengiringi Datuk Shahrir.
Pemimpin Cawangan yang hadir adalah Haji Mohd Said Ibrahim (Skudai Kanan), Rahmatullah Ajar (Rumah Pangsa Skudai Kanan), Radin Yahya Radin Mohamad (Uda Mahsuri), Azmi Tuganal (Rumah Pangsa Ledang), Nasaruddin Yunus (Uda Malinja), Md Seth Hussin (Kg Muafakat), Md Zin Hisham (Uda Jagong) dan Haji Hamid (Bandar Baru Uda).
Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Haji Kasbi Ismail dari Cawangan Uda Jagong.
Dalam ucapannya, Datuk Shahrir Samad menyatakan bahawa majlis ini adalah dari kumpulan pertama dan akan diikuti di tempat lain untuk kawasan Parlimen Johor Bahru. Perjumpaan ini adalah penting untuk memberi penjelasan terutama mengenai isu semasa selepas berakhirnya Pilihanraya Umum Kali Ke 12 dan menjelang persindangan cawangan-cawangan serta perhimpunan agung.
Diantara perkara penting yang disentuh adalah keputusan pengundian di seluruh Negara dan juga pengkhususan di parlimen Johor Bahru, DUN Tanjung Puteri dan Stulang. Mengikutnya, trend pengundi di Negara kita boleh bertukar pada bila-bila masa, Ia dibuktikan di Johor Bahru dengan bagaimana calon dari PRM, A Razak Ahmad pernah tewas dengan 31 undi dan pada pilihanraya berikutnya beliau telah tewas den gan kehilangan wang pertaruhan.
Datuk Shahrir juga telah memberi penjelasan mengenai sejarah beliau di dalam perjuangan UMNO samada di peringkat Bahagian, Negeri dan Nasional terutama mengenai isu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau juga berpuas hati dengan penerimaan penduduk Bandar Baru Uda iaitu dari undi yang diperolehi dalam PRU12 yang telah menunjukkan peningkatan berbanding dengan PRU11.
Pemimpin Cawangan juga mengambil kesempatan dengan membankitkan beberapa isu yang perlu diambil perhatian terutama mengenai keperluan seorang Ketua Kampung di kawasan Bandar Baru Uda, peruntukan pembangunan dan juga bantuan kepada penduduk Kg Muafakat yang tidak dapat pinjaman institusi kewangan untuk membiayai pinjaman kewangan bagi rumah yang ditawarkan oleh pemaju Suria Bistari Sdn Bhd.
Pada keseluruhannya, mereka yang hadir melahirkan rasa gembira dan puas hati dengan perjumpaan tersebut yang dianggap berterus terang dan mereka berharap dapat diadakan pada setiap tahun atau lebih kerap sekiranya memerlukan.
A SAMAD HAMID DIRAWAT DI HSA JOHOR BAHRU AKIBAT KENCING MANIS
Aku begitu terkejut bila diberitahu bahwa rakan seperjuangan yang juga Ketua Masyarakat di Rumah Pangsa Larkin, Abd Samad Hamid telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Ungku Tun Aminah (HAS) kerana mengidap penyakit Kencing Manis.
Sepengetahuanku, Samad tidak pernah memberitahu samada beliau mengidap penyakit ini. Beliau seorang yang periang dan diantara pekerjaan sampingannya adalah menyanyi di majlis-majlis perkahwinan, keraian, perjumpaan dan sebagainya. Samad adalah penyanyi angkatan tahun 60an dan pernah membuat album.
Petang Isnin, bersama Haji Mohd Said dan Haji (Kg Sri Paya), kami ke HUTA untuk melawatnya. Simpati juga aku melihatnya kerana beliau adalah seorang periang. Kami memberi semangat dan nasihat kepadanya supaya sentiasa tabah dan cekal menghadapi dugaan.
Seorang doktor berbangsa Bangladesh yang sangat fasih berbahasa Melayu menyatakan bahawa Samad akan menjalani pembedahan untuk memotong kaki kiri di bahagian bawah lutut kerana menurutnya ia adalah pilihan terakhir.
Apa yang aku lihat, Samad bersahaja dan tidak menunjukkan sebarang reaksi yang aku percaya beliau sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan.
Pelawat lain yang datang pada petang itu adalah Datuk Abdul Rahman Hassan dan isterinya Datin Azizah Muhammad. Aku tidak pasti adakah kedatangannya mewakili Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA) atau atas sifatnya sebagai seorang rakan seperjuangan dalam dunia hiburan. Begitupun, aku berbangga dengannya kerana masih bergiat dalam bidang kegemarannya dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan anak-anak seni.
Sebelum pulang sekali lagi kami memberi nasehat dan semangat kepadanya untuk terus cekal menghadapi pembedahan pada esok paginya.
Dalam perjalanan balik ke rumah, aku teringat tentang emak mertuaku juga meninggal dunia akibat menderita penyakit ini.
Olih itu, bagi sesiapa yang membaca blog ini dan pastinya untuk diriku dan keluargaku, bacalah beberapa maklumat mengenai Penyakit Kencing Manis yang aku perolehi dari Kementerian Kesihatan Malaysia:
Penyakit ini telah lama diketahui manusia. Beribu-ribu penduduk di negara kita mengidap penyakit ini. Penyakit kencing manis tidak seharusnya menjadi satu penghalang kepada kehidupan yang biasa. Dengan bertambahnya pengetahuan berkenaan penyakit kencing manis dan penghasilan ubat-ubat untuk penyakit ini, tidak ada sebab mengapa anda tidak boleh hidup seperti manusia biasa.
Penyakit kencing manis adalah satu keadaan di mana terdapat kadar gula yang berlebihan dalam peredaran darah. Ini terjadi kerana badan kekurangan sesuatu hormon yang dipanggil insulin yang diperlukan untuk menukar gula kepada tenaga dalam badan kita. Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ bernama pancreas yang terletak dibawah perut. Badan kita mengeluarkan tenaga untuk menjalankan tugas harian daripada makanan. Dalam perut, makanan berkanji dan bergula yang dipanggil makanan karbohidrat ditukar kepada bahan gula yang dipanggil glukos dan masuk ke dalam saluran darah di mana ia akan digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga. Glukos adalah punca utama yang memberi tenaga.
Dalam keadaan biasa, insulin membantu gula (glukos) dalam darah untuk memasuki sel-sel badan untuk ditukarkan kepada tenaga. Bagi orang yang mengidap penyakit kencing manis, organ pancreas tidak dapat menghasilkan hormon insulin dengan secukupnya atau insulin yang dikeluarkan tidak dapat bertindak seperti biasa. Akibatnya, glukos atau gula tidak dapat memasuki sel-sel badan. Kadar gula dalam peredaran darah menjadi tinggi. Gula yang berlebihan ini akan disingkirkan oleh badan melalui air kencing. Inilah sebabnya, penyakit ini dikenali sebagai penyakit kencing manis. Tanpa insulin, sel-sel badan tidak menerima bekalan glukos, walaupun kadarnya amat tinggi dalam peredaran darah. Ini menyebabkan badan akan kekurangan tenaga.
Sesiapa pun boleh mendapat penyakit ini.Tetapi mereka yang datang daripada keluarga atau keturunan di mana terdapat ahli-ahli yang mengidap penyakit kencing manis sudah meningkat umur (40 tahun ke atas) mempunyai berat badan berlebihan atau gemuk mempunyai risiko yang lebih untuk mendapat kencing manis.
Sebelum tahun 1921, tiada ubat-ubat tertentu untuk merawat penyakit ini. Pada masa ini terdapat ubat-ubat untuk mengawal penyakit kencing manis dan ini memberi peluang kepada pengidap-pengidap penyakit ini untuk meneruskan kehidupan yang biasa. Rawatan untuk penyakit kencing manis adalah melalui kawalan pemakanan.
Makanan yang anda makan memainkan peranan yang penting dalam kawalan penyakit kencing manis. Adakalanya, kes-kes yang tidak teruk, dapat diakwal melalui jagaan makanan sahaja.
Selain daripada kawalan pemakanan, kebanyakan pesakit memerlukan ubat untuk mengawal penyakit mereka. Ubat-ubat ini terdiri daripada suntikan insulin.Insulin boleh diberi melalui suntikan sahaja kerana ia akan dimusnahkan di dalam perut jika dimakan
Ubat-ubat seperti Pil juga membantu badan menggunakan gula dengan sempurna dan dengan itu dapat mengawal penyakit ini.
Ada pula pesakit-pesakit yang memerlukan suntukan insulin sementara pesakit-pesakit lain pula boleh mengawal penyakit mereka dengan memakan pil. Doktor anda, setelah menjalankan pemeriksaan terhadapa anda, akan menentukan samaada anda memerlukan suntikan insulin atau pil dalam rawatan anda. Kes penyakit kencing manis anda mungkin tidak sempurna dengan kes orang lain dan oleh itu rawatan yang ditentukan oleh doktor anda mungkin tidak serupa dengan rawatan untukpesakit lain. Doktor akan menentukan rawatan mengikkut keadaan penyakit seseorang.
Rawatan awal adalah penting dengan menyembuhkan tanda-tanda dan gejala kencing manis, menggelakkan atau mengurangkan akibat-akibat buruk yang berlaku jikalau penyakit ini melarat dan membolehkan pesakit hidup dalam kehidupan biasa dan bahagia.
Penggunaan ubat adalah dengan mematuhi nasihat doktor anda mengenai ubat-ubat yang anda perlu ambil. Jangan berhenti mengambil ubat kerana anda merasa sihat dan berfikir bahawa ubat itu tidak perlu lagi. Berhenti mengambil ubat tanpa nasihat daripada doktor anda adalah sangat merbahaya kerana ini boleh mengakibatkan penyakit anda melarat disebabkan tidak dikawal dengan sempurna. Jangan lupa untuk pergi ke hospital atau klinik pada masa yang ditetapkan untuk pemeriksaan doktor dan pemeriksaan dari masa ke semasa termasuk ujian air kencing dan darah adalah sangat penting dalam rawatan dan kawalan kencing manis.
Untuk menjaga pemakanan seperti yang disebutkan tadi, kawalan makanan sangat penting dalam rawatan penyakit kencing manis. Patuhilah nasihat doktor anda mengenai makanan. Makanan harian yang anda patut makan bergantung kepada beberapa faktor seperti berat badan, umur, pekerjaan dan aktiviti yang dilakukan oleh anda dan keadaan penyakit anda. Adalah mustahak bahawa makanan harian mestilah seimbang iaitu, mengandungi semua bahan-bahan yang diperlukan oleh badan anda untuk kesihatan dan juga memberi tenaga untuk menjalankan tugas harian.
Makanan yang patut dielakkan adalah gula, Gula Melaka, coklat, jem, madu, sirap, aiskrim, biskut-biskut yang manis, Susu pekat, Minuman ringan dan Gula-gula jeli.
Makanan yang patut dikurangkan adalah seperti nasi, roti, ubi kentang, ubi keledek, ubi kayu, jus, kelapa, daging kambing, buah-buahan jeruk dan bahan-bahan tenusu.
Makanan yang boleh dimakan dengan bebas adalah seperti srbuk lada, rempah-rempah, serbuk kari, cecair – air, teh, kopi, jus tomato dan limau, sup cair, sayur-sayuran seperti kacang panjang, kobis, bawang, timun, lobak merah, kangkong, sawi,cendawan, bayam,tomato,bunga kobis, kacang bendi, terung dan ketola.
Penjagaan berat badan juga sangat penting. Penyakit kencing manis berlaku dengan lebih kerap di kalangan orang yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Didapati bahawa tindakan insulin berkesan dalam orang yang gemuk.
Amatlah penting bagi pengidap kencing manis untuk sentiasa ,menjaga berat badan. Kalau berat badan turun, badan dapat menggunakan gula dalam darah dengan lebih sempurna dan dengan itu, kadar gula dalam darah akan turun.
Kalau anda gemuk, hendaklah kita kurangkan makanan terutama makanan yang terlalu banyak karbohidrat dan lemak dan hendaklah bersenamlah selalu dengan cuba melakukan senaman setiap hari seperti berjalan dan berkebun. Senaman yang dilakukan secara teratur adalah sangat baik untuk penyakit kencing manis kerana ini dapat menambahkan lagi pembakaran gula dalam otot-otot dan dengan itu mengurangkan kandungan gula dalam darah. Pengaliran darah juga bertambah baik.
Perkara penting untuk diawasi adalah kalau anda kurang aktif dan sudah lama tidak bersenam, dapatkan nasihat doktor anda sebelum memulakan apa-apa senaman.
Pesakit kencing manis lebih mudah mendapat jangkitan daripada orang biasa. Oleh itu, anda perlu menjaga diri sendiri melalui langkah-langkah tersebut dengan selalu menjaga kebersihan diri. Setiap hari, cucikan kaki dan jari-jari kaki dengan menggunakan sabun dan air, keringkan kaki dan sapukan bedak dan selalu mandi. Sapukan bedak di bahagian-bahagian kulit yang berpeluh berlebihan. Jaga kebersihan gigi. Menjauhkan diri dari kecederaan. Jangan berjalan tanpa kasut atau selipar. Berhati-hatilah semasa memotong kuku jari dan jari kaki. Bersih dan balutkan mana-mana luka yang ada serta berhati-hati semasa bercukur.
Untuk Penjagaan kaki, sekiranya peredaran darah di bahagian kaki anda tidak dapat mengalir dengan sempurna atau diganggu, ini boleh membawa akibat yang buruk dan mungkin boleh menghilangkan kaki anda disebabkan oleh jangkitan yang melarat. Oleh itu, sentiasa perlu menjaga kaki anda. Jangan menyilangkan kaki anda semasa duduk pada suatu masa yang lama. Jangan pakai kasut yang ketat. Sentiasa urutkan kaki. Tiap-tiap hari, berbaringlah dengan meletakkan kaki di paras yang lebih tinggi dari badan anda untuk beberapa minit.
Sekiranya penyakit kencing manis tidak dirawat atau dikawal dengan baik, maka penyakit ini akan melarat sehingga mendatangkan akibat-akibat buruk seperti buta, kerosakan buah pinggang, sakit jantung dan penyakit lumpuh, darah tinggi dan penyakit saraf.
Ia juga boleh mengakibatkan pesakit hilang deria di bahagian kaki dan tangan. Ia tidak dapat merasai sakit, panas dengan itu boleh mencederakan diri sendiri tanpa disedari. Jangkitan yang menyebabkan Gangrene (tisu-tisu mati) yang boleh mengakibatkan kehilangan kaki. Tidak sedarkan diri dan kalau tidak dirawati dengan serta merta, pesakit boleh membawa maut.
Anda boleh mengelakkan akibat-akibat buruk ini kalau anda menjaga diri anda dengan baik. Mengidap penyakit kencing manis tidak bermakna anda hidup seperti dipenjarakan. Kalau anda ikut langkah-langkah dalam rawatan dan kawalan penyakit ini, anda boleh menikmati kehidupan yang penuh dan bahagia.
Akhirnya, kawallah penyakti kencing manis untuk menikmati kehidupan yang bahagia dan sihat.
ALFATIHAH UNTUK HAJI ADNAN SARIMON
Semalam, jam 12.00 tengahari aku mendapat SMS mengenai kematian Haji Adnan Sarimon di Jalan Padi 4, Bandar Baru Uda, Johor Bahru. Aku segera ke rumahnya, malangnya jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan Bukit Alif.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai guru agama dan setelah bersara, beliau sangat aktif membawa jemaah ke tanah suci untuk mengerjakan umrah dan haji. Beliau juga bergiat dalam kumpulan Ratib Khaujakan yang mempunyai ramai jemaah di Johor Bahru.
Pada tahun 1996 beliau pernah memegang jawatan Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Bandar Baru Uda. Pada tahun berikutnya, aku telah mengambilalih jawatan tersebut sehingga pada tahun ini aku tidak lagi memegang jawatan tersebut.
Aku dan isteri pernah menunaikan fadhu haji pada tahun 1994 dan allahyarham juga ada dalam rombongan kami (Kerajaan Johor).
Semoga rohnya ditempatkan bersama roh-roh orang yang beriman dan dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T.
Alfatihah.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai guru agama dan setelah bersara, beliau sangat aktif membawa jemaah ke tanah suci untuk mengerjakan umrah dan haji. Beliau juga bergiat dalam kumpulan Ratib Khaujakan yang mempunyai ramai jemaah di Johor Bahru.
Pada tahun 1996 beliau pernah memegang jawatan Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Bandar Baru Uda. Pada tahun berikutnya, aku telah mengambilalih jawatan tersebut sehingga pada tahun ini aku tidak lagi memegang jawatan tersebut.
Aku dan isteri pernah menunaikan fadhu haji pada tahun 1994 dan allahyarham juga ada dalam rombongan kami (Kerajaan Johor).
Semoga rohnya ditempatkan bersama roh-roh orang yang beriman dan dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T.
Alfatihah.
PINDAAN PERLEMBAGAAN MAJLIS KEBUDAYAAN NEGERI JOHOR
Satu usul yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Majlis Kebudayaan Negeri Johor dalam Mesyurat Agung MKNJ Ke 18 yang diadakan pada 25.5.2008 di Hotel Pelangi, Segamat adalah untuk meminda perlembagaan. Diantara usul yang dipinda adalah dalam Undang-undang 11.11. yang dipinda kepada:
"Jika timbul perkara yang berkehendakkan keputusan segera Jawatankuasa dan Mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan maka Setiausaha boleh mendapatkan keputusan secara rundingan dengan Pegawai-pegawai kanan Majlis iaitu: yang Dipertua, Naib-naib Yang Dipertua, Penolong Setiausaha dan Bendahari. Apa-apa keputusan yang diperolehi hendaklah dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa yang kemudiannya untuk dicatatkan sebagai keputusan Jawatankuasa".
Sebagai perwakilan dari Majlis Kebudayaan Daerah Johor Bahru, saya telah membuat cadangan untuk menolak usul tersebut kerana memberi kuasa yang terlalu besar kepada Pegawai-pegawai Kanan. Saya telah mencadangkan supaya segala keputusan hendaklah dibuat oleh Jawatankuasa samada melalui mesyuarat atau keputusan yang boleh didapatkan melalui surat jawapan segera. Adalah tidak sukar untuk melakukan perkara ini kerana di alaf siber, segala surat menyurat dan perhubungan dapat dilakukan dalam masa yang singkat samada melalui telefon, fax, email dan sebagainya.
Malangnya cadangan ini tidak langsung mendapat sokongan sebaliknya cadangan dari Persatuan Penulis Johor untuk meminda kuasa Setiausaha kepada Yang Dipertua telah diterima oleh perwakilan.
Keputusan telah dibuat oleh perwakilan dan kesan dari pindaan ini sekiranya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan ialah apa sahaja boleh dilakukan oleh Pegawai-pegawai Kanan walaupun MKNJ hanya mengadakan mesyuarat hanya sekali dalam setahun.
Sekiranya begitu apakah fungsi Ahli-ahli Jawatankuasa yang terdiri dari mereka yang sangat dikenali oleh masyarakat termasuk Ahli-ahli Yang Berhormat untuk menentukan hala tuju dan memertabatkan budaya oleh MKNJ?.
LAWATAN PEGAWAI JAKIM KE MASJID BBU
Sejak akhir-akhir ini pegawai-pegawai dari Jaatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melawat Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru. Bermula dengan tiga orang pegawai pada bulan April, pengambaran selama tiga hari pada minggu pertama Mei dan semalan seorang pegawai lagi datang untuk mendapatkan beberapa maklumat.
Perbincangan dengan pegawai-pegawai berkenaan, mereka menyatakan bahawa masjid ini agak istimewa kerana beberapa kegiatan yang dijalankan dan tidak terdapat di masjid yang lain terutama penubuhan Yayasan Masjid, Pusat Dialisis dan juga sistem pengurusan yang tersusun.
Difahamkan bahawa JAKIM akan menyiarkan rancangan tentang kegiatan masjid ini melalui saluran RTM1 pada hari Selasa minggu pertama awal bulan Julai 2008. Siaran rancangan adalah pada jam 6.30 petang.
Mereka juga menyatakan bahawa berkemungkinan YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan membuat tinjauan dan lawatan ke masjid ini.
Perbincangan dengan pegawai-pegawai berkenaan, mereka menyatakan bahawa masjid ini agak istimewa kerana beberapa kegiatan yang dijalankan dan tidak terdapat di masjid yang lain terutama penubuhan Yayasan Masjid, Pusat Dialisis dan juga sistem pengurusan yang tersusun.
Difahamkan bahawa JAKIM akan menyiarkan rancangan tentang kegiatan masjid ini melalui saluran RTM1 pada hari Selasa minggu pertama awal bulan Julai 2008. Siaran rancangan adalah pada jam 6.30 petang.
Mereka juga menyatakan bahawa berkemungkinan YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan membuat tinjauan dan lawatan ke masjid ini.
Sabtu, Mei 24, 2008
PERJUMPAAN DATO' SHAHRIR DENGAN KETUA UMNO BBU
Malam ini Dato' Shahrir Samad ingin mengadakan perjumpaan dengan Ketua-Ketua UMNO Cawangan dalam kawasan Bandar Baru Uda. Sebagai Ketua UMNO Bahagian dan juga Ahli Parlimen Johor Bahru, mungkin ada beberapa perkara yang ingin disampaikan terutama isu semasa yang berkaitan dengan politik tanah air.
Cawangan-cawangan yang terlibat adalah:-
1. Bandar Baru Uda
2. Skudai Kanan
3. Rumah Pangsa Skudai Kanan
4. Uda Jagong
5. Uda Mahsuri
6. Uda Malinja
7. Uda Malinja 1
8. Flat Ledang
9. Uda Angsana
10. Kg. Muafakat (Jln Tun A Razak)
Ini adalah pertemuan pertama (khusus untuk pemimpin UMNO BBU) yang diadakan sejak kawasan Bandar Baru Uda dimasukkan dalam kawasan Parlimen Johor Bahru dalam persempadanan semula pada tahun 2004. Sungguh begitu, ini tidak bermakna Dato' Shahrir telah mengabaikan tanggungjawabnya kepada penduduk di kawasan ini. Sebaliknya beliau telah menjalankan tugas jauh lebih cemerlang berbanding dengan pemimpin-pemimpin terdahulu.
Banyak kenyataan yang boleh menjadi bukti bagaimana Dato' Shahrir membantu penduduk di kawasan ini dan pastinya ia tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun terutama parti-parti pembangkang. Buktinya:-
1. Kejayaan mendapat menukar hakmilik tanah dari pajakan 99 tahun kepada bebas. Permohonan awal melalui mantan Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen (Tan Sri Dato' Mohamad Rahmat) langsung tidak dipedulikan walaupun pernah dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian dan Perwakilan Bahagian.
2. Mendapatkan sumber kewangan sebanyak RM400,000 melalui Yayasan Lee untuk memulakan operasi Pusat Dialisis Dan Kesihatan Masjid Jamek Bandar Baru Uda.
3. Bersetuju menjadi Pengerusi Pusat Dialisis dan kesihatan Masjid Jamek Bandar Baru Uda dan menjadikan badan ini adalah satu-satunya pusat dialisis yang beroperasi di kawasan masjid serta ditaja oleh kariah sendiri.
4. Mengusahakan kejayaan Masjid Jamek BBU mendapat dua petak tanah kepunyaan Uda Holding termasuk bangunan Dewan Jubli Perak (Dewan Serbaguna) dan tanah untuk tujuan komersial.
5. Membawa Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor ke BBU dan mendapatkan peruntukan pembaikan masjid dan pembinaan menara.
6. Memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah dan badan-badan yang ada di kawasan BBU termasuk pembinaan beberapa dewan sekolah.
7. Memberi peruntukan khas setiap tahun sebanyak RM5,000 khusus untuk tujuan pendidikan untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
8. Pembinaan bangunan untuk tujuan kebajikan komuniti di Flat Ledang dan Flat Skudai Kanan.
9. Banyak lagi yang tidak dapat dinyatakan disini.
Kesungguhannya membantu penduduk BBU dapat diterjemahkan melalui keputusan pengundian dalam Pilihanraya UMUM ke 12 yang baru lalu. Pada ketika ramai calon BN mendapat undi merudum, Dato' Shahrir terus mengekalkan kecemerlangan di Bandar Baru Uda:-
a) Di Pusat Mengundi Sekolah Keb Kompleks Uda, Dato' Shahrir mendapat 79.08 peratus walaupun terdapat 24.8 peratus pengundi bukan Melayu.
b) Di Pusat Mengundi Sekolah Keb Uda 2, Dato' Shahrir mendapat 84.6 peratus dengan pengundi bukan Melayu sebanyak 15.3 peratus.
c) Di Pusat Mengundi Sekolah Men Bandar Baru Uda, Dato' Shahrir mendapat 80.10 peratus dengan pengundi bukan Melayu sebanyak 9.9 peratus.
Ini menjadikan beliau meraih 81.26 peratus dari keseluruhan pengundi di Bandar Baru Uda. Sekiranya diambil kira aliran pengundi bukan Melayu yang memberi sokongan kepada BN sekitar 5-10 peratus, ini memberi petunjuk kepada sokongan yang besar kepada Dato' Shahrir. Berbanding dengan undi yang diterima pada tahun 2004, ia juga menunjukkan peningkatan walaupun dalam suasana penurunan sokongan di tempat lain. Sokongan yang agak kurang pada pilihanraya tahun 2004 adalah disebabkan oleh kurang keberkesanan Ahli Parlimen terdahulu dan ini telah dapat dipulihkan kembali sepanjang hampir lima tahun Dato' Shahrir menjadi wakil.
Kelantangan dan ketegasan beliau dalam memperjuang dan memperkatakan sesuatu isu juga mendapat sokongan dan keberkesanan kepada pengundi dan penduduk.
Selain dari itu, beliau juga mendapat sokongan dari bekas ADUN Tanjung Puteri, Haji Ali Mohamad serta juga dengan bantuan Haji Mohd Said Ibrahim selaku Ahli Majlis MBJB.
EMAKKU TERSAYANG
Hari Ibu beberapa hari lalu, aku menjengah ibu yang aku panggil emak. Aku menciumnya di pipi kiri dan kanan. Keadaan emak akhir-akhir ini agak uzur. Seperti kebanyakan kaum wanita yang telah lanjut umur, emak juga mengidap penyakit lutut. Pergerakannnya agak terbatas. Abang Asmuni pernah membawanya ke Kuala Lumpur dan berjumpa dengan doktor, bagaimanapun keadaannya tidak berubah.
Minggu lalu dia demam. Biasanya kalau aku nak balik ke Johor Bahru, pastinya dia akan melambai tangan di muka pintu. Tapi pada kali ini dia tak dapat melakukannya. Kasihan juga aku padanya. Isteriku terlalu sayangkan emak sebagaimana dia sayang pada arwah bapakku. Selalu dia menalipon emak bertanyakan kabar. Aku bawakan ikan yang segar dan beberapa hari sebelumnya aku bawa Laksa Pinang kegemarannya. Kecewa juga kerana dia hanya menjamah sedikit, itupun kerana paksaan dari isteriku.
Sejak kematian bapak beberapa tahun dulu, emak memang banyak berubah dari segi sikap dan perlakuan. Dulu, dia memang agak ‘kemering’ (sikap yang berlawanan dengan lemah lembut) bahkan kepada bapak sekalipun. Perlakuannya mungkin berpunca dari alam sekeliling dimana dia adalah anak tunggal seibu sebapa. Kakaknya dari berlainan ibu telah berumahtangga lebih awal. Begitu juga dengan sepupunya yang menjadi abang angkat. Dia adalah anak yang sangat dimanjakan dari datuk aku yang sangat terkenal pada zamannya. Pak Reban adalah nama yang sangat digeruni terutama persekitaran Benut pada tahun 30an, 40an dan 50an. Pak Reban yang aku memanggilnya ‘yai (datuk) adalah seorang pendekar dengan ilmu kebatinan. Aku masih mengingati wajahnya walaupun dia meninggal pada tahun 1956 ketika aku berumur enam tahun. Sebagai anak pendikar, emak aku juga boleh bersilat. Beliau pernah mengakui sendiri padaku setelah aku bertanya kepadanya kerana ada seorang peneroka Felda Ulu Tebrau memberitahuku mengenai perkara ini.
Aku tahu, dulu emak memang mempunyai sikap pilih kasih dalam menyayangi anak-anak. Isteriku pun tahu, aku adalah diantara yang kurang disayangi. Aku tak tahu samada perkara ini disedari oleh adik beradik yang lain ataupun tidak. Aku tak ambil peduli mengenai perkara ini dan ia tidak menjadi masalah yang besar bagiku. Seingatanku, aku tak pernah walau sekali untuk menyakiti hati emak maupun bapak. Tak tahulah kalau perlakuanku yang aku tak sedar mungkin telah menyakitkan hati kedua-duanya.
Apa yang aku catatkan disini adalah untuk ingatan dan pengajaran kepada anak cucuku supaya mereka sentiasa berlaku baik kepada ibu bapa walau apa perlakuan dan sangkaan kepada ibu bapa masing-masing.
Sepanjang umurku, aku berusaha berlaku yang terbaik untuk emak dan bapak. Dulu (1969-1970), ketika aku bekerja sebagai peon (pelayan pejabat) di Johor Bahru dengan gaji lapanpuluh empat ringgit sebulan, aku dapat memberi emak tigapuluh ringgit pada setiap bulan. Pernah juga (walau hanya sekali dua) aku memberi duit pada abang yang ketika itu masih di kolej. Cuma seingatanku, setiap pemberian adalah kepada emak dan tidak kepada bapak kerana bagiku bapak mempunyai penghasilan dari kebun. Pemberianku kepada emak ini mungkinlah tidak berterusan pada setiap bulan terutama pada tahun-tahun 70an dan 80an kerana pada masa itu aku mempunyai banyak komitmen terutama kepada keluarga sendiri dan juga masyarakat (memimpin Pergerakan Belia dan Pemuda UMNO peringkat Daerah dan Bahagian) sedangkan pekerjaanku hanyalah sebagai seorang Kerani.
Pada tahun 1971, ketika aku bergaji dua ratus ringgit, aku pernah meminjam wang koperasi sebanyak satu ribu ringgit dan memberi pada bapak untuknya balik melawat saudara mara di Tanah Jawa, Indonesia. Sekali lagi aku membawa emak dan bapak ke sana pada tahun 1996, ketika itu aku telah berhenti kerja Felda dan menjalankan perniagaan dan mempunyai pendapatan yang agak baik juga. Waktu itulah bapak dapat berjumpa kedua adik-adiknya yang masih ada, setelah 25 tahun tidak bersua.
Ketika aku menjawat jawatan Pembantu Khas Exco dan juga sebagai Pesuruhjaya Sumpah, waktu itu memang menjadi kemestian aku memberi wang kepada emak dan cukuplah untuk keperluan dirinya. Dan sekarang, aku memang tidak dapat membantunya kerana maklum saja aku dah menjadi pesara sepenuh masa. Alhamdullillah, aku tahu emak mempunyai pendapatan agak lumayan pada ketika ini, maklum saja harga sawit sedang melambung. Aku telah sepakat dengan abang supaya segala pendapatan dari kebun sawit kami berdua seluas lapan ekar telah kami serahkan kepada emak.
Cuma pada ketika ini kesihatan yang menjadi gangguan kepadanya. Aku tahu, emak masih berharap untuk dapat berjalan-jalan ke rumah anak-anak. Aku berdoa semoga termakbul doa kami agar emak dapat sembuh dan pulih seperti dahulu.
Kasihan juga kepada adik bungsuku yang terpaksa menjaga emak. Isterinya juga tidaklah begitu sihat. Masalahnya ialah emak tak mahu mengikut anak-anak yang lain. Maklum sajalah, rumah yang didiami sekarang adalah rumah peninggalan ‘yai (datuk). Aku dan isteri memang bersedia untuk menjaganya tapi aku pasti dia tak akan ‘kerasan’ (ia adalah bahasa Jawa bermaksud betah atau tahan). Aku tahu sangat mengenai perkara ini kerana emak mewarisi ‘Nyai Rahmah (ibu kepada emak). Dulu, ‘Nyai Rahmah pernah ku bawa ke rumahku di Felda Ulu Tebrau dalam tahun 70an. Hanya beberapa minggu sahaja dia bersama denganku dan sentiasa mendesak untuk menghantarnya balik ke kampong.
Abang juga mempunyai keinginan untuk menjaga emak kerana dia sudah membawanya beberapa kali ke Kuala Lumpur. Pasti dia perasan mengenai emak yang tidak ‘kerasan’ untuk duduk lama dengannya. Kalaulah emak yang lebih sayang kepadanya berbanding dengan aku, itupun emak tidak ‘kerasan’, apatah lagi untuknya duduk di rumahku di Johor Bahru. Apatah lagi dengan sikap anak-anakku yang agak kurang elok perlakuan dari pandangan matanya.
Aku sangat memahami mengenai hal ini. Hanya aku tidak dapat meyakinkan emak bahawa aku juga boleh menjaganya dengan baik. Cagaranku adalah isteriku yang sangat menyayanginya. Isteriku dapat melupakan peristiwa yang pernah melukakannya, kerana itupun salah satu dari ciri-ciri dan sifat isteriku.
Bagaimana harus kita melupakan ibu yang pernah bersusah payah mengandung dan melahirkan serta mengasuh dengan penuh kasih sayang?. Sehingga kini, aku tidak akan dapat melupakan satu peristiwa bagaimana pada satu pagi ketika aku berumur sekitar empat tahun, emak menggendung aku sambil berlari-lari menuju ke rumah ‘yai. Ketika itu aku jatuh ‘terpeleset’ (bahawa Jawa yang bermakna tergelincir kerana licin) waktu berlari dari perigi (setelah mandi) ke rumah. Di antara perigi dan rumah diletakkan batu-batu sebagai pemijak (dalam bahasa Jawa dinamakan ‘bancek’). Dahiku terkena hujung penjuru batu ‘bancek’ yang menyebabkannya berdarah dengan banyak. Kening kiriku luka dan parutnya tetap ada hingga kini. Inilah parut yang membuktikan kasihnya ibu kepada anak.
Pastinya banyak perkara yang berkaitan dengan emak dapat aku paparkan di sini. Insyaallah pada ketika yang lain.
Langgan:
Catatan (Atom)